Salam semua…
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan rakyat Sarawak supaya tidak memperjudikan diri dan masa depan mereka dengan memilih pakatan pembangkang pada pilihan raya negeri ke-10 Sabtu ini.
Tegas beliau, dengan cuma sehari sahaja tempoh berkempen esok, impian rakyat Sarawak untuk melihat negeri mereka terus dibangunkan oleh Barisan Nasional (BN) tidak harus dipersia-siakan dengan membuat pilihan bijak memberi semula mandat kepada kepimpinan negeri sedia ada.
"Saya berkeyakinan penuh BN akan membentuk semula kerajaan negeri Sabtu ini tetapi kita memerlukan sokongan yang padu pada hari pengundian nanti.
"Saya tidak kata BN sempurna tetapi kita akan cuba menjadi yang lebih baik serta memperbaiki kesilapan yang ada dengan dalam dua tahun ini sahaja negara telah menunjukkan peningkatan ekonomi.
"Tentang peralihan kepimpinan negeri (Sarawak), saya sendiri akan pastikan berlaku proses transisi itu. Justeru, jangan emosional dan jangan kerana 'nyamuk seekor, kelambu dibakar', ini (pilihan raya negeri) soal masa depan Sarawak yang lebih besar," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang dihadiri lebih 5,000 orang di Jalan North Yu Seng di sini malam ini.
Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat Sarawak bahawa mereka berhak mengetahui segala temberang dan tipu daya pemimpin pembangkang dalam beberapa isu yang menimbulkan persoalan besar kebelakangan ini.
"Saya dimaklumkan dalam satu kejadian di Kapit dua malam lepas, Anwar Ibrahim ditanya oleh tuai rumah tentang jam tangan Omeganya. Tetapi dia terus meninggalkan majlis tanpa bersalam pun dengan para penghuni rumah panjang berkenaan.
"Kenapa dia begitu sensitif sekali? Siapa simpan jam tangan dia, dia kata isteri dia simpan, jam ini benda peribadi, takkan isteri yang simpan, isteri saya sendiri pun tak simpan jam tangan saya.
"Demikian juga dia kata dia 'twitt' (layan twitter jawab pertanyaan peminatnya), tapi antara pukul 9.30 malam hingga 11.30 malam, tidak ada 'twitt' daripadanya. Ini semua timbulkan persoalan kepada kita dan kita berhak untuk tahu," katanya.
Najib juga membangkitkan isu DNA yang payah sangat hendak diberikan oleh Anwar dalam kes liwat yang sedang dibicarakan untuk direnung dan dinilai perlakuan penasihat PKR itu oleh hadirin.
"Kenapa nak 'bersilat' (enggan berikan DNA), kalau tidak bersalah, serahkanlah sahaja untuk diadili," katanya.-Utusan
1 comment:
UNTUK RAKYAT SERAWAK ...ESOK 16 APRIL...2011 GI MENGUNDI YE RAMAI 2 ...BUKAN 16 SEPTEMBER...
Post a Comment