Wednesday, December 29, 2010

TAHUN 2011 SEBAGAI TAHUN 1 MALAYSIA

Salam semua…

Penulis tertarik dengan cadangan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga selaku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon supaya menjadikan tahun 2011 sebagai tahun 1 Malaysia di peringkat negeri dan juga di peringkat kebangsaan.

Penulis nampak gagasan 1 Malaysia perlu disuburkan dengan lebih agresif lagi oleh pihak kerajaan supaya semua rakyat berbilang kaum di Malaysia terutamanya di kalangan generasi muda lebih menjiwai maksud 1 Malaysia dalam erti kata yang sebenarnya.

Lapuran sepenuhnya penulis ambil dari Berita Harian Online bertarikh 28/12/2010;

KUALA LUMPUR: Tahun 2011 hendaklah dilihat semua rakyat Malaysia untuk mereka memastikan falsafah konsep 1Malaysia dalam pembinaan sebuah negara dipromosikan dengan baik berdasarkan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata, adalah penting untuk melihat semangat dan isi kandungan sebenar konsep 1Malaysia dalam mengekalkan keharmonian, perayaan kepelbagaian dan menjalin perpaduan berdasarkan saling menghormati, keterangkuman dan kesederhanaan.

"Selepas pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) pada 2010, 2011 akan dilihat penerusan pelaksanaan semua inisiatif ini," katanya dalam perutusan tahun baru di sini, hari ini. 

Koh yang juga Presiden GERAKAN menekankan bahawa pemimpin dan pegawai kerajaan mestilah terus menunaikan apa yang dijanjikan dengan bersungguh-sungguh dan tekad dalam penyampaian dan bukan hanya sebagai perbincangan.

"Kepentingan bersama adalah untuk menekankan mengenai ‘Pencapaian Kini’ oleh perkhidmatan awam untuk memberikan khidmat dengan berkesan kepada rakyat selaras dengan komitmen kerajaan yang sentiasa menekankan ‘Rakyat Didahulukan’,” katanya.

Katanya, semua inisiatif dan komitmen ini hendaklah diberikan penekanan pada sepanjang 2011 sebagai Tahun 1Malaysia. – BERNAMA

Penulis juga mencadangkan agar kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri tanpa memikirkan soal fahaman politik mereka memberi lebih perhatian dalam  menerapkan semangat konsep 1 Malaysia ini di dalam kalendar pada tiap-tiap sambutan hari-hari tertentu misalnya pada sambutan hari Wilayah Persekutuan, Hari Buruh, Hari Guru, Hari Ibu, Hari Wanita, Hari Kanak-Kanak, Hari Kebangsaan dan juga pada hari-hari perayaan keagamaan misalnya Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan lain-lain lagi.

Penghayatan gagasan 1 Malaysia ini bukanlah hanya sekadar ungkapan atau tatapan menerusi logo-loganya sahaja malah apa yang lebih penting ianya perlu dihidupkan oleh kerajaan agar semua rakyat berbilang kaum di Malaysia tahu bahawa pemerintah yang baik adalah pemerintah yang mendukung kepada gagasan yang cintakan keharmonian dan kesejahteraan hidup rakyatnya di samping menjadikan bangsa Malaysia sebagai bangsa yang bermaruah serta mampu bersaing bukan setakat di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Penulis juga berpendapat keterlibatan Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kesenian serta Kementerian Pelancungan perlu lebih agresif mengambil bahagian dalam menjayakan gagasan 1 Malaysia ini. Gerak kerja yang lebih proaktif perlu dijalankan secara teratur melalui penglibatan bersesama di antara pihak kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan juga pihak swasta.

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kesenian agensi di bawahnya  misalnya perlu memainkan peranan yang lebih besar dengan menggalakkan pengusaha dan penggiat-penggiat filem, penerbit-penerbit drama tv tempatan serta penggiat-penggiat seni yang lain perlu mengeluarkan lebih banyak filem, penerbitan atau karya-karya menarik yang berunsurkan perpaduan kaum berbilang bangsa di Malaysia. Bagi menjayakan langkah ini, beberapa galakan dalam bentuk peruntukan kewangan yang munasabah perlu diusahakan ke arah ini.  

Kementerian-kementerian lain yang penulis sebutkan di atas tadi perlu mengambil tindakan yang sama dan terserahlah kepada kerajaan serta menteri-menteri yang terlibat memikirkan tentang bagaimanakah cara yang terbaik untuk kerajaan merealisasikan kejayaan gagasan 1 Malaysia ini dalam erti kata yang sebenarnya.

Semoga tahun 2011 yang bakal menjelang tiba akan memberikan sinar baru kepada rakyat Malaysia. Perkongsian hidup yang lebih ceria dalam suasana muhibbah kelas pertama akan menjadikan bangsa Malaysia lebih cemerlang, gemilang dan terbilang di mata dunia.


No comments: