Showing posts with label PRK DUN KERDAU. Show all posts
Showing posts with label PRK DUN KERDAU. Show all posts
Sunday, March 06, 2011
PERISTIWA MENARIK DAN LAPORAN LANGSUNG PRK DUN MERLIMAU DAN KERDAU DARI JAM 2.25PM – 5.00 PM
Salam semua…
PERISTIWA MENARIK DAN LAPORAN LANGSUNG PRK DUN MERLIMAU DAN KERDAU DARI JAM 2.25PM – 5.00 PM
PRK DUN Merlimau
5pm- Proses pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau tamat. Semua 13 pusat mengundi dengan 22 saluran ditutup serentak.
Sejurus ditutup, kesemua peti undi akan dibawa ke Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh untuk dijumlahkan.
4.40pm 76.87 peratus atau 8,181 daripada 10,679 pengundi di Merlimau sudah keluar mengundi sehingga jam 4 petang. SPR mensasarkan lebih 80 peratus akan mengundi hari ini.
3.39pm Hujan lebat turun di bahagian utara DUN Merlimau, bermula dari Kampung Lipat Kajang.
Ditanya sama ada ia akan menjejaskan sasaran PAS untuk mendapatkan 78 peratus pemilih keluar mengundi hari ini, pengarah bilik gerakan parti itu di Merlimau, Jasme Tompang berkata pihaknya masih berharap.
"Pengundi masih keluar mengundi di Tenang, walaupun berlaku banjir," katanya.
PAS, katanya, percaya mempunyai peluang untuk menang dengan majoriti tipis sekitar 61 undi, sekiranya cukup pemilih yang keluar mengundi hari ini,
terutama pengundi atas pagar dan mereka yang pertamakali mengundi, yang terdiri daripada 15 peratus jumlah pengundi di Merlimau.
3.30pm 72.6 peratus atau 7,722 daripada 10,679 pengundi di Merlimau sudah keluar mengundi sehingga jam 3 petang. SPR mensasarkan lebih 80 peratus akan mengundi hari ini.
PRK DUN Kerdau
5pm: Tempoh pengundian tamat dan pusat pengundian ditutup.
4.15pm: Setakat jam 4 petang, jumlah keluar mengundi ialah 7,336 atau 81.5%.
Jumlah ini adalah melebihi rekod 80.3% yang keluar mengundi dalam pilihan raya umum 2008 bagi DUN Kerdau.
3.27pm: Jumlah keluar mengundi meningkat kepada 7,149 (79.44%) sehingga jam 3 petang.
2.25pm: Seramai 6,805 pengundi (75.62%) telah keluar mengundi sehingga jam 2 petang.
Berita-berita menarik lain:
Di PRK DUN Merlimau
Dakwaan beli undi, MP DAP, Ahli parlimen Kota Melaka Sim Tong Him membuat laporan di balai polis Merlimau, mendakwa pada jam 11.45 pagi tadi, dia telah dimaklumkan oleh penyokong PAS dan DAP bahawa ada orang yang memberi wang RM100 di sebuah rumah dekat dewan serbaguna di Permatang Bukit Merlimau .
Dalam laporan polisnya itu, Sim berkata, dia bersama seorang jurugambar akhbar China Press dan dua orang lagi, telah pergi ke rumah tersebut untuk mengetahui apa yang berlaku di situ.
Beliau mendakwa, dia mendapati seorang ahl majlis dari MCA dan tiga orang lagi, sedang memberi wang kepada pengundi.
Jurugambar tersebut mengambil beberapa gambar, tetapi dipaksa memadamkannya.
Bagi mengelak kekecohan, kata Sim, dia meminta jurugambar itu memadam gambar-gambar tersebut. Dia kemudiannya beredar dari situ dan membuat laporan polis.
Sim berkata, dia menganggapnya sebagai perbuatan membeli undi dan merupakan satu kesalahan melanggar peraturan pilihan raya.
Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan calon BN Roslan Ahmad ditentang calon PAS Yuhaizad Abdullah bagi kawasan yang dianggap sebagai mini Malaysia berdasarkan pecahan pengundinya.
Kawasan ini mempunyai hampir 65 peratus pengundi Melayu, lebih 20 peratus pengundi Cina dan hampir 15 peratus pengundi India.
Keputusan hari ini akan memberi gambaran kepada tindakan parti masing-masing di sesebuah kawasan seperti ini.
Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lepas, juga akibat serangan jantung.-Malaysiakini
PERISTIWA MENARIK DAN LAPORAN LANGSUNG PRK DUN KERDAU DARI JAM 12.30AM – 1.25PM
Salam semua…
PERISTIWA MENARIK DAN LAPORAN LANGSUNG PRK DUN KERDAU DARI JAM 12.30AM – 1.25PM
1.25pm Jumlah keluar mengundi hingga setakat ini telahpun mencatat angka 6,467 pengundi – 71.86%.
1pm: Ramai petugas dan golongan yang hadir ke kawasan pengundian mengambil peluang untuk berehat, termasuk sekumpulan aktivis daripada Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM).
Kumpulan aktivis berkenaan pada awalnya dilihat menyertai kumpulan petugas BN.
Kelihatan beberapa orang daripada mereka sedang bermain ping pong di hadapan bilik gerakan MBFM yang terletak kira-kira 30 meter daripada SK Jengka 25.
12.30pm: Jumlah keluar mengundi hingga jam 12 tengahari ialah seramai 5,874 orang – 65.29 peratus.-Malaysiakini.
Berita-berita lanjut mengenai kedua-dua PRK DUN akan menyusul lagi selepas ini.
LAPORAN LANGSUNG PRK DUN KERDAU DARI JAM 8.00AM – 11.30AM
Salam semua…
LAPORAN LANGSUNG PRK DUN KERDAU DARI JAM 8.00AM – 11.30AM
11.30am: Jumlah keluar mengundi hingga jam 11 pagi ialah seramai 4,890 orang – 54.34 peratus.
Sementara itu, suasana lebih meriah dikesan di Felda Jengka 23, di mana penyokong BN dan PAS saling ejek-mengejek di luar pusat pengundian di SK LKTP Felda 23.
Kumpulan penyokong dengan kekuatan masing-masingnya seramai kira-kira 100 orang itu berhimpun di pinggir jalan yang menuju ke pusat pengundian berkenaan.
Penyokong BN itu melaungkan "murah" dan "tak sedap" apabila sebuah kereta tiba dengan membawa muatan air botol untuk penyokong PAS.
Penyokong PAS berkenaan bagaimanapun sekadar mengibarkan bendera mereka apabila diejek begitu.
Keadaan di sini secara umumnya aman dengan dikawal sekumpulan anggota polis yang sebahagiannya dilengkapi pistol dan senapang gas pemedih mata.
11.25am: Sekumpulan lebih 200 sedang berkumpul di jalan masuk ke SK Jengka 25, tetapi para penyokong parti itu hanya bersorak sekali sekala sahaja.
Pada waktu ini juga, seramai kira-kira 30 orang anggota polis bertugas mengawal keadaan. Jumlah ini adalah lebih ramai berbanding pada awal pagi ini.
PAS mematuhi arahan SPR dengan tidak mendirikan 'pondok panas' di kawasan ini, tetapi BN sebaliknya.
10.50am: Naib presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan rakan sejawatannya dari PKR Fuziah Salleh dilihat meninjau kawasan pengundian di Felda Jengka 25.
Menurut Tuan Ibrahim, PAS bergantung pada pengundi muda yang mewakili 38 peratus daripada 8,999 pengundi.
"Jika mereka turun semua, insya-Allah kita ada harapan," katanya kepada Malaysiakini.
10.45am: Keadaan lalu lintas menjadi sesak di Felda Jengka 25 ekoran keadaan jalan yang sempit dan banyak kereta yang berpusu-pusu.
Polis bertindak menukar aliran trafik menjadi sehala.
10.43am: Di SMK Jengka 25, kebanyakan penyokong PAS dan BN merupakan orang luar. Jumlah penduduk yang tidak ramai membolehkan pengundi mengenali antara satu sama lain.
Kelihatan orang tempatan bertanya kepada perayu undi: "Dari mana ya? Tak pernah nampak."
10.30am: Timbalan pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah keluar mengundi dipercayai telah melebihi 40 peratus.
Sekiranya jumlah keluar mengundi dapat mencecah lebih 50 peratus menjelang tengahari, beliau yakin ia akan melebihi jangkaan jumlah keluar mengundi sebanyak 80 peratus.
Proses pengundian berjalan baik dan lancar, katanya kepada media ketika mengunjungi pusat pengundian SMK Kerdau.
10.20am: Seorang anggota trafik PDRM yang ditugaskan di Felda Jengka 25 berkata, keadaan trafik agak kelam kabut pada awal pagi ini.
Ramai "orang luar" yang datang untuk meninjau kawasan pilihan raya ini, katanya.
Tambahnya, beliau tidak menjangkakan keadaan trafik akan menjadi terlalu sesak walaupun polis bertindak menukar aliran trafik di situ menjadi sehala.
Anggota itu juga berkata, pegawai atasannya mahu mereka menguatkuasakan undang-undang dengan tegas di dalam kawasan rancangan Felda itu.
Katanya, pegawai berkenaan memberitahu mereka supaya menyaman penunggang sesiapa saja yang didapati tidak memakai topi keledar atau membawa bendera parti.
Tambahnya beliau hanya berada di situ untuk memastikan keadaan terkawal.
10am: Peratus keluar mengundi setakat ini adalah sebanyak 36.25 peratus atau seramai 3,262 orang.
Jurucakap SPR berkata suruhanjaya itu menyasarkan lebih 80 peratus akan keluar mengundi hari ini.
"Sasaran dibuat berdasarkan peratus keluar mengundi pada pilihan raya umum 2008 iaitu 80.3 peratus," katanya, lapor Bernama.
Sementara itu, kira-kira 100 penyokong PAS dan BN kini berkumpul dan bercampur satu sama lain dalam satu kumpulan di SMK Felda Jengka 25.
Bagaimanapun, mereka dilihat matang dan tidak mengejek sama lain.
Penyokong PAS, terutama wanita rancak berselawat dan penyokong BN cuma bersorak kepada pengundi.
Pemandu kereta juga dilihat mematuhi arahan SPR dengan tidak menggunakan logo parti, sebaliknya menggunakan kertas warna biru dan hijau pada kenderaan mereka.
9.47am: Calon PAS Hassanuddin Salim berkunjung ke pusat mengundi di Desa Murni dan turut menyapa seorang pengundi yang sedang memeriksa maklumat di kaunter SPR.
Sementara itu, seramai kira-kira 200 orang penyokong PAS dan 100 orang penyokong BN berkumpul di tepi jalan sambil melaungkan slogan dan ejekan.
Kumpulan PAS melaungkan "Hidup Islam" dan "Hancur rasuah" manakala kumpulan BN yang berada di seberang jalan menyambut dengan laungan "Bohong" dan "Hidup BN."
Hassanuddin yang menyapa penyokong daripada kedua-dua kem berkenaan berkata, beliau melihat sambutan yang baik daripada para pengundi.
Tidak sampai lima minit kemudian, beliau meneruskan perjalanan ke pusat pengundian seterusnya.
Kawasan Desa Murni mempunyai seramai 1,343 pengundi – daerah mengundi paling besar dalam kawasan DUN Kerdau.
Dalam pilihan raya umum lalu, BN memenangi kawasan ini dengan majoriti tipis sebanyak 96 undi.
8.45am: Di SK Tekal, jentera PAS dan BN menggunakan taktik memimpin warga emas ke pusat pembuangan undi.
Petugas BN memakai baju berwarna merah dengan tulisan 'Gelombang merah' manakala PAS pula banyak dibantu unit amalnya yang berpakaian seragam berwarna merah tua.
Tiada pondok panas didirikan di sekitar kawasan ini, seperti ditetapkan SPR.
8.30am: Di SK Tekal, suasana tenang dan senyap tidak seperti selalu. SPR menguatkuasakan had sempadan sejauh 50 meter di antara kumpulan penyokong.
Garisan polis juga dipasang di sepanjang jalan menyebabkan tiada kereta diletak di tepi jalan dan tiada orang ramai berkumpul.
Didapati ada gadis berbaju merah jambu, dipercayai anggota Puteri Umno, dilarang dari mengiringi calon warga emas ke peti undi.
8.15am: Calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad membuang undi di Sekolah Kebangsaan Teluk Sentang.
Walau hanya dapat melelapkan mata selama empat jam pada malam tadi, beliau kelihatan cergas dan bersedia untuk mengunjungi pusat-pusat pengundian dalam kawasan itu, seperti amalan biasa bagi calon-calon pilihan raya.
Katanya, beliau berharap pengundi akan keluar beramai-ramai bagi menunaikan tanggungjawab mereka.
8.00am: Pusat pengundian dibuka secara rasmi. Cuaca baik walaupun dijangka mendung pada petang.
Lewat malam tadi hujan telah turun. Keadaan trafik juga baik memandangkan masih belum ramai pengguna jalan raya yang keluar pada waktu ini.-Ihsan daripada Malaysiakini.
Berita-berita lanjut mengenai kedua-dua PRK DUN akan menyusul lagi selepas ini.
Saturday, March 05, 2011
PEMIMPIN KANAN PAS BELI TANAH PENEROKA –HARAKAH CUBA SELAMATKAN PEMIMPINNYA?
Salam semua…
Jawapan daripada Harakah yang membela Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man:
Para pemimpin dan media Umno terbukti berbohong ketika mereka memfitnah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membeli tanah peneroka Felda kerana ianya sebenarnya dibeli oleh pihak lain.
(Gambar: Ibrahim menunjukkan bukti tanah itu adalah milik syarikatnya. Ia dicagarkan beliau untuk pinjaman MARA)
Ia sebenarnya dibeli oleh Ibrahim bin Osman, seorang guru yang hanya meminjam duit dari Tuan Ibrahim dan kini tanah itu dicagarkan oleh Ibrahim kepada MARA untuk satu pinjaman lain.
"Sebenarnya apa yang berlaku adalah, seorang peneroka Felda telah mengiklan di merata-rata tempat mahu menjual tanahnya. Beliau juga telah menemui saya dan meminta saya membelinya.
"Memandangkan saya tidak ada duit, saya telah bertanya kepada Datuk Tuan Ibrahim untuk membantu saya. Dia bersetuju meminjamkan dahulu duit kepada saya dan sebagai jaminan terhadap pinjaman tersebut saya bersetuju menggunakan nama isteri beliau sementara saya menjelaskan kesemua pinjaman itu.
"Apabila saya mempunyai duit, saya telah mengambilalih tanah itu dan menggunakannya untuk dicagarkannya kepada pihak MARA atas nama syarikat saya, Syarikat Pintar Kesuma Sdn Bhd (gambar)," kata Ibrahim dalam sidang media khas di Markas PAS Kerdau lewat petang ini.
Ibrahim menjelaskan fitnah yang dibuat Umno dan medianya terhadap Pengarah Pilihan Raya PAS Kerdau Datuk Tuan Ibrahim dengan mendakwa beliau membeli tanah peneroka Felda yang dalam kesempitan bukannya membantu beliau.
(Gambar: Bukti yang menunjukkan tanah itu adalah milik syarikat Cikgu Ibrahim, Pintar Kesuma sdn bhd. Ini adalah borang permohonan cagaran tanah kepada MARA)
Blog Umno juga ada mendakwa Tuan Ibrahim sebagai lintah darat ekoran laporan itu.
"Saya sangat dukacita dengan tuduhan itu kerana hasrat beliau untuk membantu saya dan peneroka berkenaan telah bertukar menjadi satu fitnah terhadap beliau.
"Hasil dari jualan tanah Felda tersebut, peneroka berkenaan telah berjaya membangunkan 15 ekar ladang sawit dan juga ternakan kambing dan lembu, bukannya menjadi dhaif sebagaimana didakwa," kata Ibrahim Osman.
Oleh itu, katanya, soal Datuk Tuan Ibrahim membeli tanah Felda sehingga menganiaya peneroka Felda tidak berbangkit sama sekali dan satu dakwaan dan tuduhan yang tidak benar.
Tuan Ibrahim dalam sidang media itu berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan isu ini dan hanya membantu meminjamkan wang kepada Ibrahim sahaja.
"Media dan Umno hanya cuba mengalih isu sebenar di Kerdau iaitu masalah hutang kerajaan negeri dengan membangkitkan perkara yang tidak benar ini," kata Tuan Ibrahim.-Harakah
P/S – Penulis nampak Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan media rasmi mereka, Harakah cuba lari daripada isu pokok. Walau apa alasannya sekalipun, dalam hal ini orang ramai hanya akan percaya kepada dokumen asal yang melibatkan siapakah pembeli dan siapakah penjual kepada hartanah berkenaan.
Seperti yang diperjelaskan bahawa dalam pembelian hartanah tersebut, mereka secara nyata telah bersetuju menggunakan nama isteri Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai pembeli yang sah.
Dalam hal-hal syariat muammalat dalam Islam, selain daripada aqad jual dan beli, harga belian dan jualan, penentuan siapakah pembeli dan penjual mestilah diperjelaskan dengan sejelas-jelasnya.
Persoalan di sini, kalaulah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man betul-betul ikhlas hendak menolong cikgu Ibrahim, kenapakah beliau tidak meletakkan terus nama cikgu berkenaan sebagai pembeli yang sah di dalam perjanjian jual-beli tanah berkenaan?
Itupun kalau Cikgu Ibrahim bernasib baik kerana beliau mampu menjelaskan kesemua hutangnya.
Sebaliknya, apa akan terjadi jika beliau gagal menjelaskan hutangnya? Ataupun apa-apa yang tidak baik berlaku ke atas dirinya?
Jika berlaku sedemikian, siapakah yang akan menjadi tuan punya yang sah kepada hartanah berkenaan? Jawapannya ialah isteri Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man…
Kita bukannya ingin menuduh siapa yang betul dan siapa yang salah dalam hal ini. Sememangnya dari segi perundangan memang sahpun urusniaga berkenaan.
Ini sebenarnya isu moral yang melibatkan kreditibiliti pemimpin tertinggi PAS!...Ini belum lagi dikira tentang keuntungan daripada harga jualan tanah berkenaan…berapa banyak yang beliau dapat kita sendiripun tak tahu?....kalau kita tanya nanti, banyak lagi isu yang akan terkeluar….
PANAS: TANPA BOB LOKMAN RAJA LAWAK, BN BERJAYA GANDINGKAN RAJA GELEK, DATUK M DAUD KILAU DENGAN …….DI DUN KERDAU…
Salam semua…
Sorak menyorak dan jerit-menjerit antara satu sama lain di Kerdau berlaku lagi apabila PAS dan BN sekali lagi mengadakan ceramah di tempat berdekatan di Felcra Rumpun Makmur pada Jumaat malam.
Bagaimanapun, kehangatan kini beralih ke pihak BN apabila mereka menggandingkan tiga 'selebriti' dalam bidang masing-masing, iaitu Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali, Senator Ezam Mohd Nor dan Raja Gelek Datuk M Daud Kilau.
Cuma dipisahkan sebatang jalan, Pakatan Rakyat menampilkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang kemudiannya berulang kali diperlekehkan oleh Ezam yang juga bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dengan gaya berpidato mirip Anwar, Ezam dilihat berjaya menarik tumpuan dan menaikkan semangat kira-kira 200 anggota Umno di samping memperlekehkan pemimpin PKR yang didakwanya "tidak pernah lihat gari dan pintu penjara."
Beliau mengulangi beberapa kandungan ceramahnya sebelum ini, antaranya berhubung penjualan bir di Shah Alam, penyebaran gambar intim exco kerajaan Selangor Elizabeth Wong dan 'hubungan'Anwar dengan pemimpin Yahudi.
Bagaimanapun, penampilan kali pertama Ibrahim ke Kerdau terus menaikkan semangat dan mengikat penonton BN dengan penyampaiannya yang mencuit hari walaupun melalui penggunaan kata-kata keras seperti "balaci".
Majoriti sehingga 3,000
Malah, secara berjenaka, sekiranya tidak percaya, beliau meminta penonton bertanyakan Ezam yang disifatkannya sebagai bekas "balaci nombor satu Anwar", menyebabkan penonton terus ketawa.
Penampilan Ibrahim, walaupun dinafikannya atas nama PERKASA, bagaimanapun dilihat berjaya memberi momentum baru kepada BN yang kebiasaannya asyik tewas dengan sorakan penyokong Pakatan dalam ceramah-ceramah sebelum ini.
Keadaan ini secara kebetulan tergambar dalam ucapan pembuka kata anggota parlimen Pasir Mas itu bahawa beliau datang untuk "menjual ubat yang lebih mujarab (daripada Pakatan), yang tahan lama dan keras".
Mengambil kesempatan menjelaskan sebab beliau tidak lagi bekerjasama dengan PAS, Ibrahim berkata beliau mahu memastikan kepentingan agama, bangsa dan negara terjaga.
Sehubungan itu, Ibrahim menyeru agar pengundi di Kerdau dapat memastikan supaya BN dapat memperoleh peningkata majoriti sehingga 2,000 hingga 3,000 undi bagi memastikan Pakatan tidak boleh menjaja isu itu di kemudian hari.
"Mereka cuma hendak peningkatan majoriti. Kalau satu undi pun tak apa," katanya lagi.
Perolok hasrat ke Putrajaya
Memilih terus menyerang Anwar, beliau memperlekehkan hasrat Pakatan mahu menuju ke Putrajaya yang sering diulang-ulang kebelakangan ini.
"Nak pergi, pergilah. Naik bas boleh, naik teksi boleh. Nak suruh saya hantar pun boleh. Tetapi tak boleh duduk dua-dua oranglah. Bahaya," katanya disambut gelak ketawa dan tepukan penonton.
Ketika itu, kira-kira 200 lagi penonton di sebelah kawasan Pakatan mula melaungkan perkataan "lompat, lompat" sebagai mengejeknya yang banyak bertukar parti sebelum ini.
Di kemuncak ceramah, ramai yang tidak menyangka M Daud juga turut berkongsi pentas malam itu dengan sebuah lagu popularnya. Beliau diiringi pasukan kugiran lengkap.
Tampil dalam pakaian hijau labuh berkilat-kilat, M Daud menarik perhatian menyebabkan penonton sesekali tampil mengikutinya menyanyi.
Penonton BN ketika itu bertambah ke angga 300 orang, pertama kali melebihi jumlah penyokong pembangkang ketika itu.-Malaysiakini
Friday, February 25, 2011
APA ISU DI KERDAU? TIADA?, .. ISU "ISYARAT TANGAN" BOLEH GUNA "ISU LAMA" ITU….. KATA MB PAHANG.
Salam semua…
Apa isu di Kerdau? Bagi Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau itu, tiada isu besar yang boleh dicanangkan oleh pembangkang.
"Yang ada hanyalah isu setempat berkaitan tanah dan isu untuk mempertingkat kemudahan jalan raya dan bekalan air, yang semuanya akan diselesaikan secepat mungkin" katanya. Adnan berkata BN akan mengambil pendekatan bersemuka dan menemui pengundi bagi mengetahui dan menyelesaikan masalah mereka. Kerusi Kerdau dahulunya dikenali sebagai Sanggang dan terletak dalam kawasan Parlimen Mentakab. Selepas persempadanan semula pada 2004, Kerdau diletakkan dalam kawasan Parlimen Kuala Krau.
Ketika menjawab soalan pemberita mengenai isu "isyarat tangan" yang dianggap lucah yang dikaitkan dengan beliau semasa kempen pilihan raya kecil Sanggang pada 2000, Adnan secara sinis berkata PAS dialu-alukan menggunakan "isu lama" itu.
Secara berseloroh, Adnan berkata beliau sendiri sanggup membantu PAS menampal gambar beliau menunjukkan "isyarat tangan" itu di pokok-pokok sekitar Kerdau.
Dalam pilihan raya kecil pada 6 Mac ini, BN akan diwakili Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau dan juga Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar Pahang.
Berdasarkan calon BN yang disifatkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon yang "bukan sahaja boleh menang tapi cemerlang itu", Syed Ibrahim, dilihat tidak akan menerima "serangan peribadi" daripada parti lawan.
Dalam tinjauan rambang Bernama, beberapa penduduk dan pengundi menyifatkan pemilihan Syed Ibrahim sebagai keputusan terbaik memandangkan beliau bukanlah nama asing bagi penduduk kawasan berkenaan.
Malah beliau dilihat dekat di hati warga peneroka terutamanya di tiga kawasan Felda - Felda Jengka 22, 23, dan 24, yang hampir separuh pengundi di kawasan DUN itu datangnya dari kawasan berkenaan.
Syed Ibrahim sering mengadakan ceramah agama di masjid-masjid di Kerdau sekaligus memperlihatkan beliau seorang yang berkualiti sebagai pemimpin akar umbi.
Naib Ketua Umno Cawangan Kerdau, Abdul Rahman Abdul Rashid, juga menegaskan tiada isu besar di Kerdau kerana kerajaan Barisan Nasional telah melaksanakan pelbagai program pembangunan di situ sejak dahulu lagi.
Beliau berkata semua kampung tradisonal termasuk kawasan Felda mempunyai rangkaian jalan bertar, balai raya, dewan, masjid dan surau.
Malah, sebuah perkampungan Orang Asli disitu juga telah dibekalkan dengan kemudahan elektrik dan air paip 24 jam.
Mengenai pemilihan Syed Ibrahim, Abdul Rahman berkata ia adalah pilihan tepat kerana Syed Ibrahim mampu menjadi wakil rakyat yang baik untuk membantu penduduk di situ.
Setiausaha PAS Pahang, Roslan Zainal, berkata sekalipun Kerdau dilihat sebagai kubu kuat BN, PAS yakin akan mendapat sokongan pengundi di kawasan berkenaan.
"PAS telah menyenaraikan tujuh nama untuk dicalonkan, dan sebahagian besar adalah anak tempatan berkelulusan dalam pelbagai bidang, antaranya bekas pensyarah dan penjawat awam," katanya.
Beliau berkata sekalipun BN beranggapan PAS tidak dapat membangkitkan isu-isu tempatan, parti itu akan mengutarakan beberapa isu nasional untuk menarik pengundi.
"Berdasarkan trend politik sekarang serta penambahan pengundi baru, PAS yakin akan tetap mendapat sokongan pengundi kawasan berkenaan. Apa pun kita tidak akan memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional," kata Roslan.
Kerusi Kerdau kosong berikutan kematian Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, daripada BN pada 12 Feb lepas. Dalam pilihan raya umum lalu, beliau menewakan calon PAS, Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.
Penamaan calon Sabtu ini. - BERNAMA
PRK DUN KERDAU: MENTERI BESAR NAFI CALON BN BELI RM( IJAZAH )
Salam semua…
Sekalipun tempoh kempen dan hari penamaan calon bagi DUN Kerdau belum bermula, calon BN sudah pun menjadi penyokong dan parti pembangkang.
Sekalipun tempoh kempen dan hari penamaan calon bagi DUN Kerdau belum bermula, calon BN sudah pun menjadi penyokong dan parti pembangkang.
Syed Ibrahim Syed Ahmad dituduh menipu berhubung kelulusan akademiknya.
Beliau didakwa tidak lulus semasa belajar di Universiti Al-Azhar dan dituduh membeli ijazah dari universiti berkenaan.
Syed Ibrahim yang lebih dikenali sebagai 'Syed Ibra' di kalangan penduduk tempatan hanya tersenyum lebar ketika ditemui Bernama bagi mengulas perkara berkenaan.
"Biarlah apa orang nak kata, kita tak boleh ikut dia (penyokong dan parti pembangkang), dia macam-macam boleh kata, kalau kita jawab lebih pun tak guna.
"Biarlah rakyat tahu sendiri," katanya ketika ditemui, hari ini.
Beliau yang juga naib ketua Umno bahagian Kuala Krau adalah lulusan dari Universiti Al-Azhar dalam bidang Bahasa Arab.
Syed Ibrahim mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Kuala Krau dan di Sekolah Menengah Agama Al Khairiah Temerloh sebelum menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar pada 1989 hingga 1996.
Beliau diumumkan sebagai calon BN oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lepas.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob ketika ditemui hari ini turut kesal dengan tindakan para penyokong PAS dan parti itu yang membuat dakwaan tidak berasas.
"Saya tengok sijil dia, kalau dia tak lulus tinggi, takkan saya nak ambil dia bekerja sebagai pegawai khas agama kepada menteri besar. Bodohlah saya ambil orang tak ada kelulusan.
"Tuduhan mengatakan dia tak ada kelulusan, itu satu pembohongan dan fitnah," katanya.
DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan Sabtu ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian ditetapkan pada 6 Mac depan.- Bernama
Subscribe to:
Posts (Atom)










