Saturday, October 29, 2011

Audit: Siapa Yang Sepatutnya Dihukum?


Tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai dan kakitangan mana-mana kementerian dan agensi yang menyalahgunakan peruntukan serta tidak mengikuti prosedur ditetapkan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini.

Ahmad Husni (gambar) berkata, kerajaan tegas mengamalkan konsep akauntabiliti dan perkara itu jelas melalui laporan yang dibentangkan Ketua Audit Negara Isnin lalu.

Tegas beliau, bagi menangani isu penyelewengan, kerajaan menyediakan sistem semak dan imbang, iaitu tindakan akan dikenakan kepada mereka yang terlibat dalam penyelewengan.

“Ia perlu supaya mereka yang terlibat tidak terlepas daripada hukuman dan masalah penyalahgunaan peruntukan tidak berulang,” katanya dipetik Bernama Online.

“Mesej telah kita berikan kepada perkhidmatan awam di mana tindakan tegas harus diambil bagi meningkat kualiti, integriti dan kredibiliti perkhidmatan awam,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan mengarahkan semua pegawai membuat penyenaraian isu yang telah dibangkitkan dalam laporan audit berkenaan untuk tindakan lanjut.

Selasa lalu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan memberi jaminan kerajaan akan bertindak mengikut peraturan dalam berurusan dengan sembilan kementerian dan jabatan yang dilaporkan berbelanja melebih had sehingga mengakibatkan penggunaan peruntukan tambahan berjumlah RM3.73 bilion tahun lalu.

Kata beliau, langkah-langkah sewajarnya akan diambil ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 dikeluarkan semalam bagi memastikan kesilapan-kesilapan lalu tidak berulang.

“Kami sedang mengambil tindakan susulan ekoran laporan (Ketua Audit) dan akan bertindak mengikut peraturan,” kata beliau.

Mohd Sidek juga memberitahu sidang akhbar bahawa laporan audit menunjukkan masih ada ruang untuk penambahbaikan.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan Isnin lalu antara lain mendapati beberapa kementerian dan jabatan membelanjakan peruntukan untuk belanja mengurus melebihi jumlah yang ditetapkan.

Menurut laporan berkenaan, peruntukan muktamad bagi perbelanjaan mengurus bagi 2010 ialah RM149.06 bilion, bertambah sebanyak RM10.78 bilion dari jumlah asal RM138.28 bilion.

Bagaimanapun kata laporan itu, tambahan peruntukan ini masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan berjumlah RM151.63 bilion iaitu melebihi RM2.57 bilion daripada jumlah yang diperuntukkan.

Mengikut peraturan kewangan, sesuatu perbelanjaan hanya boleh dilakukan jika peruntukan kewangan yang diluluskan mencukupi

“Semakan audit mendapati peraturan ini tidak dipenuhi sepenuhnya oleh beberapa kementerian/jabatan yang telah berbelanja melebihi peruntukan.

“Adalah juga didapati beberapa kementerian/jabatan tidak membelanjakan peruntukan/tambahan peruntukan yang diluluskan.

“Ini menunjukkan masih ada kelemahan dari segi perancangan dan pengurusan perbelanjaan walaupun isu ini sering dibangkitkan,” jelas laporan audit yang lewat dikeluarkan selama 17 hari dari tempoh pembentangan Belanjawan 2012.
Menurut laporan itu lagi, analisis yang telah dijalankan terhadap perbelanjaan mengurus 2010 mendapati 138 kelemahan pengurusan perbelanjaan berjumlah RM360.96 juta.

Sebanyak 75 kes perbelanjaan melebihi peruntukan berjumlah RM306.01 juta telah berlaku di 14 kementerian dan jabatan bagi bayaran perkhidmatan dan bekalan, aset serta pemberian dan kenaan bayaran tetap.

Antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertahanan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.- The Malaysian Insider

Komentar Penulis:

Tujuan audit sebenarnya bukanlah untuk mencari kesilapan tetapi perlaksanaannya adalah semata-mata untuk memperbetulkan keadaan supaya semua prosuder dan tatacara kerja dapat dipatuhi selain dapat  mencapai matlamat seperti yang dirancangkan. Masalah berbelanja melebih had selalunya berpunca daripada kurangnya kesedaran dan sikap lepas tangan dikalangan ketua-ketua sesuatu jabatan tentang had maksima yang boleh dibelanjakan  di dalam satu-satu tempoh masa biasanya bergantung di atas peruntukan tahunan yang diberikan oleh kerajaan.

Untuk mengatasi masalah ini, pada pendapat penulis mesti ada satu kaedah yang sesuai  yang boleh memberi kesedaran secara paksaan kepada ketua jabatan bermula daripada Menteri sehinggalah kepada pegawai-pegawainya. Ringkas kata, peruntukan yang boleh dibelanjakan ini mestilah dimasukkan di dalam indeks prestasi kerja mereka. Maknanya, ketua sesuatu jabatan akan dikira lemah prestasinya jika berbelanja melebihi peruntukan yang disediakan. Dengan cara inilah sahaja keterlibatan semua peringkat pegawai bermula daripada menteri sehinggalah sekecil-kecil unit di bawah jabatan dan seliaannya dapat dipantau dengan sebaik-baiknya.

Sekadar memberi pandangan.....





Wednesday, October 26, 2011

Aikk...Kenapa Tiba-Tiba DS Dr Chua Soi Lek Hendak Selamatkan Ikan Jerong?


Salam semua®…

Menerusi artikel penulis pada 08/10/2011 yang lalu, penulis ada memberi sedikit komen tentang adanya sebilangan besar golongan-golongan peniaga dan pengusaha kaya yang tidak jujur  dan yang tidak memberi apa-apa sumbangan cukai kepada kerajaan walaupun di sekeliling mereka penuh dengan kemewahan. 
Penulis ingin ulang sekali lagi bahawa golongan ini sanggup menipu jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan melalui kaedah percukaian yang tidak bermoral dan beretika bagi membolehkan mereka lari daripada tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai yang jujur kepada kerajaan. 
Tidak hairanlah kita boleh melihat situasi biasa di mana seorang pengusaha yang secara zahirnya kaya raya mempunyai bilangan rumah mewah yang banyak dan kereta berjenama yang mahal-mahal akan tetapi bayaran cukai perniagaannya langsung tidak masuk akal dan  kadang kala kurang berkali-kali ganda daripada seseorang yang hanya makan gaji dan berkereta Proton Saga.
Sepenuhnya klik di sini.

Jadi, penulis hairan dan pelik kenapa tiba-tiba sahaja DS Dr Chua Soi Lek yang mengetuai MCA melenting dan membantah bila kerajaan memberi cadangan balas supaya diadakan perubahan dalam Akta Cukai Pendapatan memberi Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri budi bicara sepenuhnya terhadap kelambatan mengembalikan borang atau memberikan maklumat tidak betul?

Bukankah langkah tersebut amat positif bagi menangkap banyak ikan-ikan jerong ( peniaga-peniaga ) yang selama ini telah banyak menipu kerajaan? berbanding dengan pembayar-pembayar setia (berpendapatan tetap) yang gaji mereka tiap-tiap bulan terpaksa  dipotong secara terus daripada sistem data komputer terperinci  yang diperolehi daripada majikan. Sebaiknya jugalah transformasi ke arah mendapatkan maklumat yang tepat  (kaedah digital ) tentang keuntungan sebenar daripada ‘Management Account’ dalaman semua peniaga-peniaga perlulah digerakkan dengan segera.

Oleh yang demikian cadangan  supaya perubahan dalam Akta Cukai Pendapatan memberi Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri budi bicara sepenuhnya terhadap pemberian  maklumat yang tidak betul perlu disokong kerana kerajaan mungkin akan rugi berbillion-berbillion ringgit dalam bentuk hasil kerajaan jika peniaga dan  pengusaha yang tidak jujur ini masih lagi bebas dan mahu terus hidup senang tanpa memikirkan kepayahan orang lain.

Petikan laporan yang disiarkan oleh Utusan online, 26/10/2011:

MCA membantah cadangan perubahan dalam Akta Cukai Pendapatan memberi Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri budi bicara sepenuhnya terhadap kelambatan mengembalikan borang atau memberikan maklumat tidak betul.

Presiden parti, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, bantahan tersebut adalah bagi cadangan baharu memasukkan Seksyen 107D dan membuat perubahan kepada Seksyen 81 dalam akta berkenaan.

"Jika pindaan diluluskan, Seksyen 107D yang baharu itu akan membolehkan pihak Ketua Pengarah mengarahkan pembayar cukai membuat pembayaran dahulu sekiranya beliau ada alasan pembayar cukai tidak mengembalikan borang dengan betul walaupun tiada borang taksiran dikeluarkan.

"Manakala cadangan perubahan pada Seksyen 81 akan akhirnya memberi kuasa mutlak kepada Ketua Pengarah mengenepikan sebarang maklumat melampaui masa yang ditetapkan ,” katanya ketika dihubungi.

Soi Lek berkata, partinya telah membincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat Majllis Presiden pada hari Selasa dan wakil-wakil MCA dalam kabinet telah diminta membangkitkannya dalam mesyuarat kabinet.

Selain itu, Soi Lek berkata, parti itu akan membangkitkan perkara yang sama dalam Majlis Ekonomi Negara yang mana beliau menganggotainya.

“MCA merasakan cadangan perubahan itu memberi terlalu banyak kuasa kepada seorang dan tidak ada ruang untuk rayuan. Pembayar cukai hendaklahh beri hak merayu,” katanya.



Saturday, October 08, 2011

Bajet 2012 – TERIMA KASIH DS NAJIB……



Salam semua ®…
Penulis ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada DS Najib di atas pembentangan bajet yang bagi penulis amat realistik serta menepati kepada golongan sasaran. Memang tepatlah apa yang telah dibentangkan kerana ianya terarah kepada agenda transformasi nasional yang mengambil kira kebajikan segenap lapisan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam semangat 1 Malaysia.
Sekurang-kurangnya bebanan peningkatan kos sara hidup di kalangan  orang ramai yang berpendapatan rendah dan sederhana dapat dikurangkan selain dapat membantu golongan-golongan tertentu meningkatkan lagi pendapatan mereka di masa-masa hadapan.
Cadangan kerajaan memperbanyakkan lagi Kedai Rakyat 1 Malaysia adalah satu langkah bijak dalam usaha kerajaan menangani peningkatan harga barangan. Harga barangan tempatan yang berpatutan akan meningkatkan lagi kuasa membeli orang ramai di samping membantu pengusaha-pengusaha tempatan bersaing dengan barangan impot yang lain. Daya saing yang tinggi di kalangan pengusaha-pengusaha tempatan akan menguntungkan kerajaan dalam jangka masa panjang kerana kerajaan tidak perlu lagi takut akan kehilangan pelabur-pelabur luar yang bersifat sementara kerana mungkin pada ketika itu pengusaha-pengusaha tempatan kita yang maju berkembang  mampu mengambil tempat malah, mungkin menjadi pelabur pula kepada negara-negara lain.  
Peningkatan kuasa beli secara berterusan, akan meningkatkan lagi kualiti hidup orang ramai. Peningkatan pendapatan adalah sesuatu yang baik, malah ianya akan lebih berkesan jika ianya selari dengan peningkatan kuasa beli jika barangan yang dibeli adalah rendah dan munasabah.
Transformasi ke arah penyelesaian masalah secara beginilah yang rakyat mahu. Perlu ada situasi menang-menang di antara kerajaan dan rakyat. Rakyat Malaysia yang jujur serta cukup pendapatan selain mempunyai kualiti hidup yang selesa sebenarnya tidak kisah jika sebahagian daripada pendapatannya disumbangkan balik kepada kerajaan dalam bentuk cukai bagi membantu kerajaan menolong golongan-golongan lain yang tidak bernasib baik.
Walaubagaimanapun, masih ramai di luar sana terutamanya golongan-golongan peniaga dan pengusaha kaya yang tidak jujur yang tidak memberi apa-apa sumbangan cukai kepada kerajaan walaupun di sekeliling mereka penuh dengan kemewahan. Golongan ini sanggup menipu jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan melalui kaedah percukaian yang tidak bermoral dan beretika bagi membolehkan mereka lari daripada tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai yang jujur kepada kerajaan. Tidak hairanlah kita boleh melihat situasi biasa di mana seorang pengusaha  yang secara zahirnya kaya raya mempunyai bilangan rumah mewah yang banyak dan kereta berjenama yang mahal-mahal akan tetapi bayaran cukai perniagaannya langsung tidak masuk akal dan  kadang kala kurang berkali-kali ganda daripada seseorang yang hanya makan gaji dan berkereta Proton Saga.
Kerajaan mungkin rugi berbillion-berbillion ringgit dalam bentuk hasil kerajaan jika peniaga dan yang pengusaha yang tidak jujur ini masih lagi bebas dan mahu terus  hidup senang tanpa memikirkan kepayahan orang lain.
Ayuh…lakukanlah transformasi bagi menegakkan keadilan. Orang yang tidak jujur tadi perlu diajar supaya mereka lebih bertanggungjawab kepada yang lain. Kerajaan sekarang ini sememangnya telah melakukan yang terbaik untuk rakyatnya. Tapi, jangan pula terlepas pandang kepada mereka yang saya sebutkan tadi……
Terima kasih DS Najib di atas keperihatian anda…..