Friday, December 31, 2010

Selamat Tahun Baru 2011


Salam semua...

Penulis ingin melabuhkan entri untuk tahun 2010 ini dengan membuat ucapan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2011 kepada semua pembaca serta rakan-rakan bloggers yang lain.

Moga-moga tahun 2011 akan memberikan sinar baru dalam membina suasana politik semasa yang lebih matang dan realistik ke arah membangunkan negara serta rakyat yang cemerlang. Sebaliknya menolak politik bersifat populis yang bersandarkan isu remeh-temeh lagi tidak produktif.

Sekian.

Teo Nie Ching - Tahukah Kamu Bahawa Kebaikan Kamu Sebenarnya Tidak Bertempat



Salam semua…

Penulis tertarik untuk memberi sedikit komen dalam isu kontroversi terbaru berhubung isu pemakaian dan aktiviti yang kurang sesuai di perkarangan sebuah masjid di Cheras yang melibatkan  anggota parlimen Serdang, Teo Nie Ching.

Dalam entri penulis yang lepas, penulis ada menyeru kepada pemimpin-pemimpin pembangkang supaya mereka belajar untuk  memahami dan menghormati  perbezaan  pendapat  di kalangan rakyat yang terdiri dari berbilang kaum.  Mungkin secara tidak sengaja mereka mempunyai fahaman politik yang berbeza. Tidak semestinya mereka mesti bermusuhan sepanjang masa. Sebaliknya mereka mungkin boleh menjadi rakan kerja dan jiran yang baik di antara satu sama lain.

Dari satu sudut yang positif, semangat 1 Malaysia yang cuba ditunjukkan oleh YB Teo Nie Ching ini amatlah membanggakan dan perlu dicontohi oleh pemimpin-pemimpin lain terutamanya daripada kalangan pemimpin bukan Melayu. Penulis berkata demikian kerana amat jarang kita tengok keterlibatan pemimpin-pemimpin bukan Melayu menganjurkan apa-apa aktiviti sosial setempat yang melibatkan penyertaan orang-orang Melayu secara santai disamping memupuk perasaan kasih sayang di antara kaum berbilang bangsa.

Ciri-ciri merendah diri di kalangan pemimpin-pemimpin seperti yang ditunjukkan oleh YB Teo Nie Ching ini yang sanggup turun padang berdampingan dengan masyarakat Melayu amat mengharukan perasaan penulis pada mulanya. Ianya juga menepati ciri-ciri RENDAH HATI dan PENERIMAAN  yang merupakan  di antara nilai-nilai terpenting dalam gagasan 1 Malaysia yang dianjurkan sendiri oleh kerajaan seperti berikut:

1. RENDAH HATI

• Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan
sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri. Sifat berhemah dan berbudi bahasa amat perlu menjadi amalan hidup kita.

• Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain.

• Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.

• Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahannya dan hendaklah memperbaikinya secara positif.

• Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya.
  
• Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan.

• Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

• Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.

• Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.

• Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan
dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.


PENERIMAAN

• Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang
ikhlas tanpa ada unsur paksaan. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.

• Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.

• Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

Sebaliknya dari sudut negatif pula, penulis berpendapat YB Teo Nie Ching mungkin mendapat nasihat yang salah daripada sahabat-sahabat Melayu beliau di dalam pakatan PR  kerana telah bersetuju menganjurkan aktiviti senaman berkenaan di perkarangan Masjid di samping percampuran di antara peserta lelaki dan perempuan. Inilah punca kepada salah faham yang berlaku dan akhirnya menimbulkan  kontroversi yang sepatutnya tidak berlaku jika beliau mendapat nasihat yang betul daripada orang-orang yang arif dalam hal-hal ini.

Kontroversi tentang isu di atas juga mungkin tidak akan berlaku jika tidak ada percampuran di antara peserta lelaki dan wanita dan dilakukan pula di lapangan yang sesuai serta jauh dari perkarangan Masjid.

Keadaan menjadi bertambah parah dan bercelaru bilamana YB Teo Nie Ching pula cuba mensensasikan selain mempolitikkan isu ini bilamana keluar komen beliau di dalam Malaysiakini bertarikh 30/12/2010. Sila baca petikan di bawah;

Baju Ketat: Keluarkan senarai ‘OK tak OK, kata Teo:

Anggota parlimen Serdang Teo Nie Ching yang dihurung kontroversi terbaru berhubung isu pakaiannya di perkarangan sebuah masjid di Cheras, hari ini meminta satu senarai pantang larang disediakan berhubung perkara itu.

Wakil rakyat DAP itu berkata, ini kerana, hampir 30 tahun tinggal di Malaysia, berdasarkan pelbagai persoalan sekitar umat Islam dan bukan Islam, beliau menjadi semakin keliru.

"Sama ada orang bukan Muslim boleh masuk surau? Sama ada orang bukan Muslim boleh masuk perkarangan masjid? Sama ada orang bukan Muslim boleh baca Quran? Sama ada orang bukan Muslim boleh guna Kalimah Allah?" soalnya bertalu-talu.

"Sekiranya Datuk Seri Najib (Razak) dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain cannot be bothered untuk menjawab soalan-soalan saya, mungkin pemimpin-pemimpin MCA, GERAKAN ataupun MIC boleh mengeluarkan satu senarai 'OK Tak OK' untuk semua warga bukan Muslim negara ini?" tegasnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, selepas kontroversi memasuki surau di Kajang Ramadan lalu, Teo didakwa masuk ke perkarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong dengan memakai baju ketat dan melakukan senamrobik bersama-sama jemaah masjid.

Memetik sebuah blog, harian berbahasa Melayu itu dilapor mempersoal sama ada Islam yang diperjuangkan PAS di Selangor berbeza dengan negeri-negeri lain, seperti Kelantan yang mengasingkan kaunter bayaran berlainan jantina.

Blog tersebut, Ruang Bicara Faisal juga dilaporkan menyindir sama ada tahun depan mungkin masjid itu boleh menganjurkan pesta tari-menari dalam kawasannya sebagai sebahagian acara sambutan Maal Hijrah.

Teo: Utusan tak layak beri ajaran agama

Menulis di laman Facebook beliau hari ini, Teo berkata, walaupun Najib memberikan pelbagai saranan kepada media dalam sebuah konvensyen akhbar Cina pada 20 Disember, dalam masa yang sama, Utusan "memainkan isu agama dan kaum yang sempit dan bahaya."

"Adalah jelas sekali bahawa Utusan Malaysia bukanlah penggalak kesederhanaan tetapi penggalak ekstremisme, tetapi adakah perdana menteri ataupun menteri dalam negeri akan mengambil sebarang tindakan terhadap Utusan Malaysia?" katanya.

Mempertahankan tindakannya, Teo yang juga pembantu setiausaha publisiti DAP menjelaskan, tindakannya menyertai program masjid itu bertujuan merapatkan hubungan antara komuniti.

"Sudah banyak kali saya lihat orang bukan Islam menghadiri majlis hari raya Aidilfitri di perkarangan masjid. Jadi, apa kesalahan saya untuk menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan di perkarangan surau ataupun masjid apabila dijemput?"
"Adakah saya salah kerana saya memang telah melanggar ajaran Islam? Ataupun sebab saya seorang ahli politik DAP?" soalnya.

Mengambil peluang itu, beliau mengkritik Utusan yang didakwanya hanya tahu benci-membenci dengan menggunakan fahaman ekstremis baik aspek kaum, jantina mahupun agama.

"Saya tidak akan ikut adat yang ditetapkan oleh Utusan Malaysia ataupun Umno kerana saya percaya Utusan Malaysia tidak layak untuk memberi ajaran agama Islam," kata anggota parlimen muda itu.

Kesimpulan penulis:

Kita lihat perkara yang sebenarnya baik kerana ada ciri-ciri 1 Malaysia di dalamnya dengan tiba-tiba telah bertukar menjadi isu politik. Kerana apa? Semuanya kerana sikap pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang suka menangguk di air yang keroh.

Sebagai pemimpin PR, belajarlah memahami ini semua. Janganlah asyik menyusahkan rakyat dengan tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum.

Anggaplah semua itu sebagai cabaran untuk pemimpin PR  mencari dasar yang lebih baik daripada  parti pemerintah bagi menyatu-padukan kaum-kaum di Malaysia.

AKHIRNYA KARPAL SINGH MENGAKU JUGA….


Salam semua…

Penulis amat kecewa kerana ada sebahagian kecil rakyat Malaysia yang masih lagi mahu menerima pemimpin yang pernah berbohong dan bersikap tidak jujur kepada sistem perundangan Malaysia. Keluhuran Perlembagaan bagi mereka tidak membawa apa-apa erti. Sebaliknya mereka ini  tanpa segan-silu mempermainkan pentas Mahkamah yang mulia dengan pelbagai gaya dan lakonan bersahaja mereka.

Dengan akuan bukti yang mereka ada, hari ini mereka berkeras dan bermati-matian mendesak supaya kerajaan menyiasat seseorang kerana didakwa oleh beberapa pihak terlibat dengan perbuatan liwat. Besoknya pula, atas faktor kesamaan aliran parti, mereka sanggup mencemar maruah mereka  dengan bersekongkol dan membela pula orang yang  mereka tuduh tadi.

Kerana kerakusan kuasa politik, bukti yang dahulunya mereka kata ada, dengan  sengaja dan sekelip mata telah dibakul sampahkan selain  mencari alasan baru bagi menangkis bukti pertuduhan ke atas seseorang yang ada kepentingan politik bagi memudahkan kerja-kerja politik mereka.

Dengan kuasa Allah, bukti pembohongan terancang mereka akhirnya terungkai juga bilamana dengan tidak semena-mena terkeluar  kata-kata keramat daripada Karpal seperti berikut:

 “ Pakatan Rakyat tidak harus membentuk kerajaan pusat jika memenangi pilihan raya umum ke-13 tanpa Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini merupakan Ketua Pembangkang dan ketua umumnya.”

“Kita tidak boleh pergi ke Putrajaya (membentuk kerajaan persekutuan) tanpa Anwar,” kata Karpal sambil menambah beliau akan menggunakan segala keupayaan yang ada untuk membebaskan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu”.

Dalam hal ini penulis secara jujur hendak bertanya kepada mereka, di manakah letaknya  keadilan hakiki pada kaca mata mereka? Adakah ini pakatan orang-orang yang tidak ada maruah diri serta  ingin berterusan menipu semua orang ? Malah makna Pakatan Rakyat itu sendiri telah disalahgunakan oleh mereka semata-mata untuk meraih sokongan undi rakyat. Ini sebenarnya adalah pakatan kerja politik kotor sebahagian pemimpin-pemimpin yang berterusan menipu rakyat dan bukanlah kerja-kerja Pakatan Rakyat dalam erti kata yang sebenarnya.

Rakyat Malaysia harus sedar tentang niat buruk mereka yang  ingin menghancurkan keharmonian dan kesejahteraan negara. Orang ramai perlu cepat sedar dan menolak mereka yang nyata tidak ada integriti.

Sebagai bukti selanjutnya, penulis siarkan artikel yang penulis ambil dari malaysia-instinct.com bertarikh 29/12/2010 seperti di bawah atau klik  di sini.

“Selepas sekian lama berdiam diri, Pengerusi DAP, Karpal Singh akhirnya mengaku pernah mendesak supaya bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disiasat kerana didakwa oleh beberapa pihak terlibat dengan perbuatan liwat.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, Karpal dalam pengakuan yang disiarkan menerusi laman web www.malaysia-instinct.com pada Selasa lalu menjelaskan, desakan yang dibuatnya pada 1997 adalah atas kedudukannya sebagai wakil rakyat pembangkang di Dewan Rakyat.

"Saya sendiri telah mendedahkan di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa dalam satu ceramah DAP di Hotel Federal di Kuala Lumpur pada 1997, Karpal telah menyatakan bahawa beliau mempunyai bukti Anwar terlibat dalam kegiatan liwat.

"Akhirnya pendedahan saya disahkan sendiri oleh Karpal, jika tidak sudah pasti satu lagi saman fitnah akan difailkan beliau terhadap saya. Surat saman terbang di merata tempat. Ini adalah menakutkan," katanya dalam blog http://weechookeong. wordpress.com.

Dalam perkembangan lain Choo Keong berkata, beliau masih menunggu penjelasan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berhubung tindakannya mengubah pendirian untuk terus menyokong Anwar sebagai Ketua Pembangkang.

"Pada 8 Februari 2009, Karpal telah membuat desakan supaya Anwar meletakkan jawatan sebagai ketua pakatan pembangkang.

"Sebulan selepas itu iaitu pada 8 Mac (2009), beliau telah berpusing dengan menyatakan Ahli Parlimen Permatang Pauh boleh kekal sebagai ketua pembangkang kerana mendapat sokongan semua Ahli Parlimen pembangkang," ujarnya.

Thursday, December 30, 2010

NIK AZIZ MAKIN LAMA MAKIN MENGARUT?






Salam semua…

Penulis terpanggil untuk mengulas tentang isu ungkapan aneh daripada Nik Aziz yang ternyata berlainan benar dengan apa yang kita pelajari dari orang-orang tua kita serta ustaz-ustaz kita  dulu. Walaupun penulis bukanlah tinggi sangat belajar dalam hal-hal agama ini tapi, cara Nik Aziz menzahirkan perasaan marahnya dengan kata-kata di bawah rasanya amat bertentangan dengan apa yang penulis pelajari dan dengar sejak dari kecil dulu.

Kita diajar supaya sentiasa bersikap rendah diri dan  bersedia untuk  memaafkan orang yang melakukan kesalahan kecil kepada kita kerana ianya dituntut dalam islam. Setinggi-tinggi darjat Nabi, beliau bersedia ampunkan umatnya. Semua orang tahu juga bahawa Allah sendiri antara sifatnya adalah maha mengasihani dan maha pengampun.

Oleh itu kenapa Nik Aziz yang dianggap bertaraf Murshidul bersikap bertentangan dengan sikap Nabi Muhammad SAW dan Allah SWT ? Adakah Nik Aziz sengaja mengikut nafsu amarahnya yang didorong oleh bisikan syaitan! Sampai sanggup berkata demikian. Apa yang kita takut, segala tindakan dan perbuatan beliau akan meresap dan menjadi pegangan pengikut-pengikut fanatiknya.

Petikan dari berita Bernama;

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu mereka yang menyebarkan berita memfitnah kononnya beliau meninggal dunia agar memohon maaf dengannya.

"Saya tidak akan ampun dan akan menanggung dosa di akhirat kelak selagi dia tidak minta maaf dengan saya," kata Mursyidul Am PAS itu kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat mengenai bekalan air di kediaman rasminya di JKR 10, di Kota Bharu hari ini.

Sebelum ini, berita mengenai kesihatan Nik Abdul Aziz, 79, heboh diperkatakan malah dikatakan telah meninggal dunia malam tadi.

Menteri besar itu minggu lalu menerima rawatan di Wad Eksekutif Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana sakit pinggang.

Ketika ditanya sama ada beliau masih mampu mentadbir Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata beliau masih mampu berbuat demikian kerana tugas mentadbir negeri bukan dengan tenaga zahir tetapi dengan otak dan mengaku otaknya masih berfungsi dengan baik.

Beliau juga menyifatkan spekulasi mengenai kesihatan seseorang pemimpin terutama pemimpin politik adalah perkara biasa.

- Bernama

Wednesday, December 29, 2010

Garuda Lari Lintang Pukang Dibaham Harimau


Salam semua...

Tahniah kepada pasukan Bolasepak Kebangsaan Malaysia kerana berjaya melintang-pukangkan pasukan Garuda Indonesia dengan kemenangan 4-2 seterusnya menjuarai Kejohanan Piala AFC Suzuki tahun 2010.

Berbekalkan semangat 1 Malaysia di kalangan pemain serta jurulatih, kita akhirnya berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Semangat perpaduan semacam inilah yang kita mahu.

TAHUN 2011 SEBAGAI TAHUN 1 MALAYSIA

Salam semua…

Penulis tertarik dengan cadangan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga selaku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon supaya menjadikan tahun 2011 sebagai tahun 1 Malaysia di peringkat negeri dan juga di peringkat kebangsaan.

Penulis nampak gagasan 1 Malaysia perlu disuburkan dengan lebih agresif lagi oleh pihak kerajaan supaya semua rakyat berbilang kaum di Malaysia terutamanya di kalangan generasi muda lebih menjiwai maksud 1 Malaysia dalam erti kata yang sebenarnya.

Lapuran sepenuhnya penulis ambil dari Berita Harian Online bertarikh 28/12/2010;

KUALA LUMPUR: Tahun 2011 hendaklah dilihat semua rakyat Malaysia untuk mereka memastikan falsafah konsep 1Malaysia dalam pembinaan sebuah negara dipromosikan dengan baik berdasarkan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata, adalah penting untuk melihat semangat dan isi kandungan sebenar konsep 1Malaysia dalam mengekalkan keharmonian, perayaan kepelbagaian dan menjalin perpaduan berdasarkan saling menghormati, keterangkuman dan kesederhanaan.

"Selepas pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) pada 2010, 2011 akan dilihat penerusan pelaksanaan semua inisiatif ini," katanya dalam perutusan tahun baru di sini, hari ini. 

Koh yang juga Presiden GERAKAN menekankan bahawa pemimpin dan pegawai kerajaan mestilah terus menunaikan apa yang dijanjikan dengan bersungguh-sungguh dan tekad dalam penyampaian dan bukan hanya sebagai perbincangan.

"Kepentingan bersama adalah untuk menekankan mengenai ‘Pencapaian Kini’ oleh perkhidmatan awam untuk memberikan khidmat dengan berkesan kepada rakyat selaras dengan komitmen kerajaan yang sentiasa menekankan ‘Rakyat Didahulukan’,” katanya.

Katanya, semua inisiatif dan komitmen ini hendaklah diberikan penekanan pada sepanjang 2011 sebagai Tahun 1Malaysia. – BERNAMA

Penulis juga mencadangkan agar kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri tanpa memikirkan soal fahaman politik mereka memberi lebih perhatian dalam  menerapkan semangat konsep 1 Malaysia ini di dalam kalendar pada tiap-tiap sambutan hari-hari tertentu misalnya pada sambutan hari Wilayah Persekutuan, Hari Buruh, Hari Guru, Hari Ibu, Hari Wanita, Hari Kanak-Kanak, Hari Kebangsaan dan juga pada hari-hari perayaan keagamaan misalnya Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan lain-lain lagi.

Penghayatan gagasan 1 Malaysia ini bukanlah hanya sekadar ungkapan atau tatapan menerusi logo-loganya sahaja malah apa yang lebih penting ianya perlu dihidupkan oleh kerajaan agar semua rakyat berbilang kaum di Malaysia tahu bahawa pemerintah yang baik adalah pemerintah yang mendukung kepada gagasan yang cintakan keharmonian dan kesejahteraan hidup rakyatnya di samping menjadikan bangsa Malaysia sebagai bangsa yang bermaruah serta mampu bersaing bukan setakat di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Penulis juga berpendapat keterlibatan Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kesenian serta Kementerian Pelancungan perlu lebih agresif mengambil bahagian dalam menjayakan gagasan 1 Malaysia ini. Gerak kerja yang lebih proaktif perlu dijalankan secara teratur melalui penglibatan bersesama di antara pihak kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan juga pihak swasta.

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kesenian agensi di bawahnya  misalnya perlu memainkan peranan yang lebih besar dengan menggalakkan pengusaha dan penggiat-penggiat filem, penerbit-penerbit drama tv tempatan serta penggiat-penggiat seni yang lain perlu mengeluarkan lebih banyak filem, penerbitan atau karya-karya menarik yang berunsurkan perpaduan kaum berbilang bangsa di Malaysia. Bagi menjayakan langkah ini, beberapa galakan dalam bentuk peruntukan kewangan yang munasabah perlu diusahakan ke arah ini.  

Kementerian-kementerian lain yang penulis sebutkan di atas tadi perlu mengambil tindakan yang sama dan terserahlah kepada kerajaan serta menteri-menteri yang terlibat memikirkan tentang bagaimanakah cara yang terbaik untuk kerajaan merealisasikan kejayaan gagasan 1 Malaysia ini dalam erti kata yang sebenarnya.

Semoga tahun 2011 yang bakal menjelang tiba akan memberikan sinar baru kepada rakyat Malaysia. Perkongsian hidup yang lebih ceria dalam suasana muhibbah kelas pertama akan menjadikan bangsa Malaysia lebih cemerlang, gemilang dan terbilang di mata dunia.


Tuesday, December 28, 2010

Pemain Bolasepak Vs Orang Politik : Siapa Lebih Bijak Kawal Emosi?



Salam semua…

Penulis ingin berkongsi berita tentang sahabat-sahabat kita dari tanah seberang sepertimana yang telah dilapurkan oleh Media mereka sendiri, The Jakarta Post mengenai dua komen yang berbeza tentang kekalahan pasukan bolasepak kebangsaan Indonesia kepada pasukan kebangsaan Malaysia daripada dua individu terkenal mereka iaitulah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan penyerang handalan Indonesia, Irfan Bachdim. Berikutnya sila baca di bawah;

The Jakarta Post | Sun, 12/26/2010 10:26 PM|Sports . klik sini.

President Susilo Bambang Yudhoyono has instructed Youth and Sports Affairs Minister Andi Mallarangeng to file a protest to the Asean Football Federation (AFF) following the use of laser beams by Malaysian supporters to distract the visibility of Indonesian players in the AFF Cup finals first leg.  

However, the President called on Indonesian supporters not to use laser beam when Indonesia becomes the host of the second leg on Wednesday.
"Let's be a country that upholds a fair play," he said.
 
Penulis berasa amat hairan kenapa Bapak Presiden terlalu emosional sehingga sanggup mengarahkan ‘Youth and Sports Affairs Minister Andi Mallarangeng’ membuat bantahan resmi kepada Asean Football Federation (AFF). Pada pendapat penulis, sebaiknya beliau perlu berbincang terlebih dahulu dengan pengurus pasukan, jurulatih ataupun setidak-tidaknya dengan pemain-pemain mereka sendiri dan tidak perlu terburu-buru untuk bertindak sedemikian rupa.

Sila lihat pula komen salah seorang pemain dan penyerang handalan pasukan kebangsaan Indonesia, Irfan Bachdim seperti yang dilapurkan oleh The Jakarta Post; Klik sini.

Striker Irfan Bachdim believes that Indonesia will be able to overturn a 3-0 defeat to Malaysia when both teams meet in the Asean Football Federation (AFF) Cup finals second leg in Jakarta on Wednesday. 

“I can’t sleep after the loss,” Irfan tweeted. “We believe we can do it in Jakarta.”
He also said laser beams could not be blamed for the defeat.

“We must do it better than last night,” he said. “A winner will never give up.”  

Penulis tersenyum bila baca komen Irfan Bachdim yang bagi penulis lebih rasional,  bijak serta tidak cepat berputus asa. Penulis sanjung tinggi sikap positif dan professional beliau dalam memberi komen kepada media. Sikap ‘sporting spirit’ yang tinggi sebeginilah perlu ada pada ahli–ahli sukan bertaraf antara bangsa. Apa yang nyata mereka tidak cepat melatah dan bijak mengawal emosi selain bersedia untuk memajukan diri bagi menghadapi perlawanan-perlawanan penting akan datang.

P/S- Agaknya mungkin itulah mesej yang hendak disampaikan oleh The Jakarta Post? Kenapa  media mereka tidak berani berterus terang seperti media kita di Malaysia?

Monday, December 27, 2010

USTAZ IDRIS AHMAD - DI MANA KEIKHLASANMU?



Salam semua…

Penulis geramlah dengan perangai pemimpin PAS yang seorang ni, Ketua Penerangan PAS, Pusat, Idris Ahmad yang tidak habis-habis lagi kokokannya. Belum selesai lagikah isu cadangan Pakatan Rakyat cuba merasuah guru dengan janji menaikkan imbuhan tetap sebanyak RM500 sebulan kepada guru jika Pakatan Rakyat memerintah negara seperti diumum oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Memang tidak produktif betullah juak-juak PAS ini sampai sanggup bertegang-leher sehingga menampakkan urat-urat biru mereka.

Penulis amat hairan, sebab apalah mereka bermati-matian dan bersungguh-sungguh untuk berdebat tentang isu ini.  Walhal apa yang penulis faham sebagai Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin  mestilah bertanggung-jawab terhadap kementerian di bawah jagaannya.  Baca di sini.

Jadi soal  pandangan  beliau tentang tawaran Pakatan Rakyat untuk para-para guru sebagai janji politik dan sukar dilaksana untuk guru sahaja dan memberi alasan dengan mempersoal imbuhan kepada kakitangan awam lain pada pandangan penulis  adalah perkara biasa. Apa yang peliknya?

Sebagai seorang yang bertaraf Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, tentunya beliau lebih mengetahui samada dasar itu baik atau tidak untuk dilaksanakan di peringkat nasional. Lainlah kalau Menteri yang memberi komen itu adalah Menteri Belia dan Sukan ataupun Menteri Pengangkutan! Maka, akan lainlah bunyinya.

Yang peliknya, kenapa Ustaz Idris yang kita tahu memegang jawatan Ketua Penerangan PAS Pusat pula yang sibuk-sibuk dalam hal ini? Padahal Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiripun tidak memberi apa-apa komen mengenai isu ini.

Nampak sangat Ustaz Idris sekarang ini tidak ada kerja lain yang hendak dibuat. Ataupun sememangnya ada udang disebalik batu?  Pada pandangan penulis  mungkin beliau teringin kot hendak jadi Menteri Pendidikan di dalam Kabinet PR. Mungkin juga itu isyarat tersembunyi beliau kepada Datuk Seri Anuar Ibrahim? Siapa tahu?

Oh !  lagu tu ka, fahamlah saya….hebat juga Ustaz Idris dalam politik nih. 

Patutlah dia secara tiba-tiba nak bodek guru-guru dengan kata-kata sebegini ;

"PAS menasihatkan Tan Sri Muhyiddin dapat turun ke bawah, memerhatikan bagaimana beban guru-guru yang berat, jangan hanya mendesak guru-guru melakukan macam-macam tugas,"

Penulis tidak mahu komen apa-apa lagi pasal perkara ini, yang penting teguran yang kita buat mestilah dari nawaitu yang ikhlas dan bukannya semata-mata untuk menyakiti hati orang lain atau  kerana untuk menagih sokongan undi semata-mata.

Allah amat mengetahui tentang apa yang ada di dalam hati kita samada kita benar-benar ikhlas atau sebaliknya. Malah kita tidak akan dapat lari tentang apa yang telah kita perkatakan, kerana semuanya itu akan dipersoalkan balik di akhirat kelak.

Jawablah anta nanti….

Sunday, December 26, 2010

RONNIE LIU BUAT U-TURN UNTUK PR?



Salam semua…

Penulis nak tergelak bila baca artikel terbaru dari laman blog ohpolitik.blogspot.com mengenai tindakan Kerajaan Selangor menangguhkan pelaksanaan melarang kesemua majlis-majlis tempatan meletakkan logo 1 Malaysia sebagai bahan iklan dipremis perniagaan sehingga notis selanjutnya. Klik sini.

Exco Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri Selangor Ronnie Liu dipetik berkata, penanggguhan ini dibuat berikutan kekeliruan mengenai takrif logo 1 Malaysia yang disifatkan sebagai propaganda Barisan Nasional pada bahan iklan.

"Masih terdapat perkara yang samar-samar tentang apa dianggap sebagai aksi penarik publisiti oleh BN dan apa yang bukan," kata beliau memetik laporan portal Malaysiakini.

Menurut Ronnie, banyak majlis-majlis tempatan masih kurang jelas tentang bentuk pengiklanan yang dilarang.

Beliau menambah, satu kajian semula akan dibuat pada mesyuarat exco negeri Selangor selepas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim kembali dari percutian dijangka pada awal Januari depan.

"Buat masa sekarang saya cadangkan agar semua majlis tempatan menangguhkan dahulu penguatkuasaan menurunkan logo 1 Malaysia," ujar Ronnie yang bagaimanapun melahirkan rasa terkejut apabila diberitahu bahawa Majlis Daerah Sabak Bernam menguatkuasakan larangan itu sejak Jun tahun ini.

Penulis nampak tindakan yang berunsurkan politik daripada PR nampaknya sudah terjerat diri mereka sendiri.

Nasihat penulis pada pemimpin PR, Itu lah lain kali kaji betul-betul sebelum laksana apa-apa dasar. Janganlah kerana politik sempit, kesejahteraan dan keharmonian rakyat berbilang kaum diganggu-gugat.

PR sebagai parti pemerintah di Selangor perlu sensitif  tentang perkara ini. Takkanlah dasar baik dari kerajaan  untuk menyatukan bangsa Malaysia yang berbilang kaum inipun dikatakannya salah.

Nampak sangat mereka ini tidak faham atau sengaja tidak mahu faham apa itu 1 Malaysia. Klik sini.

Nasihat saya pada pemimpin-pemimpin parti PR, bila bercakap tentang apa-apa dasar yang melibatkan perpaduan kaum di Malaysia, janganlah selalu berburuk sangka dan suka mempolitikkan isu tersebut.

Berfikirlah secara matang. Belajarlah memahami dan menghormati  perbezaan  pendapat  di kalangan rakyat yang terdiri dari berbilang kaum.  Mungkin secara tidak sengaja mereka mempunyai fahaman politik yang berbeza. Tidak semestinya mereka mesti bermusuhan sepanjang masa. Sebaliknya mereka mungkin boleh menjadi rakan kerja dan jiran yang baik di antara satu sama lain.

Susah senang semua kaum di Malaysia, biarlah mereka lalui bersama. Ini bukan perkara baru, tetapi sudah 53 tahun berlalu sejak negara kita keluar daripada cengkaman penjajah.

Sebagai pemimpin PR, belajarlah memahami ini semua. Janganlah menyusahkan rakyat dengan dasar-dasar yang boleh merenggangkan keharmonian dan perpaduan kaum.

Anggaplah semua itu sebagai cabaran untuk pemimpin PR  mencari dasar yang lebih baik dari parti pemerintah bagi menyatu-padukan kaum-kaum di Malaysia.

Ini adalah cabaran besar untuk kita semua tidak kiralah dari mana asal –usul kita.

Dan ianya bukanlah  kerana untuk 1 Melayu,  1 China, 1 India dan 1 yang lain, tetapi semestinya untuk kita 1 MALAYSIA…

Saturday, December 25, 2010

TUAN GURU NIK AZIZ PUN NAK KELENTONG JUGA?




Salam semua…

Belumpun habis kelentong Ustaz Idris dengan janji manis 100 harinya. Tup-tup hari ini mengikut lapuran berita dari Bernama  memetik jawapan dari ketua mereka, Tuan Guru Nik Aziz , katanya “ kita akan laksanakan bila pakatan memerintah negara…tunggulah dulu jangan nak jadi gangster…”

Fuhh dahsyat betul  dan memang ‘power’ bunyinya. Siap gertak Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan kata-kata “tunggulah dulu… jangan nak jadi gangster” .
Penulis nak tanya orang-orang PAS, siapa yang gangster sebenarnya. Apakah orang yang setaraf  Menteri Besar  boleh berkata begitu kepada Timbalan Perdana Menteri?

