Saturday, February 19, 2011

CABARAN MOHD NOOR BERMUHABALAH DENGAN NIK AZIZ HANYA BUANG MASA?


Salam semua…
MOHD NOOR menunjukkan ayat surah Al-Baqarah yang membawa maksud bahawa berdakwah, bermuzakarah adalah sunnah Nabi pada sidang akhbar semalam. MB Kelantan nafi dakwaan pernah nyatakan UMNO kafir .
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat diminta bertaubat serta dicabar untuk bermuhabalah bagi mencari kebenaran serta menafikan dakwaannya sebelum ini yang menyatakan UMNO kafir. Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, Prof Mohd Noor Deris, berkata Nik Aziz mungkin dibelenggu ‘penyakit was-was’ yang menjadi permainan syaitan. “Nik Aziz sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO menolak Islam, juga kenapa orang Melayu menolak Islam jadi hari ini menafikannya, saya tidak tahu apakah beliau sudah bertaubat.
“Kalau bahasa mudah yang kita guna, bila kata tolak Islam itu bermakna kafir. Tapi saya tidak tahu Nik Aziz menggunakan bahasa apa? Bahasa Urdu ataupun India? Kalau benar saya cabar beliau bermuhabalah,” katanya yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, ketika dihubungi di sini, semalam.
Akhbar semalam memetik Nik Aziz yang ketika diminta mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap dirinya, menyatakan beliau tidak pernah menuduh UMNO kafir.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Shamsul Adabi Mamat, pula berkata penafian Nik Aziz itu boleh dilihat sebagai usaha mendapatkan sokongan generasi lebih terbuka untuk terus menyokong PAS biarpun ia sebenarnya memperlihatkan pendirian sebenar parti itu.
“Masyarakat tidak boleh ditipu dengan fakta sejarah kerana sebelum ini perkara itu (mengkafirkan UMNO) pernah dilaporkan banyak pihak. Ia memang jelas dan tercatat dalam sejarah politik tanah air.
“Penafian Nik Aziz mungkin juga boleh dianggap helah PAS untuk memperlihatkan kepada umum bahawa mereka kini menjurus kepada sebuah parti yang sederhana bagi mengambil hati pengundi ‘moderate’ (sederhana) terutama menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Selain itu, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa umat Islam tidak boleh menyamakan Islam dengan agama lain.
“Sesiapa yang menyanggah kenyataan itu ia boleh merosakkan imannya. Islam menghormati agama lain, tetapi tidak mengiktiraf persamaan dengannya dari sudut wahyu dan di sisi Allah. Adalah wajib mempertahankan kenyataan Perdana Menteri dalam hal ini sekalipun berbeza fahaman politik. Soal keadilan adalah soal politik pentadbiran, soal persamaan nilai adalah soal akidah dan hal ini jelas,” katanya.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata kenyataan Nik Aziz itu adalah pendapat peribadinya yang mungkin berubah-ubah mengikut keadaan semasa.
“Masyarakat sekarang sudah dapat menerima bahawa hakikat itu politik itu adalah politik dan sudah bijak untuk membezakan pendapat atau kenyataan yang bersifat politik atau rasional kerana masyarakat hari ini bebas untuk bercakap.
“Dengan peredaran semasa yang kini segala maklumat boleh diperoleh dan dicapai di hujung jari, saya pasti perkara itu mudah untuk ditangani kerana segala maklumat mahupun bukti boleh diperoleh dengan mudah di internet serta blog dan mereka boleh membezakan yang mana satu rasional dan yang mana tidak,” katanya. –Berita Harian, 19/02/2011.
Ulasan Penulis:
Antara sebab utama kenapa penulis kata muhabalah dengan Nik Aziz hanya membuang masa?
-NIK AZIZ DAN PAS ADALAH INDIVIDU DAN PARTI YANG CAKAPNYA TAK SERUPA BIKIN.
Pas dan Nik Aziz sebelum ini pernah berkata mereka bersedia membubarkan parti Pas jikalau UMNO melaksanakan hukum Islam. Apa yang ajaibnya pemimpin Pas tidak sedar bahawa Pas yang sebenarnya tidak bersedia melaksanakan hukum Allah. Sebagai bukti kecil, Harakah 22 Mei 1987 menyiarkan kenyataan Ustaz Hassan Sukri ketika itu Setiausaha Agung Pas yang menyifatkan undang-undang pentadbiran hukum syarak seperti yang dipinda dan diamalkan oleh Kerajaan negeri Kelantan sebagai satu undang-undang yang besar kesesatannya.
Ini kerana mengikut Ustaz Hasan, mereka telah meminda hukum hudud yang telah ditetapkan oleh Allah dalam al-Quran. Apa yang dilakukan oleh pemimpin Pas Kelantan hari ini meneruskan pelaksanaan pentadbiran hukum syarak yang dahulunya disifatkan sebagai sesat dan TAGHUT itu.
Jikalau Pas tidak mampu melaksanakan hukum Allah, maka apa perlunya Pas sibuk mahu pihak lain melaksanakan hukum Allah. Sepatutnya Pas buat terlebih dahulu hukum Allah itu kemudian barulah boleh menuduh pihak lain enggan melaksanakan hukum Allah.
Pas tidak seharusnya menjadi ketam menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan ibunya sendiri berjalan mengiring. Apakah Pas sebuah parti yang istimewa di sisi Tuhan sehingga tidak perlu melaksanakan apa yang dikatakan?
Penyelewanga Pas berikutnya ialah di mana janji pemimpin Pas bahawa seluruh rakyat akan memiliki rumah sendiri. Apa yang terbukti di Kelantan, Pas gagal memastikan sebahagian rakyat mempunyai rumah walaupun sudah hampir 20 tahun memerintah Kelantan. Jikalau sebuah negeri yang kecil seperti Kelantan pun Pas gagal menunaikan janji, jangan diharap Pas mampu untuk menunaikan janji bagi sebuah negara yang besar atau menjaga Malaysia. Sehingga kini masih ramai rakyat Kelantan yang terpaksa menumpang rumah saudara mara dan bukan sedikit yang hidup dengan menumpang di tanah orang. Semua orang Kelantan maklum bahawa rumah-rumah murah yang ada di Kelantan ini adalah hasil daripada peninggalan kerajaan BN dulu, manakala kerajaan Pas sekarang hanya sibuk dengan ceramah mengutuk apa yang dilakukan oleh kerajaan BN.
Selain itu, semasa dalam ceramah atau kuliah, pemimpin Pas sentiasa mengambil contoh kejayaan Khalifah Umar Abdul Aziz yang berjaya memakmurkan rakyat di bawah pemerintahannya. Apa yang peliknya apabila Pas merintah negeri termasuk Kelantan, jelas Pas tidak mampu memakmurkan rakyat. Di Kelantan sebagai contoh masih terdapat lebih ramai keluarga yang benar-benar fakir atau fakir tegar walaupun sudah hampir dua puluh tahun tahun Pas memerintah Kelantan manakala rumah EXCO dan bekas EXCO Pas sahaja jika dijumlahkan nilainya berjuta-juta ringgit. Adilkah, sewaktu berceramah mengajak rakyat agar berjihad menghulur derma, tetapi pemimpin yang menganjur tersebut semuanya telah kaya raya belaka. Sila nyatakan pemimpin Pas manakah yang masih miskin sekarang ini? Sama seperti sahabat-sahabat Nabi yang berjihad dulunya orang kaya tetapi berakhir dengan miskin.
Pemimpin Pas sering mendakwa semasa pemerintahan Umar bin Abdul Aziz tidak ada orang yang merasa layak menerima zakat kerana semua sudah senang lenang, tetapi apabila sampai giliran Pas memerintah yang kononnya mengikut Islam, semuanya itu tidak berlaku bahkan masih ramai fakir miskin, hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Maka di manakah hebatnya kerajaan Islam ala Pas seperti yang dilaung-laungkan di tempat ceramah itu? Siapakah wakil rakyat Pas yang rela susah asalkan rakyat senang? Siapakah wakil rakyat Pas itu yang sibuk siang malam mengagihkan elaun dan kekayaan sendiri kepada rakyat dan pengundi mereka? Apa yang kita tahu kebanyakan mereka sibuk dengan kekayaan dan mencari anak dara mana dan mak janda berhias mana untuk dijadikan isteri tambahan.
Berapa kalikah Nik Aziz memikul guni beras membantu rakyat Kelantan yang miskin sebagaimana yang dilakukan oleh Saidina Omar?
Penyelewengan Pas seterusnya ialah apakah program Pas Kelantan di dalam menyediakan tanah untuk rakyat? Sebenarnya; apa yang kita lihat Pas di Kelantan gagal menyempurnakan pembukaan tanah termasuk tanah rancangan untuk rakyat yang masih ketiadaan tanah sebagaimana yang dilakukan olek kerajaan BN melaui KESEDAR.
Banyak lagi rekod penyelewangan Pas di dalam simpanan penulis. Penulis akan mengeluarkannya satu per satu bila masa mengizinkan penulis berbuat demikian.

No comments: