Monday, March 07, 2011

LAWAK PILIHAN RAYA: SALAH SATU ANALISA KEKALAHAN PAS DI TANGAN BN KATANYA AURA BOB LOKMAN MULA MENURUN BILA BN MEMBARISKAN PENYANYI YANG SEDANG MELETUP ANA RAFFALI YANG MENJADI KEGILAAN ANAK MUDA…


Salam semua…
Bukan semata-mata kegagalan menembusi kawasan Felda, PAS juga patut melihat lebih serius terhadap kemerosotan undi golongan muda ekoran kegagalannya merampas kerusi Kerdau daripada BN semalam.
Berbeza dengan penumpuan awal, keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan bahawa kekuatan PAS hampir tidak berubah – tidak banyak bertambah atau berkurang – di tiga kawasan Felda dan sebuah rancangan Felcra, yang dikatakan kubu BN.
Bagaimanapun, jika berbanding dengan lawannya, pertambahan sokongan BN lebih besar. Persoalannya, dari manakah datangnya sokongan ini? Jawapannya boleh dilihat pada jumlah pertambahan pengundi dan peratusan yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka semalam.
Calon PAS Hassanuddin Salim tumpas di tangan Syed Ibrahim Syed Ahmad dengan majoriti 2,724 undi. Hassanuddin mendapat 2,336 undi manakala Syed Ibrahim mendapat 5,060 undi.
Dalam pilihan raya kecil kali ini, seramai 8,999 pemilih layak mengundi – pertambahan 542 orang daripada 8,451 pada tahun 2008. Manakala peratusan keluar mengundi pula meningkat kira-kira 3 peratus - daripada 80.33 kepada 83.2 peratus.
Ini menunjukkan bahawa orang muda dan pengundi baru lebih banyak terlibat dalam pesta demokrasi di kawasan seluas 273km persegi yang 65 peratus penduduknya bergantung hidup kepada aktiviti pertanian.
Undi muda merosot 6 peratus
PAS juga mengakui kedua-dua fenomena itu – pertambahan jumlah dan peratusan pengundi – menyumbang kepada kekalahannya kali ini.
Bagaimanapun, analisis segera pengarah pilihan rayanya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Ahad malam tidak menyebut tentang trend pengundi muda yang kini kembali kepada BN.
Berdasarkan keputusan di saluran ketiga di Jengka 22, Jengka 23 dan Desa Murni, berbanding 43 peratus (atau 307 pengundi muda) sokongan dalam pilihan raya umum, sokongan kepada PAS merosot 6 peratus kepada 37.44 peratus sahaja.
Parti Islam itu mendapat 423 undi di ketiga-tiga kawasan itu berbanding BN sebanyak 707 undi. Jika ditanya apakah persamaan antara ketiga-tiga kawasan tersebut dibandingkan dengan tempat lain, mungkin satu jawapannya – mereka mendapat gelanggang futsal baru.
Di tempat-tempat lain, BN dilihat cuba memancing undi dengan mengumumkan pelbagai projek kebajikan seperti projek sambungan air bersih dan pembinaan masjid baru berharga RM500,000.
Sokongan itu selari dengan kenyataan timbalan ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim sebelum ini yang berpendapat golongan muda lebih mahu didekati melalui aktiviti berasaskan riadah dan sukan.
Malah, timbalan menteri belia dan sukan itu sebelum ini tampil turut serta bermain futsal di Desa Murni bersama pengundi muda di Desa Murni.
Bob Lokman lawan Ana Raffali
Satu lagi projek yang dilihatkan memberikan kesan kepada undi muda adalah projek perkampungan Wi-Fi di Kerdau yang diumumkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim sebelum ini.
Populariti PAS di mata orang muda meningkat ekoran kedatangan pelawak dan penulis lirik terkenal Bob Lokman, menjadi luntur apabila BN membariskan penyanyi yang sedang meletup Ana Raffali yang menjadi kegilaan anak muda selepas menang dalam Anugerah Juara Lagu.
Mungkin tindakan PAS menagih sokongan pengundi Felda menyebabkan mereka lupa kepada 38.53 peratus pengundi muda - umpama pepatah "yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran'.
Jika diteliti undi di kawasan 3+1, PAS hanya mendapat 1,276 undi berbanding BN sebanyak 2,131. Bagaimanapun, tidak harus menafikan, mereka mendapat tambahan 476 undi di kawasan itu.
Berdasarkan fakta ini, bermakna, PAS tidak pernah kehilangan sokongan di kawasaan itu sebaliknya mengalami masalah meluaskan pengaruhnya. Soalnya, adakah serangan mereka melalui Persatuan Anak Felda Kebangsaan (ANAK) tidak berkesan?
Jawapannya tidak, ia berkesan. Cuma pemerhati politik berpandangan, kenapa ANAK baru muncul setelah hari kelima berkempen? Dan kenapakah pusingan awal kempen hanya bertumpukan isu “Buku Jingga” yang dilihat tidak difahami dan diambil peduli orang banyak pengundi di bawah?
Jawapannya ada pada PAS sendiri.-Malaysiakini



No comments: