Tuesday, March 08, 2011

PRK DUN MERLIMAU DAN KERDAU : TERNYATA RAKYAT MENOLAK APA JUA KAITAN DENGAN PERLAKUAN ‘SONGSANG’…



Salam semua…
Pas kini berada dalam keadaan tertekan selepas parti itu kalah empat kali berturut-turut kepada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti yang lebih besar pada pilihan raya kecil, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Perdana Menteri, tekanan tersebut makin terserlah apabila isu agama yang cuba dipolitikkan Pas tidak lagi diterima rakyat dan buktinya, BN menyapu bersih semua saluran pengundian bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau.
"Saya nampak Pas dalam keadaan tertekan sekarang ini. Pertamanya, apa jua isu agama yang hendak dibangkitkan oleh mereka tidak diterima oleh rakyat.
"Di samping itu, hubungan mereka dengan DAP yang terlalu selesa juga dipandang dengan rasa curiga terutama sekali, oleh orang Melayu," katanya kepada pemberita di Parlimen, di sini hari ini.
Beliau mengulas kemenangan bergaya BN di Merlimau dan Kerdau meskipun, Pas terutama melalui Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, terus memperalatkan isu agama bagi meraih sokongan pengundi Melayu.
Nik Abdul Aziz baru-baru ini menegaskan bahawa, Pas akan terus menggunakan isu agama dalam kempen pilihan raya kerana dakwanya, perbuatan itu sebahagian kerja dakwah seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.
Malah, Mursyidul Am Pas itu berkata, golongan mufti yang tidak bersetuju dengan amalan Pas tidak layak untuk mengeluarkan fatwa di Malaysia sebaliknya, hanya hanya layak mengeluarkan fatwa di negara komunis sahaja.
Ia susulan kepada 'fatwa politiknya' sebelum ini, iaitu semasa kempen Pilihan Raya Kecil DUN Tenang bahawa, pengundi yang tidak menyokong perjuangan Pas merupakan golongan jahiliah.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Pas juga semakin tertekan kerana orang ramai sudah tidak lagi yakin kepada kerjasama rapuh di antara parti pembangkang, ekoran terdapat percanggahan pendirian antara mereka.
"Kerjasama antara parti pembangkang ini hanya bersifat luaran sahaja dan tidak berasaskan kepada pendirian hakiki yang boleh memberi keyakinan kepada pengundi.
"Ini menunjukkan bahawa hubungan dalam pakatan pembangkang bukan merupakan satu bentuk kerjasama yang kukuh tetapi rapuh, kerana wujud percanggahan pendirian parti masing-masing," katanya.
Sementara itu Najib percaya, kekalahan Pas di Merlimau dan Kerdau antara lain disebabkan faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai liabiliti kepada parti tersebut.
Perdana Menteri berkata, ini kerana beliau sendiri mendapat maklumat bahawa jentera pilihan raya Pas memang tidak senang dengan kehadiran ketua pembangkang itu bagi membantu menjayakan kempen di Merlimau dan Kerdau.
Malah, kata beliau lagi, faktor Anwar yang dianggap sebagai liabiliti kepada Pas turut disokong dengan kewujudan mesej daripada pihak-pihak tertentu yang meminta Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu supaya jangan berkempen.
"Saya dengar Pas pun tidak berapa senang hati kalau dia timbul (berkempen) waktu pilihan raya kecil. Malah, ada juga pihak yang menyampaikan mesej supaya dia tidak datang waktu pilihan raya kecil sedang berlangsung.
"Itu nampaknya, sudah timbul rasa tidak yakin antara satu sama lain sesama komponen pembangkang," katanya.
Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan pihak tertentu yang dipercayai ahli Pas menghantar mesej Twitter meminta Anwar supaya jangan berkempen di Kerdau membuktikan Ketua Pembangkang itu liabiliti kepada Pas.- Utusan
P/S – Songsang yang dimaksudkan oleh penulis adalah:
1)    Ajaran Islam yang salah daripada parti PAS.
2)    Hubungan politik yang merugikan orang Islam di antara PAS dan DAP.
3)    Pemimpin yang mengamalkan hubungan seks songsang ditolak oleh rakyat.

No comments: