Salam semua ®…
Penulis ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada DS Najib di atas pembentangan bajet yang bagi penulis amat realistik serta menepati kepada golongan sasaran. Memang tepatlah apa yang telah dibentangkan kerana ianya terarah kepada agenda transformasi nasional yang mengambil kira kebajikan segenap lapisan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam semangat 1 Malaysia.
Sekurang-kurangnya bebanan peningkatan kos sara hidup di kalangan orang ramai yang berpendapatan rendah dan sederhana dapat dikurangkan selain dapat membantu golongan-golongan tertentu meningkatkan lagi pendapatan mereka di masa-masa hadapan.
Cadangan kerajaan memperbanyakkan lagi Kedai Rakyat 1 Malaysia adalah satu langkah bijak dalam usaha kerajaan menangani peningkatan harga barangan. Harga barangan tempatan yang berpatutan akan meningkatkan lagi kuasa membeli orang ramai di samping membantu pengusaha-pengusaha tempatan bersaing dengan barangan impot yang lain. Daya saing yang tinggi di kalangan pengusaha-pengusaha tempatan akan menguntungkan kerajaan dalam jangka masa panjang kerana kerajaan tidak perlu lagi takut akan kehilangan pelabur-pelabur luar yang bersifat sementara kerana mungkin pada ketika itu pengusaha-pengusaha tempatan kita yang maju berkembang mampu mengambil tempat malah, mungkin menjadi pelabur pula kepada negara-negara lain.
Peningkatan kuasa beli secara berterusan, akan meningkatkan lagi kualiti hidup orang ramai. Peningkatan pendapatan adalah sesuatu yang baik, malah ianya akan lebih berkesan jika ianya selari dengan peningkatan kuasa beli jika barangan yang dibeli adalah rendah dan munasabah.
Transformasi ke arah penyelesaian masalah secara beginilah yang rakyat mahu. Perlu ada situasi menang-menang di antara kerajaan dan rakyat. Rakyat Malaysia yang jujur serta cukup pendapatan selain mempunyai kualiti hidup yang selesa sebenarnya tidak kisah jika sebahagian daripada pendapatannya disumbangkan balik kepada kerajaan dalam bentuk cukai bagi membantu kerajaan menolong golongan-golongan lain yang tidak bernasib baik.
Walaubagaimanapun, masih ramai di luar sana terutamanya golongan-golongan peniaga dan pengusaha kaya yang tidak jujur yang tidak memberi apa-apa sumbangan cukai kepada kerajaan walaupun di sekeliling mereka penuh dengan kemewahan. Golongan ini sanggup menipu jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan melalui kaedah percukaian yang tidak bermoral dan beretika bagi membolehkan mereka lari daripada tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai yang jujur kepada kerajaan. Tidak hairanlah kita boleh melihat situasi biasa di mana seorang pengusaha yang secara zahirnya kaya raya mempunyai bilangan rumah mewah yang banyak dan kereta berjenama yang mahal-mahal akan tetapi bayaran cukai perniagaannya langsung tidak masuk akal dan kadang kala kurang berkali-kali ganda daripada seseorang yang hanya makan gaji dan berkereta Proton Saga.
Kerajaan mungkin rugi berbillion-berbillion ringgit dalam bentuk hasil kerajaan jika peniaga dan yang pengusaha yang tidak jujur ini masih lagi bebas dan mahu terus hidup senang tanpa memikirkan kepayahan orang lain.
Ayuh…lakukanlah transformasi bagi menegakkan keadilan. Orang yang tidak jujur tadi perlu diajar supaya mereka lebih bertanggungjawab kepada yang lain. Kerajaan sekarang ini sememangnya telah melakukan yang terbaik untuk rakyatnya. Tapi, jangan pula terlepas pandang kepada mereka yang saya sebutkan tadi……
Terima kasih DS Najib di atas keperihatian anda…..
No comments:
Post a Comment