Sunday, September 18, 2011

ISU PEMANSUHAN ISA – SIKAP PEMBANGKANG DIKESALI…


Salam semua ®…
Penulis terpanggil untuk memberi sedikit pendapat mengenai tindakan kerajaan memansuhkan  ISA baru-baru ini.
Pada pandangan penulis, tindakan DS Najib selaku PM amatlah bijak dan wajar dalam situasi semasa di mana negara kita tidak lagi secara terang-terangan diancam oleh anasir berfahaman komunis serta tindakan radikal ala subversif yang boleh mengganggu-gugat keselamatan negara.
Berbeza dengan pendekatan pemerintahan terdahulu, di era zaman globalisasi ini ianya lebih mengarah dan mengajak kita ke arah transformasi minda kelas pertama.  Kerajaan sebagai pemerintah terpaksalah bersedia untuk dikritik dan bertindak  berdasarkan fakta dan kaedah ilmiah yang betul. Manakala pembangkang pula selain berkhidmat sebagai pengkritik yang berwibawa, mereka juga perlulah menjadi contoh sebagai pembangkang yang baik daripada segi etika dan moral.
Walaubagaimanapun, semuanya mestilah melalui saluran yang betul serta tata-cara yang sesuai berdasarkan  keluhuran perlembagaan di mana tiap-tiap orang perlu mendapat keadilan yang sebaiknya sebelum mahkamah menentukan mereka bersalah atau tidak.
Tindakan bijak daripada kerajaan ini sedikit sebanyak akan meningkatkan lagi kepercayaan orang ramai  terhadap institusi kehakiman selain meninggikan lagi martabat hakim-hakim sebagai badan bebas  dalam menjalankan tugas-tugas mereka.
Mengenai adanya cadangan supaya kerajaan memberikan penjelasan secara terperinci tentang sebab-sebab pemansuhan ISA ini secara menyeluruh daripada kementerian dan agensi berkaitan, penulis rasa  tidaklah perlu kerana ianya boleh mengundang kepada banyak persoalan tentang keadilan terhadap bekas-bekas tangkapan ISA dan juga mereka yang masih menghuni di kem-kem tahanan. Perlu diingatkan di sini,  sebarang perubahan yang dilakukan oleh kerajaan adalah untuk kepentingan rakyat dan bukannya untuk orang politik atau sesiapa juga.
Dalam hal ini juga, parti pembangkang perlulah berlapang dada dan tidak  menangguk di air keruh dengan mengatakan itu dan dan ini. Sikap jelek mereka yang berterusan menyalahkan kerajaan sebenarnya akan menyerlahkan lagi kerakusan dan sikap tidak matang  mereka dalam menjuarai satu-satu isu untuk kepentingan orang ramai.


No comments: