Tuesday, February 15, 2011

SAFEE TERBAYANG NAIK BARRACUDA LAWAN MUSUH DI INDONESIA...


Salam semua…
SEBELUM berlepas ke Jakarta, semalam Safee Sali terbayang kemungkinan berlaku insiden sama buat kali kedua iaitu menaiki kereta perisai Barracuda dan dibaling bom petrol (molotov koktel) ketika dia bersedia menyahut cabaran baru. “Sebenarnya seronok juga menaiki Barracuda,” kata penyerang berbisa skuad Harimau Malaya itu yang bakal mewakili kelab Pelita Jaya dalam Liga Super Indonesia, awal bulan depan. “Saya difahamkan situasi begitu cukup sinonim dengan bola sepak Indonesia, tetapi saya bersedia mengalaminya sekali lagi.”
Kali pertama Safee terpaksa menaiki kereta perisai berkenaan ialah semasa final Piala Suzuki AFF, Disember tahun lalu iaitu dari hotel penginapan ke Gelora Bung Karno. Tambah perit, dalam perjalanan pulang selepas aksi final, ada penyokong tempatan cuba membaling bom petrol ke arah Barracuda terbabit.
“Memang ramai yang bimbangkan keselamatan saya apabila bermain di sana, tetapi bagi saya kehadiran Barracuda membuktikan pihak pengurusan di sana cukup mengambil berat soal keselamatan pemain,” kata Safee, 27.
“Untuk permulaan, memang banyak dugaan untuk saya merealisasikan impian bermain di luar negara, tetapi saya yakin selepas satu atau dua perlawanan, semuanya akan berjalan lancar. Tanggapan negatif mengenai situasi bola sepak di sini juga mungkin akan berubah.
“Impian sebenar saya ialah bermain di Liga Australia, tetapi memandangkan belum ada peluang, saya perlu mulakan di Indonesia terlebih dulu. Mungkin jika prestasi saya memberangsangkan, ada pencari bakat dari Australia yang berminat mendapatkan khidmat saya.”- Berita harian, 15/02/2011.
 P/S - Safee Sali, selamat berjuang serta mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

No comments: