Saturday, March 26, 2011

SALAH LAKU SEKS DAN LIWAT : MAHUKAH KITA MENERIMA NASIB YANG SAMA SEPERTI NASIB KAUM NABI LUT ? JAWAPAN KEPADA PANDANGAN USTAZ ASRI


Salam semua…
Dalam budaya manusia yang tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh.
Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing.
Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya. Ia haram.
Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini.
Sama ada PAS, Umno dan PKR; ramai individu dalamparti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka.
Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada pada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain. Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik.
Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini.
Sedangkan Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat." (Riwayat Muslim).
Aib peribadi
Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin.
Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses
penyaksian. Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf.
Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan. Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi - sekalipun mungkin benar - adalah berat di sisi agama.
Firman Allah (maksudnya): "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: Ayat 4).
Nabi SAW sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar.
Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:
"Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu 'Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi SAW menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam.
Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi SAW: Bahkan untuk manusia keseluruhannya."
Bukan bukti Asas
Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain.
Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri.
Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran:
"Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video
atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis 'barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya...."
Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya.
Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya.
Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih (bermaksud):
"Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, hal 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).
Berbeza Dengan Kes Kezaliman
Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa, rasuah dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa.
Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam mengizinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang dilakukan yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat. Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa.
Itu pun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau orang lain.
Firman Allah (maksudnya): "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan,
atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa". (Surah al-Nisa: Ayat 148-149).
Tidak Perlu Suruhajaya
Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya 'Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah.
Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-ma'ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy 'an al-munkar (pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan.
Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:
"Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta'ala telah melarang hal ini. Kisah 'Umar dan 'Abd al-Rahman bin 'Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa 'Umar RA telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah 'Umar dan berkata: Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. 'Umar bertanya: Apa dia? Dia berkata: Allah Ta'ala telah berfirman (maksudnya): Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain. Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya. Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya): Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka 'Umar pun meninggalkannya... Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut." (Al-Ghazali, Ihya 'Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).
Ingatan
Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup untuk terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu.
Mereka ini ada dalam Umno, PKR dan PAS. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya):
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Surah al-Hujurat: 12).
Bangkit generasi baru
Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini.
Kita tentang semua pelakon politik yang suka mengelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan 'penonton bodoh' yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan.
Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!
Tulisan Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti kerajaan Perlis.
Pandangan Penulis:
Kalaulah kita perhatikan kronologi kejadian  salah laku moral yang berulang-ulang kali terjadi ini, bolehlah dikatakan kesemuanya adalah disebabkan oleh perkhabaran dan pembongkaran berani  daripada bekas pekerja atau sahabat kepada si pelaku. Si kena tuduh mempunyai penyakit moral yang amat pelik yang perlu diubati bukan dengan cara rawatan biasa kerana beliau kerap berbohong tentang keaiban yang beliau lakukan berulang-ulang kali. Tambahan pula beliau mempunyai jawatan utama bertaraf pemimpin dikalangan rakyat.
Apa yang sedihnya, tidak seperti sesetengah isteri yang sayangkan suaminya, si isteri kepada si pelaku yang mempunyai penyakit tadi sepatutnya berusaha mengubati atau sekurang-kurangnya bertindak sebagai penghalang kepada berulangnya perbuatan terkutuk itu, sebaliknya beliau tidak mahu bekerjasama untuk memulihkan penyakit moral suaminya malah, dalam banyak keadaan  telah menyokong dan mengangkat martabat suaminya sebagai anugerah Tuhan pula.  Orang ramai termasuk pengikutnya tertipu dan inilah punca utama kepada bencana di atas berulang lagi.
Walaubagaimana baik seseorang itu, semua orang termasuk penulis tidak dapat lari daripada melakukan sebarang kesalahan. Bagi diri kita yang normal, bila kita melakukan kesalahan yang pertama, kita akan cepat-cepat memperbaiki diri serta menginsafi kesalahan lampau yang telah kita lakukan dan berazam untuk tidak melakukan perbuatan yang sama  buat kali kedua dan begitulah yang seterusnya.
Tetapi, ianyalah tidak kepada si pelaku dalam kes video seks  dan kes liwat yang hangat diperkatakan sekarang. Oleh kerana masyarakat menganggap ianya hanya masalah peribadi dan tidak perlu dihebahkan maka, tidak hairanlah kenapa berita kesalahan moral seperti ini akan terus berlaku dan si pelaku tadi akan terus bersantai melakukan perbuatan terkutok dengan pelbagai gaya tanpa rasa takut dan malu kepada masyarakat.
Perbuatan terkutok yang menyalahi moral dan agama ini perlu dihentikan dengan segera tambahan pula yang melakukan itu adalah seorang pemimpin Islam yang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Hanya orang yang hilang ingatan atau gila sahaja tidak akan  sedar tentang kesalahannya. Ini adalah penyakit merbahaya yang perlu diubati atau diambil tindakan segera oleh keluarga atau masyarakat di sekelilingnya.
Kalau tidak, Negara kita akan berterusan dalam keadaan bahaya kerana mempunyai pemimpin yang mempunyai penyakit moral yang luar biasa.
Walaubagaimana bagus pandangan kita akan tetapi, jika ianya tidak ke arah kepada penyelesaian masalah, ianya tidak akan memberikan apa-apa makna. Larangan Allah supaya kita menutup keaiban seseorang sebenarnya mempunyai maksud yang tertentu dan bertempat. Maknanya, Allah  tidak sesekali menyuruh kita menutup keaiban seseorang jika si pelaku itu mempunyai penyakit moral memberbahaya yang boleh menjahanamkan institusi keluarga, tamadun insan serta menjadi ikutan pengikut-pengikutnya. Sebab itulah Allah, memberi pengajaran dan peringatan dengan menghapuskan kaum Nabi Lut pada zamannya. Itu masa dahulu,  akan tetapi atas dasar menjaga keaiban seperti pandangan Ustaz Asri di atas, mahukah kita menerima nasib yang sama seperti nasib kaum Nabi Lut jika ada pemimpin yang mengamalkan salah laku seks dan liwat?

                            

6 comments:

Anonymous said...

Dalam Islam boleh didedahkan keaiban seseorang kepada hakim. Dalam demokrasi pula setiap pengundi adalah di anggap sebagai juri (atau hakim) untuk menentukan yang kem mana yang lebih baik.

Anonymous said...

Salam . . .macamana Ustaz Asri sendiri pun tak berapa faham bab mendedah keaiban jenis macamana . . dan bab . ..4 orang saksi ? Jangan turun ilmu sekerat2 ustaz . . .panjang lagi cerita bab syriah untuk mendakwa penzina ni . . .Bukan semata2 bawa 4 orang saksi sebagai syarat pendakwaan. . . Kalau Ustaz sorang2 berjaya buat rakaman video kawan ustaz sedang berzina macamana ?

Salam semua... said...

Salam saudara Anon March 26, 2011 6:51 PM

Betul pendapat anda. Itulah salah satu kelemahan manusia. Maksudnya, dalam menerima pendapat yang baik lagi lengkap mengikut syariat Islam, ternyata pendapat daripada Majlis Fatwa Kebangsaan adalah lebig tepat dan baik untuk diterima pakai berbanding pendapat daripada seorang Alim Ulama, walaupun beliau bertaraf sebagai bekas Mufti.

Anonymous said...

Halusnya bahasa dakwah cara Wahabi nak masuk jarum.....terbaik!!
Hati-hatilah....siapa dibelakangnya..
Lihat apa yang dilakukan di Bahrain..

Anonymous said...

tak paham,

buleh zina selagi tak de 4 org saksi?
bukan ke zina dilarang?

bukan ke zina tu ade penyakit? HIV STD, ...

jo said...

Bukanke rakyat malaysia tu hakim...atau juri.
Bukakkan video tu kami rakyat akan jadi juri.
Lebih dari 4 orang saksi...dah boleh laksana hudud.