Saturday, March 31, 2012

Ramuan Untuk UMNO Menang Di Dalam PRU. Mereka Tidak Perlu Terlalu Dominan Dalam BN….



Salam semua®…

Penulis amat bersetuju dengan pendapat Dr Mohd Khir Toyo (Khir) bahawa adalah perlu bagi BN memperkukuh MCA, MIC dan Gerakan dengan membenarkan mereka mengumumkan projek-projek untuk komuniti mereka selain pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (DS Najib).

Khir seterusnya berkata, “komuniti bukan Melayu telah hilang “hormat” kepada pemimpin parti komponen BN kerana mereka dilihat tidak mampu untuk membantu komuniti mereka sendiri.”

“Itu sebabnya sekarang kita perlu berikan lebih kuasa kepada MCA dan MIC. Pastikan presiden parti mereka mengumumkan peruntukan untuk sekolah, untuk komuniti mereka. Sekiranya kita hanya mengharapkan Perdana Menteri dan timbalannya, Umno akan dilihat terlalu dominan, dan masyarakat Cina dan India akan hilang kepercayaan terhadap pemimpin mereka.

“Itu masalahnya sekarang, saya sering ingatkan sekarang kita perlu tingkatkan peluang kepada parti lain untuk membuat keputusan mereka dan berikan mereka peruntukan,” tegasnya. Sumber The Malaysian Insider.

Keseluruhannya sila rujuk di sini.
Komen Penulis:      

Dalam pada kerajaan giat melaksanakan GTP bagi menarik balik sokongan orang ramai kepada Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah, penulis berpendapat sudah sampai masanya kerajaan di bawah komponen BN terpaksa melakukan sesuatu yang agak  LUAR BIASA supaya semua sokongan daripada tiga kaum majoriti iaitu di kalangan kaum Melayu, Cina dan India dapat diperkasakan semula.

Kalau di negeri Pulau Pinang yang dikuasai parti pembangkang  mempunyai dua Timbalan Ketua Menteri di kalangan kaum Melayu dan India selain kaum Cina sebagai Ketua Menteri, kenapa perkara yang sama tidak boleh dipraktikkan ke atas jawatan Timbalan Perdana Menteri?

UMNO sebagai parti teras dan peneraju kepada kepimpinan BN tidak dapat tidak, perlu berhadapan dengan situasi ini jika ingin mengembalikan sokongan kaum Cina dan India kepada kerajaan.

Penulis rasa, tentu ramai orang Melayu tidak setuju dengan pendapat ini. Tetapi, percayalah seperti kata DS Najib satu ketika dahulu bahawa  “sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan akan terus membantu rakyat. Sebagai sebuah negara, sebagai satu bahasa, 1Malaysia, ia memberikan kekuatan untuk mengatasi cabaran akan datang,”

Katanya lagi, “Saya percaya kita boleh capai sebagai sebuah negara yang makmur dan kukuh jika semua rakyat Malaysia berpegang kepada falsafah 1Malaysia,”

Kerajaan BN yang hampir hilang kuasa di dalam PRU 12 dulu, mahu tidak mahu, mereka terpaksa melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan gelombang 1 Malaysia dalam ertikata yang sebenarnya.

Nasihat penulis, jangan biarkan parti pembangkang mendahului dengan melakukan perkara yang sama jika Pakatan Rakyat menang dalam PRU ke 13 nanti. UMNO perlu cepat bertindak dan berkorban demi survival politik mereka.

Selepas 54 tahun Merdeka, masa dan suasana sudah banyak berubah. Keselesaan dengan mengundi BN sebagai parti yang menjanjikan kemakmuran yang berterusan sudah tidak wujud lagi di kalangan kaum Cina dan India.

Banyak perkampongan Cina dan India telah dimajukan oleh kerajaan BN dari bandar-bandar kecil menjadi bandar-bandar besar. Akan tetapi, sokongan politik mereka sejak kebelakangan ini terarah kepada parti pembangkang.

Kenapa jadi begini?

Betul seperti kata Khir di atas, “Itu sebabnya sekarang kita perlu berikan lebih kuasa kepada MCA dan MIC. Pastikan presiden parti mereka mengumumkan peruntukan untuk sekolah, untuk komuniti mereka.

Sekiranya kita hanya mengharapkan Perdana Menteri dan timbalannya, Umno akan dilihat terlalu dominan, dan masyarakat Cina dan India akan hilang kepercayaan terhadap pemimpin mereka.”

Berfikirlah dan bermuafakatlah dengan lebih rasional. Tentu ada jalan penyelesaiannya.

lannkb.
 



1 comment:

Anonymous said...

tuan empunya blog, mohon di link www.dtubes.tv dengan blog tuan ini.

terima kasih.
che chu bidih