Thursday, April 21, 2011

HAJI HADI KATA BUKAN PAS YANG SAKIT, TETAPI ORANG-ORANG MELAYU TERBABIT (SARAWAK) ITU SENDIRI YANG SAKIT….SEBAGAI PUNCA PAS KALAH TERUK DI SARAWAK?



Salam semua…
Amat memalukan kita semua bila Haji Hadi yang dilabelkan oleh Prof Abdul Aziz Bari sebagai liabiliti kepada Pakatan Rakyat semalam telah berterusan membuat kenyataan dangkal dengan berkata punca PAS kalah di Sarawak  bukanlah disebabkan PAS yang sakit, tetapi orang-orang Melayu terbabit (Sarawak) itu sendiri yang sakit.
Sebenarnya apa yang berlaku di kalangan orang Melayu Sarawak yang rata-ratanya mereka menolak parti PAS adalah kerana mereka beranggapan bahawa PAS bukanlah sebuah parti yang boleh memperjuangkan Islam. Selama seminggu lebih ahli-ahli dan pemimpin PAS berada di sana, mereka bukanlah ikhlas untuk berdakwah untuk orang-orang Melayu Sarawak. Sebaliknya orang Melayu Sarawak melihat mereka sama seperti parti-parti politik yang lain.
Kalau tidak percaya buatlah kajian sendiri. Ini kelemahan Haji Hadi sendiri yang suka memainkan politik sentimen dan persepsi melebihi kerja dakwah yang sepatutnya mereka lakukan. Maknanya kerja-kerja dakwah mereka di Sarawak ternyata gagal. Kalaulah orang-orang bukan Melayu boleh menyokong mereka (PAS), maknanya orang Melayu Sarawak mungkin akan beranggapan bahawa  DAP adalah PAS adalah sama sahaja. Buktinya takkanlah kerja-kerja dakwah PAS ke atas orang-orang bukan Melayu di Sarawak lebih berjaya daripada orang-orang Melayu itu sendiri?
Orang Melayu Sarawak bukannya bodoh, mereka nampak semua ini tidak lain tidak bukan hanyalah kerja dan strategi politik perkauman  DAP yang telah awal-awal lagi memberi isyarat supaya kaum Cina di Sarawak mesti menyokong Pakatan Rakyat.
Ikuti kenyataan Haji Hadi seperti yang disiarkan oleh Harakah Daily:
Beliau (Haji Hadi) lebih tertarik untuk mengulas isu yang mengatakan PAS berada dalam keadaan sakit kini, ekoran dakwaan kegagalannya menarik sokongan orang Melayu di Semenanjung dan di Sarawak seperti yang berlaku dalam PRN Sarawak Ke-10 pada 16 April lalu.
"Ini jelas merupakan fakta yang diputarbelit. Sebenarnya bukan PAS yang sakit, tetapi orang Melayu itu sendiri yang sakit sehingga menyebabkan di dalam jiwanya tidak langsung mempunyai kesedaran tentang kewajipannya menyokong perjuangan Islam, sehingga mereka sanggup memberikan sokongan kepada parti sekular untuk memimpin mereka," katanya.
Lebih menghairankan, apabila orang bukan Islam pula yang sedar dan faham mengenai kepentingan mereka menyokong PAS untuk membolehkan mereka turut berada di bawah pemerintahan Islam, sejajar dengan kelebihan parti Islam itu sendiri berbanding parti-parti lain.
"Jadi ini jelas menunjukkan bukan PAS yang sakit, tetapi orang-orang Melayu terbabit itu sendiri yang sakit dan mereka perlu terus dibantu untuk diubati oleh kita supaya mereka juga turut sedar tentang kedudukan dan peranan mereka yang sebenar terhadap perjuangan Islam," ujarnya.
Kegagalan orang Melayu memahami malah sesetengahnya mengenali PAS sebagai organisasi penting dalam gerakan Islam di tanah air, menurut beliau, sememangnya direncanakan sendiri oleh Umno BN sejak sekian lama memerintah negara, bagi kepentingan politik dan perut para pemimpin mereka sendiri.
"Pada hal yang ditentang oleh mereka adalah perjuangan Islam. Mereka sendiri sebagai orang Islam tidak sepatutnya menentang perjuangan Islam, tetapi mereka sanggup berbuat demikian kerana di dalam hati mereka itu juga turut mempunyai penyakit yang perlu diubati," katanya kesal. 
Antara cara yang dilakukan oleh para pemimpin Umno BN bagi menyekat perkembangan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, termasuklah dengan mengenakan sekatan yang ketat terhadap PAS untuk menyebarkan risalah perjuangan Islam kepada seluruh rakyat negara ini di segenap peringkat.
Selain itu, mereka juga turut mengenakan pelbagai tekanan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya terus berada di bawah penguasaan mereka, bagi mengekang SPR dari melaksanakan peranannya dengan betul dan adil selaras dengan amalan demokrasi di negara ini. 
"Ini tentunya menuntut kita semua bangun membetulkan kepincangan yang ada untuk membolehkan kebangkitan rakyat turut berlaku di tanah air kita, bagi menukar kerajaan BN yang ada kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang pastinya jauh lebih baik dari segala sudut untuk perjuangan Islam dan seluruh rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek," ujar beliau.
Menyedari hakikat itu, beliau turut menjelaskan akan turut memfokuskan ucapan dasarnya pada muktamar agung PAS Jun ini ke arah rangsangan kepada jentera PAS di segenap peringkat agar berusaha lebih gigih, berbekalkan keikhlasan, bagi membolehkan PAS dan Pakatan Rakyat mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.
"Ikhlas itu amat penting. Kalau berusaha gigih sahaja tetapi tanpa keikhlasan tak guna. Dengan keikhlasan itulah yang akan membolehkan kita diberikan pertolongan oleh Allah dalam segenap segi. Jadi dengan keikhlasanlah PAS akan menang," tegas beliau.

1 comment:

Anonymous said...

PAS TAK KALAH TERUK,DAPAT BANYAK UNDI DARI BUKAN ISLAM SARAWAK , KALAU TAK DAPAT UNDI DARI BUKAN ISLAM BARU NASIB PAS SAMA DENGAN SNAP.