Thursday, January 27, 2011

MAJLIS PEGUAM - BERSUARA BAGI PIHAK PARTI PEMBANGKANG?



Salam semua…

Penulis tidak terkejut bila terbaca komen Ragunath yang mewakili Majlis Peguam semalam berkata Karpal tidak wajar dipanggil sebagai saksi dan memberi testimoni di dalam perbicaraan kes liwat Anwar yang kini sedang berjalan. Tindakan beliau itu seolah-olah mencampuri urusan Jabatan Peguam Negara yang nyata beliau (Ragunath) tidak  mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Kenyataannya jelas bersifat politik kerana umum mengetahui tindakan Karpal  yang  menjadi peguambela kepada DS Anuar adalah salah dari segi etika guaman dan moral kerana beliau pernah mendesak supaya bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disiasat kerana didakwa oleh beberapa pihak terlibat dengan perbuatan liwat.

Ikuti paparan selanjutnya serta  komen daripada beberapa orang peguam terkemuka mengenai isu ini seperti yang dilapurkan oleh Utusan Online bertarikh 27/01/2011
(Klik di sini  ).

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Majlis Peguam hari ini dibidas kerana mengeluarkan kenyataan bahawa Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak wajar dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Pengamal undang-undang, Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata, dalam konteks perundangan, Majlis Peguam tidak berhak menentukan sama ada Karpal Singh boleh atau tidak boleh dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes liwat tersebut.

Beliau menegaskan, dalam soal itu, hanya Jabatan Peguam Negara yang mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Sehubungan itu beliau berkata, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan mengenai isu tersebut kerana tindakannya itu dianggap mendahului peranan Jabatan Peguam Negara.

"Saya bercakap atas undang-undang. Dalam perkara berkaitan dengan saksi, hanya Jabatan Peguam Negara yang mempunyai kuasa dan bukannya Majlis Peguam,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ragunath semalam bahawa mengikut pandangan Majlis Peguam, Karpal tidak wajar dipanggil sebagai saksi dan memberi testimoni di dalam perbicaraan kes liwat Anwar yang kini sedang berjalan.

Sebelum ini, beberapa pihak telah mendesak Karpal supaya berundur daripada menjadi peguam bela Anwar bagi kes liwat kedua yang dihadapinya kini.

Karpal sebelum itu mengeluarkan kenyataan bahawa beliau pernah disapina untuk hadir perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar pada 1997 tetapi tidak dipanggil untuk memberikan keterangan.

Hasnal Rezua Merican berkata, dalam isu tersebut adalah lebih baik Majlis Peguam mengambil langkah berdiam diri daripada membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan.

Dalam pada itu beliau berkata, sekiranya pihak pendakwa raya mahu Karpal menjadi saksi dalam kes tersebut, perkara pertama yang harus dilakukan, ialah keterangannya perlu dirakamkan dengan berdasarkan peruntukan Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah.

"Setelah selesai keterangannya itu hendaklah dinilai oleh Jabatan Peguam Negara sama ada Karpal layak sebagai saksi yang material atau sebaliknya.

"Penilaian dibuat berdasarkan sama ada keterangan Karpal itu benar-benar relevan dengan kes perbicaraan Anwar yang berlangsung ketika ini.

"Sekiranya keterangan Karpal relevan, hasrat itu boleh diteruskan dan jika sebaliknya biarkan sahaja Penasihat DAP itu terus menjadi peguam bela kepada Anwar. Segala-galanya terletak pada usaha Jabatan Peguam Negara,'' ujarnya.

Pengerusi Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar yang turut senada mahu Majlis Peguam mengambil pendekatan berdiam diri dan bukannya membuat kenyataan bersifat kontroversi.

"Isu ini melibatkan hak Jabatan Peguam Negara. Mengenai isu disiplin yang dibangkitkan oleh Majlis Peguam, ia adalah di bawah kuasa Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib yang berhak untuk menentukan dan bukannya badan itu sendiri,'' katanya lagi.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong pula mahu Majlis Peguam mengemukakan usul mencela Ragunath atas kenyataan kontroversinya berhubung isu memanggil Karpal sebagai saksi dalam kes liwat Anwar.

Beliau percaya kenyataan yang dibuat oleh Ragunath itu membelakangkan Exco Majlis Peguam secara keseluruhan iaitu diputuskan tanpa mesyuarat rasmi.

"Apa yang dilakukan oleh Ragunath ini hanya menjejaskan imej dan kredibiliti Majlis Peguam sahaja. Bagi saya kenyataan Ragunath ini lebih bersifat politik

"Sekiranya dia mahu berpolitik lebih baik berkecimpung dalam bidang politik. Lagipun kenyataan ini dikeluarkan tanpa asas,'' katanya.

Persoalannya, beliau berkata, mengapa Ragunath secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan mempertahankan Karpal.

1 comment:

Anonymous said...

saya tak puas hati bila peguam muslim semua senyap dlm kes lina joy, mana pi semua peguam2 muslim nih, mcm kata zul kulim BAR-ua semuanya..
dlm kes anu berahi pun x komen apa2