Sunday, May 22, 2011

Masalah Kenaikan Harga Barang. Ke Manakah Fokus Kerajaan Sebenarnya?



Salam semua®…
Penulis mahupun orang ramai sedia maklum bahawa punca masalah ekonomi global sekarang ini yang paling nyata adalah disebabkan oleh kenaikan harga petroleum dan pengurangan pengeluaran berasaskan barangan makanan dunia.
Malaysia, bumi bertuah ini yang kaya dengan hasil petroleum dan mempunyai bumi yang subur untuk aktiviti pertanian ini tidak dapat lari daripada tempias yang meresahkan semua orang.
Pada tahun 2008, kita telah lalui pengalaman yang memeritkan apabila harga makanan naik sehingga 8.8 peratus, akibat daripada kenaikan mendadak harga minyak dan petrol. Malah selepas itupun, harga barangan dan makanan terus mengalami kenaikan dan khabarnya, sepanjang enam tahun dari tahun 2004 harga makanan telah naik sebanyak 30 peratus sedangkan kenaikan upah di negara ini puratanya sekitar 2.6 peratus dari tahun 2001 sehinggga 2010.
Tetapi, amat menghairankan penulis, sebagai negara yang kaya dengan hasil petroleum dan dianugerahkan pula oleh Allah SWT dengan muka bumi yang subur dan selain mempunyai modal insan yang cemerlang, masih lagikah kita mahu berterusan menyalahkan faktor luaran sebagai punca kepada permasalahan ekonomi negara kita? Persoalannya sampai bila ? Rakyat sebenarnya sudah muak dengan alasan demi alasan yang telah diberikan oleh kerajaan.
Cuba perhatikan negara jiran terdekat kita, seperti negara Singapura misalnya. Apa yang negara Singapura ada yang membolehkan taraf hidup rakyatnya lebih baik berkali-kali ganda daripada kita?
Pelan Jangka Masa Panjang
Adakah dengan menuruti seruan TPM baru-baru ini agar rakyat sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja, berusaha mengempiskan perut yang telah sedia kempis selain berusaha bercucuk tanam sendiri  dapat menyelesaikan semua masalah kenaikan harga barangan ini? Adakah kita perlu kembali ke zaman batu atau ‘Flintstones’?
Kalau itulah jawapan yang dicari, ternyata kerajaan sebenarnya tidak melakukan yang terbaik untuk rakyatnya.
Kita memang akui bahawa kerajaan di bawah DS Najib sentiasa bekerja keras dan berjaya  menarik pelaburan-pelaburan besar daripada luar negara bagi meningkatkan pendapatan dalam negara. Walaubagaimanapun, kerajaan juga tidak harus terlepas pandang dari menjadikan negara kita ini sebagai negara pengeluar barangan makanan tidak kiralah sama ada ianya berasaskan pertanian atau pembuatan dalam skala yang besar sekaligus dapat mencari penyelesaian kepada kekurangan bekalan makanan dalam negara dan sikap kebergantungan kepada  barangan makanan yang diimpot.
Bumi bertuah Malaysia amat subur dan seluas mata memandang. Masih ada lagi tanah subur di luar sana yang belum diterokai sepenuhnya oleh kita. Kalaulah Allahyarham TUN Abdul Razak sendiri boleh nampak ianya  memberi munafaat kepada rakyat Malaysia dalam jangka masa panjang, kenapa tidak kita? Kita perlu mempelbagaikan aktiviti  pertanian  dan tidak perlu terhad kepada penanaman kelapa sawit dan getah sahaja. Kenapa kita perlu mengimpot barangan makanan yang berasaskan pertanian kalau dari segi teknologi terkini dan modal insan yang kita ada, kita mampu melakukannya?

Pelan Jangka Masa Pendek.
Cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah kawalan harga barang adalah seperti berikut;
1) Kerajaan perlu bersedia mengambil-alih kepentingan pasaraya besar sebagai permulaannya dari mana-mana satu dari rangkaian pasaraya besar yang dimiliki oleh pelabur asing yang mempunyai rangkaian  yang luas di tiap-tiap negeri.
Urusan pentadbirannya pula ditadbir oleh para professional dan dikawal selia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Operasinya mistilah sistematik dan berdaya maju serupalah dengan mana-mana “GLC” kerajaan yang lain.
Kebaikan-kebaikan yang mungkin diperolehi;
i) Dapat menyediakan barangan keperluan harian yang mencukupi terutamanya barangan runcit termasuklah dari sumber pertanian, barangan  keperluan dapur, barangan pembuatan, minuman dan lain-lain barangan keluaran dari PKS   pada paras harga yang munasabah dan mampu dibeli oleh rakyat yang berpendapatan rendah.
PKS juga boleh menjualnya pada harga yang menarik kepada GLC ini. Keadaan ini akan dapat meningkatkan pendapatan mereka jika dibandingkan dengan hasil dari pendapatan yang diperolehi dari pelabur-pelabur asing.
ii)Harga-harga barangan dari pasaraya besar GLC ini mestilah diselia dengan rapi oleh kementerian berkenaan mengikut kesesuaian di antara  harga  dan tempat di mana pasaraya besar GLC itu didirikan samada ianya bestatuskan pasaraya gred A, B atau C.
Katakan gred A terletak  di bandar-bandar besar, manakala gred B dan C pula di bandar-bandar kecil dan di luar-luar bandar.
Dengan cara ini rakyat yang tinggal di luar-luar bandar yang rata-ratanya berpendapatan rendah akan menikmati harga barangan yang munasabah jika dibandingkan dengan harga barangan di bandar-bandar besar.
iii) Harga barangan di pasaraya besar GLC juga sebagai indikator kepada harga-harga barangan  yang dijual di luar lingkungan  pasaraya besar GLC tadi dan juga mestilah mengikut kesesuaian di antara  harga  dan tempat di mana tempat perniagaan itu beroperasi.
Jadi, masalah perlumbaan menaikkan harga sewenang-wenangnya dari para peruncit, peniaga kecil serta pasaraya-pasaraya yang tidak jujur lainnya dapat dipantau secara sistematik serta diambil tindakan yang sewajarnya oleh kerajaan.
iv)Kerajaan juga secara tidak langsungnya boleh menjana pendapatan negara melalui pelaburan yang menguntungkan  ini.
Sikap mengkayakan pelabur-pelabur asing dalam bidang ini  amat merugikan negara dalam jangkamasa panjang kerana sikap kebergantungan berterusan ini tidak akan menjadikan Malaysia sebagai negara yang berdaya saing serupa dengan negara-negara maju yang lain dari sekarang sehinggalah pada tahun 2020.
Kaedah meninggalkan  kos kepada rakyat bagi meningkatkan pendapatan negara seperti yang dilakukan oleh kerajaan sekarang dilihat adalah tidak sesuai lagi dan boleh dianggap cara kuno yang berorientasikan ‘people as the last resort” yang kebanyakannya dibenci oleh semua rakyat tidak kiralah apa fahaman politik mereka.
2) Kerajaan perlu harus lebih berhati-hati dalam perbelanjaan pengurusannya. Sewajarnya juga, PLKN yang menelan belanja tahunan melebihi angka RM500 juta itu perlu ditangguhkan dahulu sehingga ekonomi kembali pulih atau ditukarkan sahaja kepada sebarang aktiviti tambahan yang sama di peringkat sekolah, kolej atau Universiti yang bersesuaian.
3). Menarik kembali subsidi korporat berjumlah RM19 bilion yang diberikan kepada elit  termasuklah syarikat IPP.
4). Memperkemaskan lagi  agensi penguatkuasaan kerajaan yang memainkan peranan kepada penyumbang kepada pendapatan negara. Ini semua merupakan sumber hasil pendapatan dan merupakan duit kerajaan yang perlu dibelanjakan dan diimbangi dengan berhemah oleh pihak pemerintah.


1 comment:

Anonymous said...

Perbelanjaan Mengurus Kerajaan mestilah duruskan dengan baik tanpa pembaziran, pegawai pengawal mestilah memastikan perbelanjaan yang dibuat adalah sesuatu yang perlu dan jika perlu buku arahan perkhidmatan dan arahan perbendaharaan dikemaskini memandangkan kakitangan kerajaan telah meningkat lebih sejuta orang. Jadi penjimatan itu dapat disalurkan untuk kegunaan rakyat terramai...