Thursday, May 26, 2011

APA ITU INFLASI?





Salam semua®…
Inflasi adalah sesuatu keadaan ekonomi di mana berlaku kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang berterusan.
APAKAH PUNCA INFLASI?   
1. Inflasi Tarikan Permintaan
Berlaku apabila bekalan barangan dan perkhidmatan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan. lanya berpunca daripada pertambahan permintaan secara tiba-tiba dalam jangkamasa pendek. Pengeluar kesuntukan masa untuk menambah pengeluaran bagi memenuhi permintaan. Peniaga pula mengambil kesempatan untuk memperolehi keuntungan yang lebih.
2. Inflasi Tolakan Kos
Berlaku apabila kos pengeluaran meningkat. Pengeluar akan memindahkan kos yang ditanggungnya kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan untuk mengekalkan keuntungan.
3. Inflasi Bekalan Wang
Berlaku apabila bekalan wang meningkat melebihi bekalan barangan atau perkhidmatan dalam pasaran. Inflasi ini biasanya berlaku bilamana kerajaan sesuatu negara mengeluarkan bekalan wangnya tanpa had dan tanpa pengawasan daripada bank pusatnya. Wang yang banyak dan berlegar di pasaran akhirnya menyebabkan inflasi. Oleh itu adalah penting untuk memastikan peningkatan bekalan wang pada tahap tertentu bersesuaian dengan barangan dan perkhidmatan yang ada di pasaran setiap masa dan dikawal dengan baiknya oleh bank pusat.
4. Inflasi Pentadbiran Harga
Berlaku apabila hanya terdapat sebuah syarikat (monopoli) atau sebilangan kecil syarikat (oligopoli) yang membekalkan barangan atau perkhidmatan, pengeluar biasanya mempunyai kuasa untuk menentukan harga. Jika pengeluar menggunakan kuasa itu, harga akan meningkat. Pengguna tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membeli pada paras harga yang ditentukan oleh pengeluar atau pembekal. Pengeluar atau pembekal berkemungkinan akan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan untuk menikmati keuntungan yang lebih besar sama ada kos meningkat atau tidak. Harga sedemikian dipanggil harga pentadbiran.  
5. Inflasi Yang Diimport
Faktor-faktor luar negara juga boleh menyebabkan inflasi. Apabila kos bahan mentah seperti petroleum, barang siap atau perkhidmatan yang diimport dari luar negara meningkat, ia akan menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran tempatan meningkat tanpa mudah disedari. Kenaikan harga barangan import boleh berlaku secara langsung iaitu inflasi yang berlaku di negara pengeksport atau tidak langsung melalui perubahan kadar pertukaran wang asing yang memihak kepada negara pengeksport. Oleh yang demikian, bagi mengurangkan tekanan inflasi jenis ini adalah lebih baik negara berkenaan menggunakan sumber bahan mentahnya sendiri bagi mengekang inflasi jenis ini.
 
LANGKAH MEMBENDUNG INFLASI
1. Mengawal Permintaan
Jumlah permintaan melebihi jumlah penawaran di pasaran menyebabkan harga meningkat. Oleh itu adalah perlu untuk mengekalkan jumlah permintaan pada tahap yang munasabah.
2. Mengawal Bekalan
Dilakukan dengan cara meningkatkan bekalan melalui peningkatan produktiviti, memperbaiki jaringan pengedaran, mengimport bahan mentah yang lebih murah dan mengurangkan pembaziran merupa-kan langkah berkesan untuk mengurangkan tekanan inflasi.
3. Polisi Ekonomi Makro
Tindakan Kerajaan melalui pengurusan cukai, kewangan dan pentadbiran yang cekap untuk menentukan halatuju pembangunan negara.
PERANAN PENGGUNA MENGHADAPI INFLASI
Jangan beli semasa harga tinggi. Beli semasa ditawarkan harga rendah.
Elakkan pembaziran, berjimat dan membeli apabila perlu sahaja dan mengikut rancangan perbelanjaan dan kemampuan anda.
Cari kedai yang menawarkan harga yang berpatutan serta yang meletakkan tanda harga.
Dapatkan harga terbaik juga dengan cara tawar-menawar jika dapat dilakukan.
Pengguna perlu memainkan peranan sebagai pengeluar atau pemberi khidmat untuk meningkatkan produktiviti mereka.
Pengguna/pengeluar hendaklah beretika.
Memperbaiki yang lama lebih baik daripada membeli baru, jika ekonomik.
             

Wednesday, May 25, 2011

“Rakyat biasa yang bukan pakar ekonomi tertanya-tanya bagaimana kenaikan OPR dan BLR boleh membantu mengurangkan kos pembuatan terutamanya kos bahan api atau kos tenaga sekaligus mengurangkan inflasi”- Dr Khir Toyo


Salam semua®…
1. Seperti yang dijangkakan Bank Negara Malaysia mengumumkan kenaikan Overnight Policy Rate (OPR). Kenaikan ini sekaligus menaikan kadar pinjaman asas. Ia kemudiannya meningkatkan beban hutang sebahagian besar rakyat yang membeli rumah dengan cara pinjaman.
2. Beberapa hari kemudian Gabenor Bank Negara menyatakan kenaikan inflasi adalah akibat kenaikan harga kos pembuatan terutamanya kenaikan harga minyak. Jadi ramai rakyat biasa di bawah jadi pening lalat mengapa Bank Negara perlu naikkan OPR dan BLR jika inflasi berlaku bukan disebabkan lebihan permintaan dan lebihan wang dalam pasaran. Rakyat biasa yang bukan pakar ekonomi tertanya-tanya bagaimana kenaikan OPR dan BLR boleh membantu mengurangkan kos pembuatan terutamanya kos bahan api atau kos tenaga sekaligus mengurangkan inflasi.
3. KDNK Malaysia suku tahun pertama yang diumumkan hanya berkembang pada kadar4.6 peratus. Ini di bawah sasaran tahun ini pada sekitar 5.5 - 6 peratus. Maknanya inflasi bukan disebabkan pertumbuhan ekonomi yang terlalu cepat. Malangnya, Bank Negara masih menggunakan cara lama untuk mengawal inflasi. Mungkin ada sebab Bank Negara naikkan kadar faedah, tapi majoriti rakyat tidak faham. Yang saya khuatir tindakan Bank Negara berterusan menaikkan kadar faedah bukan sahaja akan gagal mengawal inflasi malah mungkin akan menyebabkan kemelesetan pertumbuhan ekonomi.
4. Kalau baca akhbar The Star beberapa minggu lalu banyak kritikan terhadap tindakan Bank Negara ini dan hampir kesemuanya bersetuju tindakan Bank Negara menaikkan OPR dan BLR adalah tindakan tidak masuk akal. Mungkin semua yang menentang salah kerana kami tidak pandai ekonomi macam Gabenor Bank Negara. Kalau ada penjelasan logik cubalah berikan kepada rakyat, janganlah buat bodoh sahaja.
5. Rentetan masalah inflasi ini juga, beberapa Menteri mengakui inflasi di Malaysia agak serius. Mereka juga mengakui inflasi sekarang ini disebabkan kenaikan harga minyak dunia. Yang anehnya mereka juga menyatakan kerajaan mungkin akan menaikkan harga petrol RON 95 bagi mengurangi subsidi kerajaan.
6. Jadi kita yang dibawah ini bertambah keliru. Kerajaan kata inflasi berlaku akibat kenaikan harga minyak dunia. Kerajaan kata mahu kawal inflasi. Tapi dalam mahu kawal inflasi kerajaan mahu kurangkan subsidi petrol. Kalau ikut logiknya, pengurangan subsidi petrol ini akan tingkatkan harga petrol dan barangan sekaligus tingkatkan inflasi.
7. Baru-baru ini juga Makmal Rasionalisasi Subsidi umumkan pengurangan subsidi gula. Harga gula pun naik. Kalau sudah harga gula naik, susah juga nak halang pengusaha jangan naikkan harga minuman mereka. Kerajaan kata pengusaha jangan cari untung lebih dengan naikkan harga minuman.
8. Kita pun setujulah dengan pandangan kerajaan kalau kenaikan tersebut kecil. Namun jika telah dua kali harga gula naik (sebanyak 40 sen secara keseluruhannya) kerajaan masih tidak benarkan pengusaha naikan harga minuman susah juga. Kalau pengusaha kedai minuman mungkin boleh lagi, tapi kalau pengusaha Industri kecil dan sederhana (IKS) dan industri besar susahlah mereka. Kenaikan sedikit sahaja sudah boleh mencecah ratusan ribu atau jutaan ringgit kenaikan kos gula mereka.
9. Pengusaha pun rakyat juga. Mereka pun pening juga. Kerajaan tidak benarkan mereka naikkan harga tapi kerajaan sendiri tak mahu rugi, sebab itu kurangkan subsidi. Jadi pengusaha jangan buat untung, kerajaan pula yang hendak buat untung?
10. Dulu saya cadangkan supaya ditutup sahaja Makmal Rasionalisasi Subsidi kerana yang dibuat bukannya rasional sangat kepada rakyat. Makmal ini harus melihat isu subsidi secara keseluruhan bukannya secara berasingan.
11. Misalnya kita kata petrol dan gula kita murah berbanding negara jiran. Tapi di negara jiran kita pula harga beras, ikan dan sayur-sayuran jauh lebih murah dari negara ini. Kalau kerajaan nak hapuskan subsidi kenalah juga hapuskan dasar mengawal harga untuk barangan lain yang boleh didapati murah dari negara jiran.
12. Tidak bolehlah satu keadaan kita hendak kurangkan subsidi hingga menyebabkan barangan jadi mahal, tapi ada barangan kita boleh dapat dengan murah dari luar, kerajaan pula kawal. Memang benar kerajaan perlu lindungi industri tempatan. Rakyat boleh faham jika hak mereka juga dilindungi melalui skim subsidi sedia ada. Yang rakyat tidak faham ialah kerajaan tidak mahu beri subsidi untuk barang mahal tapi kawal barang murah sehingga jadi mahal.
13. Sepatutnya makmal rasionalisasi subsidi buat polisi mengurangkan subsidi yang rasional kepada rakyat. Tapi yang terjadi hari ini ialah makmal ini buat pengurangan subsidi ikut rasional mereka sahaja.
14. Namun yang paling tidak rasional ialah apabila kerajaan cakap nak turunkan inflasi tapi tindakan kerajaan hanya meningkatkan inflasi sahaja. Ini yang benar-benar buat rakyat pening lalat.
Diambil dari laman blog Dr Mohamad Khir Toyo.
P/S – 1) Kenaikan OPR dan seterusnya BLR (kadar faedah = kadar pinjaman asas) mungkin salah satu strategi  BNM bagi mengawal pinjaman secara berlebih-lebihan yang boleh meningkatkan peningkatan aliran wang yang tinggi di pasaran.
Keadaan ini juga salah satu daripada punca kepada inflasi. Kadar faedah tinggi yang terkawal sangat efektif bagi mengekang inflasi kerana orang ramai akan lebih berhati-hati untuk membuat pinjaman secara sewenang-wenangnya atau tanpa perancangan.
Selain daripada itu ianya dapat mengawal permintaan barangan dan perkhidmatan secara berhemah dan munasabah bagi mengimbangi penawaran barangan dan perkhidmatan yang terhad.
Kemungkinan juga peningkatan kos akan berlaku ke atas peminjam-peminjam (pengusaha) yang sedia ada. Tetapi, peminjam yang bijak akan selalunya berusaha untuk mengurangkan pinjaman yang sedia ada atau mengelak daripada peningkatan pinjaman   baru yang tidak menguntungkan pengusaha dalam jangkamasa pendek.
2) Terima kasih kerana kerajaan akhirnya tidak jadi menaikkan harga petrol Ron 95. Walaubagaimanapun, artikel menarik di atas sangat bagus untuk kita fikir-fikirkan.

Sunday, May 22, 2011

Masalah Kenaikan Harga Barang. Ke Manakah Fokus Kerajaan Sebenarnya?



Salam semua®…
Penulis mahupun orang ramai sedia maklum bahawa punca masalah ekonomi global sekarang ini yang paling nyata adalah disebabkan oleh kenaikan harga petroleum dan pengurangan pengeluaran berasaskan barangan makanan dunia.
Malaysia, bumi bertuah ini yang kaya dengan hasil petroleum dan mempunyai bumi yang subur untuk aktiviti pertanian ini tidak dapat lari daripada tempias yang meresahkan semua orang.
Pada tahun 2008, kita telah lalui pengalaman yang memeritkan apabila harga makanan naik sehingga 8.8 peratus, akibat daripada kenaikan mendadak harga minyak dan petrol. Malah selepas itupun, harga barangan dan makanan terus mengalami kenaikan dan khabarnya, sepanjang enam tahun dari tahun 2004 harga makanan telah naik sebanyak 30 peratus sedangkan kenaikan upah di negara ini puratanya sekitar 2.6 peratus dari tahun 2001 sehinggga 2010.
Tetapi, amat menghairankan penulis, sebagai negara yang kaya dengan hasil petroleum dan dianugerahkan pula oleh Allah SWT dengan muka bumi yang subur dan selain mempunyai modal insan yang cemerlang, masih lagikah kita mahu berterusan menyalahkan faktor luaran sebagai punca kepada permasalahan ekonomi negara kita? Persoalannya sampai bila ? Rakyat sebenarnya sudah muak dengan alasan demi alasan yang telah diberikan oleh kerajaan.
Cuba perhatikan negara jiran terdekat kita, seperti negara Singapura misalnya. Apa yang negara Singapura ada yang membolehkan taraf hidup rakyatnya lebih baik berkali-kali ganda daripada kita?
Pelan Jangka Masa Panjang
Adakah dengan menuruti seruan TPM baru-baru ini agar rakyat sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja, berusaha mengempiskan perut yang telah sedia kempis selain berusaha bercucuk tanam sendiri  dapat menyelesaikan semua masalah kenaikan harga barangan ini? Adakah kita perlu kembali ke zaman batu atau ‘Flintstones’?
Kalau itulah jawapan yang dicari, ternyata kerajaan sebenarnya tidak melakukan yang terbaik untuk rakyatnya.
Kita memang akui bahawa kerajaan di bawah DS Najib sentiasa bekerja keras dan berjaya  menarik pelaburan-pelaburan besar daripada luar negara bagi meningkatkan pendapatan dalam negara. Walaubagaimanapun, kerajaan juga tidak harus terlepas pandang dari menjadikan negara kita ini sebagai negara pengeluar barangan makanan tidak kiralah sama ada ianya berasaskan pertanian atau pembuatan dalam skala yang besar sekaligus dapat mencari penyelesaian kepada kekurangan bekalan makanan dalam negara dan sikap kebergantungan kepada  barangan makanan yang diimpot.
Bumi bertuah Malaysia amat subur dan seluas mata memandang. Masih ada lagi tanah subur di luar sana yang belum diterokai sepenuhnya oleh kita. Kalaulah Allahyarham TUN Abdul Razak sendiri boleh nampak ianya  memberi munafaat kepada rakyat Malaysia dalam jangka masa panjang, kenapa tidak kita? Kita perlu mempelbagaikan aktiviti  pertanian  dan tidak perlu terhad kepada penanaman kelapa sawit dan getah sahaja. Kenapa kita perlu mengimpot barangan makanan yang berasaskan pertanian kalau dari segi teknologi terkini dan modal insan yang kita ada, kita mampu melakukannya?

Pelan Jangka Masa Pendek.
Cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah kawalan harga barang adalah seperti berikut;
1) Kerajaan perlu bersedia mengambil-alih kepentingan pasaraya besar sebagai permulaannya dari mana-mana satu dari rangkaian pasaraya besar yang dimiliki oleh pelabur asing yang mempunyai rangkaian  yang luas di tiap-tiap negeri.
Urusan pentadbirannya pula ditadbir oleh para professional dan dikawal selia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Operasinya mistilah sistematik dan berdaya maju serupalah dengan mana-mana “GLC” kerajaan yang lain.
Kebaikan-kebaikan yang mungkin diperolehi;
i) Dapat menyediakan barangan keperluan harian yang mencukupi terutamanya barangan runcit termasuklah dari sumber pertanian, barangan  keperluan dapur, barangan pembuatan, minuman dan lain-lain barangan keluaran dari PKS   pada paras harga yang munasabah dan mampu dibeli oleh rakyat yang berpendapatan rendah.
PKS juga boleh menjualnya pada harga yang menarik kepada GLC ini. Keadaan ini akan dapat meningkatkan pendapatan mereka jika dibandingkan dengan hasil dari pendapatan yang diperolehi dari pelabur-pelabur asing.
ii)Harga-harga barangan dari pasaraya besar GLC ini mestilah diselia dengan rapi oleh kementerian berkenaan mengikut kesesuaian di antara  harga  dan tempat di mana pasaraya besar GLC itu didirikan samada ianya bestatuskan pasaraya gred A, B atau C.
Katakan gred A terletak  di bandar-bandar besar, manakala gred B dan C pula di bandar-bandar kecil dan di luar-luar bandar.
Dengan cara ini rakyat yang tinggal di luar-luar bandar yang rata-ratanya berpendapatan rendah akan menikmati harga barangan yang munasabah jika dibandingkan dengan harga barangan di bandar-bandar besar.
iii) Harga barangan di pasaraya besar GLC juga sebagai indikator kepada harga-harga barangan  yang dijual di luar lingkungan  pasaraya besar GLC tadi dan juga mestilah mengikut kesesuaian di antara  harga  dan tempat di mana tempat perniagaan itu beroperasi.
Jadi, masalah perlumbaan menaikkan harga sewenang-wenangnya dari para peruncit, peniaga kecil serta pasaraya-pasaraya yang tidak jujur lainnya dapat dipantau secara sistematik serta diambil tindakan yang sewajarnya oleh kerajaan.
iv)Kerajaan juga secara tidak langsungnya boleh menjana pendapatan negara melalui pelaburan yang menguntungkan  ini.
Sikap mengkayakan pelabur-pelabur asing dalam bidang ini  amat merugikan negara dalam jangkamasa panjang kerana sikap kebergantungan berterusan ini tidak akan menjadikan Malaysia sebagai negara yang berdaya saing serupa dengan negara-negara maju yang lain dari sekarang sehinggalah pada tahun 2020.
Kaedah meninggalkan  kos kepada rakyat bagi meningkatkan pendapatan negara seperti yang dilakukan oleh kerajaan sekarang dilihat adalah tidak sesuai lagi dan boleh dianggap cara kuno yang berorientasikan ‘people as the last resort” yang kebanyakannya dibenci oleh semua rakyat tidak kiralah apa fahaman politik mereka.
2) Kerajaan perlu harus lebih berhati-hati dalam perbelanjaan pengurusannya. Sewajarnya juga, PLKN yang menelan belanja tahunan melebihi angka RM500 juta itu perlu ditangguhkan dahulu sehingga ekonomi kembali pulih atau ditukarkan sahaja kepada sebarang aktiviti tambahan yang sama di peringkat sekolah, kolej atau Universiti yang bersesuaian.
3). Menarik kembali subsidi korporat berjumlah RM19 bilion yang diberikan kepada elit  termasuklah syarikat IPP.
4). Memperkemaskan lagi  agensi penguatkuasaan kerajaan yang memainkan peranan kepada penyumbang kepada pendapatan negara. Ini semua merupakan sumber hasil pendapatan dan merupakan duit kerajaan yang perlu dibelanjakan dan diimbangi dengan berhemah oleh pihak pemerintah.


Saturday, May 21, 2011

Betulkah kenyataan DS Anuar ini ? – “Jelasnya rakyat yang terkesan akibat daripada program rasionalisasi tersebut (subsidi) sedangkan pembaziran serta ketirisan yang mengakibatkan defisit tidak pula diatasi sesegera mungkin.”. Baca seterusnya…


Salam semua…
Pakatan Rakyat (PR) memberi khuatir kadar kenaikan harga makanan sekarang jika tidak dikawal akan menyebabkan rakyat terpaksa membayar 30 peratus lebih tinggi berbanding enam tahun lalu dan berulangnya situasi 2008.
“Pada kadar kenaikan harga makanan, dijangka pada akhir 2011 (tahun ini), rakyat terpaksa membayar 30 peratus lebih dari harga kos setiap jenis makanan berbanding 2005.
“Sepanjang enam tahun tersebut harga makanan telah naik sebanyak 30 peratus sedangkan kenaikan upah di negara ini puratanya sekitar 2.6 peratus dari tahun 2001 sehinggga 2010,” kata Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar).
Anwar, bekas menteri kewangan berkata, statistik inflasi terbaru dikeluarkan Bank Negara untuk empat bulan antara Januari dan April lalu begitu membimbangkan.
“Saya prihatin dengan kenaikan sebanyak 4.9 peratus harga makanan dan minuman tidak beralkohol dari bulan Januari sehingga bulan April tahun ini sekiranya dibandingkan dengan harga makanan serta minuman tidak beralkohol untuk jangka masa yang sama tahun lepas,” katanya.
Kata beliau, jika kenaikan itu tidak dibendung dan kekal untuk bulan seterusnya, tahun ini akan mencatatkan kenaikan harga makanan kedua tertinggi semenjak 2006.
“Kenaikan ini akan menambah derita rakyat sepertimana pada tahun 2008 lalu apabila harga makanan naik sehingga 8.8 peratus, akibat kenaikan mendadak harga minyak dan petrol” kata beliau lagi.
Dalam kenyataan itu, kata Anwar, harga makanan di Malaysia naik dua kali ganda jika dibandingkan dengan harga makanan seluruh dunia sepanjang empat bulan pertama tahun ini.
Katanya, perbandingan antara Indeks Harga Pengguna (CPI) dilaporkan oleh Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan statistik dikeluarkan Bank Negara menunjukkan ramai rakyat Malaysia bakal terkesan dengan tindakan terburu buru kerajaan merasionalisasi subsidi.
Malah kata Anwar, PR yakin wujudnya kaitan akibat dari penarikan subsidi buat rakyat Malaysia dengan kenaikan harga makanan sebagaimana yang dicatatkan sepanjang empat bulan pertama tahun ini.
Oleh itu kata Ketua Pembangkang di Parlimen, alasan kerajaan untuk menarik kembali subsidi atas alasan boleh meringankan beban defisit belanjawan ternyata lemah.
“Jelasnya rakyat yang terkesan akibat daripada program rasionalisasi tersebut sedangkan pembaziran serta ketirisan yang mengakibatkan defisit tidak pula diatasi sesegera mungkin.
“Rakyat mula muak dengan tatakelola ekonomi yang lemah oleh BN apabila mereka terpaksa menanggung derita sedangkan kroni dan mereka yang dekat dengan pemerintah mendapat keuntungan yang bukan sedikit malah tidak pula dihukum,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Permatang Pauh ini berkata, PR telah merangka langkah yang jelas dan beriltizam untuk mengurangkan defisit belanjawan negara serta berusaha memastikan upaya itu tidak membebankan rakyat sebagaimana terkandung dalam Buku Jingga.
“Langkah ini termasuklah menarik kembali subsidi korporat berjumlah RM19 bilion yang diberikan kepada elit serta syarikat yang dekat dengan pemerintah termasuklah syarikat IPP.
“Kita juga akan berusaha menghapuskan rasuah yang telah merugikan kerajaan persekutuan sekitar RM28 bilion setiap tahun,” katanya lagi.-The Malaysian Insider
P/S – Dalam apa jua permasalahan besar yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat, ada baiknya jika kerajaan bersama-sama dengan parti pembangkang duduk semeja mencari formula dan jalan terbaik bagi mengatasinya.
Penulis rasa dalam hal ini perdebatan secara ilmiah di antara mana-mana pemimpin yang berkepentingan adalah kaedah atau jalan yang terbaik agar semua rakyat tahu akan kedudukan perkara yang sebenarnya di samping dapat menunjukkan keupayaan masing-masing dalam menangani masalah rakyat secara jujur dan yang paling efektif.
Dalam mencari kaedah terbaik bagi penyelesaian masalah ekonomi ini, persoalan siapa betul atau salah bukanlah perkara penting dan biarlah ianya dinilaikan sendiri oleh rakyat.
Transformasi ke arah pemikiran politik baru ini juga adalah dikira perlu agar rakyat tidak sewenang-wenangnya didedahkan dengan pelbagai ragam dan retorik politik yang akhirnya akan membebankan dan merugikan semua rakyat Malaysia.

Tuesday, May 17, 2011

Isu Tangani Masalah Ekonomi: Janganlah Malu, Berlajarlah Daripada Tun Mahathir….


Salam semua®…
Ikuti komen menarik daripada salah seorang pembaca Salam semua:
"Ingat pada zaman pemerintahan Pak Lah, harga minyak naik , tetapi jika minyak di pasaran dunia naik terlalu tinggi ekonomi dunia akan jatuh, dan hasilnya harga minyak kembali stabil. Yang menjadi masalah barang keperluan lain turut naik. tetapi apabila harga minyak turun harga barang tak turun juga. rakyat yang menanggung bebannya.
Malaysia punyai ramai pakar ekonomi ada yang di bayar untuk menasihati kerajaan, apa yang mereka buat, makan gaji buta. Apa pak menteri buat, makan gaji buta. Kalau kegawatan ekonomi 1998 Tun Mahatir boleh mengatasinya dengan idea yang baik, tak kan pakar ekonomi Malaysia tak punyai idea sebaik idea Tun Mahatir. atau mereka ni makan gaji buta. Kalau setakat menaikan harga dapat menyelesailkan masalah minyak, baik orang Malaysia pilih orang kampung mentabir negara, mereka boleh mentabir negara lebih baik dari Pak Menteri".
Anon.
May 17, 2011 10:15 PM
P/S- Cuba hayati dan fahami komen beliau. Walaupun agak keras bunyinya akan tetapi Itulah realiti kehidupan, keluh kesah serta luahan ikhlas daripada seorang rakyat Malaysia. Kritik bukannya bermaksud kita membenci kerajaan. Tetapi, sebagai rasa tanggungjawab dan maklum balas daripada rakyat kepada pemerintahnya.
Terimalah teguran di atas dari sudut positif. InsyaAllah Allah SWT akan memberikan keberkatannya kepada kita…..


Patutlah harga barang naik, daripada ramai menteri-menteri yang ada, hanya seorang menteri kabinet tampil ke hadapan dan berani tegur kerajaan. Baca seterusnya…



Salam semua®…
Kerajaan diminta menjalankan kajian secara mendalam sebelum membuat keputusan menaikkan harga petrol RON95, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, kerajaan perlu mencari satu mekanisme lain bagi menjimatkan pemberian subsidi untuk bahan bakar itu.
“Saya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai mekanisme lain yang boleh digunakan bagi menampung subsidi dan kenaikan harga minyak tersebut.
“Kerajaan juga boleh menggunakan pelbagai sumber cukai untuk menampung subsidi tersebut,” katanya yang juga Menteri Pertahanan dipetik Bernama hari ini.
Semalam, Pemuda Umno mendesak agar Putrajaya tidak menaikkan harga petrol RON95, sebaliknya mahu kerajaan mencari jalan ke arah penjimatan bestari dan penerokaaan usaha bagi meningkatkan nilai aset dan hasil dilaksanakan terlebih dahulu demi kebajikan rakyat.
Pergerakan itu juga berkata pihaknya gusar dengan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang menggesa rakyat agar bersiap sedia dengan kemungkinan kenaikan harga minyak RON95.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, usaha-usaha ke arah penjimatan kos pengurusan dan peningkatan produktiviti serta kecekapan kerajaan haruslah mendahului sebarang langkah pengurangan perbelanjaan fiskal berupa pengurangan subsidi minyak.
Di Ipoh, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mengkaji semula semua harga produk petroleum termasuk petrol RON95 bulan depan bagi menentukan harga sedia ada akan kekal atau sebaliknya.
Ismail Sabri berkata, kajian semula oleh kementerian itu bersama-sama agensi lain seperti Kementerian Kewangan dan Unit
Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) akan menentukan sama ada harga sedia ada kekal atau dinaikkan berdasarkan tanggungan subsidi kerajaan.
“Mengikut pelan rasionalisasi subsidi, satu kajian semula akan dibuat enam bulan sekali terhadap subsidi semua produk. Jadi untuk petrol RON95, diesel dan LPG (gas cecair asli) kajian terakhir dibuat pada Disember lalu.
“Ini bermakna bulan ini atau awal Jun akan berlaku kajian semula untuk pertengahan tahun... saya tidak boleh memberi gambaran apa yang akan berlaku, tetapi kajian akan berlaku dan tanggungan subsidi oleh kerajaan adalah tinggi,” katanya dalam laporan Bernama.
Ismail Sabri berkata, walaupun sebelum ini beliau berkata harga minyak tidak dinaikkan pada masa sekarang, tetapi ia tidak menjamin harga minyak akan kekal selama-lamanya kerana tanggungan subsidi kerajaan terhadap produk petroleum pada masa sekarang adalah tinggi.
“Tahun lepas, tanggungan subsidi kerajaan (bagi produk petroleum) adalah RM8 bilion apabila harga minyak dunia meningkat, dan tidak nampak trend itu akan menurun. Kalau keadaan itu berterusan, tanggungan subsidi kerajaan akan menjadi RM18 bilion tahun ini iaitu kenaikan RM10 bilion,” katanya.
Beliau berkata sekiranya subsidi dikurangkan, jumlah peruntukan RM10 bilion itu dapat digunakan bagi membina lebih banyak sekolah, jalan-jalan kampung, projek perumahan rakyat serta memberi lebih banyak bantuan pelajaran.
Katanya rakyat perlu sedar jumlah subsidi besar yang ditanggung kerajaan sepatutnya dibelanjakan untuk projek yang lebih memberi manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat-The Malaysian Insider
P/S – Perlu diingati, pemimpin-pemimpin dipilih menerajui negara adalah kerana mandat daripada undi yang diberikan oleh rakyat. Janganlah jadi seperti kadok naik junjong. Selami realiti kesusahan rakyat dan berusahalah sedaya upaya  menyenangi hati rakyat. Janganlah sama sekali mengumpamakan subsidi rakyat sebagai candu seperti mana kata DS Najib baru-baru ini kerana asal kejadian candu itu sendiri amat jijik dan berbeza sama sekali dengan subsidi rakyat jika kerajaan betul-betul ikhlas membantu rakyat bagi mendapat keberkatannya (klik   di sini.    ).
Terlampau sedih dan pilu........

DASAR TRANSFORMASI EKONOMI. ADAKAH KITA CUKUP CEKAP DAN BERADA DI LANDASAN YANG BETUL?



Salam semua®…
Semalam Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin seperti yang dilaporkan oleh The Malaysian Insider berkata, usaha-usaha  ke arah penjimatan kos pengurusan dan peningkatan produktiviti serta kecekapan kerajaan haruslah mendahului sebarang langkah pengurangan perbelanjaan fiskal berupa pengurangan subsidi minyak.
“Sebagai contoh, menurut Perbadanan Produktiviti Negara, kos tanggungan bagi memenuhi pelbagai peraturan kerajaan dalam memulakan sebarang aktiviti ekonomi adalah sebanyak RM17.0 bilion atau 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.
“Jumlah kos peraturan dan pematuhan ini adalah 21 kali ganda lebih banyak daripada hasil penjimatan daripada pengurangan subsidi ke atas komoditi gula dan barangan berasaskan minyak pada Julai 2010 dan 14.4 kali ganda bagi tindakan yang sama pada Disember lalu,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, Pemuda Umno menyarankan agar usaha-usaha ke arah penjimatan bestari melalui kecekapan operasi, di samping tindakan bagi meningkatkan nilai aset dan sumber pendapatan negara diterokai dengan serius dan dilaksanakan terlebih dahulu, sesuai dengan cogan kata 1 Malaysia yang sentiasa mendahulukan rakyat dari segi kepentingan, kebajikan dan hal ehwal mereka.
P/S – Syabas Khairy Jamaluddin…. gaya pemikiran pemimpin macam inilah yang kita mahu.

Thursday, May 12, 2011

DS NAJIB, DENGARLAH RINTIHAN KAMI. TANGGUHKANLAH DULU CADANGAN KERAJAAN MEWUJUDKAN MAKMAL RASIONALISASI SUBSIDI NEGARA DAN DASAR CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN (GST).


Salam semua®…
Penulis sehingga kini masih kurang yakin akan keberkesanan cadangan kerajaan di bawah pimpinan DS Najib yang ingin melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan makmal rasionalisasi subsidi negara.
Kita sebenarnya kena tengok kenapa kerajaan bersungguh-sungguh sangat untuk melaksanakan dasar percukaian ini?
Apa yang pasti, ianya tidak lain tidak bukan semata-mata sebagai jalan mudah bagi kerajaan MENJANA PENDAPATAN NEGARA secara terancang dan tetap daripada cukai dan segala bentuk caj perkhidmatan yang dikutip secara tidak langsungnya daripada rakyat jelata bila mana pembelian dan penggunaan perkhidmatan diguna dan dibelanjakan oleh orang ramai.
Seperti mana entri penulis yang lepas, penulis ada menekankan bahawa kerajaan perlu kreatif dan proaktif dalam mencari jalan lain bagi menjana pendapatan negara dan tidak hanya tertumpu kepada dasar kuno percukaian dan penghapusan subsidi yang meresahkan semua orang ketika ini.
Di samping itu juga cadangan kerajaan mewujudkan makmal rasionalisasi subsidi di negara ini juga dilihat tidak bersesuaian pada masa ini kerana ianya akan menjadi bebanan yang lebih berat terutamanya kepada rakyat yang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup yang tidak selari dengan kenaikan pendapatan secara ketara.
Walaupun kerajaan mewar-warkan dasar transformasi bagi meningkatkan pendapatan rakyat ke  arah rakyat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, tetapi, akan adakah jaminan daripada kerajaan bahawa semua majikan yang ada di Malaysia ini akan semuanya mengikut telunjuk kerajaan? Atau setidak-tidaknya memberikan kerjasama mereka kepada kerajaan? Sudah cukup kuat dan bersediakah semua kesatuan sekerja bagi menuntut semua ini? Bagaimana pula kisahnya dengan pekerja-pekerja swasta yang tidak ada kesatuan bagi membela kebajikan mereka terutamanya yang bekerja dengan dengan organisasi yang kecil?
Begitu jugalah bagi mereka yang bekerja sendiri dalam skala ekonomi yang kecil terutamanya yang tinggal di luar-luar bandar?
Kerajaan perlu melihat semua ini dengan teliti sebelum mewujudkan makmal rasionalisasi subsidi dan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan tergesa-gesa kerana sebagai pemerintah yang ada kuasa, memang senang untuk menaikkan harga barangan dengan kaedah penghapusan subsidi kerajaan secara tersusun  ini daripada melayan kerenah kenaikan pendapatan rakyat yang datangnya daripada pelbagai bidang dan sektor yang kompleks yang rata-ratanya di luar bidang kuasa kerajaan. Tengok satu contoh cukuplah, tentang janji perlaksanaan gaji minimum secara meluas,  sudah bertahun-tahun ianya diperkatakan. Apa yang pasti, perlaksanaanya sehingga sekarangpun “pi mai pi mai dok tang tu jugak”.
Perlu diingatkan di sini. Untuk menaikkan pendapatan kakitangan awam atau kerajaan adalah tidak semudah menaikkan pendapatan kakitangan swasta dan yang sealiran dengannya.
Dalam hal ini juga penulis bersetuju dengan pandangan daripada Pensyarah Kanan Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah seperti yang disiarkan oleh Utusan Malaysia hari berkata, biarpun GST mampu meningkatkan pendapatan negara, kemampuan rakyat menghadapi tekanan harga barang yang lebih tinggi juga perlu diberi perhatian.
“Kerajaan perlu mengenalpasti jumlah pembayar cukai dan mereka yang tidak membayarnya bagi menentukan sama ada rakyat mampu menggalas bebanan cukai barang yang tinggi kerana sekarang ini pun ramai merungut dengan kenaikan harga barang,” katanya.


Wednesday, May 11, 2011

KERAJAAN PERLU CARI SUMBER BARU, BUKAN BEBANKAN RAKYAT

Salam semua®…
Harakahdaily hari ini meminta agar kerajaan BN menangguhkan cadangan untuk mewujudkan makmal rasionalisasi subsidi di negara ini, bagi mengelakkan rakyat mengalami bebanan lebih berat dengan kenaikan harga barangan yang tersusun.
Kenaikan harga gula sebanyak 20 sen bermula hari ini merupakan salah satu petanda buruk dari cadangan mewujudkan makmal itu dan sekiranya diteruskan, pelbagai barangan lain pula pasti turut dinaikkan berperingkat-peringkat dari semasa ke semasa.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen bermula hari ini dari RM2.10 kepada RM2.30 sekilogram merupakan sesuatu yang amat tidak wajar kerana ia jelas lebih menghimpitkan lagi kehidupan rakyat.
Menurut beliau, namun tanpa berfikir panjang, Kerajaan BN telah pun melakukannya, setelah harga petrol RON97 dinaikkan beberapa hari lalu, tetapi harga petrol RON95 tidak pula diturunkan.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri melaung-laungkan negara ini sedang menuju era negara yang berpendapatan tinggi, tetapi rakyat pula sentiasa terbeban dengan kenaikan harga barangan utama.
"Jadi apa ertinya itu semua? Macam mana negara ini boleh muncul sebagai negara berpendapatan tinggi, sedangkan rakyat sentiasa tidak berkecukupan wang, berbelanja lebih dan sentiasa hidup dalam keadaan tertekan ekoran kenaikan harga barangan," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Kenaikan harga gula sebanyak 20 sen bermula hari ini, tegas beliau, pasti akan menyebabkan kenaikan harga barangan lain nanti yang turut melibatkan gula dan ia pasti akan lebih membebankan rakyat.
Tindakan kenaikan harga gula itu diyakini berpunca dari rancangan Kerajaan BN untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat-peringkat yang kini ternyata amat tidak praktikal, malah amat membebankan rakyat dari pelbagai aspek.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena sehubungan itu meminta Kerajaan BN melihat kembali cadangannya untuk mewujudkan makmal rasionalisasi subsidi itu, dengan mengadakan perbincangan menyeluruh terlebih dahulu dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan rumusannya. 
Dalam masa yang sama, beliau tidak menafikan kenaikan harga petrol RON97 sebanyak 20 sen dari RM2.70 kepada RM2.90 seliter mulai 5 Mei lalu dan gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai hari ini, berpunca dari masalah kewangan yang dialami oleh Kerajaan BN.
"Tetapi ini jelas melambangkan kegagalan Kerajaan BN dalam mengurus kewangan, di samping kegagalannya mencari sumber baru bagi kewangan negara," jelasnya.
Bagi mengatasi masalah kewangan negara, katanya, Kerajaan BN tidak sepatutnya membebani rakyat dengan kenaikan harga barangan, tetapi mencari sumber baru.
"Jadi, kesemua ini perlu dilihat dan dinilai sendiri oleh rakyat, setelah pelbagai pihak menjadi amat terbeban dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan BN sejak sekian lama," tegas beliau.-Harakahdaily 
P/S- Walaupun dalam banyak hal-hal politik, penulis selalu bertentangan pendapat dengan pemimpin-pemimpin pembangkang. Tapi, dalam bab kenaikan harga barang yang ketara kenaikannya sejak DS Najib mengambil alih pemerintahan, penulis rasa sedikit kecewa dengan cara kerajaan menangani isu ini.
Sebagai contohnya, kerajaan sepatutnya membawa masuk pendapatan berbillion ringgit jika kes rasuah yang melibatkan jabatan Kastam dapat dikekang dengan baik. Bukan setakat kes Kastam, banyak lagi agensi penguatkuasaan kerajaan yang memainkan peranan kepada penyumbang kepada pendapatan negara perlu diberi perhatian. Ini semua merupakan sumber hasil pendapatan dan merupakan duit kerajaan yang perlu dibelanjakan dan diimbangi dengan berhemah oleh pihak pemerintah.
Penulis berpendapat kerajaan perlu lebih berhati-hati dan memberi lebih perhatian dalam mengkaji dengan meneliti tentang kos sara hidup rakyat dan kesannya kepada rakyat yang mempunyai kuasa membeli yang rendah.
Jangan jadi yang dikejar tidak dapat, yang kendong pula jatuh berciciran. Tangan yang memberi itu adalah lebih mulia daripada yang menerimannya…..fikir-fikirkanlah.


Tuesday, May 10, 2011

"HAIRAN SAYA, AKHBAR YANG MENYEBARKAN SEGALA BENTUK KELUCAHAN DALAM MASYARAKAT HARI INI MENJADI JUARA ADAB SOPAN?" KATA SINIS NIK AZIZ YANG JUGA PERNAH MENGGEMPARKAN SELURUH NEGARA BILA MENGATAKAN ISLAM MEMBENARKAN MENCARUT….



Salam semua®…
MURSYIDUL AM PAS, TUAN GURU DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT MELAHIRKAN RASA HAIRAN DENGAN SIKAP akhbar Umno, Utusan Malaysia yang melaporkan kecaman terhadap Datuk Seri Anwar ekoran dakwaan menggelar Perdana Menteri sebagai 'Pandi kutty'.
Beliau mempersoal, bagaimana Utusan, sebuah akhbar yang menjadi juara penyebaran kelucahan kepada masyarakat kini mahu menjuarai adab sopan.
"Saya terbaca tajuk muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini, "Anwar Dikecam," kononnya kerana guna kata-kata kesat serang Perdana Menteri.
"Hairan saya, akhbar yang menyebarkan segala bentuk kelucahan dalam masyarakat hari ini menjadi juara adab sopan?"katanya di Facebook.
Utusan di muka depannya hari ini meletakkan tajuk 'Anwar dikecam' dengan membawa beberapa pandangan individu membidas sikap Anwar yang didakwa menggelar Datuk Seri Najib dengan gelaran Pandi Kutty.
Antara lain, akhbar Umno itu mengambil pandangan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Bekas Ketua AMK yang menyertai Umno, senator Ezam Mohd Noor.
Najib ketika mengulas laporan itu pula berkata, beliau tetap tidur lena (jenera) walaupun dituduh dengan perkataan itu.
Mengulas lanjut, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, gesaan MCA agar Utusan dipulaukan, sangat tepat.
"Tepat sungguh gesaan MCA agar Utusan Malaysia dipulaukan,"tulisnya lagi.
Sebelum ini, Utusan juga dikecam banyak pihak ekoran tindakan keterlaluan akhbar itu menyiarkan di muka depan laporan serta gambar berhubung isu video seks yang dikaitkan dengan Anwar yang juga Ketua Umum PKR. Turut dikecam dan dilebelkan sebagai media lucah adalah TV3.
Dalam pada itu, Anwar hari ini menyifatkan serangan terbaru isu Pandi Kutty terhadapnya itu adalah fitnah terbaru Umno BN.
Menurut laporan TV Selangor yang merakam penuh ceramah Anwar di Klang, Sabtu lalu itu, ketua pembangkang itu tidak langsung menghemburkan perkataan itu terhadap Najib.
Berikut adalah petikan ucapan Anwar yang dimaksudkan di Dewan Hamzah Klang itu apabila perkataan pandi kutty disebut:
"Maknanya kalau kita lawan dengan parti yang terdesak, mereka menjurus ke arah perbuatan terdesak termasuk video. Azizah kata sekarang jangan makan banyak sebab nanti sama dengan dalam video. Ini betul-betul pandi kutty."
Pada ceramah itu juga, Anwar berkata perkataan pandi kutty mungkin dianggap kasar namun mengingatkan hadirin di ceramah bahawa tidak ada dalam mana-mana budaya di dunia ini
menggunakan taktik-taktik kotor seperti video lucah untuk menjatuhkan pemimpin politik.
"Ada orang kata Anwar cakap kasar. Macam mana tidak kasar. Ini kerja gila. Anda tahu sejarah India, Cina, Melayu, Arab, adakah anda lawan politik begitu kotor macam Datuk Najib buat? Tidak ada,” katanya dalam ceramah itu.-Harakahdaily
P/S- Fatwa songsang Nik Aziz - Islam membenarkan mencarut – Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 28 April 1999. Oh…sebab tulah Anuar terikut-ikut perangainya.

GELARAN PANDI KUTTY KE ATAS PM BUKTI ANUAR BUKAN PEMIMPIN ISLAM YANG BAIK KERANA IANNYA BERTENTANGAN DENGAN AJARAN ISLAM….


Salam semua®…
Sikap biadab Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup secara celupar menggelarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pandi kutty membuktikan ketua pembangkang itu tidak layak diangkat sebagai pemimpin.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin  berkata, cercaan tersebut sangat kurang ajar dan tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang pemimpin yang bercita-cita besar seperti Anwar.
Sehubungan itu, beliau mendesak Anwar menarik balik kenyataan tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka bukan sahaja kepada Perdana Menteri tetapi seluruh rakyat Malaysia.
"Ini satu perbuatan cukup biadab dan kurang ajar. Kenyataan itu menggambarkan keperibadian buruk Anwar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Anwar dalam ceramah di Dewan Hamzah, Klang, Selangor, Sabtu lalu, didakwa menggunakan perkataan kesat dalam bahasa Tamil ke atas Perdana Menteri iaitu pandi kutty yang membawa maksud anak babi dalam bahasa Melayu.
Mengulas lanjut, Khairy percaya kenyataan biadab dan celupar yang keluar dari mulut Anwar sejak kebelakangan ini adalah kerana ketua pembangkang itu berada dalam keadaan tertekan.
Katanya, tekanan itu berpunca daripada pelbagai siri pendedahan mengenai masalah moralnya termasuk dikaitkan dengan aksi seks dalam rakaman video bersama seorang pelacur dari China.
Sementara itu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dalam sidang akhbar di sini berkata, Anwar perlu mencermin dirinya terlebih dahulu sebelum menggelar Perdana Menteri dengan panggilan yang tidak masuk akal serta tidak bertamadun itu.
"Masalahnya dia (Anwar) tidak tengok dirinya dalam cermin. Dialah pandi kutty, bukan Perdana Menteri. Saya harap mereka (pembangkang) akan jadi semakin bertamadun. Tolonglah jadi matang. Kita matang bukan gila, jadi tidak payah layan dia," katanya.-Utusan
P/S – Dalam Islam kita diajar supaya menghormati dan patuh kepada pihak pemerintah. Lebih-lebih lagilah kepada  pemimpin Islam. Amat mendukacitakan jika penggunaan ungkapan pandi kutty yang terkeluar daripada mulut Anuar yang juga merupakan seorang pemimpin Islam.
Negara kita sekarang ini bukan sahaja berhadapan dengan masalah  moral pemimpin malah, kita sekarang tanpa segan silu diajar pula dengan peradaban yang kurang baik ditonjolkan pula oleh seseorang yang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Tidak malukah beliau?  Kita tunggu apa reaksi Nik Aziz dan Hadi Awang dalam isu ini….

Monday, May 09, 2011

SALAHUDIN (AYUB, NAIB PRESIDEN PAS) MINTA SAYA BUKA BAJU, TUNJUK TETAPI USTAZ (DATUK SERI TUAN GURU ABDUL) HADI AWANG KATA TAK PAYAH," KATA ANWAR. CERITA MENARIK BACA SETERUSNYA….



Salam semua®…
"Ehhh kenapa semua pandang kat perut saya," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memulakan ceramahnya di Kuala Ibai dekat sini baru-baru ini dalam siri jelajah seluruh negara beliau.
Ia disambut gelak ketawa para hadhirin di majlis itu. Dari isu yang serius iaitu tuduhan menjadi pelaku dalam video seks menjadi santai.
Inilah caranya Anwar, yang menghadapi pelbagai tuduhan tidak baik dari musuh politiknya dalam apa yang digelar sebagai 'gutter politic' atau politik longkang yang sangat hina itu.
Sejak dari awal isu video seks datang, Anwar menegaskan beliau bukanlah lelaki yang menjadi pelaku dalam video seks itu.
"Muka macam saya tetapi perut bukan saya," kata Anwar dalam satu sidang media sebaik sahaja video itu mula didedahkan kepada wartawan di Carcosa Sri Negara oleh Trio Umno.
Sebelum inipun, inilah caranya Anwar menghadapi isu ini. Beliau menjadikan tuduhan yang serius ini dengan rileks tetapi penuh kepedihan untuk pihak yang menuduh beliau.
"Muka macam saya, tetapi bila lihat perut bukan saya. Ada yang suruh saya tunjukkan, Salahudin (Ayub, Naib Presiden PAS) minta saya buka baju, tunjuk tetapi Ustaz (Datuk Seri Tuan Guru Abdul) Hadi Awang kata tak payah," kata Anwar dalam majlis itu.
Dalam keceriaan menghadapi tuduhan itu, Anwar mengaku beliau tertekan dengan tuduhan yang dihadapkan kepada beliau itu.
"Saya ada perasaan, ada anak-anak, ada Azizah (Datuk Seri Wan Azizah, isteri beliau)," kata Anwar di Kuala Terengganu itu.
Bagi Anwar, politik mengaibkan orang dengan fitnah ini adalah sesuatu yang beliau tidak akan biarkan dan akan lawan.
Anwar membawa cerita dalam sejarah kerajaan Melayu sebelum ini yang antara lain sangat menitip beratkan agar pihak pemerintah atau raja-rajanya tidak sesekali mengaibkan rakyatnya.
"Jangan sesekali aibkan rakyat kamu. Kalau kamu aibkan juga, mala petaka atas kamu. Tetapi nampaknya Umno melanggar perinsip pertama muafakat antara kerajaan dengan rakyat ini.
"Lihatlah dalam pilihan raya akan datang, rakyat akan tumbangkan kamu," kata Anwar dengan disambut sorakan gemuruh para penyokongnya yang mendengar ucapan beliau malam itu.
Bagi Anwar, tindakan pihak musuh politiknya sangat tidak sesuai dengan keperluan negara sebenarnya.
Yang diperlukan negara sekarang adalah pengurusan ekonomi yang baik agar manafaatnya dirasai oleh rakyat tetapi media Umno sibuk memainkan isu video seks dan mendakwa beliau pelakunya.
Bagi beliau, negara terus menghadapi masalah apabila pemimpinnya sibuk mengkayakan kroni dan anak beranak masing-masing.
"Tun Dr Mahathir, umur dah 85 tahun masih sibuk lagi, anak dia Mokhzani, antara orang Melayu paling kaya di Malaysia. Najib, baru tiga tahun jadi PM, adik dia, Nazir, antara Melayu paling kaya di negara ini.
"Bagaimana mereka ini dapat kumpul harta sebanyak itu?" soal Anwar.
Sehubungan itu, beliau mahu Pakatan Rakyat  khasnya PAS perlu menang di Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang untuk membuat perubahan.
"PAS kena menang di Terengganu sebab kita nak ubah bukan untuk membalas dendam. Saya jamin, kita tidak akan telanjangkan dia sebagaimana saya kena. Saya hanya nak buktikan kepada rakyat, kita boleh buat," kata Anwar dengan disambut tepukan gemuruh para hadirin.
Antara perubahan yang dijanjikan Anwar adalah royalti minyak 10 peratus untuk rakyat Terengganu, penurunan segera harga minyak runcit, penurunan kadar tarif elektrik dengan mengkaji semula perjanjian dengan Pembekal Tenaga Bebas (IPP) dan sebagainya.-Harakahdaily.

Sunday, May 08, 2011

Terkini tentang Isu Kristian-Islam : “Tolong bertenang sehingga kami mencari faktanya. Ia (mengeksploitasi) tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa pun – DS Najib, Jakatra.


Salam semua®
Datuk Seri Najib Razak menggesa semua pihak supaya bertenang dan tidak mengeksploitasi isu agama — kononnya pihak Kristian berkonspirasi mahu menjadikan ia agama rasmi negara.
“Tolong bertenang sehingga kami mencari faktanya. Ia (mengeksploitasi) tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa pun.
“Siapa saja sama ada pembangkang atau prokerajaan, mereka tidak boleh dan tidak sepatutnya mengeksploitasi isu ini,” kata beliau di akhir Sidang Kemuncak Asean ke-18 di sini.
Laporan Bernama menyebut, Perdana Menteri yang diminta mengulas isu mengenai adanya pihak sedang berusaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Malaysia.
Katanya kerajaan akan menyiasat terlebih dahulu perkara itu dan semua pihak tidak harus membesarkan cerita kerana ia boleh menjadi api dalam sekam.
“Kalau kita tak bendung, ia boleh menjadi unsur polarisasi yang serius dalam masyarakat kita,” katanya.
Najib berkata agama merupakan perkara yang sensitif dan semua pihak dalam negara mesti menjaga keadaan supaya tidak ada sesuatu yang boleh mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat.
“Malaysia berpegang kepada peruntukan Perlembangan, maknanya Islam ialah agama rasmi Malaysia dan di samping itu agama-agama lain bebas dianuti.
“Ini merupakan prinsip penting yang telah dijadikan sendi utama dalam pembentukan negara Malaysia yang tidak boleh dipersoalkan.
“Kalau ada sesiapa yang cuba menggugat ketenteraman negara, kita tak akan benarkan perkara ini berlaku sebab yang penting ialah keharmonian dalam negara kita,” katanya.-The Malaysian Insider
P/S- Penulis tengok ramai pemimpin PAS yang bertindak seolah-olah melebihi sudu dari kuah. Rileks lah dulu ‘brothers’, betul seperti kata DS Najib. Berilah masa kepada kerajaan mencari fakta dan puncanya.
Jika kita rasa kita daripada golongan  berpelajaran tinggi, janganlah pula kita bertindak seperti mana budak-budak sekolah. Mengamok tak tentu hala dan naik angin seluruh badan bukanlah amalan politik yang sihat. Berilah tumpuan utama kepada mencari punca permasalahan dan seterusnya bertindak sebaik-baiknya bagi mengawal keadaan. Isu agama adalah isu sensitif dan semua orang tidak perlulah tergopoh-gapah menyalahkan orang itu dan orang ini.
Pemimpin-pemimpin PAS perlu banyak belajar daripada DS Najib bagaimana untuk menjadi pemimpin yang bijak bagi mengawal keadaan dan perasaan.
Cuba bayangkan kalau DS Najib bertindak sebaliknya. Tak huru-hara satu Malaysia dibuatnya.
Kepada teman seperjuangan dan yang seangkatan dengannya baik di kalangan yang muda ataupun yang telahpun pencen, bantulah DS Najib dan janganlah menyusahkannya lagi.
Bantulah DS Najib dalam menjayakan gagasan 1 Malaysia dalam erti kata yang sebenarnya. Jangan sesekali menganggap DS Najib hanya bertanggungjawab untuk orang Melayu dan orang UMNO sahaja. Akan tetapi, tanggungjawab DS Najib melangkaui seluruh rakyat Malaysia.