Showing posts with label Isu Islam-Kristian. Show all posts
Showing posts with label Isu Islam-Kristian. Show all posts

Sunday, May 08, 2011

Terkini tentang Isu Kristian-Islam : “Tolong bertenang sehingga kami mencari faktanya. Ia (mengeksploitasi) tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa pun – DS Najib, Jakatra.


Salam semua®
Datuk Seri Najib Razak menggesa semua pihak supaya bertenang dan tidak mengeksploitasi isu agama — kononnya pihak Kristian berkonspirasi mahu menjadikan ia agama rasmi negara.
“Tolong bertenang sehingga kami mencari faktanya. Ia (mengeksploitasi) tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa pun.
“Siapa saja sama ada pembangkang atau prokerajaan, mereka tidak boleh dan tidak sepatutnya mengeksploitasi isu ini,” kata beliau di akhir Sidang Kemuncak Asean ke-18 di sini.
Laporan Bernama menyebut, Perdana Menteri yang diminta mengulas isu mengenai adanya pihak sedang berusaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Malaysia.
Katanya kerajaan akan menyiasat terlebih dahulu perkara itu dan semua pihak tidak harus membesarkan cerita kerana ia boleh menjadi api dalam sekam.
“Kalau kita tak bendung, ia boleh menjadi unsur polarisasi yang serius dalam masyarakat kita,” katanya.
Najib berkata agama merupakan perkara yang sensitif dan semua pihak dalam negara mesti menjaga keadaan supaya tidak ada sesuatu yang boleh mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat.
“Malaysia berpegang kepada peruntukan Perlembangan, maknanya Islam ialah agama rasmi Malaysia dan di samping itu agama-agama lain bebas dianuti.
“Ini merupakan prinsip penting yang telah dijadikan sendi utama dalam pembentukan negara Malaysia yang tidak boleh dipersoalkan.
“Kalau ada sesiapa yang cuba menggugat ketenteraman negara, kita tak akan benarkan perkara ini berlaku sebab yang penting ialah keharmonian dalam negara kita,” katanya.-The Malaysian Insider
P/S- Penulis tengok ramai pemimpin PAS yang bertindak seolah-olah melebihi sudu dari kuah. Rileks lah dulu ‘brothers’, betul seperti kata DS Najib. Berilah masa kepada kerajaan mencari fakta dan puncanya.
Jika kita rasa kita daripada golongan  berpelajaran tinggi, janganlah pula kita bertindak seperti mana budak-budak sekolah. Mengamok tak tentu hala dan naik angin seluruh badan bukanlah amalan politik yang sihat. Berilah tumpuan utama kepada mencari punca permasalahan dan seterusnya bertindak sebaik-baiknya bagi mengawal keadaan. Isu agama adalah isu sensitif dan semua orang tidak perlulah tergopoh-gapah menyalahkan orang itu dan orang ini.
Pemimpin-pemimpin PAS perlu banyak belajar daripada DS Najib bagaimana untuk menjadi pemimpin yang bijak bagi mengawal keadaan dan perasaan.
Cuba bayangkan kalau DS Najib bertindak sebaliknya. Tak huru-hara satu Malaysia dibuatnya.
Kepada teman seperjuangan dan yang seangkatan dengannya baik di kalangan yang muda ataupun yang telahpun pencen, bantulah DS Najib dan janganlah menyusahkannya lagi.
Bantulah DS Najib dalam menjayakan gagasan 1 Malaysia dalam erti kata yang sebenarnya. Jangan sesekali menganggap DS Najib hanya bertanggungjawab untuk orang Melayu dan orang UMNO sahaja. Akan tetapi, tanggungjawab DS Najib melangkaui seluruh rakyat Malaysia.





Terkini: “Kami telah jelaskan pendirian kami bahawa tiada sesiapa yang mengancam Islam. Tiada sesiapa yang boleh merampas kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”: Dr Thomas Philips.


Salam semua®…
The Malaysian Insider melaporkan Pengerusi Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao, Dr Thomas Philips berkata terdapat satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mengkaji perkara-perkara yang “sensitif”.
“Kita mempunyai jawatankuasa antara agama Kabinet. Mereka perlu bincangkan perkara ini di sana. Ada isu-isu yang tidak dapat dikawal. Mengapa perlu bangkitkan isu yang boleh mempengaruhi emosi rakyat?” katanya kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada dakwaan yang disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno dan Utusan Malaysia sejak beberapa hari lalu.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam telah membuat laporan polis selepas akhbar milik Umno menyiarkan laporan di muka hadapan dengan tajuk “Kristian agama rasmi?”
Philips berkata jawatankuasa khas itu dijadualkan mengadakan pertemuan minggu depan tetapi mesyuarat telah ditangguhkan.
Jawatankuasa khas itu diletakkan di bawah Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Agama yang diwujudkan pada Disember 2009.
Anggota jawatankuasa khas itu adalah Datuk Mustapha Ma dan Reverend Hermen Shastri, dan pertemuan terakhir pada 17 Mac lalu, meskipun sumber The Malaysian Insider memberitahu bahawa tiada perkembangan terbaru dalam isu-isu yang dibangkitkan.
Kata Philips, majlis perunding bukan Islam mempunyai pendirian bahawa tiada agama lain yang boleh merampas kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
“Kami telah jelaskan pendirian kami bahawa tiada sesiapa yang mengancam Islam. Tiada sesiapa yang boleh merampas kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kami mahu tegakkan Perlembagaan Persekutuan dan kami tidak akan lakukan sesuatu dan kami menerima kedudukan Islam,” katanya.
Katanya, jawatankuasa khas itu dijadual bertemu menteri yang turut berada dalam jawatankuasa itu, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon minggu depan untuk berbincang mengenai kekosongan jawatan pengerusi selepas Datuk Ilani Ishak meninggal dunia pada 24 Februari lalu.
“Tapi mesyuarat pada 12 Mei ini ditunda,” katanya sambil menambah tiada tarikh baru diberikan.
“Jika ia berlaku, ia berlaku. Apa yang kami boleh buat?” katanya.
Isu-isu agama ini mula tercetus pada pilihan raya negeri Sarawak 16 April lalu, malah kumpulan-kumpulan Melayu menyifatkan peningkatan sokongan Cina kepada DAP dan menuduh penganut Kristian cuba menggugat agama Islam.
Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) juga telah membuat laporan polis dengan menuduh Kristian cuba untuk memurtadkan orang Islam, yang mana ia haram di Malaysia.
Presiden Pembela Dr Yusri Mohamad berkata komuniti Kristian yang menuntut mahu menggunakan kalimah “Allah” dalam Alkitab mahu memurtadkan orang Islam dan memeluk agama Kristian.
“Kita berdepan dengan kumpulan Kristrian yang agresif.
“Tuntutan terhadap Alkitab, kalimah Allah ada kaitan dengan penyebaran agama Kristian... mereka gunakan strategi ini untuk mempengaruhi orang Islam, dengan menggunakan cara sama dengan agama Islam,” katanya.

P/S – Sudah-sudahlah tu, janganlah peralatkan agama demi kepentingan politik. Berpolitiklah secara bijak tanpa ada unsur-unsur yang boleh mencemarkan agama dan kaum. Seseorang yang berkepentingan tidak kiralah mewakili sesiapapun, mestilah tahu had-had dalam menyatakan sesuatu pendapat atau kenyataan. Realitinya semua rakyat Malaysia benci pada isu-isu yang memperalatkan agama demi kepentingan politik.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak cakap buruk padahnya. Penulis rasa cukuplah sampai di sini, tutuplah isu ini dengan segera sebelum nasi menjadi bubur.
KPN dan KDN perlu tegas dalam hal ini.