Showing posts with label Hudud. Show all posts
Showing posts with label Hudud. Show all posts

Thursday, October 06, 2011

BOLEHKAH HUDUD MENYATUKAN UMAT ISLAM?


Salam semua ®…
Penulis bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana ada juga di kalangan Mufti kita yang berani bercakap tentang kebolehan perlaksanaan hukum hudud ini di dalam konteks negara majmuk. Penulis menyokong penuh gesaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dalam menasihati pentadbiran DS Najib agar membenarkan undang-undang hudud ini dilaksanakan di Kelantan sebagai satu “percubaan”. Soal mereka (Pas) ikhlas atau tidak, itu soal mereka dengan Allah. Penulis percaya mungkin ramai lagi di kalangan ulama dan cerdik pandai Islam yang berada di dalam kerajaan serta NGO-NGO Islam yang lain bersetuju dengan cadangan positif  Mufti Perak ini.
Penulis berpendapat, cadangan di atas bukanlah hanya setakat seruan malah, bantuan dan sokongan  daripada kerajaan dari segi kepakaran dan dana perlu disediakan agar perlaksanaannya nanti biarlah menepati tatacara sepertimana yang dikehendaki oleh Islam. Perbincangan secara ilmiah serta kerjasama di antara kerajaan negeri dan persekutuan perlu diadakan agar segala  aspek  yang berkaitan dengan pentadbiran di dalam perlaksanaan hudud ini dapat dijalankan dengan teratur.
Manalah tahu, mungkin dengan adanya kerjasama di dalam perlaksanaan hukum hudud ini akan menzahirkan pula kepada penyatuan umat Islam itu sendiri. InsyaAllah.
Kalaulah orang Melayu Islam kita sanggup berpecah-belah kerana kuasa dan tidak meyakini dan beriman dengan hukum Islam kita sendiri. Maka,  janganlah diharap pula orang bukan Islam mahu faham tentang hukum hudud ini. Tetapi, masalahnya sampai bila? Sebenarnya semuanya terletak di atas bahu jembala kita bak kata pepatah ‘Hendak seribu daya, tidak mahu, seribu dalih’….Sebagai Khalifah di muka bumi ini, kita orang Islam perlulah menjadi contoh  yang baik kepada kaum-kaum yang lain kerana Allah tidak sesekali akan mengubah nasib sesuatu kaum, kecualilah kaum itu sendiri yang berusaha mengubah untung nasib mereka.
Ikuti paparan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria seperti yang disiarkan oleh Malaysian Insider.
Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan pentadbiran Najib agar membenarkan undang-undang hudud dilaksanakan di Kelantan sebagai satu “percubaan” selepas kerajaan pusat terus dengan pendiriannya menyekat langkah sedemikian atas alasan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. 

Menurut Mufti Perak, Putrajaya perlu memberi peluang kepada kerajaan negeri Kelantan pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melaksanakan hudud memandangkan undang-undang jenayah syariah Islam itu sudah digubal pada 1993.
“Kerajaan pusat perlu beri peluang kepada Kelantan untuk laksanakan hudud, Nik Aziz juga kata sudah bersedia... saya setuju dan sokong, cuma dari segi prosedur pelaksanaan perlu lengkap, lagipun nanti kalau kerajaan pusat tak benarkan nanti orang marah.
“Benarkan Kelantan laksanakan hudud, hudud bukan perkara senang nak dilaksanakan kerana banyak perkara perlu dipatuhi... benarkan sebagai percubaan untuk kita yang lihat bagaimana ia dilaksanakan dan kadar jenayah di Kelantan selepas ia dilaksanakan kemudian baru kita nilai,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Harussani yang sebelum ini berusaha mewujudkan kerjasama politik antara PAS dan Umno, khususnya sejak selepas pilihan raya umum 2008 menegaskan, hukum hudud adalah tuntutan Islam dan ia perlu dilaksanakan sekiranya sudah bersedia.
“Kita nak kurangkan kadar jenayah, sekarang kalau kita lihat kalau merompak hukuman disebat dan dipenjara, jual dadah juga sama, tapi adakah mereka sudah insaf tapi kalau kudung tangan sudah pasti mereka akan berfikir dua kali... Islam laksana hudud, saya setuju,” katanya.
Beliau juga berkata, hukum hudud hanya dilaksanakan ke atas umat Islam dan orang bukan Islam tidak perlu risau sekiranya ia dilaksanakan.
“Bukan Islam tiada kena mengena dalam hukum agama Islam, ia tidak akan dikenakan kepada bukan Islam,” katanya.
Ditanya mengenai hukum hudud tiada dalam sistem perundangan negara, Harussani berkata “hal undang-undang saya tidak tahu, saya tak mahu cakap tapi saya setuju dilaksanakan hudud.”
Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum ini menegaskan untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada DAP.
Beliau turut meletakkan harapan hukum hudud dapat dilaksanakan di negara ini sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13.




Wednesday, September 28, 2011

Kata-kata menarik : "Jika PAS berkata bersetuju untuk tidak melaksanakan hudud sebagaimana kehendak DAP, maka sahlah tuduhan Umno bahawa PAS adalah kuda tunggangan DAP. (Baca seterusnya…)


Salam semua ®…
Semua mata tertumpu kepada Pejabat Agung PAS malam ini iaitu tempat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan mesyuaratnya.

Walaupun tidak ada panggilan untuk sidang akhbar, adalah dijangka wakil media akan memenuhi perkarangan bangunan PAS itu bagi mendapatkan keputusan mesyuarat yang bakal menentukan hala tuju politik Malaysia selepas ini.

Harakahdaily difahamkan, pimpinan tertinggi PAS, PKR dan DAP akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan cadangan PAS 'untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah untuk orang Islam dan di Kelantan sahaja.'

Isu ini berbangkit ekoran cabaran bekas Perdana Tun Dr Mahathir Mohamed agar kerajaan Kelantan melaksanakan hukum hudud kerana beliau sudah tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Kata Dr Mahathir, beliau telah dianggap oleh PAS sebagai penghalang pelaksanaan hudud ekoran surat amaran yang beliau hantar kepada Menteri Besar Kelantan yang melarang kerajaan negeri Kelantan melaksanakannya.

Ekoran itu, Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau akan meminta kebenaran daripada PM sekarang, Datuk Seri Najib Razak.

Belum sempat permohonan dibuat, Najib sudah berkata, kerajaan tidak akan membenarkan hudud dilaksanakan di negara ini.

Pengerusi DAP, Karpal Singh juga berkata, hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana berlawanan dengan perlembagaan dan DAP tidak bersetuju dengannya.

Yang menjadi bertambah parah lagi apabila media melaporkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, kesemua pimpinan DAP yang ada sekarang akan meletakkan jawatan jika hudud dilaksanakan melalui platform Pakatan.
Walaupun ia laporan yang tidak tepat (kerana apa yang dikatakan beliau adalah kesemua pemimpin DAP akan meletakkan jawatan jika pelaksanaan hudud ada dalam agenda bersama Pakatan iaitu dalam buku Jingga yang telah dikeluarkan), ia telah mengelirukan banyak pihak.

Hubungan PAS dan DAP sebelum ini telah pecah pada tahun 2003 apabila berbangkit isu Negara Islam selepas dokumen negara Islam dikeluarkan PAS.

Selepas satu mesyuarat yang diadakan di sebuah hotel, DAP memutuskan keluar dari Barisan Alternatif (BA) dengan meninggalkan PAS dan Keadilan.

Ekoran dari perpecahan itu dan isu-isu yang berkaitan dengannya, PAS dan Keadilan ketika itu telah kalah teruk dalam pilihan raya umum 2004 termasuk kehilangan sebuah negeri iaitu Terengganu dan mengekalkan Kelantan dengan majoriti yang kecil (tiga kerusi yang kemudiannya menjadi satu kerusi selepas PAS kalah dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir).
Suasana berbeza

Kini, dengan suasana yang berbeza, isu panas antara PAS dan DAP datang lagi dan pemimpin PAS dan DAP akan bertemu lagi. Isunya adalah pelaksanaan undang-undang jenayah syariah yang termasuk hukum hudud di dalamnya.

Tetapi kali ini, ada PKR di tengah-tengah dengan pengerusi kepada mesyuarat ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hampir semua pemimpin kanan ketiga-tiga parti akan hadir dalam mesyuarat yang bermula jam 9 malam ini kecuali Tuan Guru Nik Aziz yang tidak dapat hadir (mungkin keberatan untuk memberikan kebebasan perbincangan).

Bagi penganalisis politik, Profesor Bridget Welsh, hudud bukan isu utama rakyat negara ini sekarang kerana isu utamanya adalah isu ekonomi, isu bagaimana kerajaan BN telah menggunakan duit rakyat untuk mempertahankan kuasa mereka.

Namun, bagi sesetengah pihak dalam PAS, isu ini adalah kebaikan yang datang dalam masalah yang menimpa (blessing in disguise).

Bagi mereka, serangan Umno terhadap PAS kononnya 'PAS adalah kuda tunggangan DAP' akan dibuktikan dalam isu ini.

"Jika PAS berkata bersetuju untuk tidak melaksanakan hudud sebagaimana kehendak DAP, maka sahlah tuduhan Umno bahawa PAS adalah kuda tunggangan DAP.

"Namun, jika PAS, PKR dan DAP dapat mencapai kata sepakat untuk berkata, 'kita benarkan PAS laksanakan undang-undang ini untuk orang Islam sahaja dan di Kelantan sahaja bukan untuk lain-lain negeri', saya yakin halangan untuk Pakatan Rakyat menuju Putrajaya tidak ada lagi.

"Tetapi, jika isu ini gagal dicapai kata sepakat malam ini, dan DAP akan mengambil tindakan yang sama sebagaimana tahun 2003 lalu, Pakatan akan hancur dan saya yakin DAP juga akan kehilangan sokongan khasnya orang Melayu," kata pemimpin PAS itu.

Bagi beliau, Kelantan dimenangi oleh PAS sejak tahun 1990 tanpa sebarang kaitan dengan DAP dan negeri itu berjaya dipertahankan oleh PAS sehingga kini.

PAS pula bersama dengan Pakatan Rakyat membentuk bersama negeri Selangor, Kedah dan juga Pulau Pinang di samping Perak sebelum ini.

Beliau dengan penuh yakin berkata, pihak yang paling rugi jika perpecahan berlaku adalah DAP kerana sudah pasti Selangor akan jatuh dan silap-silap Pulau Pinang pun akan jatuh dalam pilihan raya akan datang tanpa sokongan Melayu.

"PAS boleh jadi akan berjaya mengekalkan Kelantan dan Kedah walaupun bersendirian atau bersama PKR atas sokongan Melayu dengan isu ini dan boleh jadi akan menang juga di beberapa negeri lain," kata beliau.

Namun, bagi Bridget Welsh , andaian ini tidak tepat kerana sebahagian Melayu juga tidak bersetuju dengan hudud dan lebih terpengaruh dengan isu ekonomi apatah lagi pengundi Cina dan India.

Namun beliau bersetuju bahawa, jika PAS benar-benar mahu melaksanakannya, ia perlu melalui proses demokrasi yang terbaik termasuk pungutan suara selepas menang agar tidak ada mana-mana pihak yang terasa dizalimi.

"Itupun akan masih ada golongan minoriti yang akan terasa dizalimi," kata beliau kepada Harakahdaily menjelang mesyuarat malam ini.

Namun, semua persoalan di atas akan dicerakinkan oleh para pimpinan utama Pakatan Rakyat malam ini.

Jika mereka berjaya melepasinya, bermakna jalan ke Putrajaya terbuka luas. Namun, jika ujian hasil mainan Tun Dr Mahathir ini gagal diatasi, esok tidak akan ada Pakatan Rakyat lagi.

Pun begitu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustyafa Ali dikatakan sangat yakin, soal pecah antara PAS dan DAP tidak akan berbangkit dalam mesyuarat malam ini.
Ini kerana, binaan Pakatan yang ada sudah cukup kuat untuk menempuh segala badai yang melanda dan yakin pemimpin Pakatan sudah cukup dewasa untuk mengatasinya dengan baik.- Harakah daily.

Komen penulis:
Petikan kata-kata menarik di atas:
"Namun, jika PAS, PKR dan DAP dapat mencapai kata sepakat untuk berkata, 'kita benarkan PAS laksanakan undang-undang ini untuk orang Islam sahaja dan di Kelantan sahaja bukan untuk lain-lain negeri', saya yakin halangan untuk Pakatan Rakyat menuju Putrajaya tidak ada lagi.

Adakah pandangan di atas juga merupakan pandangan resmi Pas? Kalau betul tujuan  hukum hudud ini dilaksanakan semata-mata untuk ke Putrajaya, memang sah lah Pas ingin mempolitikkan isu Hudud ini. Kalau tidak, masakan artikel ini disiarkan oleh Harakah? Apa tujuannya?


Monday, September 26, 2011

HUDUD: NIK AZIZ SIFATKAN DAP MACAM BUDAK TAKUT HANTU…


Salam semua ®…
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hukum hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan sama sekali tidak kena-mengena dengan masyarakat bukan Islam terutama DAP, yang juga tiada sebab membantah undang-undang Islam itu dilaksanakan.
Beliau menyifatkan DAP seperti “budak-budak kecil takutkan hantu” sedangkan hukum hudud sebenarnya lebih adil dan tidak membabitkan golongan bukan Islam.
"DAP nak keluar (gabungan pembangkang) pasal apa? Hudud untuk orang Islam dan apa hubungan dia (DAP) dengan orang Islam,” katanya kepada pemberita di kediaman Menteri Besar di sini, hari ini.
Semalam, Nik Abdul Aziz berkata, hukum hudud itu akan dilaksanakan di Mahkamah Syariah di Kelantan walaupun mendapat tentangan daripada DAP.
Baru-baru ini, pemimpin-pemimpin kanan DAP dilaporkan akan meletakkan jawatan beramai-ramai sekiranya terdapat usaha meletakkan matlamat menjadikan negara Islam atau melaksanakan hukum hudud di negara ini. – Bernama
Komen penulis
Sebenarnya DAP tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini.  Salah satu sebab kenapa mereka takut kepada hukum Hudud,  macam "budak kecil takut hantu", kata Nik Aziz adalah disebabkan oleh kesilapan Nik Aziz selaku Mursyidul Am dan pemimpin Pas yang lain dalam kerja-kerja dakwah mereka yang tidak berkesan.
Meminjam komen rakan seperjuangan penulis, saudara Azli Shukri di azlishukri.blogspot.com semalam, antara lain menghuraikan sebab kenapa perkara ini boleh terjadi adalah seperti berikut:
1. Islam tidak boleh ditegakkan melalui peti undi atau demokrasi. Islam mesti ditegakkan dengan dakwah terlebih dahulu dan bukan melalui kuasa.

2. PAS tidak menjalankan tanggungjawab mereka setelah 54 tahun negara ini merdeka. Mereka tidak berdakwah kepada orang bukan Islam, bahkan tidak bersungguh-sungguh mengIslamkan orang kafir yang ada di bumi Malaysia ini. PAS lebih sibuk berceramah dan memaki hamun saudara seIslam mereka sendiri daripada turun ke medan dakwah menarik orang kafir mendekati Islam melalui akhlak dan pendidikan.

3. Selama 54 tahun PAS sebenarnya berpolitik dan bukan berdakwah. PAS sibuk mengejar kuasa yang ada pada UMNO berbanding mendekati UMNO dengan cara halus dan berdakwah. Orang-orang UMNO dikafir dan bukan dididik dengan penuh sabar.

4. Keindahan hukum Hudud tidak dapat dilihat oleh orang bukan Islam melalui peribadi para pemimpin PAS yang rata-ratanya bermulut celupar dan tidak mempunyai perbezaan pun dengan para pemimpin UMNO. Hukum Hudud yang diperjuangkan oleh PAS tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk akhlak dan ketinggian budi pekerti para pemimpim PAS. Maka, tidak hairan sekiranya orang bukan Islam tidak peduli dan percaya dengan keadilan hukum Hudud yang cuba dibawa oleh PAS - kerana mereka sendiri tidak dapat melihat keindahan Islam melalui peribadi ahli-ahli PAS.