Monday, February 14, 2011

PEMIMPIN TIAP-TIAP KAUM PERLU PEKA TENTANG SOAL PERKAUMAN ATAU RASIS.



Salam semua…
Penulis juga bersetuju dengan pendapat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bahawa tiap-tiap kaum yang ada di Malaysia perlu menjaga keperluan dan hak mereka berlandaskan Perlembagaan dan perkara ini tidak boleh dianggap perkauman atau rasis.
Sebagai tambahan kepada pendapat di atas, penulis juga berpendapat, selagi kaum yang berkenaan tidak mengganggu-gugat kaum yang lain dari segi tindakan dan provokasi maka perkara berkenaan juga tidak bolehlah dianggap sebagai perkauman atau rasis.
Kaum bukan Melayu perlu faham dalam hal ini. Orang Melayu di Malaysia sebenarnya tidaklah menyalahkan mereka membuat apa-apa tuntutan bagi menjaga keperluan dan hak mereka sebagai rakyat Malaysia, akan tetapi ianya mestilah berlandaskan kepada Perlembagaan yang sedia ada.
Provokasi dan komen-komen pedas daripada satu kaum kepada kaum lain yang boleh menyakitkan hati perlulah dielakkan. Kerana tindakan inilah yang sebenarnya rasis ataupun perkauman. Kalau boleh perlu ada garis panduan yang jelas dalam hal ini agar tiap-tiap orang termasuklah pemimpin-pemimpin sentiasa disedarkan dan tidak menyalahgunakan kelakuan rasis ini untuk tujuan politik sempit mereka.
Pemimpin-pemimpin tiap-tiap kaum perlu sedar dalam hal ini. Dalam banyak keadaan, merekalah sebenarnya punca kepada perbuatan rasis ini. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum di Malaysia boleh hidup aman damai dan tinggal bersama-sama sejak dari dulu lagi. Oleh sebab pemimpin yang menyebarkan fahaman rasis tadi, jiran atau rakan tetangga yang baik dahulu, telah bertukar menjadi musuh dan  hidup dalam penuh syak wasangka.
Hanya pemimpin kaum yang mementingkan  populariti dan survival kuasa politik peribadi sahaja yang selalu melencong ke arah ini. Rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian hidup berbilang bangsa dan kaum perlu singkirkan pemimpin jenis ini.
Dalam hal ini penulis juga berpendapat Kementerian Dalam Negeri perlu memainkan peranannya bagi mengelakkan api yang kecil bertukar menjadi api ganas yang besar. Apa-apa tindakan yang perlu diambil, mestilah disegerakan. Penulis berpendapat suasana yang mulai panas sekarang ini adalah berpunca daripada kegagalan Kementerian Dalam Negeri menjalankan tugasnya dengan baik.
Dalam banyak kes, berbanding dengan negara lain, fungsi Kementerian Dalam Negeri di Malaysia semacam kurang berfungsi  sehinggakan tiap-tiap hari soal rasis ini masih lagi timbul dan dibual oleh kebanyakan kaum di Malaysia. Maka  tidak hairanlah kita dapat lihat mengapa banyak komen yang terkeluar  di dada-dada akhbar datangnya daripada Kementerian selain daripada Kementerian Dalam Negeri sendiri.
Dan yang terbaru komen daripada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang disiarkan oleh Utusan Malaysia.
LABUAN 13 Feb. - Perjuangan orang Melayu dan mana-mana kaum terhadap keperluan serta hak mereka berlandaskan Perlembagaan tidak boleh dianggap perkauman atau rasis.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, semua kaum berhak menyuarakan kepentingan mereka selaras dengan Perlembagaan.
"Saya melihat bahawa penting bagi kita berjuang untuk setiap bangsa dan agama tetapi apabila bangsa itu menyuarakan (hak mereka), kita tidak boleh beranggapan ia bersifat perkauman.
"Setiap kaum ada melaungkan keperluan dan kepentingan mereka, masyarakat India hendakkan supaya keperluan mereka dipenuhi, begitu juga masyarakat Cina dan kaum lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian karnival sukan sempena program Juara Rakyat di sini hari ini.
Semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu kini berada dalam dilema besar apabila tidak lagi boleh bercakap mengenai kepentingan Melayu kerana dikatakan rasis.
Kata Dr. Mahathir, lebih malang lagi orang Melayu tidak mampu mempertahankan diri sendiri kerana lebih banyak mengalah dan mengundur diri kononnya dengan cara itu mudah untuk mendapatkan keamanan.
Malah, bekas Perdana Menteri itu berkata, sehingga pada suatu tahap mereka tidak lagi boleh mengatakan bahawa negara ini adalah tanah air bagi orang Melayu.
Menurut Mohd. Shafie, peringatan Dr. Mahathir itu amat baik dan tidak perlu disalah anggap oleh mana-mana pihak.
Jelasnya, apa yang disuarakan setiap kaum yang berlandaskan Perlembagaan tidak akan memecahbelahkan masyarakat dan negara.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie berkata, sistem pentadbiran yang dilaksanakan kerajaan juga adil dan tidak menyebelahi mana-mana kaum.
Jelasnya, bantuan yang diberi kerajaan juga adalah untuk semua kaum dan berdasarkan kepada keperluan rakyat.
"Contohnya apabila kita membantu masyarakat Iban di Sarawak, itu tidaklah merupakan satu sistem pentadbiran berat sebelah kerana hakikatnya kaum ini memerlukan sokongan dari segi prasarana dan bantuan," katanya.
Sementara itu, mengulas tindakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) negeri, Datu Mohd. Akjan Ali Muhammad mengisytiharkan dirinya Sultan Sulu, beliau meminta pihak berkuasa melakukan siasatan dan mengenakan tindakan yang sewajarnya.
"Dari segi perundangan kita tahu Sulu itu bukannya negara Malaysia jadi mana mungkin rakyat Malaysia boleh menjadi sultan kecuali dia bukan rakyat Malaysia.
"Perkara itu perlu kita perjelas dari segi perundangan yang ada," katanya.



No comments: