Saturday, March 05, 2011

PEMIMPIN KANAN PAS BELI TANAH PENEROKA –HARAKAH CUBA SELAMATKAN PEMIMPINNYA?


Salam semua…
Jawapan daripada Harakah yang membela Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man:
Para pemimpin dan media Umno terbukti berbohong ketika mereka memfitnah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membeli tanah peneroka Felda kerana ianya sebenarnya dibeli oleh pihak lain.
(Gambar: Ibrahim menunjukkan bukti tanah itu adalah milik syarikatnya. Ia dicagarkan beliau untuk pinjaman MARA)
Ia sebenarnya dibeli oleh Ibrahim bin Osman, seorang guru yang hanya meminjam duit dari Tuan Ibrahim dan kini tanah itu dicagarkan oleh Ibrahim kepada MARA untuk satu pinjaman lain.
"Sebenarnya apa yang berlaku adalah, seorang peneroka Felda telah mengiklan di merata-rata tempat mahu menjual tanahnya. Beliau juga telah menemui saya dan meminta saya membelinya.
"Memandangkan saya tidak ada duit, saya telah bertanya kepada Datuk Tuan Ibrahim untuk membantu saya. Dia bersetuju meminjamkan dahulu duit kepada saya dan sebagai jaminan terhadap pinjaman tersebut saya  bersetuju menggunakan nama isteri beliau sementara saya menjelaskan kesemua pinjaman itu.
"Apabila saya mempunyai duit, saya telah mengambilalih tanah itu dan  menggunakannya untuk dicagarkannya kepada pihak MARA atas nama syarikat saya, Syarikat Pintar Kesuma Sdn Bhd (gambar)," kata Ibrahim dalam sidang media khas di Markas PAS Kerdau lewat petang ini.

Ibrahim menjelaskan fitnah yang dibuat Umno dan medianya terhadap Pengarah Pilihan Raya PAS Kerdau Datuk Tuan Ibrahim dengan mendakwa beliau membeli tanah peneroka Felda yang dalam kesempitan bukannya membantu beliau.
(Gambar: Bukti yang menunjukkan tanah itu adalah milik syarikat Cikgu Ibrahim, Pintar Kesuma sdn bhd. Ini adalah borang permohonan cagaran tanah kepada MARA)
Blog Umno juga ada mendakwa Tuan Ibrahim sebagai lintah darat ekoran laporan itu.
"Saya sangat dukacita dengan tuduhan itu kerana hasrat beliau untuk membantu saya dan peneroka berkenaan telah bertukar menjadi satu fitnah terhadap beliau.
"Hasil dari jualan tanah Felda tersebut, peneroka berkenaan telah berjaya membangunkan 15 ekar ladang sawit dan juga ternakan kambing dan lembu, bukannya menjadi dhaif sebagaimana didakwa," kata Ibrahim Osman.
Oleh itu, katanya, soal Datuk Tuan Ibrahim membeli tanah Felda sehingga menganiaya peneroka Felda tidak berbangkit sama sekali dan satu dakwaan dan tuduhan yang tidak benar.
Tuan Ibrahim dalam sidang media itu berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan isu ini dan hanya membantu meminjamkan wang kepada Ibrahim sahaja.
"Media dan Umno hanya cuba mengalih isu sebenar di Kerdau iaitu masalah hutang kerajaan negeri dengan membangkitkan perkara yang tidak benar ini," kata Tuan Ibrahim.-Harakah
P/S – Penulis nampak Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan media rasmi mereka, Harakah cuba lari daripada isu pokok. Walau apa alasannya sekalipun, dalam hal ini orang ramai hanya akan percaya kepada dokumen asal yang melibatkan siapakah pembeli dan siapakah penjual kepada hartanah berkenaan.
Seperti yang diperjelaskan bahawa dalam pembelian hartanah tersebut, mereka secara nyata telah bersetuju menggunakan nama isteri Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai pembeli yang sah.
Dalam hal-hal syariat muammalat dalam Islam, selain daripada aqad jual dan beli, harga belian dan jualan, penentuan siapakah pembeli dan penjual mestilah diperjelaskan dengan sejelas-jelasnya.
Persoalan di sini, kalaulah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man betul-betul ikhlas hendak menolong cikgu Ibrahim, kenapakah beliau tidak meletakkan terus nama cikgu berkenaan sebagai pembeli yang sah di dalam perjanjian jual-beli tanah berkenaan?
Itupun kalau Cikgu Ibrahim bernasib baik kerana beliau mampu menjelaskan kesemua hutangnya.
Sebaliknya, apa akan terjadi jika beliau gagal menjelaskan hutangnya? Ataupun apa-apa yang tidak baik berlaku ke atas dirinya?
Jika berlaku sedemikian, siapakah yang akan menjadi tuan punya yang sah kepada hartanah berkenaan?  Jawapannya ialah isteri Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man…
Kita bukannya ingin menuduh siapa yang betul dan siapa yang salah dalam hal ini. Sememangnya dari segi perundangan memang sahpun urusniaga berkenaan.
Ini sebenarnya isu moral yang melibatkan kreditibiliti pemimpin tertinggi PAS!...Ini belum lagi dikira tentang keuntungan daripada harga jualan tanah berkenaan…berapa banyak yang beliau dapat kita sendiripun tak tahu?....kalau kita tanya nanti, banyak lagi isu yang akan terkeluar….

No comments: