Wednesday, February 16, 2011

NIK AZIZ HANYA MAHU MENANG PILIHANRAYA BUKAN BERJUANG UNTUK AGAMA


Salam semua…
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya berjuang untuk memenangi pilihan raya dan bukannya berjuang untuk Islam.
Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan itu menyatakan bahawa tujuan hidupnya ialah untuk memenangi pilihan raya dan menjadi pemerintah bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). "Untuk ini Nik Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam Umno, bersedia untuk bekerjasama dengan syaitan untuk menjayakan perjuangannya, bekerjasama dengan orang yang menolak perjuangannya untuk mendirikan negara Islam ala PAS. "Mempertahankan pendapat tokoh bukan Islam supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada ajaran Islam, harapan Nik Aziz ialah dengan melakukan semua ini, orang bukan Islam di Malaysia akan sokong partinya dalam pilihan raya.
"Bukan Islam yang diutamakan, bukan mengabdikan diri kepada Allah, tetapi kemenangan dalam pilihan raya," katanya dalam blog beliau www.chedet.co.cc hari ini.
Beliau berkata, Nik Aziz perlu berhenti daripada menyalah guna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri.
"Saya akui pengetahuan agama Nik Aziz dalam. Justeru bertaqwalah kepada Allah S.W.T. dan hentikanlah mengelirukan umat Islam di Malaysia kerana ingin menang pilihan raya," katanya.
Dr Mahathir berkata, Nik Aziz hanya berjuang di Malaysia dan tidak di seluruh dunia Islam yang hari ini menghadapi pelbagai penindasan dan tekanan walaupun Menteri Besar Kelantan itu mendakwa bahawa beliau berjuang untuk Islam.
"Dengan mengehadkan perjuangannya kepada negara ini dia juga adalah nasionalis sama seperti nasionalis dalam Umno, jika UMNO jahil kerana nasionalisme mereka, Nik Aziz juga jahil kerana sebab yang sama," katanya.
Beliau berkata, terselamatnya banyak negara Islam yang dahulunya dijajah adalah hasil perjuangan nasionalis Islam yang sayang dan setia kepada negara mereka sahaja.
"Jika mereka hanya berjuang untuk Islam maka tumpuan mereka tentulah kepada membebaskan seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa atau negara tetapi hakikatnya mereka tidak berjuang untuk negara Malaysia dan agama Islam di sini.
"Yang berjuang untuk membebaskan negara kita dengan agama Islam di sini ialah nasionalis Islam Melayu," katanya.
Dr Mahathir secara sinis menjemput Nik Aziz supaya menuntut DAP membuat pengakuan tertentu yang kerajaan campuran Pakatan Rakyat akan mengharamkan judi dan penjualan arak di samping menerima hukum Hudud.
"Jika DAP enggan membuat kenyataan ini, sanggupkan PAS mendakwa akan kalahkan calon DAP? Atau apakah PAS akan membisu berkenaan dengan negara Islam PAS, hukum Hudud, pengharaman judi dan arak kerana bukan dasar dan tujuan perjuangan PAS yang penting tetapi kemenangan dalam pilihan raya umum dengan pertolongan DAP yang penting?" katanya.
Dr Mahathir berkata, UMNO tidak mendakwa bahawa hanya orang UMNO yang Islam atau dengan mengundi Umno menjadi Islam dan akan ke syurga, walaupun Nik Aziz mengatakan mereka yang tidak menyokong PAS bukanlah orang Islam dan jahiliah.
"Oleh kerana orang Umno beragama Islam maka perjuangan UMNO ialah untuk bangsa, agama (Islam) dan negara. Demikianlah pegangan UMNO kepada Islam sehingga Perlembagaan ciptaan UMNO mensyaratkan seseorang itu adalah Melayu jika dianya beragama Islam.
"Nik Aziz tidak akan memasukkan syarat ini kerana Melayu boleh jadi jahiliah dan tidak Islam kerana tidak sokong PAS," katanya. - BERNAMA

No comments: