Kali ini penulis ingin beralih topik perbincangan daripada isu politik yang tidak ada kesudahannya ke isu semasa dan yang terbaru mengenai kemalangan trajis lagi menyayatkan hati melibatkan seorang pelajar Tingkatan Dua apabila dia maut dihentam takal besi pada tali yang sedang dipasang, kira-kira jam 6 pagi semalam semasa mengadakan latihan flying fox untuk kegiatan pengakap di sekolahnya.
Ikuti lapuran yang penulis ambil daripada Berita Harian Online bertarikh 9/1/2011 (atau klik di sini. ).
TAIPING: Kegembiraan seorang pelajar Tingkatan Dua mengetuai sekumpulan pengakap di sekolahnya mengadakan latihan flying fox berakhir tragedi apabila dia maut dihentam takal besi pada tali yang sedang dipasang, kira-kira jam 6 pagi semalam.
Goh Swee Khin, (kiri) 14, pelajar lelaki yang aktif dengan aktiviti kokurikulum, ketika itu bersama kira-kira 40 rakannya di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Hua Lian, di sini, menyertai program perkhemahan pengakap.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Md Diah, berkata kejadian berlaku ketika mangsa mengetuai rakannya membuat persediaan latihan flying fox dengan diawasi seorang guru.
“Ketika kumpulan pelajar itu meregangkan tali, tiba-tiba tali itu putus menyebabkan takal besi menghentam kepala mangsa menyebabkan dia meninggal di tempat kejadian.
“Petugas hospital yang tiba di lokasi kejadian sejurus kemudian mengesahkan pelajar itu meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Taiping (HT) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai mati mengejut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dimaklumkan kejadian malang itu mengarahkan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong menziarahi keluarga mangsa, kira-kira jam 6.30 petang.
Kementerian Pelajaran turut menubuhkan jawatankuasa penyiasat diketuai Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud bagi mengenal pasti punca kejadian.
Ka Siong yang ditemui ketika melawat keluarga mangsa di sini, berkata Perdana Menteri terkilan dengan kejadian itu.
Katanya, jawatankuasa siasatan akan mengenal pasti punca kejadian dan kelemahan berhubung aktiviti yang dijalankan itu.
Katanya, kementerian juga mengarahkan SMJKC Hua Lian menghentikan semua aktiviti sekolah selama dua minggu kerana kejadian itu menyebabkan trauma kepada pelajar sekolah yang perlu diberi kaunseling.
Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi RM2,000 kepada keluarga mangsa manakala Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon yang turut melawat keluarga mangsa sebelum itu menyerahkan sumbangan RM5,000 bagi pihak kerajaan Perak.
Sementara itu, ibu mangsa, Phorn Thi Pha, 38, yang mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Ka Siong dan kerajaan negeri berkata anak sulungnya itu bersemangat menjalankan kegiatan itu tetapi tidak menyangka ia berakhir tragedi.
Ulasan penulis.
Sebagai seorang Islam, memang betul kita tidak boleh melawan takdir kerana ianya telah ditentukan oleh Allah. Walaubagaimanapun Allah melalui rasulnya, mengajar kita berusaha dan sentiasa berdoa supaya malapetaka seperti di atas dapat dielakkan jika kita bersungguh-sungguh berikhtiar melakukan yang terbaik berdasarkan tatacara dan teknik yang betul. Selain dari itu kita juga selalu diperingatkan supaya unsur-unsur yang melibatkan kecuaian manusia perlu dielakkan sebaik mungkin.
Penulis sendiri bersama-sama dengan rakan kerja yang lain pernah beberapa kali menyertai aktiviti lasak seperti di atas suatu masa dulu ketika menghadiri kursus kem bina semangat yang dianjurkan oleh majikan penulis.
Tetapi apa yang penulis ingat sehingga ke hari ini ialah kata-kata instruktor yang mengendalikan aktiviti lasak tersebut bahawa tiap-tiap aktiviti lasak seperti juga flying fox di atas wajib dikendalikan serta diawasi oleh para-para jurulatih serta instruktor yang mempunyai tauliah dalam aktiviti lasak tersebut. Ianya perlu bagi memastikan tahap keselamatan dari segi kesesuaian fizikal peserta dan segala peralatan untuk aktiviti tersebut mestilah di dalam keadaan yang terbaik sebelum sebarang aktiviti dapat dilakukan. Maknanya kebarangkalian untuk melakukan kesilapan dari segi keupayaan peserta dan peralatan yang digunakan adalah 0 %.
Penulis tidak pasti samada tatacara yang sama digunakan ke atas pelajar-pelajar sekolah kita. Akan tetapi bila mengetahui punca kepada kejadian malang di atas seperti yang dilapurkan oleh wartawan Berita Harian adalah berpunca dari tali yang tiba-tiba putus menyebabkan takal besi menghentam kepala mangsa dan beliau meninggal di tempat kejadian.
Dari pemerhatian kasar penulis melalui gambar yang terpapar di dalam Berita Harian Online di atas, saiz badan penuntut yang malang berkenaan rasanya tidak berapa sesuai untuk aktiviti lasak, jadi kenapa pihak sekolah boleh membenarkan beliau menyertainya?
Penulis sengaja membangkitkan isu ini dengan harapan ibubapa dan pihak sekolah perlu mendapatkan penerangan yang betul tentang aktiviti ini supaya perkara yang sama tidak akan berulang lagi di masa-masa akan datang.
(Sisipan malam)
No comments:
Post a Comment