Wednesday, February 16, 2011

KARPAL TAK LAYAK CABAR DR M


Salam semua…
Pengerusi DAP, Karpal Singh dicabar memberi penjelasan berhubung pertuduhan liwat dihadapi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dulu sebelum mencabar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan nama pemimpin pembangkang ditemui sebelum Operasi Lalang 1987. Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, berkata Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor perlu mendapatkan penjelasan Anwar berhubung peranannya ketika operasi itu. “Karpal perlu mendapatkan penjelasan anak guamnya yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat berhubung Operasi Lalang kerana pada masa itu Anwar menteri kanan dan menyokong kuat operasi berkenaan.
“Malah Anwar tidak membela beberapa sahabat baiknya yang ditahan ketika operasi itu. Saya juga cabar Karpal beri penjelasan kes liwat Anwar kerana pada tahun 1997 beliau mendedahkan mempunyai bukti berhubung perkara itu.
“Tapi sekarang beliau pula yang membela Anwar, jadi bagi saya orang ini (Karpal) tidak layak sama sekali untuk mencabar Dr Mahathir,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Karpal sebelum ini mempertikai pendedahan Dr Mahathir bahawa beliau bertemu dengan pemimpin pembangkang pada 1987 bagi meyakinkan kumpulan berkenaan mereka tidak akan ditahan dalam Operasi Lalang.
Sementara itu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, berkata Karpal adalah individu yang tidak mempunyai kredibiliti untuk mencabar bekas Perdana Menteri berhubung Operasi Lalang.
“Karpal menghadapi masalah kredibiliti sebagai seorang peguam dan sebagai ahli politik veteran akibat watak dua alam beliau berhubung pertuduhan kesalahan liwat terhadap Anwar,” katanya.
Zahrain menyifatkan Karpal sebagai Harimau Jelutong yang dayus dan mula melarikan diri daripada kenyataan apabila enggan mendedahkan perkara sebenar berhubung kes liwat Anwar.
Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menafikan beliau antara pemimpin pembangkang yang bertemu Dr Mahathir sebelum Operasi Lalang 1987 dan mendakwa pertemuan itu tidak pernah diadakan.
Katanya, tidak ada sebab pemimpin pembangkang harus menyembunyikan pertemuan itu kerana ia boleh menjadi sebagai alasan untuk membantah penahanan mereka di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

No comments: