Showing posts with label Kerajaan. Show all posts
Showing posts with label Kerajaan. Show all posts

Friday, March 04, 2011

LHDN HANYA BERTEGAS KEPADA RAKYAT YANG LEMAH, CARI SAMPAI KE LUBANG CACING…TAPI TIDAK KEPADA ORANG POLITIK ?


Salam semua…
Sikap berdiam diri Lembaga hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendedahkan kos guaman yang dibayar Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Karpal Singh telah menimbulkan kegelisahan rakyat.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, rakyat perlu tahu jumlah sebenar yang dibayar bagi mengendalikan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana dikhuatiri ada muslihat di sebaliknya.
Katanya, tindakan Pengerusi DAP itu dilihat mempunyai motif politik kerana beliau pernah mempercayai Anwar terlibat dalam satu lagi kes liwat pada 1997.
"Sehingga hari ini Karpal termasuk LHDN terus membisu walaupun didesak pelbagai pihak untuk mendedahkan kos guaman berkenaan.
"Kita khuatir dengan cara ini, Anwar kini dengan mudah dalam genggaman Karpal," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, pelbagai pihak mempersoalkan tindakan Karpal mewakili Anwar kerana pernah mendedahkan kegiatan homoseks dan liwat Anwar semasa di Dewan Rakyat pada Oktober 1997 dan ketika berucap di salah sebuah hotel di ibu negara sekitar tahun itu.
Selain itu, kesanggupan Karpal juga menimbulkan pelbagai reaksi apabila beberapa pengamal undang-undang merangkap ahli Parlimen berpendapat beliau perlu dipanggil sebagai saksi pendakwaan dalam kes kali ini kerana mengakui pernah mempunyai bukti dalam kes liwat pertama Anwar dahulu.
Dalam konteks itu, Musa berkata, sekiranya tidak benar dakwaan itu, Karpal dicabar untuk menafikannya.
"Sekiranya tidak benar ada unsur pembayaran tinggi seperti didakwa, Karpal dan LHDN diminta beritahu segera," katanya.
"Jangan biarkan rakyat tertunggu-tunggu kerana ini membabitkan kepentingan rakyat," katanya - Utusan

Monday, February 28, 2011

PERHIMPUNAN HINDRAF TIADA SAMBUTAN –‘KPI’ YANG TERSANGAT LEMAH UNTUK KDN.


Salam semua…
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersyukur perhimpunan yang dirancang pertubuhan haram Hindraf di ibu negara hari ini, tidak mendapat sambutan.
Beliau berkata, berdasarkan laporan diterimanya daripada polis, ia tidaklah sebesar mana.
"Sejumlah besar orang yang berkumpul di Batu Caves adalah untuk atur cara agama dan bukanlah untuk berdemonstrasi di jalanan.
"Mereka (Hindraf) cuba eksploitasi mengatakan perhimpunan di Batu Caves itu menyokong mereka tetapi fitnah kerana ia perhimpunan agama.
"Malah saya difahamkan tiada perhimpunan di KLCC," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian serentak Persidangan Tahunan UMNO Cawangan-Cawangan Negeri Perak 2011 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Hishammuddin diminta mengulas penahanan 109 ahli dan penyokong Hindraf yang berhimpun tanpa permit di sekitar ibu negara hari ini.
Perhimpunan itu difahamkan bertujuan mendesak polis supaya membebaskan pemimpin Hindraf yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selain mahu novel Interlok dikeluarkan daripada kurikulum sekolah.
Hishammuddin berkata, pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas lebih 100 orang ditahan kerana terlibat dalam perhimpunan itu.
"Mereka akan diambil keterangan sebelum siasatan dilakukan dan diputuskan sama ada ia akan dibawa ke mahkamah," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan menyamakan perhimpunan yang dianjurkan Hindraf dengan peristiwa di Tunisia dan Mesir.
Namun katanya, usaha tersebut gagal kerana ia tidak mendapat sambutan selain jelas melanggar undang-undang serta menyusahkan orang ramai.-Utusan.
P/S – Tindakan KDN menunggu perhimpunan yang dirancang pertubuhan haram Hindraf di ibu Negara sehingga hari Ahad, dan bersyukur kerana ianya tidak mendapat sambutan adalah tindakan yang kurang bijak. Nasib baik tidak ada nyawa yang melayang dan harta benda awam yang rosak…
Itupun kalau tidak mendapat sambutan, kalau mendapat sambutan besar-besaran lagu mana lah pulak? Takkan nak tunggu saja…baru nak ambil tindakan?
DS Najib perlu ubah KPI untuk KDN daripada kurang sambutan ke ‘zero’ sambutan…barulah Menterinya celek mata sikit……

Saturday, February 26, 2011

KRISIS NEGARA ARAB : PM AKUI PERANAN ANAK MUDA TAPI, PERANAN KETUA PEMUDA PULA BAGAIMANA?

                      Sorang saja ke ?, tak baik tau jalan sorang-sorang......

Salam semua…

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau mengakui peranan anak muda dalam menjalankan penentangan terhadap kerajaan seperti yang berlaku di beberapa negara Arab.
Namun, keadaan di negara berkenaan tidak sama dengan situasi di Malaysia, katanya.
"Jadi yang nak buat persamaan tu adalah tidak tepat sama sekali," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.
Jelasnya, walau negara Arab itu dilanda pergolakan politik, BN masih mampu meningkatkan majoriti dalam pilihan raya kecil.
Katanya lagi, trend kini juga menunjukkan sokongan lebih memihak kepada BN.
Beliau memberi contoh keputusan pilihan raya kecil Tenang sebelum ini di mana BN berjaya meningkatkan majoritinya.
Sekiranya tidak berlaku banjir mengejut ketika pilihan raya itu, BN pasti akan menang lebih besar lagi, katanya.
Tambahnya, beliau mengambil iktibar daripada perkembangan yang berlaku di negara-negara bergolak itu.
"Satu lagi yang perlu disedari yang tenaga punca yang mencetuskan adalah orang muda. Jadi perhatian kepada orang muda ini tak boleh kita pandang ringan.
"Kalau rasa tidak puas hati itu membara di kalangan orang muda, mereka akan bertindak kerana mereka mempunyai tenaga untuk menuntut kepada perubahan," katanya lagi.-Malaysiakini.
P/S –Tak perlu cakap banyak-banyak, sepatutnya Ketua Pemuda UMNO menjuarai isu-isu ini. Habis-habis, orang tua itu jugalah yang kena bagi nasihat dan memberi penjelasan.  Memang payah DS Najib kali ini…..ada ramai laksamana, tapi macam laksamana do re mi?

