Thursday, May 26, 2011

APA ITU INFLASI?





Salam semua®…
Inflasi adalah sesuatu keadaan ekonomi di mana berlaku kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang berterusan.
APAKAH PUNCA INFLASI?   
1. Inflasi Tarikan Permintaan
Berlaku apabila bekalan barangan dan perkhidmatan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan. lanya berpunca daripada pertambahan permintaan secara tiba-tiba dalam jangkamasa pendek. Pengeluar kesuntukan masa untuk menambah pengeluaran bagi memenuhi permintaan. Peniaga pula mengambil kesempatan untuk memperolehi keuntungan yang lebih.
2. Inflasi Tolakan Kos
Berlaku apabila kos pengeluaran meningkat. Pengeluar akan memindahkan kos yang ditanggungnya kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan untuk mengekalkan keuntungan.
3. Inflasi Bekalan Wang
Berlaku apabila bekalan wang meningkat melebihi bekalan barangan atau perkhidmatan dalam pasaran. Inflasi ini biasanya berlaku bilamana kerajaan sesuatu negara mengeluarkan bekalan wangnya tanpa had dan tanpa pengawasan daripada bank pusatnya. Wang yang banyak dan berlegar di pasaran akhirnya menyebabkan inflasi. Oleh itu adalah penting untuk memastikan peningkatan bekalan wang pada tahap tertentu bersesuaian dengan barangan dan perkhidmatan yang ada di pasaran setiap masa dan dikawal dengan baiknya oleh bank pusat.
4. Inflasi Pentadbiran Harga
Berlaku apabila hanya terdapat sebuah syarikat (monopoli) atau sebilangan kecil syarikat (oligopoli) yang membekalkan barangan atau perkhidmatan, pengeluar biasanya mempunyai kuasa untuk menentukan harga. Jika pengeluar menggunakan kuasa itu, harga akan meningkat. Pengguna tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membeli pada paras harga yang ditentukan oleh pengeluar atau pembekal. Pengeluar atau pembekal berkemungkinan akan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan untuk menikmati keuntungan yang lebih besar sama ada kos meningkat atau tidak. Harga sedemikian dipanggil harga pentadbiran.  
5. Inflasi Yang Diimport
Faktor-faktor luar negara juga boleh menyebabkan inflasi. Apabila kos bahan mentah seperti petroleum, barang siap atau perkhidmatan yang diimport dari luar negara meningkat, ia akan menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran tempatan meningkat tanpa mudah disedari. Kenaikan harga barangan import boleh berlaku secara langsung iaitu inflasi yang berlaku di negara pengeksport atau tidak langsung melalui perubahan kadar pertukaran wang asing yang memihak kepada negara pengeksport. Oleh yang demikian, bagi mengurangkan tekanan inflasi jenis ini adalah lebih baik negara berkenaan menggunakan sumber bahan mentahnya sendiri bagi mengekang inflasi jenis ini.
 
LANGKAH MEMBENDUNG INFLASI
1. Mengawal Permintaan
Jumlah permintaan melebihi jumlah penawaran di pasaran menyebabkan harga meningkat. Oleh itu adalah perlu untuk mengekalkan jumlah permintaan pada tahap yang munasabah.
2. Mengawal Bekalan
Dilakukan dengan cara meningkatkan bekalan melalui peningkatan produktiviti, memperbaiki jaringan pengedaran, mengimport bahan mentah yang lebih murah dan mengurangkan pembaziran merupa-kan langkah berkesan untuk mengurangkan tekanan inflasi.
3. Polisi Ekonomi Makro
Tindakan Kerajaan melalui pengurusan cukai, kewangan dan pentadbiran yang cekap untuk menentukan halatuju pembangunan negara.
PERANAN PENGGUNA MENGHADAPI INFLASI
Jangan beli semasa harga tinggi. Beli semasa ditawarkan harga rendah.
Elakkan pembaziran, berjimat dan membeli apabila perlu sahaja dan mengikut rancangan perbelanjaan dan kemampuan anda.
Cari kedai yang menawarkan harga yang berpatutan serta yang meletakkan tanda harga.
Dapatkan harga terbaik juga dengan cara tawar-menawar jika dapat dilakukan.
Pengguna perlu memainkan peranan sebagai pengeluar atau pemberi khidmat untuk meningkatkan produktiviti mereka.
Pengguna/pengeluar hendaklah beretika.
Memperbaiki yang lama lebih baik daripada membeli baru, jika ekonomik.
             

No comments: