Monday, January 23, 2012

KETUA AUDIT NEGARA PERLU JUJUR. TUNJUKKAN SURAT PENTING ITU!



Salam semua®…

Ketua Audit Negara didesak mendedahkan keterangan yang diberikan oleh National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC) menerusi surat jawapan yang dihantar kepadanya berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan oleh syarikat berkenaan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau diberitahu oleh Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail bahawa surat jawapan telah dihantar kepada Ketua Audit Negara berhubung dakwaan yang dilontarkan terhadap syarikat itu selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 didedahkan.

Beliau difahamkan, pihak Jabatan Audit Negara telah menerima surat jawapan itu dan mengakui bahawa tidak berlaku sebarang penyelewengan dan semuanya di bawah kawalan serta mengikut peraturan.

"Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh telah menghantar surat jawapan kepada Ketua Audit Negara mengenai dakwaan terhadap NFC dan beliau memberitahu bahawa Jabatan Audit juga telah menerimanya serta mengakui bahawa tidak berlaku penyelewengan seperti didakwa.

"Bagaimanapun, tiada pengumuman dibuat oleh Ketua Audit Negara berhubung perkara berkenaan, jadi kami mendesak beliau membuat kenyataan rasmi mengenainya dan berlaku adil kepada semua pihak supaya seseorang itu dibela atau dihukum atas sebab yang sah faktanya, bukan kerana persepsi politik.

"Kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak berpihak kepada sesiapa, kami menerima apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis. Justeru, kami berharap SPRM serta pihak polis menyegerakan siasatan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Perkasa bersama 11 lagi NGO sebelum itu diberikan taklimat dan penerangan oleh Mohamad Salleh berhubung isu dakwaan penyelewengan dana kerajaan membabitkan NFC yang menjadi tumpuan ketika ini.

Antara NGO yang hadir ialah Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Perundingan Malaysia, Majlis Usahawan Malaysia dan Persatuan Anak Kelantan Malaysia.

Isu membabitkan NFC timbul ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu yang menyatakan syarikat berkenaan gagal memenuhi matlamat penubuhannya sebagai integrator Pusat Fidlot Nasional.

Sementara itu, Ibrahim berkata, beliau dan 11 NGO lain berpuas hati serta menerima baik penjelasan yang diberikan Mohamad Salleh berhubung isu berkenaan.

"Berdasarkan apa yang dijelaskan kepada kami, ia tidaklah seteruk seperti yang dilaporkan oleh media sebelum ini dan kami berpuas hati dengan penjelasan tersebut," jelasnya.-Utusan

P/S – Soalan penulis kepada Ketua Audit Negara (KAN), kenapa surat jawapan daripada Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail yang katanya telah dihantar kepada KAN berhubung dakwaan yang dilontarkan terhadap syarikat itu selepas Laporan KAN 2010 tidak didedahkan ?

Difahamkan, pihak Jabatan Audit Negara (JAN) telah menerima surat jawapan itu dan mengakui bahawa tidak berlaku sebarang penyelewengan dan semuanya di bawah kawalan serta mengikut peraturan.

Kalau betul kenyataan ini, ianya adalah fakta penting untuk isu ini dan tidak perlu disorok-sorok oleh orang-orang yang ada kepentingan.

Kenapa perkara ini boleh berlaku? Dan kenapa KAN hanya berdiam diri seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku dan sengaja membiarkan perkara ini berlanjutan sehinggalah ke pengetahuan orang ramai?

Sekali lagi, kredibiliti JAN boleh dipersoalkan di sini.  

Sebelum ini penulis masih ingat lagi tentang laporan  Sinar Harian terbitan 12/01/2012 mengenai timbul persoalan dan tandatanya publik mengenai dakwaan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata bahawa adanya sokongan bahan bukti dalam bentuk baucar bayaran (dinyatakan secara terperinci dalam akhbar) dan surat daripada KAN, Tan Sri Datuk Setia Ambrin Buang kepada   Pengerusi Jawatan-kuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat yang digunakan untuk membayar kos guaman MAIWP.

Padahal, rujukan tambahan oleh JAN mengenai fatwa yang membolehkan wang zakat digunakan untuk tujuan bayaran kos guaman contohnya untuk kes-kes yang melibatkan seseorang atau kumpulan tertentu semata-mata untuk  menjaga kepentingan MAIWP atau organisasi Islam yang lain tidak dilakukan dengan sempurna dan bijaksana oleh JAN. Akhirnya, isu itu senyap begitu sahaja kerana PAC dan badan-badan lain yang berkepentingan tidak boleh membawa isu ini  untuk diambil tindakan selanjutnya.

Pada pandangan penulis, ada yang tidak kenanya di sini. Tidak seperti parti pembangkang,  ianya betul-betul menyusahkan kerajaan dan semua orang.

Walaubagaimanapun, terserahlah kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan di atas dengan seadil-adilnya.

Jangan sampai jadi, ‘baling batu, sembunyi tangan. ‘Harapkan pagar pagar makan padi’.

1 comment:

Anonymous said...

Dalam otak aku terngiang-ngiang bertanya.... KAN tu pembangkang jugak ke? Setahu aku, ramai jugak la pembangkang dlm kerajaan ni.... Lebih2 kelahiran kelantan ni.. Mana2 pergi pn dok sanjung tok ajis tu.