Wednesday, January 19, 2011

PRK DUN TENANG – HARAP PAKATAN RAKYAT HENTIKAN MENGUMPAT!




Salam semua…

Bahang PRK DUN Tenang makin lama makin panas. Sebagai seorang Islam, dalam keseronokan kita berkempen untuk seseorang calon, tidak dapat tidak kita akan tersasar dari mengatakan sesuatu yang kurang baik  kepada saudara se Islam kita yang lain. Oleh yang demikian, di ruang yang terhad ini, penulis mengambil kesempatan untuk menasihati diri penulis sendiri juga kepada semua umat Islam yang terlibat secara langsung di  dalam kempen PRK DUN ini supaya menjauhi amalan mengumpat serta fitnah yang boleh merosakkan umat Islam itu sendiri.

Betapa buruk dan hinanya mengumpat ini, ianya boleh disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.
Ikuti tazkirah menarik yang penulis ambil daipada Utusan Online bertarikh 19/01/2011 sebagai renungan kita semua (Klik di sini  ).

SALAH satu sikap buruk yang ada pada manusia adalah mengumpat atau mengatakan perihal seseorang. Ada antara kita terutamanya golongan wanita cukup suka mengumpat.
Setiap hari ada sahaja perkara yang mahu diumpatkan dan paling mereka suka apabila ia berkaitan dengan rumahtangga atau hal peribadi seseorang.

Kalau yang diumpatkan itu musuh mereka maka semakin bersemangatlah mereka mengumpat sehingga akhirnya tanpa mereka menyedari mereka tergolong dalam golongan yang melakukan fitnah.
Rasulullah SAW menjelaskan mengenai mengumpat seperti mana sabda baginda yang bermaksud: Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya. (riwayat Muslim)

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.
Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan.
Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat. (riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibban)

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.
Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri. (riwayat Abu Daud)
Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering".

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.

Maka, dia berkata kepada Allah: "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberi kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat kelak.

Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.
Justeru tinggalkan amalan buruk berkenaan. Janganlah kita melampaui batas apabila kita tidak menyukai seseorang sehingga kita sanggup memburuk-burukkkannya di belakang.

Ingatlah setiap apa yang kita lakukan pasti ada pembalasan sama ada ia perbuatan baik atau sebaliknya.

2 comments:

Tenang Lautan Biru said...

Mohon promosikan blog kami untuk PRK Tenang.

http://tenangprk.blogspot.com/

Terima kasih.

ghostWRITER said...

pohon linkkan dengan radio DUN Tenang. Blog tuan telah dipetik dalam radio berkenaan. http://merpati.listen2myradio.com