Friday, January 27, 2012

AUKU: AKTIVIS PELAJAR SEPERTI ADAM ADLI MASIH LAGI RELEVAN?


Salam semua®…

Betul seperti kata Tun Mahathir Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tetap relevan kepada orang yang tidak tahu menjaga diri dan tidak menghargai peluang.

Di sebalik kata-kata tersebut ianya juga membawa erti bahawa  sebahagian daripada AUKU  tidak lagi relevan kepada pelajar-pelajar yang beretika dan tahu batas-batas yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang pelajar di samping boleh mengimbangi dengan baik di antara tugas mereka sebagai pelajar dengan apa saja aktiviti sihat di luar  yang mereka ceburi.

Penulis berpendapat, zaman pelajar universiti yang mudah dibentuk seperti robot dan tidak peka kepada permasalahan semasa tidak sesuai lagi zaman  siber ini.

Suasana sekarang sudah banyak berbeza. Pelajar sekarang tidak seperti pelajar-pelajar 20 tahun dahulu yang hanya terdedah kepada nota-nota pelajaran dan terhad kepada semua aktiviti kursus.

Pelajar-pelajar sekarang ini lebih terdedah kepada pelbagai maklumat dan pengetahuan melangkaui pemikiran pelajar-pelajar zaman dahulu. Zaman siber yang penuh mencabar ini menuntut kepada perubahan gaya pemikiran dan tindakan pelajar-pelajar daripada pasif kepada yang lebih kritis dan inovatif.

Mana mungkin kita boleh berterusan menyekat semua ini. Bertepatan seperti kata DS Najib, zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah tidak sesuai lagi. Maknanya pelajar-pelajar yang berpengetahuan tinggi dan mempunyai idea yang kritis adalah perlu bersama-sama dengan kerajaan bagi membangunkan negara.

Jesteru itu, penulis berpendapat kita tidak perlu berterusan memandang rendah serta menyekat aktivis pelajar universiti dalam menyatakan pandangan dan bantahan mereka secara lebih bijaksana dan di dalam suasana yang lebih matang sesuai dengan status mereka sebagai pelajar universiti  yang berani bersuara bagi menyatakan pandangan mereka.

Pendekatan memberi ruang untuk mereka bersuara dan berusaha mendekati (mendidik) pelajar-pelajar ini adalah lebih baik daripada berterusan memusuhi dan menghukum mereka.

Insiden di UPSI dan KUIN menjadi contoh terbaik kenapa kita perlu memberi tumpuan dalam hal ini.

Ikuti komen Tun Mahathir seperti yang disiarkan oleh Utusan Online:

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tetap relevan kepada orang yang tidak tahu menjaga diri dan tidak menghargai peluang yang harus digunakan sebagai seorang mahasiswa, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah melarang sekiranya mahasiswa ingin mengadakan sebarang debat dalam kawasan universiti tetapi yang hendak dikawal adalah perbuatan mereka berkempen secara melampau.

"Yang kita larang adalah tindakan nak pergi kempen di sana sini. Orang bayar duit kepada kita. Kita belajar menggunakan orang lain, jadi kena bertanggungjawab dengan orang yang bekalkan kita dengan wang supaya belajar betul-betul.

"Kemasukan (ke universiti) kebanyakan pelajar Melayu bukan kerana pencapaian tinggi, (dan) kalau tak kerja kuat mereka akan ke belakang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi Bicara Tokoh bersama beliau sempena Tahun Koperasi Antarabangsa 2012 di sini hari ini. — BERNAMA



No comments: