Sunday, January 01, 2012

Mahasiswa Lemah Adalah Sasaran Utama Parti Pembangkang


Salam semua ®…

Sikap gelojoh untuk berpolitik di kalangan mahasiswa universiti berhaluan kiri yang ditunjangi oleh parti pembangkang sejak kebelakangan ini nampaknya semakin membuak-buak semangat mereka bermula dari insiden menurunkan bendera yang tertera gambar DS Najib di PWTC dan yang terbaru  demonstrasi ganas mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kononnya dengan termansuhnya AUKU ini, maka tiada lagi kekangan yang akan dikenakan untuk menyekat ruang untuk mereka berfikir,  menyekat keterlibatan pelajar universiti dalam beberapa isu nasional terutamanya politik sekali gus menyekat kebebasan bersuara pelajar. Betulkah kenyataan mereka ini?

Mereka ini sebenarnya amat kemaruk dengan dunia politik kurang matang pembangkang yang nyata menolak proses demokrasi secara aman yang telah lama bertahan dan memberi banyak faedah kepada orang ramai. Berselindung di sebalik aktiviti jahat pelajar-pelajar berhaluan kiri ini, golongan ini sentiasa mengharapkan majoriti pelajar-pelajar Melayu universiti berjuang untuk  mereka setelah beberapa kali mereka gagal melakukannya di dalam Pilihan Raya Umum yang lepas-lepas  dek kerana kekebalan AUKU ketika itu.

Yang menghairankan penulis, kenapa perlunya sokongan daripada mahasiswa yang masih berada di universiti dan tidak kepada bekas-bekas graduan dan belia-belia terpelajar yang ramai bilangannya di luar universiti?  Kalau hendak tahu,  pembangkang sebenarnya gagal menarik mereka ini dan apa yang nyata, mereka (bekas mahasiswa) menolak parti pembangkang yang sengaja mengambil kesempatan ke atas kekurangan dan kecetekan ilmu yang ada di kalangan mahasiswa universiti yang masih lagi mentah dan baru bertaktih dalam politik liar.

Inilah realitinya kenapa pemimpin parti politik seperti DS Anuar Ibrahim bersungguh-sungguh benar mahukan AUKU ini dimansuhkan. Mereka sebenarnya mahu memberitahu seluruh dunia bahawa majoriti mahasiswa universiti di Malaysia menyokong ideologi mereka sekaligus menentang kerajaan sedia ada.

Penulis berpendapat, sebilangan besar mahasiswa yang rakus berdemonstrasi ini agaknya tidak tahu akan asas sebenar perjuangan mereka. Rata-rata mereka tenggelam punca dan terikut-ikut dengan mainan politik kotor parti pembangkang. Justeru itu, tanpa nasihat dan bimbingan yang betul daripada Kementerian Pengajian Tinggi, insiden burok seperti di UPSI baru-baru ini akan terus berulang lagi di masa-masa hadapan.

Tugas terpenting pelajar-pelajar di universiti adalah untuk belajar bersungguh-sungguh bagi menimba ilmu dan menjadi seorang yang berguna di dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Untuk melahirkan seorang mahasiswa yang kreatif dan kritis di dalam pandangan dan kritikannya, tidak semestinya seseorang pelajar itu perlu galak berdemonstrasi, tidur secara bodoh ditengah-tengah jalan raya selain menentang kerajaan secara sia-sia.

Pandai bercakap selain berupaya melontar idea-idea yang baik untuk kebaikan ummah semestinyalah tidak akan  terdapat di dalam arus pemikiran mahasiswa yang kacau bilau, beremosi dan tidak beretika seperti yang berlaku di PWTC dan UPSI.

Mahasiswa yang cemerlang yang ada rasa tanggungjawab kepada Negara sebenarnya boleh memberikan pandangan dan ketidakpuasan hati mereka melalui medium yang sesuai misalnya di forum, sudut diskusi dan perdebatan yang disediakan oleh pihak universiti untuk pelajar-pelajarnya.

Jadi, adakah ini yang dimaksudkan tentang halangan ke atas kebebasan bersuara?  Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih...semua alasan sebenarnya terletak di bahu mahasiswa itu sendiri.

Kemahuan berpolitik secara keras di kampus universiti sebenarnya adalah alasan terbaik untuk mahasiswa itu hidup di dalam suasana yang tidak aman selain menyusahkan pelajar-pelajar lain, ibubapa mereka  dan menambah masalah dan bebanan pula kepada pentadbiran universiti.

Sebelum terlambat, kembalilah ke pangkal jalan.



1 comment:

Anonymous said...

Cikgu Oh ! cikgu sayang seribu ali sayang..