Sunday, March 06, 2011

LAPORAN LANGSUNG PRK DUN KERDAU DARI JAM 8.00AM – 11.30AM


Salam semua…
LAPORAN LANGSUNG PRK DUN KERDAU DARI JAM 8.00AM – 11.30AM
11.30am: Jumlah keluar mengundi hingga jam 11 pagi ialah seramai 4,890 orang – 54.34 peratus.
Sementara itu, suasana lebih meriah dikesan di Felda Jengka 23, di mana penyokong BN dan PAS saling ejek-mengejek di luar pusat pengundian di SK LKTP Felda 23.
Kumpulan penyokong dengan kekuatan masing-masingnya seramai kira-kira 100 orang itu berhimpun di pinggir jalan yang menuju ke pusat pengundian berkenaan.
Penyokong BN itu melaungkan "murah" dan "tak sedap" apabila sebuah kereta tiba dengan membawa muatan air botol untuk penyokong PAS.
Penyokong PAS berkenaan bagaimanapun sekadar mengibarkan bendera mereka apabila diejek begitu.
Keadaan di sini secara umumnya aman dengan dikawal sekumpulan anggota polis yang sebahagiannya dilengkapi pistol dan senapang gas pemedih mata.
11.25am: Sekumpulan lebih 200 sedang berkumpul di jalan masuk ke SK Jengka 25, tetapi para penyokong parti itu hanya bersorak sekali sekala sahaja.
Pada waktu ini juga, seramai kira-kira 30 orang anggota polis bertugas mengawal keadaan. Jumlah ini adalah lebih ramai berbanding pada awal pagi ini.
PAS mematuhi arahan SPR dengan tidak mendirikan 'pondok panas' di kawasan ini, tetapi BN sebaliknya.
10.50am: Naib presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan rakan sejawatannya dari PKR Fuziah Salleh dilihat meninjau kawasan pengundian di Felda Jengka 25.
Menurut Tuan Ibrahim, PAS bergantung pada pengundi muda yang mewakili 38 peratus daripada 8,999 pengundi.
"Jika mereka turun semua, insya-Allah kita ada harapan," katanya kepada Malaysiakini.
10.45am: Keadaan lalu lintas menjadi sesak di Felda Jengka 25 ekoran keadaan jalan yang sempit dan banyak kereta yang berpusu-pusu.
Polis bertindak menukar aliran trafik menjadi sehala.
10.43am: Di SMK Jengka 25, kebanyakan penyokong PAS dan BN merupakan orang luar. Jumlah penduduk yang tidak ramai membolehkan pengundi mengenali antara satu sama lain.
Kelihatan orang tempatan bertanya kepada perayu undi: "Dari mana ya? Tak pernah nampak."
10.30am: Timbalan pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah keluar mengundi dipercayai telah melebihi 40 peratus.
Sekiranya jumlah keluar mengundi dapat mencecah lebih 50 peratus menjelang tengahari, beliau yakin ia akan melebihi jangkaan jumlah keluar mengundi sebanyak 80 peratus.
Proses pengundian berjalan baik dan lancar, katanya kepada media ketika mengunjungi pusat pengundian SMK Kerdau.
10.20am: Seorang anggota trafik PDRM yang ditugaskan di Felda Jengka 25 berkata, keadaan trafik agak kelam kabut pada awal pagi ini.
Ramai "orang luar" yang datang untuk meninjau kawasan pilihan raya ini, katanya.
Tambahnya, beliau tidak menjangkakan keadaan trafik akan menjadi terlalu sesak walaupun polis bertindak menukar aliran trafik di situ menjadi sehala.
Anggota itu juga berkata, pegawai atasannya mahu mereka menguatkuasakan undang-undang dengan tegas di dalam kawasan rancangan Felda itu.
Katanya, pegawai berkenaan memberitahu mereka supaya menyaman penunggang sesiapa saja yang didapati tidak memakai topi keledar atau membawa bendera parti.
Tambahnya beliau hanya berada di situ untuk memastikan keadaan terkawal.
10am: Peratus keluar mengundi setakat ini adalah sebanyak 36.25 peratus atau seramai 3,262 orang.
Jurucakap SPR berkata suruhanjaya itu menyasarkan lebih 80 peratus akan keluar mengundi hari ini.
"Sasaran dibuat berdasarkan peratus keluar mengundi pada pilihan raya umum 2008 iaitu 80.3 peratus," katanya, lapor Bernama.
Sementara itu, kira-kira 100 penyokong PAS dan BN kini berkumpul dan bercampur satu sama lain dalam satu kumpulan di SMK Felda Jengka 25.
Bagaimanapun, mereka dilihat matang dan tidak mengejek sama lain.
Penyokong PAS, terutama wanita rancak berselawat dan penyokong BN cuma bersorak kepada pengundi.
Pemandu kereta juga dilihat mematuhi arahan SPR dengan tidak menggunakan logo parti, sebaliknya menggunakan kertas warna biru dan hijau pada kenderaan mereka.
9.47am: Calon PAS Hassanuddin Salim berkunjung ke pusat mengundi di Desa Murni dan turut menyapa seorang pengundi yang sedang memeriksa maklumat di kaunter SPR.
Sementara itu, seramai kira-kira 200 orang penyokong PAS dan 100 orang penyokong BN berkumpul di tepi jalan sambil melaungkan slogan dan ejekan.
Kumpulan PAS melaungkan "Hidup Islam" dan "Hancur rasuah" manakala kumpulan BN yang berada di seberang jalan menyambut dengan laungan "Bohong" dan "Hidup BN."
Hassanuddin yang menyapa penyokong daripada kedua-dua kem berkenaan berkata, beliau melihat sambutan yang baik daripada para pengundi.
Tidak sampai lima minit kemudian, beliau meneruskan perjalanan ke pusat pengundian seterusnya.
Kawasan Desa Murni mempunyai seramai 1,343 pengundi – daerah mengundi paling besar dalam kawasan DUN Kerdau.
Dalam pilihan raya umum lalu, BN memenangi kawasan ini dengan majoriti tipis sebanyak 96 undi.
8.45am: Di SK Tekal, jentera PAS dan BN menggunakan taktik memimpin warga emas ke pusat pembuangan undi.
Petugas BN memakai baju berwarna merah dengan tulisan 'Gelombang merah' manakala PAS pula banyak dibantu unit amalnya yang berpakaian seragam berwarna merah tua.
Tiada pondok panas didirikan di sekitar kawasan ini, seperti ditetapkan SPR.
8.30am: Di SK Tekal, suasana tenang dan senyap tidak seperti selalu. SPR menguatkuasakan had sempadan sejauh 50 meter di antara kumpulan penyokong.
Garisan polis juga dipasang di sepanjang jalan menyebabkan tiada kereta diletak di tepi jalan dan tiada orang ramai berkumpul.
Didapati ada gadis berbaju merah jambu, dipercayai anggota Puteri Umno, dilarang dari mengiringi calon warga emas ke peti undi.
8.15am: Calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad membuang undi di Sekolah Kebangsaan Teluk Sentang.
Walau hanya dapat melelapkan mata selama empat jam pada malam tadi, beliau kelihatan cergas dan bersedia untuk mengunjungi pusat-pusat pengundian dalam kawasan itu, seperti amalan biasa bagi calon-calon pilihan raya.
Katanya, beliau berharap pengundi akan keluar beramai-ramai bagi menunaikan tanggungjawab mereka.
8.00am: Pusat pengundian dibuka secara rasmi. Cuaca baik walaupun dijangka mendung pada petang.
Lewat malam tadi hujan telah turun. Keadaan trafik juga baik memandangkan masih belum ramai pengguna jalan raya yang keluar pada waktu ini.-Ihsan daripada Malaysiakini.
Berita-berita lanjut mengenai kedua-dua PRK DUN akan  menyusul lagi selepas ini.

No comments: