Salam semua…
Menurut Najib, situasi berkenaan juga pernah berlaku iaitu mengadakan pilihan raya serentak membabitkan di DUN Galas di Kelantan dan kerusi Parlimen Batu Sapi di Serawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan tiada sebarang masalah bagi jentera BN untuk menghadapi pilihan raya kecil (PRK) serentak berikutan parti itu memiliki jentera yang menyeluruh.
"Tiada masalah untuk membuat pilihan raya kecil serentak, kerana dahulu kita pernah buat di Sabah dan BN mempunyai jentera yang menyeluruh.
"Kita boleh bertindak dalam menghadapi pilihan raya di beberapa kawasan sekalipun, bukan sahaja dua, malah banyak kawasan serentak pun kita boleh," katanya.
Perdana menteri berkata kepada media selepas mengadakan pertemuan bersama jentera PRK di kawasan DUN Merlimau di Politeknik Merlimau hari ini.
PRK di DUN Kerdau diadakan berikutan penyandangnya Zaharuddin Abu Kassim daripada BN yang meninggal dunia pada 12 Februari lalu akibat serangan jantung.
Manakala PRK di DUN Merlimau pula, diadakan setelah kematian wakil rakyatnya, Allahyarham Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lalu juga kerana penyakit sama.
Najib juga berkata, jentera BN untuk menghadapi PRK Merlimau telah menghadapi persiapan yang kemas dan mantap malah motivasi pemimpin-pemimpin BN di kawasan terbabit juga adalah sangat tinggi.
"Segala perancangan yang dibuat oleh Datuk Seri Mohd Ali Rustam, sebagai Ketua Menteri dan Pengarah Pilihan Raya menunjukkan persiapan kita malah BN sudah pun mengerakkan jentera.
"Saya percaya kita punyai perlaksanaan dan tindakan kita berdasarkan pada persiapan kita, Insya-Allah kita akan menjuruskan kepada kemenangan BN.
"Saya pesan kepada jentera BN supaya bekerja dengan penuh semangat secara berterusan sebab di PRK ini kita tidak tahu apa yang boleh kita andaikan tetapi kalau kita ambil tindakan berdasarkan kepada perancangan yang telah kita susun atur, saya percaya apa yang kita hasratkan akan menjadi kenyataan," katanya.
Mengenai calon yang akan diketengahkan menurut Najib, setakat ini pihaknya hampir membuat keputusan calon yang layak.
"Kita sedang meneliti tujuh calon yang sesuai, setakat ini masih belum ada calon pun yang disenarai pendekkan.
"Bagaimanapun, untuk PRK di Kerdau, kita sudah pun menerima senarai calon dan tarikh diumumkan calon adalah 22 Februari manakala Merlimau pada 23 Februari ini," katanya.
Mengenai Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Perlis yang mencadangkan SPR mengkaji semula Akta Pilihan Raya dengan memasukkan beberapa syarat baru berkaitan calon pilihan raya termasuk had umur calon tidak melebihi 65 tahun dan mereka juga perlu disahkan sihat, setakat ini menurut Najib pihaknya belum membuat keputusan.
"Pasal umur calon, kita belum putus lagi, itu sekadar cadangan sahaja, biar kita fikir dahulu perkara ini, saya tidak mahu membuat kenyataan, kalau saya buat kenyataan seolah-olah kata putus," katanya.
Walaupun penamaan calon dan waktu berkempen masih tinggal Kurang seminggu,, Merlimau mula meriah dengan kehadiran ramai pemimpin utama negara.
Selain kehadiran Najib dan isterinya Rosman Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan n Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar turut turun ke situ.-Malaysiakini, 20/02/2011.
No comments:
Post a Comment