Sunday, December 18, 2011

UNTUK MENANG PRU 13, UMNO PERLU BERKORBAN. 1 MALAYSIA ADALAH JAWAPANNYA…..


Salam semua®…

Dalam pada kerajaan giat melaksanakan transformasi politik bagi menarik balik sokongan orang ramai kepada Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah, penulis berpendapat sudah sampai masanya kerajaan di bawah komponen BN terpaksa melakukan sesuatu yang LUARBIASA supaya semua sokongan daripada tiga kaum majoriti iaitu di kalangan kaum Melayu, Cina dan India dapat diperkasakan semula.

Kalau di negeri Pulau Pinang yang dikuasai parti pembangkang  mempunyai dua Timbalan Ketua Menteri di kalangan kaum Melayu dan India selain kaum Cina sebagai Ketua Menteri, kenapa perkara yang sama tidak boleh dipraktikkan ke atas jawatan Timbalan Perdana Menteri?

UMNO sebagai parti teras dan peneraju kepada kepimpinan BN tidak dapat tidak, perlu berhadapan dengan situasi ini jika ingin mengembalikan sokongan kaum Cina dan India kepada kerajaan.

Penulis rasa, tentu ramai orang Melayu tidak setuju dengan pendapat ini. Tetapi, percayalah seperti kata DS Najib bahawa  “sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan akan terus membantu rakyat. Sebagai sebuah negara, sebagai satu bahasa, 1Malaysia, ia memberikan kekuatan untuk mengatasi cabaran akan datang,”

Katanya lagi, “Saya percaya kita boleh capai sebagai sebuah negara yang makmur dan kukuh jika semua rakyat Malaysia berpegang kepada falsafah 1Malaysia,”

Sebagai kerajaan yang dibentuk melalui politik partisan, mahu tidak mahu, parti UMNO dan kerajaan sedia ada terpaksa melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan gelombang 1 Malaysia dalam ertikata yang sebenarnya.

Jangan biarkan parti pembangkang mendahului dengan melakukan perkara yang sama jika Pakatan Rakyat menang dalam PRU ke 13 nanti. UMNO perlu cepat bertindak dan berkorban demi survival politik mereka.

Selepas 54 tahun Merdeka, masa dan suasana sudah banyak berubah. Keselesaan dengan mengundi BN sebagai parti yang menjanjikan kemakmuran yang berterusan sudah tidak wujud lagi di kalangan kaum Cina dan India. Banyak perkampongan Cina dan India telah dimajukan oleh kerajaan BN dari bandar-bandar kecil menjadi bandar-bandar besar. Akan tetapi, sokongan politik mereka tetap kepada parti pembangkang. Kenapa jadi begini?

Perkara ini adalah realiti kerana zaman sekarang yang serba maju amat berbeza dengan zaman sebelum merdeka. Tuntutan untuk hidup dalam suasana aman damai seperti generasi tua terdahulu sudah semakin longgar.

Sikap dan perasaan muhibbah kurang dititik-beratkan malah perkataan MUHIBBAH itu sendiri jarang kedengaran sekarang ini dan dalam banyak keadaan, ianya tidak memberi erti langsung di kalangan  golongan muda yang kebanyakannya lahir di dalam suasana yang serba-serbi mencukupi. Mereka mahu lebih dari itu…..apakah itu? Jawapannya ialah KUASA POLITIK……

Fikir-fikirkanlah……sekadar menasihati.

Sunday, December 04, 2011

Salahuddin Ayub Syok Sendiri Kata UMNO Tiru Bai’ah PAS….


Salam semua®…

Penulis berpendapat bahawa perbuatan Bai'ah sebenarnya bukanlah hak milik mutlak dan terhad kepada  pimpinan parti PAS sahaja. Bai'ah atau ikrar taat  setia adalah kaedah biasa bagi seseorang  pengikut, ahli dan pemimpin menzahirkan tingkat disiplin yang paling tinggi dan kepatuhan mereka yang tidak berbelah-bagi kepada parti atau mana-mana organisasi melebihi kepentingan sendiri.

Mengikut kefahaman penulis, terlalu jauh bezanya di antara Bai'ah talak tiga PAS dan Bai'ah di pihak UMNO,  kerana Bai'ah talak tiga di dalam PAS ternyata terlalu kejam kerana meletakkan taraf wanita (yang taat kepada suami) sebegitu rendah dan terpaksa menerima hukuman talak tiga hubungan suami-isteri  yang tidak adil dek hanya disebabkan oleh perbezaan pendapat di antara pemimpin-pemimpin (suami mereka) dengan kepimpinan dan dasar parti. Padahal perasaan kasih sayang dan ikatan  suami-isteri yang dibina bertahun-tahun lamanya tanpa ada masalah terpaksa dipisahkan hanya disebabkan suami (pemimpin) keluar daripada parti PAS.

Adilkah perbuatan Bai'ah pemmpin PAS ini kepada isteri serta keluarga mereka? Bagaimanakah pula nasibnya jika siisteri kepada pemimpin PAS, jika dikalangan mereka itu tidak bekerja? Siapakah yang akan membela nasib mereka jika ditinggalkan suami?

Padahal, Bai'ah di kalangan orang UMNO tidak terhad kepada satu-satu pihak iaitu pemimpin-pemimpin mereka sahaja, malah semua ahli-ahli bawahan, pemimpin-pemimpin termasuklah kaum wanita merekapun terlibat sama di dalam ikrar taat setia ini.

Dalam hal ini, siapakah lebih adil dan lebih demokrasi? orang  PAS kah ataupun orang UMNO ? Jadi, kata-kata   Naib Presiden PAS, YB Salahuddin Ayub bahawa UMNO terpaksa meniru apa yang dilakukan oleh PAS tidak timbul sama sekali.

Ikuti komen Naib Presiden PAS, YB Salahuddin Ayub tentang isu Bai’ah ini seperti yang disiarkan oleh The Malaysian Insider.

Pemimpin-pemimpin PAS menyifatkan Umno sudah tidak yakin dengan ahli-ahlinya sendiri apabila sanggup mengambil sumpah bai’ah yang menurut mereka bertujuan mengelakkan tindakan khianat dan sabotaj oleh ahli-ahli sendiri.

Selain mereka juga mendakwa Umno kini meniru kaedah-kaedah digunakan PAS tetapi dikritik oleh parti teras Barisan Nasional (BN) itu masa-masa lalu.
Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menyifatkan partinya mencipta sejarah dengan melafazkan ikrar yang merupakan beliau adalah satu bai’ah bagi memperkukuhkan kedudukannya menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Saya fikir Umno sudah tidak percaya dengan ahli-ahlinya sendiri,” kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Oleh kerana mereka sudah hilang keyakinan ke atas ahli-ahli sendiri, maka mereka terpaksa meniru apa yang dilakukan oleh PAS,” kata beliau lagi.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Kubang Kerian ini menambah, ahli-ahli PAS setia bukan hanya semata-mata kerana sumpah bai’ah, tetapi telah dilatih untuk memberi sokongan kepada perjuangan parti.

“Saya sendiri, selama 30 tahun bersama dengan PAS, bukan kerana bai’ah itu sendiri, tetapi kami setia kerana kerelaan dan keikhlasan kami kepada kepada parti.

“Sumpah bai’ah ini, ada atau tidak ada, jika seseorang nampak duit berjuta-juta di depan mata mereka, mereka tetap akan keluar ... tetapi yang penting keikhlasan kepada perjuangan parti,” kata beliau sambil menambah, dalam PAS pejuangan setiap ahli adalah antara tanggungjawab ketika berada di “dunia dan akhirat.”

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Baling Datuk Taib Azamuddin Md. Taib pula berkata, Umno yang sebelum ini mengecam amalan PAS mengadakan sumpah bai’ah bagi mengelakkan ahlinya lompat parti akhirnya terpaksa meniru cara tersebut.

“Kalau ini (sumpah bai’ah) lahir daripada hati dan keikhlasan orang Umno, ini menunjukkan apa yang dilakukan PAS selama ini yang dipandang serong oleh Umno telah diakui kebenarannya,” kata bekas timbalan pesuruhjaya PAS Kedah ini.

Katanya, “usia Umno yang sudah terlalu lama menunjukkan ia sudah jauh ketinggalan.”

“Hakikat sebenarnya ialah apa yang dilakukan oleh Umno itu sebenarnya mengakui pendekatan PAS.

“Oleh itu, daripada dia meniru (PAS) baik dia menyertai PAS terus,” kata beliau dipetik Harakahdaily.

Ketika berbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno semalam, perwakilan Umno Terengganu, Komaruldin Omar mencadangkan diadakan sumpah bai’ah dengan merujuk kepada tindakan PAS dan dipersetujui para perwakilan yang lain.

Taib yang juga bekas imam besar Masjid Negara bagaimanapun berkata, sumpah bai’ah hanya terpakai untuk perkara bertujuan kebaikan dan kebenaran, bukan untuk tujuan kebatilan.

Tegas beliau, Umno sebagai parti yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar tidak wajar mengadakan sumpah bai’ah.

“Bai’ah boleh berlaku di atas sesuatu perkara untuk tujuan kebenaran... kalau bai’ah untuk tujuan kebatilan, bai’ah itu menjadi satu kemungkaran dan tidak termasuk dalam erti kata bai’ah yang sebenar.

“Jadi kalau Umno masih tidak meletakkan Islam sebagai dasar, maka bai’ah itu tidak ada gunanya. Jadi tak perlulah orang Islam tertipu dan terpedaya dengan keadaan ini,” katanya.

Tambahnya, tindakan Umno itu juga menunjukkan parti itu sudah berada dalam keadaan lemah dan terpaksa menggunakan apa sahaja cara untuk dijadikan ‘tongkat’ bagi meneruskan pemerintahannya.