Saturday, October 29, 2011

Audit: Siapa Yang Sepatutnya Dihukum?


Tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai dan kakitangan mana-mana kementerian dan agensi yang menyalahgunakan peruntukan serta tidak mengikuti prosedur ditetapkan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini.

Ahmad Husni (gambar) berkata, kerajaan tegas mengamalkan konsep akauntabiliti dan perkara itu jelas melalui laporan yang dibentangkan Ketua Audit Negara Isnin lalu.

Tegas beliau, bagi menangani isu penyelewengan, kerajaan menyediakan sistem semak dan imbang, iaitu tindakan akan dikenakan kepada mereka yang terlibat dalam penyelewengan.

“Ia perlu supaya mereka yang terlibat tidak terlepas daripada hukuman dan masalah penyalahgunaan peruntukan tidak berulang,” katanya dipetik Bernama Online.

“Mesej telah kita berikan kepada perkhidmatan awam di mana tindakan tegas harus diambil bagi meningkat kualiti, integriti dan kredibiliti perkhidmatan awam,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan mengarahkan semua pegawai membuat penyenaraian isu yang telah dibangkitkan dalam laporan audit berkenaan untuk tindakan lanjut.

Selasa lalu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan memberi jaminan kerajaan akan bertindak mengikut peraturan dalam berurusan dengan sembilan kementerian dan jabatan yang dilaporkan berbelanja melebih had sehingga mengakibatkan penggunaan peruntukan tambahan berjumlah RM3.73 bilion tahun lalu.

Kata beliau, langkah-langkah sewajarnya akan diambil ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 dikeluarkan semalam bagi memastikan kesilapan-kesilapan lalu tidak berulang.

“Kami sedang mengambil tindakan susulan ekoran laporan (Ketua Audit) dan akan bertindak mengikut peraturan,” kata beliau.

Mohd Sidek juga memberitahu sidang akhbar bahawa laporan audit menunjukkan masih ada ruang untuk penambahbaikan.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan Isnin lalu antara lain mendapati beberapa kementerian dan jabatan membelanjakan peruntukan untuk belanja mengurus melebihi jumlah yang ditetapkan.

Menurut laporan berkenaan, peruntukan muktamad bagi perbelanjaan mengurus bagi 2010 ialah RM149.06 bilion, bertambah sebanyak RM10.78 bilion dari jumlah asal RM138.28 bilion.

Bagaimanapun kata laporan itu, tambahan peruntukan ini masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan berjumlah RM151.63 bilion iaitu melebihi RM2.57 bilion daripada jumlah yang diperuntukkan.

Mengikut peraturan kewangan, sesuatu perbelanjaan hanya boleh dilakukan jika peruntukan kewangan yang diluluskan mencukupi

“Semakan audit mendapati peraturan ini tidak dipenuhi sepenuhnya oleh beberapa kementerian/jabatan yang telah berbelanja melebihi peruntukan.

“Adalah juga didapati beberapa kementerian/jabatan tidak membelanjakan peruntukan/tambahan peruntukan yang diluluskan.

“Ini menunjukkan masih ada kelemahan dari segi perancangan dan pengurusan perbelanjaan walaupun isu ini sering dibangkitkan,” jelas laporan audit yang lewat dikeluarkan selama 17 hari dari tempoh pembentangan Belanjawan 2012.
Menurut laporan itu lagi, analisis yang telah dijalankan terhadap perbelanjaan mengurus 2010 mendapati 138 kelemahan pengurusan perbelanjaan berjumlah RM360.96 juta.

Sebanyak 75 kes perbelanjaan melebihi peruntukan berjumlah RM306.01 juta telah berlaku di 14 kementerian dan jabatan bagi bayaran perkhidmatan dan bekalan, aset serta pemberian dan kenaan bayaran tetap.

Antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertahanan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.- The Malaysian Insider

Komentar Penulis:

Tujuan audit sebenarnya bukanlah untuk mencari kesilapan tetapi perlaksanaannya adalah semata-mata untuk memperbetulkan keadaan supaya semua prosuder dan tatacara kerja dapat dipatuhi selain dapat  mencapai matlamat seperti yang dirancangkan. Masalah berbelanja melebih had selalunya berpunca daripada kurangnya kesedaran dan sikap lepas tangan dikalangan ketua-ketua sesuatu jabatan tentang had maksima yang boleh dibelanjakan  di dalam satu-satu tempoh masa biasanya bergantung di atas peruntukan tahunan yang diberikan oleh kerajaan.

Untuk mengatasi masalah ini, pada pendapat penulis mesti ada satu kaedah yang sesuai  yang boleh memberi kesedaran secara paksaan kepada ketua jabatan bermula daripada Menteri sehinggalah kepada pegawai-pegawainya. Ringkas kata, peruntukan yang boleh dibelanjakan ini mestilah dimasukkan di dalam indeks prestasi kerja mereka. Maknanya, ketua sesuatu jabatan akan dikira lemah prestasinya jika berbelanja melebihi peruntukan yang disediakan. Dengan cara inilah sahaja keterlibatan semua peringkat pegawai bermula daripada menteri sehinggalah sekecil-kecil unit di bawah jabatan dan seliaannya dapat dipantau dengan sebaik-baiknya.

Sekadar memberi pandangan.....





No comments: