Showing posts with label HADI AWANG. Show all posts
Showing posts with label HADI AWANG. Show all posts

Thursday, April 21, 2011

HAJI HADI KATA BUKAN PAS YANG SAKIT, TETAPI ORANG-ORANG MELAYU TERBABIT (SARAWAK) ITU SENDIRI YANG SAKIT….SEBAGAI PUNCA PAS KALAH TERUK DI SARAWAK?



Salam semua…
Amat memalukan kita semua bila Haji Hadi yang dilabelkan oleh Prof Abdul Aziz Bari sebagai liabiliti kepada Pakatan Rakyat semalam telah berterusan membuat kenyataan dangkal dengan berkata punca PAS kalah di Sarawak  bukanlah disebabkan PAS yang sakit, tetapi orang-orang Melayu terbabit (Sarawak) itu sendiri yang sakit.
Sebenarnya apa yang berlaku di kalangan orang Melayu Sarawak yang rata-ratanya mereka menolak parti PAS adalah kerana mereka beranggapan bahawa PAS bukanlah sebuah parti yang boleh memperjuangkan Islam. Selama seminggu lebih ahli-ahli dan pemimpin PAS berada di sana, mereka bukanlah ikhlas untuk berdakwah untuk orang-orang Melayu Sarawak. Sebaliknya orang Melayu Sarawak melihat mereka sama seperti parti-parti politik yang lain.
Kalau tidak percaya buatlah kajian sendiri. Ini kelemahan Haji Hadi sendiri yang suka memainkan politik sentimen dan persepsi melebihi kerja dakwah yang sepatutnya mereka lakukan. Maknanya kerja-kerja dakwah mereka di Sarawak ternyata gagal. Kalaulah orang-orang bukan Melayu boleh menyokong mereka (PAS), maknanya orang Melayu Sarawak mungkin akan beranggapan bahawa  DAP adalah PAS adalah sama sahaja. Buktinya takkanlah kerja-kerja dakwah PAS ke atas orang-orang bukan Melayu di Sarawak lebih berjaya daripada orang-orang Melayu itu sendiri?
Orang Melayu Sarawak bukannya bodoh, mereka nampak semua ini tidak lain tidak bukan hanyalah kerja dan strategi politik perkauman  DAP yang telah awal-awal lagi memberi isyarat supaya kaum Cina di Sarawak mesti menyokong Pakatan Rakyat.
Ikuti kenyataan Haji Hadi seperti yang disiarkan oleh Harakah Daily:
Beliau (Haji Hadi) lebih tertarik untuk mengulas isu yang mengatakan PAS berada dalam keadaan sakit kini, ekoran dakwaan kegagalannya menarik sokongan orang Melayu di Semenanjung dan di Sarawak seperti yang berlaku dalam PRN Sarawak Ke-10 pada 16 April lalu.
"Ini jelas merupakan fakta yang diputarbelit. Sebenarnya bukan PAS yang sakit, tetapi orang Melayu itu sendiri yang sakit sehingga menyebabkan di dalam jiwanya tidak langsung mempunyai kesedaran tentang kewajipannya menyokong perjuangan Islam, sehingga mereka sanggup memberikan sokongan kepada parti sekular untuk memimpin mereka," katanya.
Lebih menghairankan, apabila orang bukan Islam pula yang sedar dan faham mengenai kepentingan mereka menyokong PAS untuk membolehkan mereka turut berada di bawah pemerintahan Islam, sejajar dengan kelebihan parti Islam itu sendiri berbanding parti-parti lain.
"Jadi ini jelas menunjukkan bukan PAS yang sakit, tetapi orang-orang Melayu terbabit itu sendiri yang sakit dan mereka perlu terus dibantu untuk diubati oleh kita supaya mereka juga turut sedar tentang kedudukan dan peranan mereka yang sebenar terhadap perjuangan Islam," ujarnya.
Kegagalan orang Melayu memahami malah sesetengahnya mengenali PAS sebagai organisasi penting dalam gerakan Islam di tanah air, menurut beliau, sememangnya direncanakan sendiri oleh Umno BN sejak sekian lama memerintah negara, bagi kepentingan politik dan perut para pemimpin mereka sendiri.
"Pada hal yang ditentang oleh mereka adalah perjuangan Islam. Mereka sendiri sebagai orang Islam tidak sepatutnya menentang perjuangan Islam, tetapi mereka sanggup berbuat demikian kerana di dalam hati mereka itu juga turut mempunyai penyakit yang perlu diubati," katanya kesal. 
Antara cara yang dilakukan oleh para pemimpin Umno BN bagi menyekat perkembangan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, termasuklah dengan mengenakan sekatan yang ketat terhadap PAS untuk menyebarkan risalah perjuangan Islam kepada seluruh rakyat negara ini di segenap peringkat.
Selain itu, mereka juga turut mengenakan pelbagai tekanan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya terus berada di bawah penguasaan mereka, bagi mengekang SPR dari melaksanakan peranannya dengan betul dan adil selaras dengan amalan demokrasi di negara ini. 
"Ini tentunya menuntut kita semua bangun membetulkan kepincangan yang ada untuk membolehkan kebangkitan rakyat turut berlaku di tanah air kita, bagi menukar kerajaan BN yang ada kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang pastinya jauh lebih baik dari segala sudut untuk perjuangan Islam dan seluruh rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek," ujar beliau.
Menyedari hakikat itu, beliau turut menjelaskan akan turut memfokuskan ucapan dasarnya pada muktamar agung PAS Jun ini ke arah rangsangan kepada jentera PAS di segenap peringkat agar berusaha lebih gigih, berbekalkan keikhlasan, bagi membolehkan PAS dan Pakatan Rakyat mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.
"Ikhlas itu amat penting. Kalau berusaha gigih sahaja tetapi tanpa keikhlasan tak guna. Dengan keikhlasan itulah yang akan membolehkan kita diberikan pertolongan oleh Allah dalam segenap segi. Jadi dengan keikhlasanlah PAS akan menang," tegas beliau.

Wednesday, April 20, 2011

Prof Abdul Aziz Bari : Jika Presiden Umno boleh dikritik, mengapa tidak Presiden PAS.


Salam semua...

Prof Abdul Aziz Bari menasihatkan Dewan Pemuda PAS supaya tidak "mengamuk dan naik minyak" ekoran pandangannya bahawa Presiden mereka Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini dilihat sebagai liabiliti kepada parti komponen Pakatan Rakyat itu.

Justeru tegas penganalisis politik ini, Dewan Pemuda PAS khususnya kepimpinan Wilayah Persekutuan seharusnya memastikan kemenangan pemimpin yang mereka fikir baik.
"Dewan Pemuda PAS Wilayah (Persektuuan) tak perlu melenting. Mereka kena faham konsep dan implikasi kepemimpinan dalam politik moden berperlembagaan hari ini," kata ahli akademik ini.

"Mungkin Dewan Pemuda Wilayah berasa PAS sekarang hebat. Itu hak mereka. Tetapi tak perlulah mereka mengamuk.

"Saya fikir elok mereka bekerja untuk memastikan kemenangan pemimpin yang mereka fikir baik," kata beliau dalam satu kenyataan balas hari ini.

Semalam, pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Herman Samsudeen turut menyanggah pandangan Aziz sambil berkata, jika benar beliau menjadi liabiliti, sudah lama PKR dan DAP telah memutuskan hubungan dengan PAS.

"Selain itu, pandangan Aziz yang asyik mengulang isu kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 untuk memalukan presiden PAS tidak ubah seperti pandangan budak tadika sahaja.
"Ia jelas menunjukan kelemahan bacaan politik beliau yang mana, di bawah kepimpinan Presiden hari ini, PAS berjaya menguasai dua negeri iaitu Kelantan dan Kedah walaupun gagal menguasai Terengganu pada 2008, malah jumlah kerusi PAS di Parlimen pada 2008, bertambah tiga kali ganda iaitu 24 kerusi dari tujuh kerusi pada 2004," katanya.

Sebagai presiden kata beliau, keupayaan prestasi beliau dilihat berdasarkan keupayaan parti di seluruh negara bukannya di Terengganu sahaja.

"Dan, ia sudah cukup membuktikan kebangkitan semula kepimpinan PAS di bawah presiden," katanya.

Kata beliau, Aziz juga kelihatan agak bingung ketika mendakwa Hadi adalah punca kegagalan 16 September.

"Di tadika manakah fakta ini diperolehinya? Adakah beliau ada membuat kajian ilmiah tentang hal ini sebagai profesor atau sekadar menggantungkan lidah beliau pada hujahan berasaskan persepsi.

"Nampaknya beliau sengaja mengkambinghitamkan presiden PAS dengan pelbagai tuduhan liar, hanya untuk melampiaskan nafsu amarahnya yang tidak ketahuan punca," kata beliau lagi.

Pemimpin-pemimpin PAS mempertahankan kepimpinan Hadi sambil menegaskan pemimpin veteran itu bukan liabiliti kepada parti Islam sepert didakwa Aziz.

Sebaliknya, mereka sebulat suara berkeyakinan Hadi yang telah menerajui PAS sejak 2002 masih releven untuk menjadi pemimpin nombor satu parti itu ekoran kejayaan yang telah dicapai semenjak mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hasan at-Tantawi pula berkata alasan yang diberikan Aziz itu adalah perkara yang akan sentiasa dibangkitkan setiap kali menjelang pemilihan parti itu.

Dalam kenyataan hari ini, Aziz juga berkata, ramai yang akur bahawa ruang yang ditinggalkan oleh Fadhil tidak dapat diisi oleh Hadi.

"Fadhil hebat kerana beliau meninggalkan landasan yang hari ini menjadi asas Pakatan Rakyat. Sebaliknya, Hadi mempunyai imej yang berbeza. Walaupun belum ke tahap meninggalkan Pakatan golongan ini sudah pernah mengungkit kedudukan mereka dalam Pakatan," kata beliau.

Oleh itu kata beliau, mereka yang mahu perubahan dalam negara perlu menyokong perubahan dalam PAS.

Katanya, perubahan dalam negara sukar untuk berlaku tanpa sistem dua parti yang mantap. PAS di bawah Hadi tidak peduli konsep ini.

"Meskipun Hadi dan kumpulannya menjerit-jerit untuk menggantikan Umno mereka tidak bekerja untuk membina sebuah sistem yang perlu ke arah itu. Sebab itu Umno senang dengan mereka," katanya lagi.

Aziz berkata, sesiapa yang berjawatan dalam politik perlu akur bahawa prestasi mereka sentiasa dinilai dan dikritik.

"Siapa raja, baik putera raja, ulama, cendekiawan dan lain-lain, perlu akur bahawa mereka tidak lagi kebal dari penilaian dan kritikan," katanya lagi.

Aziz menambah, "komen saya mungkin keterlaluan bagi mereka" tetapi bagi mereka yang prihatin tentang perlunya perubahan, komen itu boleh dipertimbangkan.

"Komen saya berdasarkan pemerhatian dan suara yang dizahirkan oleh pemimpin dan ahli parti. Saya tak perlu dedahkan siapa mereka. Itu kerja parti, termasuk Dewan Pemuda Wilayah, untuk menyiasatnya," katanya lagi.

Soal Aziz, jika Presiden Umno boleh dikritik, mengapa tidak Presiden PAS.
"Lagipun PAS sudah mendakwa yang ia bersedia mengganti Umno. PAS juga mendakwa ia parti untuk semua, termasuk orang bukan Islam.

"Dengan itu PAS perlu inklusif, bukan eksklusif. Mengamuk dan naik minyak bila dikritik bukan ciri parti politik," katanya.

Aziz juga berkata, beliau tidak mengkritik Hadi atas dasar peribadi, sebaliknya mengkritik prestasnya kerana ingin melihat PAS parti penting.

"Ia bukan sahaja parti utama Pakatan Rakyat tetapi ia parti yang senior dan mempunyai banyak ahli, khabarnya sejuta. Ertinya PAS parti terbesar dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Sebab itu katanya, Umno sentiasa gelisah dengan PAS dan cuba mencari jalan untuk menggoncang kesetiaannya dalam Pakatan Rakyat.

"Sikap dolak dalik Presiden PAS dalam isu 16 September semua orang tahu. Begitu juga dengan gagasan kerajaan perpaduan," katanya.

Aziz juga mengaitkan kritikan terbaru ini dengan prestasi parti-parti komponen Pakatan Rakyat dalam pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu lalu.

"Cuba bandingkan perancangan DAP di Sarawak. Mereka bekerja sejak tahun yang lalu. Saya rasa PAS tidak berbuat begitu.
"Mereka sepatut menang di Beting Maro. Dalam soal ini, siapa yang patut menanggungnya?" katanya.

Beliau seterusnya memberikan analogi "jika pemain gagal bermain dengan baik pasti ada yang tidak kena dengan sistem permainan dan taktik yang dipakai."

"Dan, siapa yang hendak dipersalahkan? Jawabnya jurulatih atau pengurus pasukan. Kita akur bahawa menukar ketua tidak semestinya menghasilkan keputusan yang positif.
"Tetapi kita mesti mencuba. Kita tidak boleh mengekalkan pengurusan yang prestasinya hambar," katanya lagi.

P/S - Presiden UMNO bukan sahaja dikritik hebat oleh parti pembangkang malah ada ketikanya beliau difitnah dengan pelbagai kaedah misalnya gambar 'super imposed' kononnya beliau makan malam bersama Altantuya ciptaan pemimpin PR dan yang terbaru tentang pendedahan Raja Petra Kamaruddin.

Semua kritikan dan fitnah yang beliau lalui tidak menghalang beliau daripada terus memikul tanggungjawab besar untuk kemakmuran rakyat dan negara.

Selain daripada sibuk berpolitik yang tidak bermusim, apakah sumbangan pemimpin pembangkang seperti Nik Aziz, Anuar, Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Haji Hadi untuk pembangunan negara?

KENYATAAN MEMALUKAN DARIPADA SESEORANG PEMIMPIN YANG BERGELAR PRESIDEN. KALAU MENANG BARU KATA DEMOKRATIK. APA INI? BACA SETERUSNYA..


Salam semua…
Seperti biasa, selepas kekalahan PAS di mana-mana pilihanraya kepada Barisan Nasional, apabila ditanya, alasan yang sama juga akan diberikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika diminta mengulas mengenai pencapaian PAS dalam PRN Sarawak Ke-10 yang berlangsung 16 April lalu, beliau menegaskan, pencapaian tersebut tidak boleh diukur dari segi demokrasi kerana PRN Sarawak Ke-10 itu bukan berlangsung dalam suasana demokrasi sebenar yang diamalkan di negara ini.
"Kalau PRN Sarawak Ke-10 itu berlangsung dalam suasana demokrasi seperti di negara-negara luar, PAS pasti akan menang kerana ia tidak akan menyekat rakyat untuk membuat pemilihan seperti yang dikehendaki oleh mereka dengan berbagai sekatan oleh para pemimpin BN," tegasnya.
Namun, realiti yang berlaku di Sarawak jelas menyekat PAS dari menyampaikan maklumat kepada rakyat oleh pihak BN dengan berbagai cara terutama menerusi media, sehingga rakyat hanya disogokkan dengan pelbagai propaganda dari BN menerusi media cetak dan elektorik seperti tv dan radio yang masuk ke rumah-rumah setiap penduduk di serata tempat.
Manakala di pihak PAS dan Pakatan Rakyat, peluang itu disekat dengan ketat, tidak seperti di negara-negara luar yang turut memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin pembangkang muncul di media cetak utama, radio dan tv.
"Ini menjadikan PAS gagal menyampaikan maklumat sebenar termasuk menjelaskan dasar-dasar parti kepada orang ramai, sehingga menyebabkan rakyat Sarawak berjaya dipengaruhi oleh BN untuk terus mengundi mereka, walaupun BN ternyata sudah ditolak begitu jauh oleh mereka yang berpendidikan dan terdedah dengan maklumat yang benar seperti di bandar-bandar," katanya.
Keadaan itu, katanya, disusuli pula dengan pelbagai tindakan tidak demokratik lain oleh pihak BN terhadap rakyat Sarawak termasuk menerusi penggunaan jentera kerajaan dengan begitu berleluasa, politik wang, politik ugut dan sebagainya yang jelas melambangkan demokrasi di negara ini masih belum maju.
P/S – PAS sebenarnya mempunyai pemimpin yang lemah. Amatlah memalukan bila Haji Hadi sanggup menyalahkan kerajaan di atas kekalahan mereka. Mereka sepatutnya belajar daripada parti DAP yang berjaya memperkudakan mereka. Itulah perkara yang sebenarnya dan menjadi penyebab utama kenapa ramai orang Melayu Islam menolak perjuangan sempit PAS.
Seeloknya beliau serta Nik Aziz berundurlah secara hormat. Kerana PAS memerlukan pemimpin yang berjiwa besar, bijak dalam mengatur strategi serta tidak berterusan menyalahkan orang lain di atas kelemahan pimpinan mereka.
Nasihat saya kepada Haji Hadi, terimalah pandangan dan kritikan daripada Prof Abdul Aziz Bari di dalam Malaysian Insider baru-baru ini dengan hati terbuka.

Sunday, February 13, 2011

ABDUL HADI AWANG , ADAKAH ANDA SEORANG PEMIMPIN YANG LEMAH TAPI GILAKAN KUASA SERTA TIDAK PERCAYA KEPADA SISTEM DEMOKRASI ?


Salam semua…
Penulis nak tergelak bila terbaca komen terbaru Abdul Hadi Awang yang seolah-olah tidak rasional dalam melontarkan komen beliau.
Kerajaan yang mengamalkan demokrasi tulen tidak semestinya menyerah bulat-bulat kuasa  pemerintahan mereka kepada pembangkang. Adakah demokrasi tulen itu akan terjejas kalau parti pemerintah itu kuat atau parti pembangkang itu lemah?
Di manakah letaknya maruah beliau sebagai pemimpin terbilang kalau beliau asyik berterusan menyalahkan kekuatan Barisan Nasioanal (BN) di bawah DS Najib  dalam memimpin negara?  sebaliknya beliau sanggup pula menutup kelemahan diri sendiri dan parti dengan menyalahkan kerajaan ?
Kalau ikutkan kewarasan akal, semestinyalah kerajaan yang memerintah akan melakukan yang terbaik  bagi menggerakkan jentera kerajaan dalam pelbagai hal mengikut kemampuan yang sedia ada.  Jadi tidak timbullah kerajaan menggunakan  media  yang berat sebelah  kerana kerajaan yang dibentuk melalui demokrasi tulen seperti UMNO-BN tidak pernah mengabaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh pengundi majoriti mereka. Sebab itulah kenapa UMNO serta parti komponen BN yang lain mampu bertahan memerintah negara Malaysia lebih dari 50 tahun!..
Adakah Abdul Hadi bercakap seolah-olah kerajaan dibawah UMNO-BN sekarang memerintah secara kuku besi? Beliau sebenarnya lupa disebalik kerajaan UMNO-BN yang kuat, berdirinya jutaan penyokong-penyokong kuat mereka termasuklah penulis sendiri.
Jadi persoalan tentang ketidak-adilan sistem pilihanraya di Malaysia tidak timbul sama sekali. Yang kuat akan menang dan yang lemah akan kalah.  Beliau satu ketika dulupun pernah menang di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan telah berjaya membawa kerajaan PAS memerintah di negeri Terengganu daripada UMNO-BN selama satu penggal. Apa yang tidak adilnya wahai Abdul Hadi Awang?.
Semua orang tahu termasuklah pimpinan PAS Kelantan, oleh sebab kelemahan pemerintahan beliau yang tidak kompeten dalam segala hal, rakyat negeri Terengganu yang kecewa telah menyerahkan kembali pemerintahan PAS kepada UMNO-BN di dalam PRU 13 dulu. Kalau tidak percaya tanyalah sendiri kepada blogger pro pembangkang, saudara Tulang Besi.
Adakah kekalahan tersebut tidak adil juga pada kacamata Addul Hadi?
Oleh itu, janganlah sesekali mengaitkan setiap kekuatan pemerintahan kerajaan BN di bawah DS Najib dengan unsur-unsur kejahatan dan sebaliknya kelemahan parti pembangkang sendiri pula dianggap sebagai penindasan ke atas rakyat.
Kalau inilah yang berlaku, adalah amat malang sama sekali kerana Abdul Hadi sebenarnya telah mengambil kesempatan di atas kelemahan diri sendiri dan parti PAS keseluruhannya dengan menghasut  rakyat supaya menjatuhkan kerajaan BN sepertimana yang berlaku di Mesir. Tindakan dan seruan beliau itu dilihat seolah-olah tidak berlaku adil kepada semua rakyat di Malaysia.
Sebaliknya, tindakan beliau yang cuba mengenepikan undi majoriti di dalam PRU 12 dulu bukanlah ciri-ciri amalan demokrasi yang tulen sebenarnya.
Adakah jika kerajaan menyerahkan bulat-bulat  pemerintahan negara kepada parti pembangkang tanpa perlu adanya pilihanraya akan dianggap demokrasi tulen pada kacamata Abdul Hadi? 
Kalaulah itu yang beliau maksudkan.  Beliau ternyata  silap sama sekali dan beliau bukanlah ahli politik dan pejuang demokrasi tulen!

Baca kenyataan beliau sepenuhnya seperti yang disiarkan oleh Harakah Daily;
KUALA LUMPUR, 12 Feb: “Inilah seharusnya menjadi iktibar kita, terutamanya kepada kerajaan Umno BN yang juga memaparkan sikap dan perangai yang sama dengan apa yang ditunjukkan oleh rejim yang telah ditewaskan itu,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Justeru, katanya PAS mengajak seluruh rakyat yang dahagakan perubahan agar dapat bersama kami dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat untuk terus merencanakan tugas bagi melakukan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan Hosni Mubarak meletakkan jawatan Presiden Mesir berikutan bantahan berterusan rakyat selama 18 hari.
Berikut kenyataan penuh beliau.
Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir yang berjaya menyingkirkan rejim Hosni Mubarak yang telah menzalimi rakyatnya sejak sekalian lama. Keberanian dan sikap konsisten rakyat yang dahagakan perubahan ini wajar dicontohi oleh masyarakat dunia yang juga berhadapan dengan kerajaan yang zalim dan menindas rakyat. Benarlah firman Allah SWT dalam Al Quran bahawa nasib sesuatu kaum itu akan diubah oleh Allah sekiranya kaum itu sendiri ingin mengubahnya.
Cabaran terbesar selepas ini ialah tentunya mengemudi kerajaan peralihan yang dipimpin sementara oleh pihak tentera supaya perubahan yang digerakkan oleh rakyat ini akhirnya akan kembali kepada kuasa rakyat dalam menentukan hala tuju dan bentuk pemerintahannya, dengan menjadikan peluang keemasan ini untuk menegakkan keadilan menyeluruh, demokrasi telus dan tulen, dan akhirnya menjadi contoh kepada kerajaan lain di rantau Asia Barat yang masih dibelenggu demokrasi tempang. Pihak Majlis Ketenteraan pula diminta supaya tidak menggunakan ruang ini untuk berdolak dalih dan berhelah dalam membina negara Mesir baru nanti.
Kuasa besar dunia juga perlulah menghormati kuasa rakyat dengan tidak cuba mencaturkan suasana pemerintahan baru di Mesir itu. Sebarang campur tangan kuasa luar akan hanya memburukkan keadaan dan menyebabkan suasana kacau-bilau berterusan dialami oleh rakyat Mesir.
Peristiwa bersejarah ini tentunya menjadi iktibar kepada masyarakat dunia, termasuklah kerajaan Malaysia pimpinan Umno BN. Inilah natijahnya apabila undang-undang negara dipergunakan untuk menahan tanpa bicara, darurat diisytiharkan sewenangnya dan kuasa rakyat tidak dihormati sejak sekian lama.
Tempoh itu juga meyaksikan bahawa media dikuasai oeh kerajaan memerintah dan dipergunakan tanpa segn silu dengan matlamat untuk mengekalkan kuasa kerajaan memerintah. Parti politik yang wujud pula dipaksa berdepan dengan sistem pilihanraya yang berat sebelah, dan seterusnya menafikan kuasa rakyat. Sistem pendidikan pula menjadi bahan eksperimen, budaya hidup hedonisme dan penuh dengan rumpunan hiburan yang melekakan telah melupakan rakyat kepada realiti kehidupan sebenar, rasuah bermaharajalela dan rakyat dipaksakan untuk menerima satu bentuk kehidupan yang tujuannya entah ke mana. Akhirnya rakyat Mesir bangkit melakukan perubahan pada hari yang bersejarah ini.
Inilah seharusnya menjadi iktibar kita, terutamanya kepada kerajaan Umno BN yang juga memaparkan sikap dan perangai yang sama dengan apa yang ditunjukkan oleh rejim yang telah ditewaskan itu. PAS dengan ini mengajak seluruh rakyat yang dahagakan perubahan agar dapat bersama kami dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat untuk terus merencanakan tugas bagi melakukan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini.