Salam semua…
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, mencabar kerajaan DAP Pulau Pinang supaya mengambil tindakan ke atas semua peniaga dan penjaja haram di negeri itu bagi membuktikan sikap adil dan tidak berpilih kasih ke atas golongan itu.
Beliau membuat cabaran berkenaan berikutan kerajaan negeri yang dilihat bersikap pilih kasih ketika melakukan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga dan penjaja di Pulau Pinang, dengan lebih menyasarkan ke atas masyarakat Melayu. Tindakan terbaru kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) merobohkan gerai di Taman Pelangi, Juru, Bukit Mertajam, yang beroperasi di kawasan itu sejak 20 tahun lalu.
“Tidak boleh buat (roboh) gerai secara ad hoc kerana terima aduan seperti di Bayan Baru dan Balik Pulau serta di luar bandar tetapi di bandar seperti New Lane, Datuk Keramat dan Weld Quay yang menyebabkan berlaku kesesakan tetapi tidak diambil tindakan.
“Jika nak ambil tindakan, buat secara menyeluruh dengan melakukan perancangan. Tidak boleh lakukan secara suka-suka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Penduduk Bukit Gedong, Bayan Baru di sini, semalam.
Zahrain diminta mengulas tindakan meroboh gerai di Taman Pelangi yang dilakukan kira-kira dua minggu lalu, yang hampir mencetuskan pergaduhan apabila seorang penguat kuasa MPSP dipukul dan peniaga ditahan.
Dalam operasi selama tiga hari itu, MPSP meroboh gerai dan penyambungan haram ke flet di kawasan itu.
Zahrain mengakui perkara itu menjadi masalah besar kerana kerajaan negeri hanya bertindak ke atas gerai dan penjaja Melayu sedangkan kaum lain masih bebas berniaga walaupun melakukan kesalahan yang sama.
“Dulu mereka kata macam-macam kepada Barisan Nasional (BN) tetapi mereka buat kerja lebih teruk lagi. Inilah cakap tidak serupa bikin,” katanya. –Berita Harian, 21/02/2011.
No comments:
Post a Comment