Saturday, February 19, 2011

PROF. MADYA MOHD. NOOR DERIS -TUDUH UMNO TOLAK ISLAM, BUKTI NIK AZIZ KAFIRKAN UMNO…


Salam semua…
Tuduhan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa UMNO menolak Islam, merupakan bukti beliau telah mengkafirkan orang UMNO.
Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, Prof. Madya Mohd. Noor Deris berkata, sungguhpun tidak ada perkataan kafir dalam kenyataan itu, tetapi ia jelas menggambarkan keadaan tersebut.
"Tuduhan UMNO tolak Islam bukti kafirkan orang UMNO. Apa erti tolak Islam, minta Nik Abdul Aziz perjelaskan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz semalam yang mempersoalkan apa bukti beliau mengkafirkan orang UMNO.
Nik Abdul Aziz turut berkata, hasil hubungan akrab Pas dengan DAP, serangan parti itu terhadap Islam telah berubah.
"Harapkan UMNO nak ajak Islam lagu mana, dia sendiri tolak Islam. UMNO tolak Islam, nak dia perkenal Islam kepada MCA dan DAP macam mana," katanya.
Nik Abdul Aziz mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan tujuan hidup Mursyidul Am Pas itu hanya untuk memenangi pilihan raya dan kemudian menjadi pemerintah bersama DAP serta Parti Keadilan Rakyat.
Dr. Mahathir berkata, Nik Abduk Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam UMNO, dalam masa sama bersedia bekerjasama dengan syaitan menjayakan perjuangannya.
Mengulas lanjut kenyataan Nik Abdul Aziz, Mohd. Noor yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat berkata, Menteri Besar Kelantan itu patut bertaubat kerana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini
mengenai UMNO dan orang Melayu yang didakwa menolak Islam merupakan satu fitnah dan ia tersebar ke seluruh dunia.
"Orang Melayu di seluruh dunia sewajarnya berasa 'pedih' dengan kenyataan Mursyidul Am Pas itu," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau meminta pihak berkenaan meneliti semula gelaran tok guru yang diberikan kepada Nik Abdul Aziz kerana ia tidak menggambarkan personaliti Mursyidul Am Pas itu.
Mengenai kenyataan Nik Abdul Aziz slogan 'Membangun Bersama Islam' Pas boleh diubah berikutan masih wujud kegiatan pelacuran dan perjudian di negeri ini, Mohd. Noor berkata, ia menunjukkan pemimpin Pas tersebut tidak istiqamah dalam perjuangannya.
"Bila pemimpin tidak istiqamah dan was-was, ini bererti dasar perjuangan Pas tidak istiqamah," katanya.-Utusan, 19/02/2011.



No comments: