Tuesday, March 15, 2011

SIKAP ‘SEMUA TAK TAHU’ MENJADI PUNCA KENAPA KERAJAAN PAS KEDAH ENGGAN SENARAI PELAKSANAAN MANIFESTO…


Salam semua…
Kerajaan negeri enggan menyenaraikan secara terperinci bahawa mereka telah berjaya melaksanakan 80 peratus daripada janji manifesto pilihan raya umum lalu selepas tiga tahun memerintah negeri tersebut.
Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, perkara itu tidak perlu dilakukan kerana kejayaan tersebut sudah diketahui oleh rakyat negeri ini.
"Depa (mereka) boleh tengok sendiri kejayaan kerajaan negeri, benda ini cerita lama, dalam Warta Darulaman ada semua.
"Tapi kalau ada pertanyaan tentang perkara ini dalam Dewan (Undangan Negeri) nanti saya jawablah," katanya kepada pemberita selepas melawat Ladang Nanas Agro Kedah di Laka Temin, di sini hari ini.
Kelmarin, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir meminta kerajaan negeri menyenaraikan dengan terperinci sejauh mana pelaksanaan manifesto pilihan raya umum Pas Kedah 2008 selepas mengambil alih pentadbiran negeri ini daripada Barisan Nasional (BN).
Mukhriz berkata, segala butiran itu penting bagi membolehkan rakyat membuat penilaian apakah benar dakwaan kerajaan negeri kononnya 80 peratus daripada janjinya telah dilaksanakan.
Kata Mukhriz, kerajaan negeri tidak boleh sekadar membuat kenyataan semata-mata tetapi perlu disertakan dengan fakta yang lengkap.
Azizan berkata, rakyat negeri ini menyedari Pas berjaya menguruskan Kedah dengan telus dan tanpa penyelewengan hingga berjaya mencatatkan pendapatan berlipat kali ganda.
"Rakyat tahu kerajaan negeri memerintah dengan telus, tiada pembaziran, rasuah atau salah guna kuasa.
"Saya sendiri nak tanya BN, kenapa masa memerintah dahulu keuntungan balak hanya RM8 juta setahun? Sedangkan apabila Pas memerintah keuntungan mencatat RM53 juta. Padahal ia adalah hasil balak di tempat yang sama," katanya.
Beliau berkata, jumlah tersebut boleh dirujuk dalam Laporan Audit Negara.
Azizan berkata, beliau boleh menjawab kenyataan Mukhriz itu daripada pelbagai sudut, termasuk ekonomi misalnya, keuntungan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) semasa di bawah BN adalah RM18 juta setahun, tetapi meningkat kepada RM32 juta apabila Pas memerintah.
Beliau berkata, projek kerajaan negeri di bawah BN dahulu hanya dibawa oleh Kerajaan Pusat, contohnya pembinaan Kompleks Darul Aman yang menyebabkan kerajaan negeri terpaksa berhutang hingga sekarang RM20 juta setahun kepada Kerajaan Pusat.- Utusan


No comments: