Sunday, April 24, 2011

Kempen ‘ 100 Hari Katakan Tidak Kepada Isu Perkauman’


Salam semua®…
Penulis bosanlah bila tiap-tiap hari ada saja cerita mengenai isu perkauman ini  dimainkan di   dada-dada  akhbar mahupun di media maya. Perkara ini sebenarnya tidak baik bagi negara kita yang sudah 53 tahun mencapai kemerdekaan.
53 tahun bukanlah satu tempoh yang pendek malah kalaulah dibandingkan dengan umur manusia, usia 53 tahun itu sudah cukup mendewasakan dan mematangkan seseorang dalam mengharungi kehidupan yang lebih baik, tenteram dan aman.
Tetapi, penulis hairanlah kenapa ada dikalangan akhbar ternama yang usia operasinya bolehlah dikategorikan sudah lama tapi, masih ingin  mahu memainkan isu perkauman ini.
Tidak cukup dengan akhbar-akhbar yang memainkan sentimen ini, amatlah menyedihkan ada juga dikalangan pemimpin dan bekas pemimpin politik kita amat galak bercakap dan mengulas tentang perkara yang sama.
Dalam pada susah payah Perdana Menteri kita, Datuk Sri Najib menggerakkan gagasan 1 Malaysia ini, suara-suara berbaur perkauman ini seolah-olah membantutkan usaha beliau dan kerajaan ke arah itu.

Tidak kiralah dari mana fahaman parti politik mereka, pemilik-pemilik akhbar, pemimpin dan bekas pemimpin ini sebenarnya perlu faham bahawa amalan berpolitik menggunakan  isu perkauman ini bukanlah sesuatu yang baik untuk masyarakat majmuk seperti di Malaysia ini.
Realiti hidup rakyat berbilang kaum di Malaysia sebenarnya tidaklah seteruk mana. Bermula daripada rakan jiran tertangga, rakan sekolah, rakan kolej, rakan kerja, rakan niaga, rakan seni, rakan sukan, rakan ‘cop’, rakan sosial dan rakan politik, kita sebenarnya tidak ada masalah. Perhubungan kaum di antara kita masih lagi kukuh sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah.

Pergilah ke mana-mana sahaja, rakyat Malaysia sentiasa rasa aman dan boleh berinteraksi tanpa ada rasa sangsi dan syak wasangka di antara mereka.
Akan tetapi, perkembangan politik negara sejak kebelakangan ini agak merimaskan semua orang termasuklah penulis sendiri. Berpolitik tu bukanlah tidak boleh, tetapi berpolitik secara rakus menggunakan sentimen atau isu perkauman mestilah ditentang habis-habisan kerana kesan buruknya kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang tercinta ini akan lebih teruk kalau tidak dibendung dari sekarang.
Sebelum terlambat, perbetulkanlah dari sekarang. Pemimpin-pemimpin politik dan akhbar-akhbar harus sedar, selain berpolitik, penulis rasa banyak lagi elemen penting dalam masyarakat yang perlu difikirkan bagi memudahkan kerajaan  menjalankan dasarnya dengan lebih baik.  Tidak perlulah mereka memfokuskan hanya kepada perkara-perkara politik sahaja.
Untuk itu, sebagai permulaannya, penulis sarankan agar ada di kalangan NGO yang ikhlas dalam hal ini menggerakkan Kempen ‘ 100 Hari Katakan Tidak Kepada Isu Perkauman’ . Bantuan daripada Kementerian Dalam Negeri dan juga Polis serta Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan perlu dalam menjayakan kempen nasional ini.

No comments: