Salam semua…
Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendiamkan diri berhubung penerbitan buku memoir Tun Dr. Mahathir Mohamad membuktikan Ketua Pembangkang itu tidak mempunyai hujah kukuh bagi membersihkan namanya,
Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata, jika Anwar berada di pihak yang benar dan tidak berpuas hati terhadap apa yang diperkatakan menerusi buku A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad itu, beliau sepatutnya membawa perkara tersebut ke 'muka pengadilan'.
Bagaimanapun, jelasnya, sehingga kini tidak ada sebarang usaha yang dilakukan oleh Anwar untuk memfailkan saman terhadap pihak tertentu di mahkamah.
''Jadi, kita beranggapan Anwar tidak ada bukti untuk berhujah bahawa beliau berada di pihak yang benar.
''Ini kerana, Anwar tidak berbuat apa-apa tindakan pun. Anwar bukannya tidak biasa menyaman orang. Saya sendiri pun sudah tiga kali disamannya,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelepasan bas dan teksi yang mempamerkan iklan Karnival Kerjaya Pemuda BN.
Karnival berkenaan akan berlangsung tiga hari bermula 25 Mac ini dengan menawarkan kira-kira 20,000 peluang pekerjaan melibatkan penyertaan lebih 600 syarikat korporat dan agensi kerajaan.
A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad setebal 800 muka surat itu nyata mendapat perhatian ramai apabila ia akan diulang cetak 20,000 naskhah lagi bagi memenuhi permintaan pasaran.
Antara yang disentuh dalam buku tersebut itu ialah bagaimana Dr. Mahathir terpaksa memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998 dan pendedahan tersebut dilihat menimbulkan reaksi kurang senang Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu.
Mengulas lanjut, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, dalam buku berkaitan memoir itu, Dr. Mahathir selaku bekas Perdana Menteri mempunyai hak untuk menyatakan apa jua pengalaman hidupnya.
''Jadi, kalau ada pihak yang tidak puas hati seperti Anwar, bawalah ke mahkamah (saman),'' ujarnya.- Utusan
No comments:
Post a Comment