Hebat..hebat betul Nik Aziz ni. Mana perginya tata susila beliau selaku pembesar negeri? Dek kerana gangguan emosi tahap melampau, sanggup beliau menukar protokol pertuturan beliau ke arah pertuturan mat-mat rempit?
Penulis rasa memanglah tidak masuk akal langsung alasan beliau itu. Kita lihat saja negeri-negeri di bawah PR seperti Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang. Adakah logik mereka hendak  tangguhkan dulu perlaksanaan resolusi di negeri-negeri jajahan mereka sehingga pakatan pembangkang menerajui Putrajaya?
Nampak sangat mereka tidak ikhlas untuk membela rakyat yang telah banyak berjasa dan yang telah memberi kepercayaan kepada mereka sehinggalah mereka berjaya menguasai pemerintahan di empat-empat negeri di PRU 12 yang lalu.
Patutlah negeri Kelantan susah dan di antara yang miskin di Malaysia kerana pemimpinnya telah mengambil pendekatan menangguh perlaksanaan pembangunan di negeri mereka. Sebabnya mereka sekarang ini tengah syok bermimpi kalau-kalau dapat takluk Putrajaya. Barulah rakyat Kelantan dan juga negeri-negeri di bawah naungan PR senang.
Tunggu punya tunggu, sedar tak sedar sudah 20 tahun dah kerajaan PAS perintah Kelantan. Nasib rakyat Kelantan sebenarnya macam kata-kata orang Pulau Pinang ‘pi mai pi mai dok tang tu jugak…’

Sikap tamak haloba mereka ini tidak habis di situ, malah apa yang menyedihkan, mereka gagal mengawal emosi dan amarah mereka sehingga sanggup menuduh pihak pemerintah pula sebagai ‘gangster’. Orang yang berkata itu pula bukanlah calang-calang orang, rupanya Mursyidul Am Pas…rosak…rosak.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya….

USTAZ IDRIS - SUDAH-SUDAHLAH TU, JANGAN KELENTONG LAGI !


Salam semua…

Penulis nak termuntah bila terbaca tulisan Ketua Penerangan Pas Pusat, Ustaz Idris Ahmad di dalam blognya yang bertajuk ‘Beri PR Perintah Baru Buat Tuduhan’ bertarikh 23/12/2010. Selanjutnya baca di sini.

Antara  kata-kata menariknya ialah “Pakatan Rakyat belum lagi memerintah negara ini, sedangkan BN sudah 53 tahun memerintah Malaysia. Beri kami perintah dulu, kemudian baru nilai prestasi dan banding dengan pemerintahan BN.”

Wah begitu hebat semangat Ustaz  kita ni. Semenjak beberapa hari kebelakangan ini, tidak adakah jurucakap PR selain Ustaz Idris? Lagaknya macamlah dia tu Presiden PAS ke, Ketua Umum PR ke ataupun Presiden DAP!. Apa-apapun kira-kira dia ni berani jugalah berbanding yang lain. 

Tentang komen sinis Ustaz Idris  yang ditujukan kepada  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas, penulis rasa terpanggil untuk menangkis hujahan beliau melalui cadangan balas penulis seperti di bawah.

Pada pandangan penulis sebelum PR bercadang hendak melaksanakan Program 100 Hari untuk  memerintah Malaysia, penulis cabar Ustaz Idris supaya beliau berani mendesak pimpinan kerajaan negeri-negeri di bawah PR seperti Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor  mulai sekarang perlu menunjukkan kemampuan mereka terlebih dahulu dalam melaksanakan apa yang telah mereka cadangkan kepada orang ramai semasa konvensyen PR ke 2 baru-baru ini.

Tidak payahlah terjah banyak-banyak, penulis cuma mahu 4 perkara dari cadangan mereka sahaja;


1.Cadangan mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

-Tidak perlu hapuskan tol seluruh Malaysia. Penulis cabar kerajaan negeri Pulau Pinang supaya memansuhkan bayaran tol Sungai Nyior sebanyak 50 sen dengan serta-merta.

2.Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan  imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.

-Penulis rasa tidak payahlah pilih guru kerana mereka adalah kakitangan kerajaan persekutuan. Sebaliknya untuk lebih adil, penulis cabar semua kerajaan negeri di bawah PR dengan kadar segera membayar tambahan imbuhan tetap sebanyak RM500 sebulan setiap seorang kepada semua kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri masing-masing. Itupun sudah cukup.

3.Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.

-Penulis cabar semua kerajaan negeri dibawah PR yang telah menaikkan tariff air sebelum ini supaya dengan kadar segera menurunkan semula tarif air mereka.

4.Menyediakan perkhidmatan internet wifi  percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

-Penulis cabar semua kerajaan negeri di bawah PR dengan kadar segera menyediakan perkhidmatan internet wifi  percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

Apa macam Ustaz Idris,  anta boleh cuba ke? Kalau PR boleh buat, barulah anta boleh tunjuk kepala dan berkata ‘Beri PR Perintah Baru Buat Tuduhan’. Sekarang belum sesuai lagi, kenalah buat kerja dulu.

ANDA TIDAK FAHAM MAKNA 1 MALAYSIA? SILA BACA DI SINI...



Salam semua…


Penulis secara peribadinya rasa kecewa kerana masih ada orang yang tidak faham malah mempertikaikan konsep 1 Malaysia yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita, DS Najib.

Kalaulah ramai yang masih tidak tahu apa itu konsep 1 Malaysia, penulis perturunkan di bawah ini maksud sebenar 1 MALAYSIA;

-Sebagai permulaannya kita mesti faham betul-betul yang ini;


BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA
mendukung cita-cita hendak:

Mencapai perpaduan dengan lebih erat dalam
kalangan seluruh masyarakatnya;

Memelihara satu cara hidup demokratik;

Mencipta satu masyarakat yang adil di mana
kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama
secara adil dan saksama;

Menjamin satu cara yang liberal terhadap
tradisi-tradisi kebudayaannya yang
kaya dan berbagai-bagai corak;

Membina satu masyarakat progresif yang akan
menggunakan sains dan teknologi moden;

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan
seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita
tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

Kepercayaan Kepada Tuhan

Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

Keluhuran Perlembagaan

Kedaulatan Undang-undang

Kesopanan dan Kesusilaan

-Seterusnya untuk huraian yang lengkap baca di sini.








Friday, December 24, 2010

Kejamnya Manusia Ini ...



Salam semua...

Penulis ingin memohon kemaafan kalau gambar-gambar yang penulis siarkan di atas dan di bawah ini kurang enak untuk dilihat. Walaubagaimanapun bagi mereka yang cekal hati mungkin berani untuk melihatnya.

Kita lihat betapa kejamnya manusia di akhir zaman ini. Kerana nafsu yang entah apa-apa, mereka sanggup melakukannya.

Tidak hairanlah kenapa sejak akhir-akhir ini banyak sangat bala yang telah diturunkan oleh Allah  sebagai peringatan kepada kita. Akan tetapi manusia masih leka dan lupa.....

Berita selanjutnya mengenai cerita dan gambar-gambar ini bolehlah didapati di sini.





1 MALAYSIA - KENAPA PEMBANGKANG TAKUT?

Salam semua…


Pada pandangan penulis konsep 1 Malaysia yang  diperkenalkan oleh kerajaan telah berjaya dan  diterima dengan tanpa rasa berbelah bagi oleh sebilangan besar rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kesejahteraan negara.

Semuanya adalah kerana sikap kerajaan di bawah pimpinan DS Najib yang bertindak secara ikhlas memberi kepercayaan kepada semua kaum yang ada di Malaysia tentang pentingnya keterlibatan dan peranan mereka bagi menjayakan semua progam sosio-ekonomi yang telah dirancangkan oleh kerajaan.

Apa yang lebih menarik, penulis melihat dalam menjayakan konsep 1 Malaysia di atas kerajaan telah berjaya menjauhi unsur-unsur politik di dalam perlaksanaannya. Kuncinya adalah tidak ada unsur-unsur tekanan dan paksaan oleh kerajaan bagi menjayakan konsep 1 Malaysia ini. Keadaan ini ternyata memberi keselesaan dan penerimaan yang baik terutamanya bagi rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian hidup  berbilang kaum sejak 53 tahun yang lalu.

Sebaliknya penulis melihat pendekatan yang tidak ikhlas dari parti pembangkang  terutamanya bagi mendapat sokongan semua kaum di Malaysia adalah terlalau kasar dan bersikap seolah-olah cara politik adalah penyelesaian kepada segala-galanya. Tindakan berpolitik  mereka yang tidak bermusim ini seolah-olah memberi tekanan mental berterusan kepada rakyat. Apa yang nyata rakyat yang tertipu dengan politik sempit mereka ini akan sentiasa hidup dalam  kegelisahan.  Merekalah punca sebenar kenapa hubungan kehidupan rakyat berbilang kaum di Malaysia ini kembali menjadi tegang.

Jadi tidak hairanlah kenapa sebilangan besar rakyat Malaysia sekarang  memilih untuk menghayati konsep 1 Malaysia yang lebih tenteram ini. Keadaan ini terbukti melalui peningkatan peratusan sokongan rakyat kepada pendekatan berhemah DS Najib melalui tinjauan bebas yang dilakukan baru-baru ini.

Parti pembangkang di bawah pakatan rakyat sedar dalam hal ini.  Maka tidak hairanlah keadaan ini menjadi penyebab kenapa kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menguatkuasakan larangan penggunaan logo 1Malaysia di papan iklan dan kain rentang yang dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Selangor dan dipersetujui pada mesyuarat Exco. 

 
Penulis juga ingin berkongsi pandangan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti yang dilapurkan oleh Utusan Malaysia.

LAWAS 23 Dis. – Sikap Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang mengharamkan penggunaan logo 1Malaysia menunjukkan mereka takut kerana logo tersebut semakin popular dan diterima oleh rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setahu beliau tiada sebab lain Kerajaan PKR Selangor berbuat demikian kecuali mereka takut dengan logo 1Malaysia.

‘‘Rakyat bukan sahaja menerima penggunaan logo 1Malaysia tetapi gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendapat tempat di hati rakyat.

‘‘Logo 1Malaysia telah menjadi ikon negara kerana ia boleh merapatkan perpaduan di kalangan pelbagai kaum,’’ katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena lawatan kerja beliau selama dua hari di Limbang dan Lawas, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Abdul Razak Jaafar, semalam bahawa Kerajaan PKR Selangor telah mengeluarkan arahan yang melarang penggunaan logo 1Malaysia pada kain rentang dan papan iklan di negeri itu.

Menurut Muhyiddin, logo 1Malaysia sebenarnya cukup hebat dan ia semakin popular di hati rakyat.
‘‘Setahu saya tiada sebab lain (kerajaan negeri haramkan). Kerajaan Negeri Selangor penakut,” katanya sinis.
Berhubung dengan afidavit APCO Worldwide yang dikeluarkan semalam bagi membuktikan ia tidak terlibat dengan pembentukan slogan One Israel, Muhyiddin berkata, pembangkang memang sengaja memutarbelitkan fakta itu.

Beliau berkata, pembangkang sebelum ini memutarbelitkan isu berkenaan sehingga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, namun beliau gagal menghadirinya dengan memberi pelbagai alasan sehingga digantung dari Dewan Rakyat.

‘‘Pembangkang tidak rasional kerana selama mana kita jelaskan, mereka tidak akan terima kerana itu memang sikap pembangkang. Kita tidak peduli sikap mereka itu tetapi yang penting rakyat perlu faham dengan penjelasan kita,” kata beliau.