Wednesday, April 20, 2011

ANGIN PERUBAHAN PEMIMPIN TERTINGGI PAS. NIK AZIZ TERPAKSA SOKONG HAJI HADI UNTUK JALAN SELAMAT?



Salam semua...

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempertahankan Datuk Seri Abdil Hadi Awang dengan berkata, PAS tidak perlu mengubah pemimpin hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya termasuk ekoran kegagalan memperoleh kerusi di Sarawak minggu lalu.

Sambil menegaskan tindakan menukar pemimpin hanya kerana pilihan raya sebagai "langkah kurang tepat", Mursyidul Am PAS berkata, "pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT."

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS mempunyai kaedah-kaedah yang tersendiri untuk memilih pemimpin.

"Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihan raya adalah satu langkah kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihan raya," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Laporan media semalam memetik penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari, yang lazimnya memberi pandangan terbuka mengenai PAS menegaskan, kepimpinan parti Islam itu perlu berubah terutama Hadi yang kini dilihat sebagai liabiliti.

Pendirian lantang beliau ini dikeluarkan ketika parti Islam berusia lebih enam dekad ini sedang bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan pusat Jun ini.

Lebih-lebih lagi pandangan ini dilontarkan selepas PAS sekali lagi gagal memperoleh sebarang kerusi di Sarawak apabila tewas di kesemua lima kerusi yang ditandinginya.
Sehubungan itu kata Aziz, Hadi, 64, yang juga Ahli Parlimen Marang dilihat telah gagal mempertahankan parti dalam beberapa isu berbangkit.

Nik Aziz menambah kata, sememangnya memenangi pilihan raya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan
untuk menang dalam pilihan raya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi.

"Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS. Jika hanya kerana
mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar?

"Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar? Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT," kata beliau lagi.

Nik Aziz juga berkata Aziz selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS.

"Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding pada pilihan raya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihan raya.

"Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik," katanya.- The Malaysian Insider.


P/S - Kata Nik Aziz "pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT." sebenarnya tidak tepat. Kalau sekadar tidak melanggar syariat Allah SWT tidak cukup menjadi seorang pemimpin terbilang. Selain mengikuti syariat Allah, seorang pemimpin itu juga mestilah cergas segala-galanya.

Cergas di sini termasuklah cergas tubuh badan, daya berfikir dan mampu berdakwah secara efektif.

Nampaknya tempias komen Prof Abdul Aziz Bari rupa-rupanya terkena batang hidung Nik Aziz. Patutlah beliau meroyan dengan tiba-tiba. Nampak sangat sokongan beliau kepada Haji Hadi sebagai mencari jalan selamat supaya beliau masih terus kekal dalam pimpinan PAS.

No comments: