Salam semua…
Malaysia sebagai negara yang kecil di rantau Asia Tenggara akhirnya menutup tirai sukan tanah air melalui pencapaian gemilang dengan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 mengalahkan negara jiran Indonesia dengan agregat 4-2. Kemenangan tersebut telah mengharumkan nama serta maruah Malaysia di persada antara bangsa.
Untuk menonjolkan kekuatan dan menjulang ketinggian maruah negara di peringkat antara bangsa bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Kalau zaman dulu-dulu, rakyat yang cintakan tanah airnya sanggup berperang dan bersedia menggadaikan nyawa mereka untuk satu-satu kemenangan. Ungkapan-ungkapan keramat sebagai pembakar semangat seperti “biar putih tulang jangan putih mata” sering diungkap oleh panglima-panglima ketika berperang demi menagih kemenangan dan menjaga maruah negara.
Panglima-panglima perang serta askar-askar yang hebat di dalam peperangan selalunya menjadi contoh dan ikon kepada negara mereka. Di sebabkan kesetiaan dan kekuatan merekalah nama negara mereka dipandang tinggi dan disegani oleh negara-negara lain. Kemenangan waktu itu merupakan simbol kekuatan dan tingginya maruah sesebuah negara itu. Mereka yang telah mengharumkan nama negara ketika itu telah diberikan dengan pelbagai ganjaran, penghormatan serta kebesaran negara secara besar-besaran dalam suasana gelang-gemilang. Semuanya adalah kerana pengorbanan yang telah mereka lakukan kepada negara malah, nama-nama mereka telah terpahat dan sentiasa dikenang sehinggalah ke hari ini.
Itu dulu, tetapi sekarang ini suasana dan senarionya telah berbeza. Tugas penting untuk mengharumkan dan menaikkan maruah nama negara di persada antara bangsa telah diambil-alih sebilangan besarnya oleh ahli-ahli sukan negara termasuklah yang terkini pencapaian gemilang pasukan bolasepak negara menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dengan mengalahkan negara jiran Indonesia dengan agregat 4-2.
Pada pandangan penulis, mereka ini perlu dijulang sebagai wira negara kerana bukanlah senang untuk melahirkan pemain-pemain berbakat seperti mereka ini. Bakat dan kemahiran mereka sebenarnya bukanlah boleh dibentuk, boleh dibeli ataupun boleh dicari dalam sehari dua. Mereka sebenarnya telah dilatih bertahun-tahun bermula dari alam persekolahan sehinggalah mereka berjaya menjadi seorang pemain negara. Banyak kesusahan dan pengorbanan yang telah mereka lalui sebelum mereka bergelar sebagai seorang juara. Demi untuk menjadi seorang juara, ada sebilangnya besarnya terpaksa berkorban meninggalkan alam persekolahan serta sampai ada yang sanggup membahagikan kepentingan dan tanggung-jawab ke atas keluarga.
Oleh yang demikian, pada pandangan penulis, bagi mereka yang telah mengharumkan nama negara seperti pasukan bolasepak kebangsaan di atas diberi ganjaran dan penghormatan negara dengan sewajarnya.
Merekalah sebenarnya ikon-ikon negara. Ikon yang boleh bertindak sebagai penyuntik semangat 1Malaysia kepada semua rakyat Malaysia. Moga-moga pada tahun 2011, akan melahirkan lebih ramai lagi wira-wira negara yang akan menjulang nama dan maruah negara Malaysia di persada antara bangsa.
No comments:
Post a Comment