Friday, February 25, 2011

LAWATAN NAJIB TAK GUGAT HUBUNGAN SAYA DENGAN TURKI, KATA ANWAR


Salam semua…
Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak kisah dengan kunjungan sulung Datuk Seri Najib Razak ke Turki sambil menegaskan perdana menteri tidak akan berjaya dalam mencantas sokongan yang beliau peroleh daripada kerajaan negara-negara Islam.
Ketua Pembangkang itu berkata meskipun Najib berada di Turki, ahli-ahli politik utama negara itu masih menghantar mesej peribadi kepadanya, perkembangan yang membuktikan hubungannya dengan kerajaan negara Eropah itu masih kukuh.
“Saya baru menerima satu mesej... jadi tiada masalah sama sekali,” kata beliau (gambar) pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini petang ini.
Kepimpinan Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat mereka hari ini menjelang pilihan raya kecil serentak DUN Kerdau dan Merlimau.
Beberapa penganalisis dan pemerhati politik mendakwa kunjungan sulung Najib sejak menjadi perdana menteri pada April 2009 akan memutuskan hubungan peribadi yang dijalin Anwar dengan Turki dan negara-negara Islam yang lain.
Najib juga telah mengunjungi beberapa negara Islam sebelum ini.
“Jika tujuan mereka untuk menjalin hubungan lebih baik, saya menyokong tetapi saya mempertahankan hubungan yang amat rapat,” katanya.
“Mesej-mesej peribadi terus diterima daripada kepimpinan Turki dan saya tiada masalah itu,” katanya lagi.

Wednesday, February 23, 2011

ANGIN PERUBAHAAN PADA PILIHAN RAYA KAMPUS – CABARAN BESAR KEPADA PEMUDA DAN PUTERI UMNO…



Salam semua…
Angin perubahan dikatakan melanda di kampus beberapa menara gading setelah sekian lama dikuasai oleh kumpulan Pro- Aspirasi atau Pro-A.
Prestasi kumpulan pro-Mahasiswa disifatkan jauh lebih baik tahun ini dengan kejayaan merampas beberapa universiti pada pilihan raya kampus yang diadakan semalam.
Ini termasuk Majlis Perwakilan Pelajar atau MPP di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sabah kampus Labuan dan Universiti Malaysia Kelantan.
Dalam perkembangan terbaru di Unversiti Islam Antarabangsa, pro-Mahasiswa mengekalkan kemenangan sebelum ini dengan menguasai 23 daripada 26 kerusi.
Paling signifikan, kejayaan mereka di UM, - universiti pertama negara ini di mana calon-calon pro-M memenangi 23 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.
Mereka juga berjaya menyapu bersih semua sembilan kerusi kampus yang dipertandingkan dan 14 daripada 32 kerusi fakulti.
Ini adalah kejayaan besar bagi kumpulan itu sejak kumpulan Aspirasi menang pada pilihan raya kampus tahun lalu.
Ketika itu, mereka cuma mampu meraih 17 kerusi.
Kumpulan pro-M adalah pergerakan mahasiswa yang sering kali dikaitkan dengan mereka yang agak kritikal terhadap kerajaan dan menuntut mahukan pembabitan yang lebih menyeluruh di kalangan pelajar dalam pentadbiran kampus.
Seteru mereka melabelkan diri mereka sebagai pro-Aspirasi (pro-A) kerana dikatakan cuba mempertahankan "aspirasi kerajaan", dan secara tradisionalnya adalah penyokong pihak berkuasa.
UM secara tradisional adalah kubu bagi aktiviti perjuangan pelajar tetapi kumpulan pro-A sejak kebelakangan khususnya sedekad lalu dikatakan berjaya mendapat pengaruh.
Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kumpulan pro-Mahasiswa juga berjaya mengakhiri kemarau tujuh tahun bagi menguasai universiti kebangsaan itu.
Mereka menang 22 kerusi manakala kem Aspirasi mendapat 15. Antara lain, kumpulan pro-Mahasiswa mendakwa pelajar mengundi mereka kerana tidak berpuas hati dengan bekalan air yang tidak menentu di asrama serta perkhidmatan Internet yang tidak stabil.
"Mahasiswa UKM keluar mengundi atas inisiatif bahawa mereka peka dengan pilihan raya kampus dengan kesedaran politik.
"Ia (adalah) kebangkitan mahasiswa UKM kerana pada tahun lalu jelas memperlihat banyak perkara penindasan dan kezaliman.
"Ia menjadikan mahasiswa matang dengan (selepas) mengetahui siapa yang memperjuangkan isu-isu mahasiswa," kata ahli Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) Mohd Hilman Idham dalam sidang media hari ini.
Di Universiti Sains Malaysia (USM), kumpulan pro-Mahasiswa tidak memenangi kebanyakan kerusi tetapi berjaya memperbaiki kedudukan dengan merampas 14 kerusi, meningkat daripada 7 yang dimenangi tahun lalu. Kem pro-A masih selesa dengan 24 kerusi manakala seorang calon bebas menang satu lagi.
Di Universiti Putra Malaysia (UPM), kem pro-Mahasiswa mengekalkan kedudukan mereka dengaan 11 kerusi, seperti pada tahun sebelumnya.
Mereka dibelasah teruk oleh kumpulan pro-A yang memenangi 31 kerusi.
Sebuah lagi kerusi dimenangi calon bebas.
Sementara itu, di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), prestasi pro-Mahasiswa bertambah buruk berbanding tahun sebelumnya, mereka hanya mendapat 12 kerusi berbanding 18 sebelumnya.
Kumpulan Aspirasi menang 38 kerusi manakala lima lagi diboloti calon bebas.
Mengulas faktor kekalahan mereka dalam pilihan raya itu, jurucakap pro-M UTM Ku Abd Muhyi Ku Abd Hamid berpendapat kekurangan calon dan kekurangan sumber kewangan adalah antara punca kekalahan mereka.
"Rentak pilihan raya kampus lebih kepada perang poster, pro-M tidak semewah pro-Aspirasi yang gantung banyak poster. (Kita juga) kurang calon di peringkat fakulti," katanya.
Sehubungan itu, kumpulan tersebut akan mengadakan sesi bedahsiasat berhubung kekalahan dan kemerosotan prestasi mereka malam ini.
Dalam perkembangan terbaru di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) lewat petang ini, pro-M mengekalkan kemenangan sebelum ini dengan menguasai 23 daripada 26 kerusi yang dipertandingkan.
Hanya satu kerusi dimenangi pro-A. Dua dimenangi calon bebas.
Tahun lalu mereka menang 15 kerusi. Ini bermakna pro-M tahun ini berjaya menambah cengkamannya di universiti itu.
Sementara itu di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pro-M tewas selepas mendapat 13 daripada 30 kerusi yang dipertandingkan. Manakala pro-A mendapat 17 kerusi. – Malaysiakini.
P/S - Masih dok berpeluk tubuh lagi? 

Tuesday, February 22, 2011

DATUK ISMAIL SABRI YAAKOB BERKATA : “SIAPA KATA RON95 NAK NAIK... SIAPA CAKAP? KHABAR ANGIN?.. .JADI ITU KHABAR ANGINLAH. BIARLAH SEKADAR KHABAR ANGIN”…



Salam semua…
Kerajaan sedang mengkaji semua opsyen bagi membolehkan kerajaan tidak menaikkan harga petrol RON95 dalam waktu terdekat walaupun berlaku kenaikan harga minyak global.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian itu sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan bagi memastikan impak kenaikan global tidak terlalu menekan rakyat.
“Kita perlu ada keseimbangan sebab kita bimbang kalau harga minyak naik, harga barangan turut meningkat dan bebanan kepada rakyat akan menjadi semakin tinggi.
“Sebab itu, Kementerian ini bersama Kementerian Kewangan sedang mengkaji opsyen-opsyen tertentu untuk menstabilkan harga minyak bagi mengelak kenaikannya dalam masa terdekat,” katanya ketika menjawab pertanyaan berhubung dakwaan akan berlaku kenaikan harga RON95 dalam masa terdekat pada sidang media di Pusat Latihan Harta Intelek di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, setakat ini kerajaan belum berhasrat menaikkan harga petrol itu kerana pihaknya berpendapat untuk menjimatkan perbelanjaan, ia bukan sekadar dengan menaikkan harga minyak.
“Siapa kata RON95 nak naik... siapa cakap? Khabar angin?.. .jadi itu khabar anginlah. Biarlah sekadar khabar angin. Tak, setakat ini tidak (naik).
Katanya, walaupun terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM14 bilion bagi menampung kenaikan harga minyak dunia tahun ini, kerajaan masih mencari alternatif bagi menstabilkan harga minyak tempatan biarpun kos itu telah meningkat RM4 bilion berbanding tahun lepas.
“Terdapat beberapa buah negara di dunia telah menaikkan harga minyak sebanyak dua kali dalam tempoh tiga bulan, tetapi sebaliknya bagi kita, kerajaan masih tidak berhasrat menaikkannya kerana kita akan melihatnya secara keseluruhan.
“...Dan kita tengah berbincang dan mencari opsyen itu,” katanya yang enggan mendedahkan butiran opsyen tersebut.
Petrol RON95 telah diperkenalkan pada penghujung Ogos 2009 bagi menggantikan RON97 sebagai produk petrol utama dan kini dijual di stesen minyak di seluruh negara dengan harga RM1.90 seliter.
Terdahulu, Ismail Sabri dan Tan  menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian persefahaman pelaksanaan Pemodenan Bengkel Automotif (ATOM) antara Mohd Zain dengan wakil daripada lima konsultan yang menjadi pelaksana projek tersebut. — Bernama


Sunday, February 20, 2011

BODOHNYA, PR TAK PERCAYA KEMAMPUAN LUAR BIASA PRESTASI GURU KITA…



Salam semua…
PKR menyifatkan dakwaan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa prestasi guru sekolah meningkat sebanyak 600 peratus hanya dalam masa setahun sebagai sangat luar biasa.
Ketua Biro Pendidikan PKR Abas Awang berkata, untuk mendapat peningkatan luar biasa itu, sudah tentu memerlukan proses yang luar biasa, tetapi perkara itu didakwa tidak dilihat.
"Malahan (sebaliknya) terdapat prestasi sekolah yang semakin merosot," kata Abas yang juga bekas pengarah pendidikan Wilayah Persekutuan.
"Saya mencabar menteri pelajaran supaya menyenaraikan aktiviti serta program yang luar biasa itu untuk dihayati oleh seluruh warga pendidikan dan masyarakat umum supaya aktiviti dan strategi ini menjadi budaya baru dalam arena pendidikan negara."
Pada 10 Februari lalu, Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri dilaporkan berkata beliau mengumumkan tawaran baru (Bai'ah) untuk pengetua dan guru besar sebagai satu inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan.
Katanya, selepas setahun mengumumkan ganjaran kewangan, jumlah guru besar melepasi sasaran di luar jangkaan, iaitu pertambahan 12.1 peratus - peningkatan 600 peratus daripada sasaran 2 peratus.
Dilaporkan seramai 924 guru besar disenaraipendek dan akan menerima RM7,500 seorang manakala lima peratus guru yang paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang.
Berkhidmat demi wang
Dalam satu kenyataan hari ini, Abas juga berkata, beliau yakin pencapaian yang didakwa itu tidak berlaku dan hanya gimik politik bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.
"Beliau (Muhyiddin) juga mencerminkan seakan-akan guru besar dan pengetua selama ini bekerja demi ganjaran wang.
"Bila menteri pelajaran mengumumkan pemberian ganjaran barulah guru besar dan pengetua berkerja berhabis-habisan kerana inginkan imbuhan," kata Abas sambil meyifatkan kenyataan itu sebagai satu penghinaan.
Bagi Abas , proses memilih guru besar dan pengetua cemerlang adalah sukar dan mengambil masa yang panjang.
"Bagaimana kementerian pelajaran sekarang bertindak begitu cepat untuk menilai prestasi guru besar, pengetua dan guru yang bilangannya ratusan ribu dalam masa yang singkat?
"Tambahan pula bilangan jemaah nazir yang terhad mampu menilai prestasi dalam jangkamasa yang begitu singkat?
"Apabila penilaian yang dibuat secara tidak telus, jujur dan ikhlas, ia akan menimbulkan konflik dalam pendidikan," katanya sambil menjangka konflik itu akan melemahkan lagi struktur pentadbiran pendidikan. –Malaysiakini.
P/S -Kalau kerajaan buat semua tak kena. Kalau mereka, cadangan buku jingga kerajaan PR perintah 100 hari  di mana mereka nak beri RM500.00 seorang (tanpa mengira prestasi) untuk semua guru tu, boleh pula? ...Kalau kerajaan BN, mereka kata hanya gimik politik bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang. ...
Kalau mereka pula lagu mana?  tolong mai cerita sat dekat chek....


Monday, February 14, 2011

PEMIMPIN TIAP-TIAP KAUM PERLU PEKA TENTANG SOAL PERKAUMAN ATAU RASIS.



Salam semua…
Penulis juga bersetuju dengan pendapat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bahawa tiap-tiap kaum yang ada di Malaysia perlu menjaga keperluan dan hak mereka berlandaskan Perlembagaan dan perkara ini tidak boleh dianggap perkauman atau rasis.
Sebagai tambahan kepada pendapat di atas, penulis juga berpendapat, selagi kaum yang berkenaan tidak mengganggu-gugat kaum yang lain dari segi tindakan dan provokasi maka perkara berkenaan juga tidak bolehlah dianggap sebagai perkauman atau rasis.
Kaum bukan Melayu perlu faham dalam hal ini. Orang Melayu di Malaysia sebenarnya tidaklah menyalahkan mereka membuat apa-apa tuntutan bagi menjaga keperluan dan hak mereka sebagai rakyat Malaysia, akan tetapi ianya mestilah berlandaskan kepada Perlembagaan yang sedia ada.
Provokasi dan komen-komen pedas daripada satu kaum kepada kaum lain yang boleh menyakitkan hati perlulah dielakkan. Kerana tindakan inilah yang sebenarnya rasis ataupun perkauman. Kalau boleh perlu ada garis panduan yang jelas dalam hal ini agar tiap-tiap orang termasuklah pemimpin-pemimpin sentiasa disedarkan dan tidak menyalahgunakan kelakuan rasis ini untuk tujuan politik sempit mereka.
Pemimpin-pemimpin tiap-tiap kaum perlu sedar dalam hal ini. Dalam banyak keadaan, merekalah sebenarnya punca kepada perbuatan rasis ini. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum di Malaysia boleh hidup aman damai dan tinggal bersama-sama sejak dari dulu lagi. Oleh sebab pemimpin yang menyebarkan fahaman rasis tadi, jiran atau rakan tetangga yang baik dahulu, telah bertukar menjadi musuh dan  hidup dalam penuh syak wasangka.
Hanya pemimpin kaum yang mementingkan  populariti dan survival kuasa politik peribadi sahaja yang selalu melencong ke arah ini. Rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian hidup berbilang bangsa dan kaum perlu singkirkan pemimpin jenis ini.
Dalam hal ini penulis juga berpendapat Kementerian Dalam Negeri perlu memainkan peranannya bagi mengelakkan api yang kecil bertukar menjadi api ganas yang besar. Apa-apa tindakan yang perlu diambil, mestilah disegerakan. Penulis berpendapat suasana yang mulai panas sekarang ini adalah berpunca daripada kegagalan Kementerian Dalam Negeri menjalankan tugasnya dengan baik.
Dalam banyak kes, berbanding dengan negara lain, fungsi Kementerian Dalam Negeri di Malaysia semacam kurang berfungsi  sehinggakan tiap-tiap hari soal rasis ini masih lagi timbul dan dibual oleh kebanyakan kaum di Malaysia. Maka  tidak hairanlah kita dapat lihat mengapa banyak komen yang terkeluar  di dada-dada akhbar datangnya daripada Kementerian selain daripada Kementerian Dalam Negeri sendiri.
Dan yang terbaru komen daripada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang disiarkan oleh Utusan Malaysia.
LABUAN 13 Feb. - Perjuangan orang Melayu dan mana-mana kaum terhadap keperluan serta hak mereka berlandaskan Perlembagaan tidak boleh dianggap perkauman atau rasis.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, semua kaum berhak menyuarakan kepentingan mereka selaras dengan Perlembagaan.
"Saya melihat bahawa penting bagi kita berjuang untuk setiap bangsa dan agama tetapi apabila bangsa itu menyuarakan (hak mereka), kita tidak boleh beranggapan ia bersifat perkauman.
"Setiap kaum ada melaungkan keperluan dan kepentingan mereka, masyarakat India hendakkan supaya keperluan mereka dipenuhi, begitu juga masyarakat Cina dan kaum lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian karnival sukan sempena program Juara Rakyat di sini hari ini.
Semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu kini berada dalam dilema besar apabila tidak lagi boleh bercakap mengenai kepentingan Melayu kerana dikatakan rasis.
Kata Dr. Mahathir, lebih malang lagi orang Melayu tidak mampu mempertahankan diri sendiri kerana lebih banyak mengalah dan mengundur diri kononnya dengan cara itu mudah untuk mendapatkan keamanan.
Malah, bekas Perdana Menteri itu berkata, sehingga pada suatu tahap mereka tidak lagi boleh mengatakan bahawa negara ini adalah tanah air bagi orang Melayu.
Menurut Mohd. Shafie, peringatan Dr. Mahathir itu amat baik dan tidak perlu disalah anggap oleh mana-mana pihak.
Jelasnya, apa yang disuarakan setiap kaum yang berlandaskan Perlembagaan tidak akan memecahbelahkan masyarakat dan negara.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie berkata, sistem pentadbiran yang dilaksanakan kerajaan juga adil dan tidak menyebelahi mana-mana kaum.
Jelasnya, bantuan yang diberi kerajaan juga adalah untuk semua kaum dan berdasarkan kepada keperluan rakyat.
"Contohnya apabila kita membantu masyarakat Iban di Sarawak, itu tidaklah merupakan satu sistem pentadbiran berat sebelah kerana hakikatnya kaum ini memerlukan sokongan dari segi prasarana dan bantuan," katanya.
Sementara itu, mengulas tindakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) negeri, Datu Mohd. Akjan Ali Muhammad mengisytiharkan dirinya Sultan Sulu, beliau meminta pihak berkuasa melakukan siasatan dan mengenakan tindakan yang sewajarnya.
"Dari segi perundangan kita tahu Sulu itu bukannya negara Malaysia jadi mana mungkin rakyat Malaysia boleh menjadi sultan kecuali dia bukan rakyat Malaysia.
"Perkara itu perlu kita perjelas dari segi perundangan yang ada," katanya.



Friday, January 28, 2011

KES ARIFFAHMI– SPRM BUAT LAWAK, MACAM IKLAN BISKUT DALAM TV SEKEJAP ADA, SEKEJAP TAK ADA…?



Salam semua…

Penulis tidak mahu komen banyak-banyak, cukuplah sekadar ingin berkongsi maklumat terkini dengan pembaca semua tentang telatah SPRM Kelantan  berhubung  penyiasatan mereka tentang kes yang melibatkan penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap menantu Menteri Besar Kelantan yang dikatakan masih belum selesai.

Ikuti  paparan menarik yang penulis ambil daripada Utusan Online bertarikh 27/01/2011 ( Klik di sini  ).

KOTA BHARU 27 Jan. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan berkata, kes melibatkan penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap menantu Menteri Besar Kelantan masih belum selesai.

Pengarahnya, Nasaruddin Mohd Noor berkata, kes melibatkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Ab. Rahman, masih disiasat.

Katanya, SPRM kini sedang mendapatkan beberapa lagi maklumat dan dokumen bagi memantapkan lagi siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Sebelum ini, ibu pejabat SPRM hanya mengumumkan penutupan kes mengenai pelantikan Abdul Ariffahmi sebagai CEO di dalam PMBK, yang menimbulkan kontroversi kerana pelantikan keluarga terdekat, dan bukannya kes melibatkan penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan melibatkan menantu Menteri Besar itu.
"Ada beberapa perkara yang masih dalam siasatan terhadap kes itu. Saya juga tidak dapat memberitahu secara terperinci bentuk penyiasatan itu. Yang pasti kes itu masih di bawah SPRM Kota Bharu.

"SPRM Negeri masih belum menutup penyiasatan kes Abdul Ariffahmi itu, walaupun ibu pejabat SPRM telah memutuskan menutup kes yang disyaki melibatkan (Menteri Besar Datuk) Nik Aziz (Nik Mat),” katanya kepada pemberita selepas Program Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama SPRM di ibu pejabat JPJ, Panji, dekat sini, hari ini. – Bernama

Thursday, January 20, 2011

‘CABLE CAR’ SATU MALAYSIA AKAN DIBINA DI BATU CAVES?

                                                                 Gambar Hiasan


Salam semua…

Penulis merakamkan ucapan tahniah kepada semua kaum India di Malaysia kerana Kerajaan BN di bawah Perdana Menteri Malaysia, DS Najib telah sudi meluluskan pembinaan ‘cable car’ di Batu Caves  ketika lawatan resmi beliau sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves. Berita kelulusan untuk pembinaan ‘cable car’ tersebut telah disiarkan melalui TV3 malam tadi.

Seperti kata DS Najib, perlunya ada asas sifat “ bertoleransi’ dan keduanya "penerimaan secara total", di mana masyarakat tidak lagi ragu-ragu bahawa kepelbagaian itu adalah sesuatu yang baik.

Katanya, untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang maju dan berjaya, perjuangannya mesti bersandarkan kepada ikatan semua kaum dalam negara ini dengan rakyatnya "perlu memberi kepercayaan yang Malaysia akan menjadi satu negara yang maju dan berjaya kalau kita mempunyai kerajaan yang kuat dan stabil.

"Hanya kerajaan yang kuat dan stabil sahaja yang boleh menentukan masa depan negara kita," katanya.

Penulis bangga dengan sifat mulia yang ditunjukkan oleh DS Najib. Bagi penulis bukan hanya setakat rakyat saja yang perlu ada sifat “ bertoleransi’ dan  "penerimaan secara total" malah semua pemimpin di Malaysia tidak kira apa fahaman parti mereka perlu juga mempunyai sifat sebegini. Dan DS Najib adalah ikon Pemimpin I Malaysia yang perlu dicontohi dan dihormati.

P/S - Bila pula DS Najib nak bina 'cable car' yang baru di Pulau Pinang? nanti bolehlah Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon kata dekat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bahawa kerajaan persekutuan tidak pernah mengamalkan dasar anak-tiri ke atas kerajaan negeri beliau.

Monday, January 17, 2011

CARA UMNO BN BERDAKWAH KE ATAS NON-MUSLIM LEBIH BAIK DARIPADA PAS?



Salam semua…

Penulis ingin membawa dua artikel yang menarik sebagai renungan anda semua. Ringkasnya, tidak dapat tidak, kita terpaksa menerima hakikat bahawa pendekatan atau cara UMNO BN berdakwah serta mendekati komponen BN yang bukan beragama Islam (parti MCA) adalah lebih baik daripada PAS.

Parti PAS hanya pandai bercakap itu dan ini akan tetapi bila berhadapan dengan sesuatu isu yang melibatkan sekutunya DAP,  mereka ternyata tidak boleh berbuat apa-apa. Kesan dakwah mereka kepada kawannya, DAP ternyata gagal. Dalam banyak hal parti MCA lebih memahami Islam daripada DAP.  Mereka sentiasa terbuka  dan lebih menghargai nilai persahabatan yang sebenarnya.

Dua peristiwa yang menarik lagi menyentuh hati ini berlaku secara kebetulan. Mungkin Allah ingin menunjukkan kepada kita semua bahawa betapa perlunya kita ikhlas dalam tindakan kita.

Hanya mereka yang jujur dan ikhlas sahaja dapat melembutkan hati orang-orang bukan Islam serta  memahamkan mereka tentang apa itu Islam dalam ertikata yang sebenarnya.

Ikuti 2 paparan yang penulis ambil daripada Malaysiakini dan Utusan Malaysia Online  bertarikh 17/01/2011.

Malaysiakini – Klik  di sini.

Peguam yang mengadu mengenai bunyi azan di Masjid Al-Ikhalasiah di Kampung Kerinci, Kuala Lumpur, hari ini memohon maaf kerana mencetuskan kontroversi tersebut.

Ng Kiam Nam, seorang ahli MCA, berkata dia keliru mengenai ceramah dan laungan azan dalam aduannya kepada Jabatan Perdana Menteri mengenai bunyi pembesar suara dari masjid tersebut.

Surat aduannya itu telah mencetuskan bantahan oleh beberapa NGO Islam yang diketuai oleh Majlis Ayahanda Wilayah Persekutuan Jumaat lalu.

Mereka mendakwa tindakan Ng itu telah menghina Islam.

Ng membuat permohonan maaf itu dalam sidang akhbar yang diadakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal.

Sidang akhbar itu diadakan di pejabat Umno bahagian Lembah Pantai, yang diketuai oleh Raja Nong Chik.

Sebelum itu, Raja Nong Chik mengadakan pertemuan dengan Ng dan wakil-wakil kumpulan yang terlibat dalam protes tersebut. Sementara itu Bernama melaporkan, ketika bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Ng berkata: "Setiap orang mempunyai kelemahan dan saya mahu meminta maaf kepada semua umat Islam di negara ini di atas salah faham yang terjadi. "Sebenarnya saya tidak tahu membezakan antara suara azan dan ceramah (kuliah subuh)," katanya.

Ng berkata beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini berhubung isu itu serta berharap isu itu tidak disensasikan lagi.

Raja Nong Chik pula berkata isu itu sewajarnya tidak diperbesarkan kerana ia merupakan salah faham yang tidak disengajakan dan menjadikan insiden itu sebagai iktibar.

Beliau juga meminta permohonan maaf Ng diterima oleh semua pihak.

Mengulas dakwaan terdapat arahan daripada pihak atasan yang meminta pihak masjid memperlahankan suara azan berikutan aduan Ng itu, Raja Nong Chik menafikan kewujudan arahan tersebut.

"Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sendiri menafikan bahawa adanya arahan tersebut dan saya sendiri tidak tahu-menahu mengenainya," katanya, yang gembira dengan permohonan maaf Ng dan sikap terbuka dua NGO Melayu yang sebulat suara menerima permohonan maaf tersebut.

 

Utusan Malaysia Online – Klik di sini.

Apakah kerajaan campuran negeri Selangor dapat lakukan apabila hasrat Jabatan Agama Islam (JAIS) hendak melaksanakan undang- undang melarang umat Islam daripada bekerja di premis menjual arak nampaknya menerima tentangan daripada Exco kerajaan negeri itu.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali sendiri mahu undang-undang itu dilaksanakan seperti termaktub di dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri.

Hassan ada sebab bertegas mahu melaksanakan tanggungjawabnya bagi mencegah umat Islam daripada terlibat dengan urusan penjualan arak.

Sementara pendirian dua Exco daripada DAP iaitu Teresa Kok dan Ronnie Liu baru-baru ini membantah peraturan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang melarang umat Islam bekerja di premis menjual arak.

Ronnie menggunakan kuasanya sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan mengeluarkan satu pekeliling mengarahkan Yang Dipertua MPSJ supaya menarik balik larangan itu kerana mendakwa ia tidak disedari oleh kerajaan negeri.

Ronnie memberi alasan yang beliau bimbang kemungkinan akan ada umat Islam hilang pekerjaan dan sumber pendapatan selain mendakwa undang-undang syariah itu tidak lagi praktikal untuk dilaksanakan.
Mana air muka Pas apabila usaha pemimpin mereka ditolak mentah-mentah oleh DAP. Ini satu penghinaan kepada parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu.

Ia juga satu bukti jelas bahawa Pas dan DAP tidak boleh bekerjasama.
Kenyataan pemimpin tertinggi Pas kononnya Pas boleh bekerjasama dengan penentang nombor satu penubuhan negara Islam itu hanya retorik. Lebih mudah Pas hanya bertepuk sebelah tangan.

Dalam isu larangan orang Islam bekerja di premis menjual arak di Subang Jaya pun kedua-duanya tidak sependapat. Kasihan Pas Selangor, sudah beberapa kali arahan mereka diketepikan oleh pemimpin DAP.
Jika isu larangan menjual arak ini Pas dan DAP tidak sepakat, bagaimana urusan pentadbiran negeri Selangor yang lain?

Apa kata Menteri Besar Selangor daripada PKR? Kita terkejut apabila Ronnie Liu mengatakan udang-undang syariah yang melarang umat Islam bekerja di premis arak sebagai tidak praktikal.

Baru dapat kuasa, sudah menunjukkan lagak sombong dan bongkak. Kenyataannya itu boleh membakar lagi bara kemarahan yang sedia ada dalam diri umat Islam negara ini.

Apakah orang yang berkuasa di Selangor, Menteri Besar sudah 'hilang suara' untuk menegur anggota Exconya khususnya bukan Islam supaya tidak menyentuh hal-hal yang sudah termaktub dalam undang-undang seperti Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Jelas Ronnie Liu sudah dua kali mengganggu tugas pihak berkuasa tempatan yang sebelum ini terlibat dalam satu kes rampasan arak di Shah Alam beberapa tahun lalu. Nampaknya hasrat umat Melayu di Selangor untuk melihat tiada premis menjual minuman keras di kawasan majoriti Islam di negeri itu tidak kesampaian.
Episod arak kali kedua ini mendedahkan pandangan Pas Selangor tidak ke mana pun.

Apakah Pas akan tetap bersama-sama DAP dan PKR di bawah satu pakatan?

Sunday, January 16, 2011

Dato’ Seri Hishamuddin – Bila Nak Turun Padang?



Salam semua…

Penulis berpendapat sudah tiba masanya Menteri Dalam Negeri ,YB.  Dato’ Seri Hishamuddin Bin Tun Hussein tampil ke hadapan menangani isu-isu sensitif yang sejak kebelakangan ini sengaja dimainkan oleh segelintir warganegara yang tidak bertanggung-jawab.

Hebahan melalui media cetak dan elektronik tentang kesalahan memainkan isu agama secara sewenang-wenangnya perlu dipercepatkan agar semua rakyat faham bahawa perlunya mereka mematuhi undang-undang atau peraturan tertentu yang melarang mereka daripada melakukannya.

Orang ramai nampaknya semakin resah dengan tindak-tanduk mereka yang bertindak seolah-olah sengaja membakar api perkauman. Perbuatan berterusan orang-orang yang tidak bertanggung-jawab ini perlu dihentikan dengan seberapa segera agar kesejahteraan rakyat berbilang kaum di Malaysia dapat hidup dengan lebih aman lagi.

Keresahan yang sama telah diutarakan oleh  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom melalui komennya tentang isu penarikan balik larangan tidak membenarkan umat Islam bekerja di premis menjual arak oleh exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu.

Ikuti paparan berita yang penulis ambil daripada Malaysiakini bertarikh 15/01/2011
(Klik di sini.   ).

Bernama hari ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu yang mengarahkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menarik balik larangan tidak membenarkan umat Islam bekerja di premis menjual arak sebagai menghina menghina Islam.

"Perkara itu termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor. Ronnie tidak boleh sentuh. Kita berusaha mempertahankan moral dan akhlak orang Islam tetapi yang berlaku ada pihak mahu umat Islam melakukan sebaliknya," katanya.

Sehubungan itu, Jamil Khir emberi amaran kepada pihak-pihak yang cuba mempolitikkan isu-isu agama supaya segera menghentikannya dan menilai kesan perbuatan mereka.

Liu Khamis lalu berkata pekeliling menarik balik larangan itu telah dikeluarkan kepada presiden MPSJ, Md Adnan Ikhsan dengan alasan “kerajaan negeri tidak menyedarinya.”

"Kami tidak dirujuk (berhubung larangan itu). Sebab itu, kita minta mereka tarik dulu,” katanya, sambil menambah isu berkenaan turut dibincangkan pada mesyuarat exco Rabu lalu.

Malaysiakini pada 13 Januari lalu melaporkan garis panduan terbaru MPSJ melarang orang Islam bekerja di tempat-tempat yang menyediakan minuman keras.

Syarat baru itu disertakan sebelum lesen perniagaan dikeluarkan kerana pengambilan pekerja beragama Islam di premis-premis berkenaan dikatakan bertentangan dan melanggar Seksyen 18 (2), Enakmen Jenayah Syariahbahawa syarat baru itu perlu dipatuhi sebelum lesen perniagaan dikeluarkan kerana pengambilan pekerja beragama Islam di premis-premis berkenaan dikatakan bertentangan dan melanggar Seksyen 18 (2), Enakmen Jenayah Syariah.

Syarat itu dikatakan dibuat atas “inisiatif sendiri majlis itu demi menuju kebaikan” dan mana-mana syarikat yang gagal mematuhinya akan dikompaun atau menghadapi kemungkinan lesen mereka ditarik balik.

Laporan Bernama itu, bagaimanapun tidak menyatakan sama ada Jamil Khir akan mencadangkan larangan yang sama dikuatkuasakan kepada semua orang Islam di seluruh Malaysia.

Isu azan

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata provokasi yang tinggi akan menimbulkan sentimen dan kemarahan orang Islam untuk bangkit mempertahankan agama mereka.

"Jadi jangan sentuh soal ibadat orang Islam. Saya ingin mengingatkan pihak terbabit tidak menggunakan parti-parti politik untuk menguji orang Islam dengan isu agama demi kepentingan politik mereka," katanya.

Beliua mengulas isu seorang pengadu mempersoalkan azan dari Masjid Al-Ikhlasiah, Bukit Kerinchi, Jalan Pantai Permai, Kuala Lumpur yang didakwa mengganggu tidurnya, baru-baru ini.

Beliau yang ditemui pemberita pada majlis ramah mesra pegawai penyelaras masjid daerah, imam dan guru Kafa (Kelas Agama dan Fardu Ain) di di Jitra hari ini berkata, surat pengadu yang diterimanya turut dihantar kepada Perdana Menteri, Jabatan Agama Islam Selangor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Kita membuat kajian dan pantau apa sebenarnya berlaku. Adakah pembesar suara di pasang 24 jam. Ia hanya dipasang apabila masuk waktu (solat).

"Islam diterima semua pihak sebagai agama rasmi persekutuan tetapi kini terdapat musuh politik yang cuba mengganggu-gugat perkara yang disepakati bersama," katanya.

'Mandom' pula

Jamil Khir turut melahir rasa kecewa dengan tindakan anggota parlimen PAS, Dr Lo'lo Ghazali menggunakan perkataan 'mandom' terhadap pegawai-pegawai Jakim dan Jabatan Agama dalam blognya mempertahankan tindakan anggota parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang berpakaian ketat mengadakan aktiviti senaman di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, baru-baru ini.

"Saya nak tegur supaya cermat guna bahasa kerana perkataan supaya orang seperti kita (anggota parlimen) dihormati," katanya.

Terdahulu, semasa berucap beliau berkata kenaikkan elaun imam, pegawai penyelaras masjid daerah dan guru Kafa yang dibentangkan Perdana Menteri dalam Bajet 2011 Oktober tahun lepas adalah tanda keprihatinan kerajaan membawa mereka keluar daripada garis kemiskinan.

Imam dan pegawai penyelaras masjid daerah menikmati kenaikkan daripada RM450 kepada RM750 manakala guru Kafa daripada RM500 kepada RM800, berkuatkuasa bulan ini.

Monday, January 10, 2011

ADAKAH AKTIVITI LASAK PELAJAR SEKOLAH MEMENUHI CIRI-CIRI KESELAMATAN?




Salam semua…
Kali ini penulis ingin beralih topik perbincangan daripada isu politik yang tidak ada kesudahannya ke isu semasa dan yang terbaru mengenai  kemalangan trajis lagi menyayatkan hati melibatkan seorang pelajar Tingkatan Dua apabila dia maut dihentam takal besi pada tali yang sedang dipasang, kira-kira jam 6 pagi semalam semasa mengadakan latihan flying fox untuk kegiatan pengakap di sekolahnya.
Ikuti lapuran yang penulis ambil daripada Berita Harian Online bertarikh 9/1/2011 (atau klik di sini.    ).
TAIPING: Kegembiraan seorang pelajar Tingkatan Dua mengetuai sekumpulan pengakap di sekolahnya mengadakan latihan flying fox berakhir tragedi apabila dia maut dihentam takal besi pada tali yang sedang dipasang, kira-kira jam 6 pagi semalam. Goh Swee Khin, (kiri) 14, pelajar lelaki yang aktif dengan aktiviti kokurikulum, ketika itu bersama kira-kira 40 rakannya di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Hua Lian, di sini, menyertai program perkhemahan pengakap.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Md Diah, berkata kejadian berlaku ketika mangsa mengetuai rakannya membuat persediaan latihan flying fox dengan diawasi seorang guru.
“Ketika kumpulan pelajar itu meregangkan tali, tiba-tiba tali itu putus menyebabkan takal besi menghentam kepala mangsa menyebabkan dia meninggal di tempat kejadian. “Petugas hospital yang tiba di lokasi kejadian sejurus kemudian mengesahkan pelajar itu meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Taiping (HT) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai mati mengejut. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dimaklumkan kejadian malang itu mengarahkan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong menziarahi keluarga mangsa, kira-kira jam 6.30 petang.
Kementerian Pelajaran turut menubuhkan jawatankuasa penyiasat diketuai Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud bagi mengenal pasti punca kejadian. Ka Siong yang ditemui ketika melawat keluarga mangsa di sini, berkata Perdana Menteri terkilan dengan kejadian itu. Katanya, jawatankuasa siasatan akan mengenal pasti punca kejadian dan kelemahan berhubung aktiviti yang dijalankan itu. Katanya, kementerian juga mengarahkan SMJKC Hua Lian menghentikan semua aktiviti sekolah selama dua minggu kerana kejadian itu menyebabkan trauma kepada pelajar sekolah yang perlu diberi kaunseling. Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi RM2,000 kepada keluarga mangsa manakala Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon yang turut melawat keluarga mangsa sebelum itu menyerahkan sumbangan RM5,000 bagi pihak kerajaan Perak. Sementara itu, ibu mangsa, Phorn Thi Pha, 38, yang mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Ka Siong dan kerajaan negeri berkata anak sulungnya itu bersemangat menjalankan kegiatan itu tetapi tidak menyangka ia berakhir tragedi.
Ulasan penulis.
Sebagai seorang Islam, memang betul kita tidak boleh melawan takdir kerana ianya telah ditentukan oleh Allah. Walaubagaimanapun Allah melalui rasulnya, mengajar kita berusaha dan sentiasa berdoa supaya malapetaka seperti di atas dapat dielakkan jika kita bersungguh-sungguh berikhtiar melakukan yang terbaik  berdasarkan tatacara dan teknik yang betul. Selain dari itu kita juga selalu diperingatkan supaya unsur-unsur yang melibatkan kecuaian manusia perlu dielakkan sebaik mungkin.
Penulis sendiri bersama-sama dengan rakan kerja yang lain pernah beberapa kali menyertai aktiviti lasak seperti di atas suatu masa dulu ketika menghadiri kursus kem bina semangat yang dianjurkan oleh majikan penulis. 
Tetapi apa yang penulis ingat sehingga ke hari ini ialah kata-kata instruktor yang mengendalikan aktiviti lasak tersebut bahawa tiap-tiap aktiviti lasak seperti juga flying fox di atas wajib dikendalikan serta diawasi oleh para-para jurulatih serta instruktor yang mempunyai tauliah dalam aktiviti lasak tersebut. Ianya perlu bagi memastikan tahap keselamatan dari segi kesesuaian fizikal peserta dan segala peralatan untuk  aktiviti tersebut  mestilah di dalam keadaan yang terbaik sebelum sebarang aktiviti dapat dilakukan. Maknanya kebarangkalian untuk melakukan kesilapan dari segi keupayaan peserta dan peralatan yang digunakan adalah 0 %.
Penulis tidak pasti samada tatacara yang sama digunakan ke atas pelajar-pelajar sekolah kita. Akan tetapi bila mengetahui punca kepada kejadian malang di atas seperti yang dilapurkan oleh wartawan Berita Harian adalah berpunca dari tali yang tiba-tiba putus menyebabkan takal besi menghentam kepala mangsa dan  beliau meninggal di tempat kejadian.
Dari pemerhatian kasar penulis melalui gambar yang terpapar di dalam Berita Harian Online di atas, saiz badan penuntut yang malang berkenaan rasanya tidak berapa sesuai untuk aktiviti lasak, jadi kenapa pihak sekolah boleh membenarkan beliau menyertainya?
Penulis sengaja membangkitkan isu ini dengan harapan ibubapa dan pihak sekolah perlu mendapatkan penerangan yang betul tentang aktiviti ini supaya perkara yang sama tidak akan berulang lagi di masa-masa akan datang.
(Sisipan malam)