Salam semua…
Penulis angkat topi kepada Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Datuk Tony Fernandes di atas kerjasama dan usaha yang bersungguh-sungguh daripada beliau membawa pulang pelajar-pelajar Islam kita dari Mesir menerusi Ops Piramid. Pengorbanan dan pertolongan yang ditunjukkan oleh beliau amat mengharukan penulis.
Inilah contoh ikon 1 Malaysia yang perlu diterapkan kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Sikap beliau yang pemurah dalam membiayai kos penerbangan disamping memerah kudrat serta menghabiskan masa beliau bersama-sama rakan UMNO-BN yang lain di dalam Ops Piramid ini perlu diberi penghargaan yang sewajarnya.
Mungkin ramai lagi di kalangan kaum bukan Islam yang bersama-sama menjayakan Ops Piramid ini. Kepada mereka, penulis ucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Moga-moga perbuatan baik yang ditonjolkan akan menjadi tunggak inspirasi semua kaum ke arah membentuk semangat 1 Malaysia yang tulen.
Ikuti paparan berita mengenai Ops Piramid, kumpulan terakhir pelajar-pelajar kita yang selamat tiba di tanah air seperti yang dilaporkan oleh Utusan Online.
SEPANG 8 Feb. – Kumpulan terakhir terdiri daripada 129 rakyat dan pelajar Malaysia yang dibawa pulang dari Mesir menerusi Ops Piramid, selamat tiba di tanah air hari ini.
Kumpulan itu diterbangkan dari Jeddah menggunakan pesawat Airbus A320 milik syarikat penerbangan AirAsia Berhad dan tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) kira-kira 2.30 petang.
Ketibaan kumpulan itu disambut oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Datuk Tony Fernandes.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Kamarudin Meranum yang mengetuai delegasi AirAsia membawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir berkata operasi sejak 3 Feb itu berjalan lancar.
"Syukur akhirnya AirAsia dapat menjalankan misi Ops Piramid ini dengan sempurna dan berjaya. Ini merupakan kumpulan warga Malaysia terakhir yang selamat kami bawa pulang hari ini,” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata jika ada permintaan untuk AirAsia meneruskan operasi membawa pulang warga Malaysia, pihaknya bersiap-sedia untuk itu.
"Difahamkan tiada lagi warga Malaysia yang akan dibawa pulang. Memang ada lagi rakyat kita di sana, namun ada yang membuat keputusan untuk tidak pulang ke sini (Malaysia).
"Bagaimanapun pihak tentera kita masih lagi standby di sana dan jika pihak kerajaan masih memerlukan khidmat AirAsia, kami sentiasa bersiap sedia untuk tujuan itu,” katanya.
Dalam Ops Piramid, AirAsia menyediakan tiga buah pesawat iaitu pesawat Airbus A340, A330 dan A320 untuk membawa pulang warga Malaysia ke tanah air dari Jeddah, Arab Saudi.
"Setiap pesawat boleh memuatkan kira-kira 300 penumpang pada satu-satu masa dan sepanjang operasi itu kita berjaya membawa pulang hampir 3,000 warga Malaysia balik ke tanah air. - Bernama
No comments:
Post a Comment