Salam semua...
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar memfailkan saman terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad jika tidak berpuas hati dengan kandungan buku memoir bertajuk A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, ia adalah langkah yang sepatutnya diambil oleh Anwar dan bukannya melenting terhadap pendedahan bapanya itu.
“Nampaknya kalau dah melenting memang ada kebenaran di sebalik pendedahan yang dibuat oleh bapa saya.
“Tidak timbul soal nak pertahankan anak di dalam buku tersebut tetapi apa yang dibangkitkan di dalam buku tersebut ialah soal negara dan jika berani Anwar samanlah bapa saya RM100 juta atau RM200 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kubang Pasu di sini hari ini.
Buku memoir bertajuk A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad setebal 800 muka surat itu nyata mendapat perhatian ramai apabila ia akan diulang cetak sebanyak 20,000 naskhah lagi bagi memenuhi permintaan orang ramai.
Antara yang disentuh dalam buku tersebut itu ialah bagaimana Dr. Mahathir terpaksa memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998 dan pendedahan itu dilihat menimbulkan reaksi kurang senang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Menurut Mukhriz, beliau yakin bapanya bersedia untuk berhadapan dengan Anwar di mahkamah bagi membuktikan kebenaran yang ditulis di dalam buku tersebut.
“Buku tersebut memberi penerangan kepada orang ramai mengenai keputusan-keputusan yang terpaksa diambil oleh bapa saya sewaktu mentadbir negara dahulu.
“Sewaktu masih menjadi Perdana Menteri, bapa saya tidak berpeluang untuk menceritakan apa yang berlaku dan kini bapa saya sudah bersara dan masanya sangat sesuai untuk menjelaskan semuanya,” katanya.-Utusan
P/S – Hanya orang yang bercakap benar sahaja berani mencabar supaya dirinya disaman. Secara logiknya…buat apalah TUN mengambil risiko yang besar dan tidak berfaedah menceritakan perkara yang tidak benar kerana beliau bukanlah calang-calang orang. Sebab itulah TUN berani berbuat demikian.
InsyaAllah kebenaran akan mengatasi kemungkaran akhirnya…..
No comments:
Post a Comment