Friday, February 24, 2012

Haram Dan Halal Nik Aziz, Amat-Amat Menakutkan Kita…Apa Kesudahannya?....



Salam semua®…

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan adalah haram bagi mana-mana pihak bersekongkol dengan Israel dalam apa jua bentuk hubungan menambah terserah kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terima atau tidak pendirian parti Islam itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi, Nik Aziz berkata, beliau berpandangan bahawa Anwar memahami pendirian PAS yang tidak mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin.

“Pada saya, Datuk Seri Anwar memahami pendirian PAS yang tidak mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestine.

“Oleh kerana itu tidak berbangkit PAS telah menggadai prinsip perjuangan tatkala bersama Pakatan Rakyat,” katanya yang mengadakan pertemuan dengan Anwar pagi semalam.

Sehubungan itu kata Nik Aziz (gambar), beliau yakin, pihak Pakatan Rakyat tetap sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah airnya daripada cengkaman Israel yang zalim itu.

Kata Menteri Besar Kelantan ini, PAS sebagaimana diputuskan Majlis Syura Ulama tidak mengiktiraf kewujudan Israel menambah terserah kepada Anwar sama ada mahu menerima pendirian parti Islam itu.

“Bagi saya, pendirian PAS adalah wajar kerana kewujudan negara haram Israel merupakan suatu kezaliman, tanpa peri kemanusiaan dan menafikan hak umat Islam, malah merampas hak seluruh rakyat Palestin.

“Tambahan pula, tindakan penguasa Israel yang tidak habis-habis menzalimi dan membunuh rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua. Justeru, adalah haram menerima kewujudan negara Israel yang haram,” katanya.

Minggu lalu, Nik Aziz menggesa Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, agar menarik balik kenyataannya berkaitan dengan Israel, yang disiarkan dalam akhbar Wall Street Journal (WSJ).

Nik Aziz berkata, jika kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman WSJ bagi membersihkan nama beliau.

Bagaimanapun Anwar selepas pertemuan semalam berkata  beliau tidak akan menyaman WSJ berhubung kenyataannya menyokong segala usaha melindungi keselamatan Israel kerana laporan itu adalah tepat.

“Kenapa saya perlu saman WSJ? Mereka letak perkataan ‘contingent’ (tertakluk pada syarat) dalam laporan itu,” katanya menambah Nik Aziz memahami penjelasan mengenai isu Israel itu.- The Malaysian Insider
  
Komen Penulis.
Selepas perjumpaan  DS Anuar dengan Nik Aziz baru-baru ini, amat jelaslah DS Anuar mengambil pendekatan mengeyakan sokongan beliau ke atas keselamatan Negara Israel. Nik Aziz pun faham hal ini.

Kalaulah Nik Aziz boleh berkata adalah haram menerima kewujudan negara Israel yang haram, maka secara prinsipnya jugalah mereka (PAS) sepatutnya mengharamkan sokongan mereka ke atas seorang pemimpin  atau parti yang jelas-jelas menyokong dan sanggup memberi perlindungan ke atas Negara Israel.

Jesteru itu, berdasarkan perkembangan yang terkini, PAS sepatutnya menilai semula sokongan tidak berbelah bagi mereka ke atas DS Anuar dalam melantik beliau sebagai bakal Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menang dalam PRU13. Maka, di atas dasar perbezaan pendapat, tindakan mereka nanti tidak bolehlah dilihat sebagai haram separuh dan halal pula separuh. Kalaulah sudah dikatakan haram, maka haramlah sepenuhnya.

Apapun tafsiran Nik Aziz selepas ini, semata-mata bagi menolak kenyataan di atas,  ianya bolehlah dikatakan sebagai menyokong kepada perkara-perkara syubahah yang mengelak diri kita daripada terjerumus kepada perkara-perkara yang haram.

Nik Aziz tidak boleh berdolak-dalik lagi. Yang benar mestilah dikatakan dengan benar dan begitulah sebaliknya. Meletakkan sesuatu itu bukan di tempatnya (hak)  adalah dikira berlaku zalim kepada rakyat.

Rakyat sedang meniliti hal ini dengan penuh insaf.

No comments: