Saturday, November 20, 2010

Persoalan Kos Sara Hidup Rakyat Dan Ke Arah Negara Maju...




Salam semua…

Saya setuju jika ada pendapat mengatakan bahawa kenaikan gaji secara langsungnya akan menaikkan kos sara hidup. Kenaikan kos sara hidup orang ramai juga selalunya berkait rapat dengan kenaikan harga barang, makanan, pelajaran, perkhidmatan, pengangkutan dan lain-lain lagi.

Para-para pengusaha dan peniaga yang tidak beretika tidak kiralah samada yang kecil atau besar juga akan sedaya upaya mengambil kesempatan untuk menangguk di air yang keruh dengan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sesuka hati mereka. Keadaan ini juga akan menjadi penyebab kepada kenaikan kos sara hidup orang ramai.

Pada pendapat saya, ianya hanya akan berlaku, jika kenaikan kos sara hidup tertentu tidak dikesan, dikawal dan diurus dengan sebaiknya oleh kerajaan. Malah dalam banyak keadaan, ianya tidaklah naik secara automatik kerana kos sara hidup boleh dikawal jika kerajaan bijak memainkan peranannya dalam menangani masalah yang dibawa oleh para-para pengusaha dan peniaga-peniaga yang tidak bertanggung jawab tadi.
Melihat kepada orang perseorangan atau kelompok yang kecil, tanpa bantuan dari kerajaan, amat susah untuk orang ramai menanganinya. Kerajaan melalui kepakaran dari jabatan-jabatan tertentu boleh melihat keadaan ini secara mikro dan makro.

Selain dari itu, untuk menjadi negara maju, kita tidak semestinya hanya menagih gaji yang tinggi kerana jika tidak ada sokongan melalui pelan ekonomi jangka panjang dari kerajaan, kos sara hidup akan menjadi tinggi dan kuasa membeli akan berkurangan.

Berbanding dengan golongan-golongan elit yang kebanyakannya sebagai penaraju utama, kualiti hidup kebanyakan orang ramai pula tidak akan banyak berubah walaupun dikelilingi oleh bangunan-bangunan tinggi pencakar langit.

Maknanya nilai duit dari gaji yang kita dapat adalah lebih penting. Walaupun jumlah wang gaji yang kita dapat itu tidaklah berapa tinggi tapi dengan kos sara hidup yang rendah maka kuasa membeli dan kualiti hidup kita akan bertambah baik. Keadaan inilah yang patut kerajaan fikirkan.

Contohnya jika dua orang mendapat gaji yang sama tetapi tinggal di dua kawasan yang berlainan. Katakanlah A tinggal di kawasan bandar dan seorang lagi B, tinggal di luar bandar. Walaupun memperolehi gaji yang sama tetapi B mempunyai nilai gaji yang lebih tinggi. Dengan kos sara hidup yang rendah, B mempunyai kuasa membeli yang lebih baik dari A kerana kos sara hidupnya lebih tinggi dari B. Misalnya dengan duit bernilai RM10.00, B mampu membeli 2 ekor ikan berbanding A yang hanya dapat membeli 1 ekor sahaja. Maknanya jika B memilih untuk membeli seekor sahaja, maka B dapat menyimpan RM5 untuk membeli barangan yang lain. Ternyata kuasa membeli B lebih tinggi dari A. Kuasa membeli B lebih tinggi kerana lazimnya ikan amat mudah didapati diluar bandar berbanding di bandar.

Adalah lebih baik jika kenaikan gaji pada paras yang lebih tinggi seperti yang diperkatakan oleh kerajaan sekarang ini dapat dilakukan jika kerajaan memilih untuk membangunkan pelan perekonomian yang lebih dinamik ke arah memperbanyakkan aktiviti-aktiviti pertanian dan pembuatan serta pengeluaran barangan makanan berskala besar bagi mengawal kos sara hidup orang ramai.

Selain dari itu kerajaan juga perlu mengurangkan dan mengimbangi perbelanjaan pembangunan serta perbelanjaan untuk pelaburan hartanah yang nyata tidak memberi impak yang besar ke atas penurunan kos sara hidup orang ramai.

Walaupun dalam jangka masa panjang ianya akan memberikan keuntungan melalui kenaikan harga hartanah yang dilabur, tetapi persoalannya adakah keuntungan tersebut dapat diterjemahkan kepada orang ramai melalui penurunan kos sara hidup secara ketara? ataupun keuntungan berkenaan akan di ‘return earnings’kan untuk pelaburan kerajaan berikutnya.

Kerajaan juga boleh menurunkan kos sara hidup orang ramai melalui penyediaan dan peningkatan kualiti pengangkutan awam setaraf dengan negara maju. Nilai gaji akan lebih bermakna jika kos untuk pengangkutan peribadi yang tinggi seperti perbelanjaan untuk membayar bayaran bulanan pinjaman kereta dapat dikurangkan dengan penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam secara meluas serta kos pengangkutan awam yang lebih rendah dapat disediakan.

Kerajaan juga boleh mengurangkan kos sara hidup orang ramai serta meningkatkan taraf hidup rakyat dengan memberi lebih banyak perhatian kepada pengurangan kos untuk perumahan, pendidikan dan insuran kesihatan rakyat.

Pembinaan Rumah Berkos Tinggi Kebanyakannya Menjadi Rebutan Pemaju-Pemaju Perumahan. Peluang Rakyat Berpendapatan Rendah Untuk Memiliki Rumah Adalah Terhad Kerana Kos Sara Hidup Mereka Yang Tinggi.


Untuk itu organisasi-organisasi pelaburan  yang besar seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB),  Angkasa, KWSP serta lain-lain agensi yang bukan hanya berorientasikan keuntungan semata-mata perlu lebih aggresif mengambil alih tugas ‘sosial responsibilities’ ini dari syarikat-syarikat perbankan dan insuran yang besar dengan menawarkan pelan-pelan pinjaman perumahan, pendidikan dan insuran kesihatan yang menarik kepada para-para ahli serta orang ramai bagi mengurangkan kos sara hidup mereka. 
Kerajaan juga perlu melihat kesesuaian kos faedah pinjaman semasa yang dikenakan oleh bank-bank tempatan ke atas peminjam-peminjam perseorangan dan syarikat-syarikat kecil. Sebilangan besar Bank terkemuka di Malaysia seolah-olah berlumba-lumba untuk  mengistiharkan keuntungan luar biasa mereka pada waktu-waktu tertentu, akan tetapi  pihak yang sebenarnya menanggung kos faedah pinjaman ini  adalah sebilangan besar rakyat  Malaysia yang terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi serta kuasa membeli yang semakin berkurangan.  Kesimpulannya, negara kita sememangnya boleh pergi jauh ke arah negara maju dan rakyatnya pula boleh menikmati kualiti hidup yang lebih baik jika sekiranya pemimpin kita berjaya mengawal peningkatan kos sara hidup rakyatnya.

2 comments:

Anonymous said...

Tuan ampunya blog,

Memang patut Kerajaan melalui BNM tengok tentang keuntungan Bank sekarang sampai berbillion2 ringgit..

Asalnya duit berkenaan dari orang ramai yang bayar fee perkhidmatan dan faedah pinjaman yang tinggi...

Mekanisma monetary system kita perlu dikaji semula...pengagihan kos melalui keuntungan di antara rakyat dan organisasi kewangan perlu diteliti kadar nisbahnya...

Jangan nanti orang kaya (pemegang saham) akan bertambah kaya. Manakala orang miskin yang ramai bilangannya akan bertambah papa kedana.

Nak jadi negara maju... perlu ada perseimbangan. Kerajaan perlu lihat perkara ini dengan lebih serious.

Anonymous said...

ASKOM..

Memang betul, belanja utama kita seperti bayaran bulanan kereta, duit minyak, sewa rumah dan harga barang semuanya kita kena beres tiap2 bulan.

Itu tak masuk lagi nak beli rumah..nak beli rumah teres 1 tingkat yang baru memangla tak ada langsung. sekarang ni harga second hand sekurang2nya RM120 ribu hingga RM150 ribu man mampu nak beli?

Kerajaan kena tengok hal ini baik2...jangan jadi negara maju rakyat pula susah..!!!