Salam semua…
Kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang berpengalaman merupakan satu kelebihan yang akan dapat terus memajukan Sarawak, bukannya seperti pentadbiran baru di Selangor yang “tunggang langgang”, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Beliau berkata pentadbiran Selangor di bawah pimpinan pakatan pembangkang terbukti tidak menepati kehendak rakyat.
“Sokongan rakyat Sarawak pada BN satu kewajipan yang harus kita pegang dan laksanakan agar negeri ini lebih maju, dan sehubungan itu, kita perlukan pimpinan kerajaan yang sudah lama tetapi berpengalaman.
“Tidak guna kalau kerajaan yang baru yang buat kerja pun tidak reti, macam Menteri Besar Selangor (Tan Sri Khalid Ibrahim), macam-macam masalah yang timbul sehingga pentadbiran tunggang langang di negeri Selangor.
“Berdasarkan kajian yang dibuat sebuah universiti baru-baru ini, ramai kakitangan kerajaan tidak puas hati kerana pentadbiran di Selangor tidak mencapai sasaran dan tidak menepati kehendak rakyat,” katanya pada majlis pecah tanah projek Jalan Tuie-Supa-Manggut bernilai RM72 juta di sini hari ini.
Muhyiddin (gambar) berharap penduduk di Sarawak tidak mudah terpedaya dan termakan janji-janji manis pakatan pembangkang yang cuba meraih undi sehingga menghancurkan masa depan negeri itu.
“Jangan disebabkan dipujuk dan dirayu pembangkang, rakyat menyokong mereka. Jangan dengar suara-suara yang membawa risalah yang tidak baik.
“Dengan adanya BN di sini, kita akan terus tingkatkan semangat dan komitmen untuk menjadikan Sarawak sebuah masyarakat yang berjaya dan maju. Kerjasama rapat kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sarawak akan membawa kemajuan dan meningkatkan taraf hidup penduduk di negeri ini,” katanya.
Muhyiddin meminta penduduk di luar bandar khususnya memanfaatkan usaha kerajaan yang menyediakan kemudahan asas seperti jalan raya, air bersih dan elektrik di kawasan luar bandar untuk meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
“Dengan adanya jalan raya yang menghubungkan pekan-pekan dan bandar-bandar utama ia akan merancakkan perkembangan aktiviti ekonomi terutamanya apabila hasil-hasil pertanian dapat dipasarkan dengan mudah dan cepat untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup penduduk luar bandar,” katanya. — Bernama
No comments:
Post a Comment