Gambar Hiasan
Salam semua…
Petikan menarik dari Utusan Malaysia.
Dasar era globalisasi perlu lindungi rakyat
KUALA LUMPUR 13 Dis. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, setiap dasar dan polisi yang diperkenalkan dalam pemerintahan terutama pada era globalisasi perlu bersifat melindungi rakyat serta negara secara keseluruhan.
Ini kerana kata beliau, segala idea mengenai globalisasi merupakan ilham negara maju yang akan berpihak dan memberi keuntungan serta faedah kepada mereka semata-mata.
Justeru beliau menasihati kerajaan supaya berhati-hati dalam membuat dasar agar ia mengikut acuan negara tanpa mengikut secara membuta tuli dasar Barat.
"Suka atau tidak kita kena terima impak globalisasi namun kita perlu kritis dalam menerima segala idea yang datang terutama dari luar kerana ia dapat memberi kesan baik dan buruk," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk Globalizing Malaysians in 2020 di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Bangi, dekat sini, hari ini.
Dr. Mahathir berkata, rakyat perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran sebagai persiapan menjadi negara maju menjelang 2020.
Malah tegasnya, sudah tiba masanya Malaysia menguasai pasaran global dengan meningkatkan eksport negara.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, ledakan globalisasi tidak seharusnya menjadikan rakyat hilang jati diri sehingga sikap keterbukaan menghalalkan perkara yang salah dan songsang.
Menurutnya, jika seseorang itu adalah seorang Muslim maka mereka harus mengekalkan amalan-amalan dan tanggungjawab sebagai seorang Islam.
Ulasan saya:
Memang betul kata TUN setiap dasar dan polisi yang diperkenalkan dalam pemerintahan terutama pada era globalisasi perlu bersifat melindungi rakyat serta negara secara keseluruhan.
Perkara inilah yang perlu kerajaan fikirkan. Janganlah kita sentiasa bermegah-megah tentang nilai pelaburan asing (FDI) yang masuk kalau sikap negatif kita yang tidak ingin mahu belajar dan masih berterusan menjadi tempat persinggahan pelabur-pelabur asing.
Sebagai pemimpin negara yang mempunyai wawasan, mereka sepatutnya perlu sedar bahawa idea mengenai globalisasi itu sendiri dalam konteks yang lebih luas merupakan ilham negara maju yang akan berpihak dan memberi keuntungan serta faedah kepada mereka semata-mata.
Seperti kata TUN, sudah tiba masanya Malaysia menguasai pasaran global dengan meningkatkan eksport negara.
Dalam konteks bagi menangani kenaikan harga barangan disamping memperluaskan operasi PKS di dalam dan di luar negara, cadangan terdahulu saya supaya kerajaan perlu bersedia dari sekarang mengambil-alih kepentingan pasaraya besar sebagai permulaannya dari mana-mana satu dari rangkaian pasaraya besar yang dimiliki oleh pelabur asing yang mempunyai rangkaian yang luas di tiap-tiap negeri.
Sila baca di sini.
Untuk meningkatkan eksport negara, kita memerlukan sokongan dari PKS yang sekarang ini dilihat tidak mendapat layanan yang baik dari pelabur-pelabur asing bagi memasarkan barangan mereka.
Strategi serampang tiga mata ini perlu supaya kerajaan boleh menolong meningkatkan pendapatan PKS, menstabilkan harga barangan serta menjana pendapatan negara.
Amat malang dan rugilah bangsa Malaysia jika kita sampai ke tahun 2020 sekalipun, kita masih lagi tidak berupaya menguasai pasaran global kerana sikap sesetengah pemimpin kita yang masih percaya kepada pelabur-pelabur asing sebagai pencorak masa depan ekonomi negara.
No comments:
Post a Comment