Sunday, April 10, 2011

NASIHAT BERGUNA KEPADA DR WAN AZIZAH…BACALAH SURAH AN NISA AYAT 135…..


Salam semua…
Sudah banyak nasihat telah diajukan kepada Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail. Namun sehingga sekarang, amatlah mendukacitakan kerana beliau masih lagi gagal tampil kehadapan menceritakan perkara yang sebenar di samping cuba menyelamat maruah keluarganya yang sering diperkatakan.
Hari ini pula penulis terbaca satu  artikel menarik tulisan Awang Selamat yang disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia. Beliau secara peribadi mengambil pendekatan cuba menasihati Dr Wan Azizah supaya bercakap benar dalam kes-kes kesalahan moral seks yang melibatkan suaminya.  Baca seterusnya:
Awang terpanggil mengulas reaksi Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail yang menafikan suaminya, Anwar Ibrahim adalah individu dalam rakaman video tersebut, baru-baru ini.
Penjelasan beliau tentang isu itu tidak menyakinkan. Wan Azizah gagal menunjukkan jam Omega yang beliau dakwa dalam simpanannya. Selain itu, beliau menyatakan bahawa tubuh Anwar lebih berotot kerana banyak melakukan senaman ketika di penjara. Beberapa pengendali blog kemudian membuat analisis, yang memaparkan percanggahan termasuk kenyataannya suatu ketika dahulu berkaitan status kesihatan Anwar yang selalu uzur.
Ramai yang semakin keliru dengan penjelasan beliau apatah lagi penafian Anwar sebelum ini. Sehingga hari ini, Anwar masih gagal menjawab kehilangannya daripada ber‘tweet’ selama dua jam ketika hari rakaman video seks itu berlangsung.
Awang simpati kepada Wan Azizah kerana terpaksa memikul beban daripada perbuatan orang lain. Awang juga kasihan kepada beliau kerana masih belum ada keberanian untuk membetulkan keadaan.
Sudah lama Anwar mewarnai politik tanah air. Ketegangan, pengkhianatan dan drama politik telah banyak beliau cetuskan sejak dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998.
Sudah dua kali menghadapi perbicaraan berkaitan pertuduhan liwat. Sudah banyak cerita tidak bermoral termasuk kaitan dengan isteri seorang pemimpin PKR sebagaimana dakwaan beberapa bekas pemimpin parti itu. Kini tercetus isu video seks. Malah, khabarnya, banyak lagi yang belum terbongkar.
Dalam tempoh itu sudah berapa banyak kali Anwar tidak bercakap benar dalam hal-hal besar termasuk kepada isterinya?
Ini bukan setakat soal suami tidak bercakap benar kepada isteri. Memandangkan kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang dan bercita-cita menjadi Perdana Menteri, ia lebih daripada itu. Ia melibatkan soal agama, rakyat dan negara. Wan Azizah perlu ada keberanian moral untuk membersihkan maruah diri dan keluarganya. Beliau tidak boleh kelihatan bersubahat sepanjang masa. Apa sahaja yang memudaratkan agama, kehidupan manusia lain dan negara, tidak boleh dibiarkan. Awang percaya, Wan Azizah tahu apa yang sebenarnya berlaku. Tentu juga beliau tahu tabiat tertentu suaminya. Mana-mana isteri boleh mempertahankan suami yang asyik melakukan kesalahan dan kemungkaran, untuk tujuan menutup aib, tetapi ada batasnya.
Wan Azizah juga boleh bertindak untuk membetulkan suaminya atas kapasiti beliau sebagai Presiden PKR. Beliau bukan sekadar isteri, beliau adalah pemimpin. Wan Azizah juga sepatutnya memujuk dan menyakinkan suaminya supaya bersumpah laknat dan menjalani ujian DNA dalam mencari kebenaran. Tidakkah aneh rasanya mempunyai seorang suami gagah tetapi takut bersumpah laknat dan melakukan ujian DNA? Sebagai isteri beliau dilihat oleh orang ramai sebagai bersubahat, apakah sebagai presiden juga beliau mahu menjadi pak turut. Seandainya Wan Azizah tidak berkemampuan untuk menasihatkan Anwar yang juga penasihat umum PKR, lebih baik sahaja berundur daripada menjadi peneraju parti.
Sampai bila Wan Azizah mahu turut sama bersikap hipokrit hanya semata-mata kerana mahu suaminya berkuasa suatu hari nanti? Tidakkah sedikitpun terdetik di hati beliau untuk berlaku jujur pada diri sendiri. Awang berharap sangat penipuan bukan pakaian hidup Wan Azizah. Sudah banyak sembahyang hajat dibuat oleh orang ramai sejak 1998 untuk mencari kebenaran bagi membantu Anwar tetapi ternyata petunjuk setakat ini tidak memihak kepada beliau. Siapakah sebenarnya yang menjadi punca masalah kalau bukan Anwar sendiri. Wajarkah rakyat terus menjadi mangsa muslihat dan tipu daya pemimpin yang menghadapi masalah moral yang serius? Rakyat Malaysia selalu berdoa agar Malaysia diselamatkan daripada pemimpin jenis itu.
Kalau Anwar sudah tidak boleh diselamatkan atas tabiatnya itu kita boleh faham tetapi apakah Wan Azizah juga mahu membenarkan dirinya terjerumus sama? Belum pernah dalam sejarah politik, presiden parti membenarkan dirinya hanyut dengan pembohongan anggota keluarga. Dalam kes kecurangan bekas Presiden Bill Clinton, isterinya, Hillary Clinton masih mampu menegur dan mengeluarkan kenyataan sinikal ke atas suaminya. Mesejnya, tuntutan moral mengatasi perkiraan lain termasuk politik. Awang mendoakan Wan Azizah akan mendapat keberanian dan menebus segala kesilapannya.
Inilah ujian paling besar kepada Wan Azizah tetapi sebagai insan ciptaan Allah, beliau ada kudrat untuk melakukan perubahan, setidak-tidaknya untuk keluarga jika pun bukan untuk negara. Tetapi junjunglah kebenaran dan keadilan. Surah An Nisa ayat 135, antara lain bermaksud: Wahai orang yang beriman hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan serta menjadi saksi kepada Allah sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.
Belum terlewat untuk kembali ke pangkal jalan.



1 comment:

Anonymous said...

aku rasa la si jijah ni patut jugak dikenakan tindakan ISA kerana dia selama ni bebas menghasut rakyat bahawa anwar adalah lelaki baik kononnya Anugerah Tuhan la... baru-baru sibuk menjaja plak menafikan bahawa anwar jobor bukanlah lelaki di dalam video seks itu. ini boleh menggugat keamanan dan menyebabkan mana-mana rakyat yang mudah terpedaya dengan lakonan jijah yang mantap, maka akhirnya mereka mengadakan rusuhan di jalanan demi kepentingan peribadi mereka, konon2nya anwar dizalimi lg lah tuh...pirah!