Tuesday, January 11, 2011

NOVEL INTERLOK – CHUA SOI LEK KATA ‘OK’, PALANIVEL KATA ‘KO’ ?



Salam semua…

Penulis rasa sedikit kecewa dengan tindakan Presiden MIC,  Dato’ Palanivel bersesama dengan pimpinan MIC yang lain dalam mendesak kerajaan menggugurkan penggunaan novel Interlok di sekolah-sekolah.

Bagi penulis, sebagai Presiden MIC yang baru dilantik, pendekatan terbaru beliau yang seolah-olah mahu mencari glamor politik dengan cara menekan kerajaan dibawah pimpinan DS Najib, rasanya tidaklah  berapa sesuai kerana ianya terasa amat  janggal dan berlawanan dengan sikap semulajadi beliau sebelum ini.

Rata-rata ramai orang termasuk penulis sendiri berpendapat  Dato’ Palanivel bukanlah seorang pemimpin yang suka mencari glamor politik sebelum ini.

Pada pandangan penulis, Dato’ Palanivel perlu mencari satu pendekatan politik yang lebih tajam yang berpaksikan elemen perancangan, perpaduan, penyelesaian, penyertaan inklusif dan pendemokrasian  untuk memperkasakan lagi jentera parti MIC supaya dapat menarik satu keyakinan baru dibawah kepimpinannya.
Sebagai penyokong kuat kerajaan, tindakan berani beliau secara tiba-tiba, namapaknya tidak selari dengan pendapat pemimpin komponen BN yang lain iaitu Presiden MCA,  Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang berpendapat bahawa kandungan di dalam novel Interlok tidak mempunyai elemen rasis sebagaimana didakwa oleh  pihak tertentu.

Ikuti pandangan selanjutnya daripada Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sepertimana yang telah disiarkan oleh Utusan Online bertarikh 11/01/2011 (Klik di sini.  )

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menyifatkan novel Interlok, karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain, tidak mempunyai elemen rasis sebagaimana didakwa pihak tertentu.

Sebaliknya beliau berkata, novel itu penuh dengan elemen harmoni yang bertujuan untuk memupuk perpaduan antara kaum di negara ini berdasarkan kisah penceritaan yang berlaku pada tahun 1910, iaitu pada zaman kolonial.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang ingin meraih kepentingan peribadi dengan mempolitikkan novel tersebut supaya membacanya secara perspektif dan rasional kerana ia menceritakan aspek sejarah.
“MCA sudah meneliti novel ini dan kami berpandangan ia sebuah novel yang memupuk perpaduan serta keharmonian antara kaum dan tiada langsung elemen rasis seperti didakwa pihak-pihak tertentu.

“Ia menceritakan kisah pada tahun 1910, istilah yang digunakan adalah cerminan pada zaman itu. Janganlah dipolitikkan, baca dengan penuh perspektif dan rasional,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas desakan golongan tertentu yang mahukan novel itu diharamkan daripada dijadikan teks untuk komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bermula tahun ini.

Sabtu lalu kira-kira 100 masyarakat India membakar novel itu dan salinan gambar Abdullah di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) Selangor kerana mendakwa Interlok mempunyai unsur menghina kaum berkenaan.

Kepada soalan provokatif oleh seorang wartawan akhbar berbahasa Cina, apakah beliau akan berpendirian sama jika novel itu ‘menghina’ kaum Tionghua, Soi Lek sambil menempelak berkata, Interlok turut memaparkan kisah orang Cina.

“Novel ini bukan hanya menceritakan kisah orang India, penulisnya turut memaparkan kisah masyarakat Cina dan Melayu, jangan timbulkan isu...Sudahkah anda baca novel ini,” soalnya sebelum wartawan itu mengakui belum membacanya. - Utusan



No comments: